Wednesday 16 May 2018

FAKTOR-FAKTOR KEMUNCULAN GERAKAN NASIONALISME DI MESIR PADA ABAD KE-20


PENGENALAN

Mesir pada awal abad ke-20 adalah di bawah naungan empayar Turki Uthmaniyah tetapi pengaruh British di Mesir amat kuat. British telah mengukuhkan kuasa selepas mengatasi pemberontakan Urabi pada tahun 1881. British terus memerintah sehingga Perang Dunia Pertama. Pentadbiran asas di bawah pimpinan pemerintah Mesir, iaitu Khedif dikekalkan namun pemerintahan sebenarnya adalah di bawah Lord Cromer. Semangat anti-British memuncak selepas Perang Dunia Pertama. Gerakan nasionalisme mula berputik dalam kalangan bangsa Arab dan masyarakat Mesir khususnya apabila tercetusnya Gerakan Islah yang dipelopori oleh Sayyid Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh sejak tahun 1850. Selain itu, terdapat juga faktor lainj yang mendorong gerakan nasionalisme dalam kalangan penduduk Mesir menjelang abad ke-20.


FAKTOR AGAMA

Pertama sekali, pengaruh agama di Mesir menyebabkan munculnya golongan reformis yang menentang pihak British. Penguasaan British ke atas Mesir telah memperkenalkan cara pentadbiran dan budaya Barat di negara itu. Demi menjaga kedudukan Islam yang semakin terancam, satu gