Sunday, 22 August 2021

PDPR 23/08/2021: NOTA DAN LATIHAN SEJARAH STPM SEMESTER 2

2.3.1.1 PERKEMBANGAN ILMU ZAMAN KHALIFAH ABBASIYAH DARI ABAD KE-11 HINGGA ABAD KE-13 MASIHI



A. Pendidikan Pada Zaman Khalifah Abbasiyah

1. Pada zaman Abbasiyah, perkembangan ilmu dan sekolah telah mencapai kemajuan yang pesat di Baghdad.

2. Sumber pengetahuan Islam berasal daripada dua jurusan iaitu sumber dalaman (al-Quran dan hadis) dan sumber luaran (ilmu-ilmu dari India, Parsi dan Greek).

3. Pusat-pusat pendidikan digunakan untuk mempelajari ilmu agama, ilmu hisab, fizik, kimia, ilmu falak (kaji bintang), ilmu logikal, ilmu falsafah dan lain-lain.

4. Kursus pengajian pula terbahagi kepada tiga peringkat iaitu permulaan (kuttab atau pondok), menengah dan kepakaran.

5. Pada peringkat rendah, kurikulum pembelajarannya merangkumi pelajaran al-Quran, sirah Rasulullah SAW, membaca, menulis, puisi dan ilmu hisab.

6. Pelajar yang diterima di peringkat rendah akan melanjutkan pelajaran di peringkat menengah dan tinggi.

 


B. Peranan Baghdad

a. Khalifah Jaafar al-Mansur pada tahun 762 Masihi telah mengasaskan Baghdad sebagai ibu kotanya yang terletak antara Sungai Tigris dan Euphrates.

b. Peradaban Islam mengalami puncak kejayaan pada zaman pemerintahan Khalifah Abbasiyah kerana perkembangan ilmu pengetahuan yang sangat maju.

c. Kemajuan ilmu pengetahuan bermula dengan penterjemahan naskah-naskah asing terutama yang berbahasa Yunani ke bahasa Arab.

d. Selain itu, pembinaan pusat pengembangan ilmu dan perpustakaan Baitul al-Hikmah, dan terbentuknya mazhab-mazhab ilmu pengetahuan dan keagamaan.

e. Kemajuan peradaban Abbasiyah sebahagiannya disebabkan oleh kestabilan politik dan kemakmuran ekonominya.

f. Pusat pemerintahan Abbasiyah berada di Baghdad yang tertumpu kepada pertanian dan perdagangan di sungai Eufrat dan Tigris yang mengalir sampai Teluk Persia.

g. Kegemilangan Baghdad sebagai pusat ilmu dan intelektual mencapai kemuncak pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al- Rashid dan anaknya, al- Makmun.

1. Baghdad sebagai pusat ilmu pengetahuan

a. Kota Baghdad didirikan oleh Khalifah Abbasiyah kedua, Al-Manshur (754-775 M) pada tahun 762 M. setelah mencari-cari daerah yang strategik untuk ibu kotanya,

b. Baghdad, terletak di pinggir sungai Tigris dan Al-Manshur sangat cermat dan teliti dalam masalah lokasi yang akan dijadikan ibu kota.

c. Sejak awal berdirinya, kota ini sudah menjadi pusat peradaban dan kebangkitan ilmu pengetahuan dalam Islam.

d. Philip K. Hitti menyebutnya sebagai kota intelektual kerana di antara kota-kota dunia, Baghdad merupakan pusat ilmuan masyarakat Islam.

e. Al-Manshur memerintahkan penerjemahan buku-buku ilmiah dan kesusasteraan dari bahasa asing seperti India, Yunani lama, Bizantium, Persia, dan Syiria.

f. Para peminat ilmu dan kesusasteraan telah datang beramai-ramai ke kota Baghdad untuk mempelajari dan menimba ilmu.

2. Baghdad sebagai Pusat Peradaban Islam

a. Setelah masa al-Manshur, kota Baghdad menjadi lebih masyhur lagi karena peranannya sebagai pusat perkembangan peradaban dan kebudayaan Islam.

b. Banyak para ilmuwan dari berbagai daerah datang ke kota ini untuk mendalami ilmu pengetahuan yang ingin dituntutnya.

c. Masa keemasan kota Baghdad terjadi pada zaman pemerintahan Khalifah Harun Ar-Rasyd (786-809 M) dan anaknya Al-Makmun (813-833 M).

d. Dari kota inilah memancar sinar kebudayaan dan peradaban Islam ke seluruh dunia.

e. Ilmu pengetahuan dan sastera berkembang sangat pesat dan banyak buku falsafah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab.

3. Baghdad sebagai pusat gedung ilmu

a. Khalifah Al-Ma’mun memiliki perpustakaan yang dipenuhi dengan buku-buku ilmu pengetahuan benama Baitul Hikmah.

b. Sejak awal berdirinya, kota ini sudah menjadi pusat peradaban dan kebangkitan ilmu pengetahuan dalam Islam.

c. Sebagai pusat intelektual, di Baghdad terdapat beberapa pusat kegiatan pengembangan ilmu.

d. Di antaranya adalah Baitul Hikmah, iaitu badan ilmu pengetahuan yang menjadi pusat pengkajian berbagai ilmu.

e. Selain itu Baghdad juga sebagai pusat penterjemahan buku-buku dari berbagai cabang ilmu ke dalam bahasa Arab.

4. Baghdad sebagai pusat institusi pendidikan.

a. Banyak institusi pendidikan didirikan seperti akademi, sekolah tinggi dan sekolah biasa yang memenuhi kota Baghdad.

b. Di antaranya adalah madrasah perguruan Nizhamiyyah dan madrasah perguruan Mustansiriyah,

c. Institusi lain yang didirikan adalah Majlis Al-Munazharah sebagai institusi pengajian keagamaan yang diselenggarakan di rumah-rumah, masjid-masjid, dan istana.

d. Institusi ini menjadi tanda kekuatan penuh kebangkitan Timur, di mana Baghdad mulai menjadi pusat kebudayaan ilmu pengetahuan dan puncak keemasan Islam.

e. Maktab atau Kuttab iaitu institusi pendidikan terendah turut didirikan sebagai pusat kanak-kanak mengenal  bacaan, hitungan dan tulisan,

5. Baghdad pusat pengumpulan ilmu dan ilmuwan Islam.

a. Dalam bidang sastera, kota Baghdad terkenal dengan hasil karya yang indah dan digemari iaitu Alf Lailah wa Lailah, atau kisah seribu satu malam.

b. Di kota Baghdad, muncul para saintis, ulama, ahli falsafah, dan sasterawan Islam yang terkenal, seperti al-Khawarizmi (ahli astronomi dan matematik).

c. Selain itu, , al-Kindi (ahli falsafah Arab pertama), al-Razi (ahli falsafah, ahli fizik dan kedoktoran), al-Farabi (ahli falsafah besar yang dijuluki dengan al-Mu’allim al-Tsani).

d. Tiga mazhab utama dalam hukum Islam iaitu Abu Hanifah, Syafi’I, dan Ahmad ibn Hambal turut bermula di Baghdad.

e. Al-Ghazali (ahli falsafah, teologi, dan sufi besar dalam Islam), Abd Al-Qadir Al-Jilani (pendiri tarekat qadariyah), Ibn Muqaffa’ (sastrawan besar) dan lain-lain.

 


C. Ilmu Naqli dan Ilmu Aqli Zaman Abbasiyah

1. Ilmu naqli dan ilmu aqli

a. Pada zaman kerajaan Bani Abbasiyah, para ulama merupakan nadi perkembangan ilmu naqli ketika itu.

b. Golongan pemerintah pula jarang sekali membantu golongan ulama dalam ilmu naqli sebaliknya lebih memberi perhatian kepada pembangunan ilmu aqli.

c. Ilmu aqli ialah ilmu yang bersumberkan akal dan dibahagikan kepada sains tabii, sains sosial, dan juga sains kemanusiaan seperti astronomi, sejarah dan lain-lain.

d. Konsep ilmu naqli ialah ilmu yang brsumberkan wahyu daripada Allah SWT, iaitu al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

e. Pada zaman Abbasiyah, penulisan ilmiah oleh sarjana Islam aktif dalam bidang ilmu naqli dan ilmu aqli.

2. Perkembangan ilmu naqli

a. Ilmu Fiqh (Hukum Islam)

i. Perkembangan kajian hukum Islam lebih berpandukan kepada kesempurnaan ajarannya, atau pengajaran di sebalik hukum-hukum tersebut.

ii. Kajian hukum tidak lagi terikat atau ketetapan pada sah ataupun tidak hukumnya namun termasuk juga di dalamnya ialah cara dan teori hukum.

iii. Teori pengambilan hukum Islam yang telah ditetapkan pada masa sebelumnya lebih mantap dan kajian hukum hanya bersifat antisipasi.

iv. Spesifikasi kajian hukum Islam akibat banyaknya hukum sehingga kajian hukum bersifat pengelompokan tema menjadi asas kajian hukum.

v. Tidak ada lagi perdebatan yang tajam kerana sikap dragmatik tetapi lebih kepada intipati dan cabang hukum.

b. Kajian al-Quran dan al-Hadis

i. Kajian teks al-Quran melahirkan tafsir bil Ma’tsur dan kajian kontekstual al-Quran pula melahirkan tafsir Birra’yi.

ii. Tafsir Birra’yi terdiri daripada tafsir Maudhu’i (tematik), tafsir Adaby (sastera), tafsir nuzuli (asal-usul ayat al-Quran) dan tafsir ilmi (saintifik).

iii. Kajian hadis pula tertumpu kepada ideal moral atau makna ketetapan daripada Rasulullah SAW disamping kajian riwayat dan dirayahnya (ilmu hadis).

iv. Antara tokoh yang berpengaruh ialah Zamakhsyari seorang daripada imam dalam bidang ilmu bahasa, ma’ami, dan bayan.

v. Zamakhsyari mentakwilkan ayat-ayat al-Quran sesuai dengan mazhab Hanafi dan fahaman Mu’tazilah yang dianutinya.

c. Ilmu kalam

i. Pemikiran teologi (ketuhanan) berkembang dengan pesat pada zaman Bani Abbasiyah meliputi sistem dan metodologi kajian berkaitan objek ilmu kalam.

ii. Pada awalnya, objek ilmu kalam hanya berkisar tentang hukum teologi bagi pelaku Majlis Tahkim dan bersifat dragmatik sehingga dikenali sebagai ilmu tauhid.

iii. Ilmu tauhid telah berubah namanya menjadi ilmu kalam dan para pelakunya disebut dengan “Mutakallimin”.

iv. Tema dan pokok kajian yang banyak menjadi wacana perbincangan antara intelektual adalah tentang kalam Allah SWT.

v. Ilmu kalam telah digunakan sebagai antitesis merebaknya falsafah kerana falsafah Islam itu ialah ilmu kalam kerana kajian yang hampir sama.

d. Ilmu tasawwuf

i. Menyumbang kepada istilah tasawwuf seperti zuhud, mahabbah, makrifah, dan al-ittihad (penyatuan).

ii. Mengalami pencemaran dengan kemasukan pengaruh asing seperti fahaman pantheisme.

iii. Suasana ini diselamatkan dengan kemunculan Imam al Ghazali yang mengemukakan falsafah Islam.

iv. Falsafah Islam mempunyai akhlak dan menentang teori pencantuman dan resapan (Karya Ihya Ulumuddin).

e. Syariah

i. Walaupun terdapat beberapa pruntukan undang-undang yang jelas di dalam al-Quran dan al-Sunnah namun banyak yang perlu diinterpretasi.

ii. Syariah seperti hukum qisas, hudud, pewarisan dan sebagainya perlu dijelaskan supaya tidak salah.

iii. Dari segi sejarahnya, ijtihad memang telah digunakan oleh umat Islam sejak daripada zaman Rasulullah SAW lagi.

iv. Contohnya peranan Imam Nawawi yang mengembangkan lagi ilmu mazhab Shafie di Syria dan Ibn Taimiya menulis majmuk Fatawa.

3. Perkembangan ilmu aqli

a. Falsafah

i. Bidang falsafah ialah induk kepada ilmu pengetahuan kerana daripada ilmu ini, berkembanglah ilmu-ilmu lain yang sangat diperlukan manusia.

ii. Oleh sebab adanya falsafah, maka ilmu-ilmu tersebut mempunyai nilai radikalisme, berhikmah, dan bukan hanya pada luarannya sahaja.

iii. Perkara asas ilmu aqli adalah kebenaran daripada hasil pemikiran yang terletak pada ilmu, falsafah dan agama.

iv. Pakar ilmuan Islam telah merungkai dan cuba memahami bidang falsafah ini seperti Imam al-Ghazali.

v. Ada juga yang menguasai falsafah dan ilmu-ilmu umum seperti Ibn Sina (kedoktoran) dan al-Khawarizmi (matematik).

b. Seni Sastera

i. Pada masa pemerintahan kerajaan Abbasiyah, lahir pujangga dan penyair yang terkenal dan berpengaruh seperti Farid al-Din al-‘Aththar dan Omar Khayyam.

ii. Farid al-Din al-‘Aththar adalah salah satu penyair sufi terbesar dengan karyanya Manthiq al-Thayr dan Tadzkirah al-Awilyn.

iii. Beliau juga menguasai bidang falsafah, ilmu kalam, dan ilmu agama lainnya dan semua karyanya adalah berbentuk syair kecuali Tadzkirah al-Awilyn.

iv. Omar Khayyam terkenal dalam bidang matematik, astronomi, falsafah, dan perubatan juga seorang penyair yang hebat.

v. Beliau pernah menjadi terkenal di dunia Barat sejak 1839 apabila Edward Fitzgerald menterjemahkan bukunya iaitu Rubaiyat ke bahasa Inggeris.

 c. Kedoktoran

i. Ilmu kedoktoran adalah satu daripada ilmu yang paling menonjol dalam kalangan umat Islam Abbasiyah yang dibawa dari Yunani pada 536 Masihi.

ii. Doktor pertama dalam dunia Islam ialah Jabir Ibn Hayyan (778 Masihi) yang menghasilkan 500 buku kedoktoran meliputi bidang kimia, biologi dan fizik.

iii. Bukunya masih digunakan dan menjadi rujukan kedoktoran pada masa kini seperti Kitab al-Kimya (1144 Masihi) dan Book of Seventy (1187 Masihi).

iv. Perkembangan ilmu kedoktoran terbahagi menjadi tiga peringkat, iaitu pada zaman permulaan, kemajuan dan kemunduran kerajaan Abbasiyah.

v. Lahir tokoh-tokoh terkenal dalam perubatan antaranya Ikhwan as-Safa, Al-Hazen (Ibn al-Haytham) dan Ibn SIna (Avicenna).

d. Astronomi

i. Nasiruddin Ath Thusi (1274 Masihi) dikenali sebagai ahli astronomi dengan bakat yang luar biasa.

ii. Beliau menulis 14 buah buku astronomi, 14 buku matematik, serta bidang lain seperti biologi, kimia, matematik, falsafah, kedoktoran hingga keagamaan.

iii. Antara karya beliau dalam bidang aastronomi ialah Al-Mutawassihat Bain Al-Handasa wal Hai’a, Ikhananian Table (planet) dan At-Tazkira fi al-Ilmal-hai’a.

iv. Selain itu, Mukhtasar fial-ilm At-Tanjim wa Ma’rifat At-Taqwin (ringkasan astrologi dan takwim) dan Kitab Al-Bari fi Ulum At-Taqwim wa Harakat Al-Afak wa Ahkam An-Nujum (almanak, bintang dan astrologi kehakiman).

v. Abu Wafa’ juga merupakan seorang pakar yang mencipta trigonometri, ruang sudut, dan ruang penuh serta dasar perhitungan yang lain.

e. Matematik

i. Tokoh yang terkenal dalam bidang matematik pada zaman Abbasiyah ialah Omar Khayyam terutamanya dalam bidang algebra.

ii. Beliau pernah membuat percubaan persamaan algebra termasuk persamaan darjah ketiga dan menyelesaikan beberapa masalah algebra.

iii. Bukunya, Mazalat fi al-Jabir wa al-Muqabila ialah karya agungnya dalam bidang algebra dan sangat penting dalam perkembangan algebra.

iv. Omar Khayyam telah mengenal pasti 13 jenis bentuk persamaan kiub dan menggunakan kaedah penyelesaian persamaan bersifat geometrikal.

v. Dalam bidang geometri pula, beliau banyak membuat kajian-kajian yang menjurus kepada pembentukan teori garisan selari.

 

 


D. Baitul Hikmah

1. Baitul hikmah

a. Baitul Hikmah atau dikenali sebagai Khlzanatul Hikmah dan Darul Hikmah merupakan gedung ilmu pengetahun atau perpusatakaan agung Abbasiyah.

b. Diasaskan oleh Khalifah Harun al-Rasyid pada 815 Masihi dan mencapai kegemilangan pada zaman khalifah al-Makmun.

c. Baitul Hikmah menjadi tumpuan para sarjana untuk menjalankan kegiatan berkaitan akademik sama ada ilmu naqli atau aqli.

d. Beberapa tokoh saintis termasuklah al-Khawarizmi dan Hunayn bin Ishaq pernah berkhidmat di perpustakaan.

e. Sebagai sebuah institusi ilmu terpenting, Baitul Hikmah memainkan pelbagai peranan dalam perkembangan ilmu naqli dan ilmu aqli pada zaman Abbasiyah.

2. Peranan sebagai perpustakaan

a. Memainkan peranan sebagai sebuah perpustakaan awam yang menjadi tempat rujukan sarjana Islam dan bukan Islam.

b. Mereka mencari ilmu-ilmu yang dicetuskan oleh tamadun Islam atau ilmu-ilmu asing yang terdapat dalam bentuk karya atau buku dengan jumlah yang banyak.

c. Bangunan Baitul Hikmah dilengkapi dengan bilik-bilik yang boleh digunakan untuk pelbagai jenis tujuan seperti membaca, berbincang, muzik dan istirehat.

d. Mempunyai sistem pentadbiran yang cekap iaitu membahagikan buku-buku mengikut aliran bahasa seperti Arab, Parsi, Yunani, Latin. Hindi dan sebagainya.

e. Pegawai perpustakaan bertanggungjawab menyusun katalog buku yang telah siap dijilid, penggunaan, peminjaman dan pemulangan.

3. Pusat penulisan buku-buku ilmiah

a. Semua cabang ilmu pengetahuan asing seperti perubatan, falsafah, logik, matematik, bahan galian dan iimu Islam dibukukan di Baitul Hikmah.

b. Khalifah al-Makmun membayar karya asli para sarjana dengan emas yang sama berat dengan buku yang dihasilkan.

c. Ini telah menarik ramai pelajar dalam bidang keilmuan berkumpul di Baitul Hikmah selain disediakan kediaman yang selesa.

d. Hampir 300 cabang ilmu berjaya dikaryakan seperti al-Battani yang menjurus kepada ilmu hisab dan Jabir ibn Hayyah al-Fazi menghasilkan ilmu sains.

e. Khalifah al-Makmun telah mengumpul para sarjana di Baitul Hikmah untuk melakar peta dunia yang dinamakan Surah Makmuniyyah.

4. Pusat penterjemahan

a. Kerajaan Abbasiyah telah memberi galakan untuk menterjemahkan buku dengan menawarkan upah yang tinggi.

b. Baitul Hikmah mengandungi pelbagai jenis buku yang ditulis dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Yunani, Paris, Latin dan Qibti.

c. Pada zaman Khalifah al-Makmun, buku-buku asing dan manuskrip dibawa dari Cyprus sebagaimana yang diminta daripada raja Cyprus.

d. Yahya bin Batriq telah menterjemahkan karya Galen dan Hippocrates dan Thabit bin Qarrah telah menterjemahkan karya Yunani tentang astronomi dan geometri.

e. Proses penterjemahan di Baitul Hikmah dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu pegawai, pembantu-pembantu dan kakitangan awam.

5. Pusat penyelidikan ilmiah

a. Baitul Hikmah merupakan pusat kajian dan penyelidikan yang lengkap dengan segala kemudahan.

b. Khalifah Harun al-rasyid dan al-Makmun memberi sokongan moral dan material dengan menyediakan peruntukan khas untuk penyelidik dan penemuan baharu.

c. Muhammad al-Khawarizmi sewaktu mengetuai Biro Penyelidikan Astronomi di Baitul Hikmah telah berjaya menemui beberapa teori matematik.

d. Penyelidikan mengenai al-Quran dan al-Hadith menjadi tumpuan kerana telah membantu para doktor Islam untuk mengkaji proses kejadian manusia.

e. Kejayaan tokoh-tokoh penyelidik Islam ini membuktikan Baitul Hikmah yang berperanan menyemarakkan kegiatan intelektual.

6. Institusi pengajian tinggi

a. Baitul Hikmah dianggap sebagai sebuah institusi pertama pernah ditubuhkan dalam dunia Islam yang berbeza dengan pendidikan tradisional pada masa itu.

b. Baitul Hikmah lebih merupakan institusi pendidikan formal seperti yang terdapat dalam dunia moden kini kerana diketuai oleh seorang pengetua.

c. Hasrat Khalifah al-Makmun memajukan umat Islam dalam sains dan teknologi berjaya apabila pengambilan pelajar semasa Hunayn bin Ishaq sebagai pengetua.

d. Kumpulan pertama yang mendaftar mengikuti kursus-kursus di Baitul Hikmah adalah seramai 50 orang yang mempunyai asas  perubatan tradisional.

e. Mereka ini cekap dalam penyelidikan dan eksperimen terhadap sistem perubatan Greek  dan perubatan tradisional Arab.


SOALAN LATIHAN ESEI

1.Huraikan perkembangan ilmu naqli pada zaman Khalifah Abbasiyah dari abad ke-11 Masihi hingga abad ke-13 Masihi.(STPM2017)

2.Baitul Hikmah memainkan peranan penting dalam perkembangan ilmu naqli dan aqli pada zaman kerajaan Abbasiyah. Bincangkan.(STPM2018)

3.Bincangkan perkembangan ilmu aqli pada zaman Khalifah Abbasiyah dari abad ke-11 Masihi hingga abad ke-13 Masihi.(STPM2020)

4.Bincangkan peranan Baghdad sebagai pusat perkembangan ilmu pada zaman Khalifah Abbasiyah dari abad ke-11 Masihi hingga abad ke-13 Masihi.(USTPM2020)

5.Terdapat pelbagai institusi pendidikan di zaman kemajuan Khalifah Abbasiyah pada abad ke-11 Masihi hingga ke-13 Masihi. Bincangkan.


No comments:

Post a Comment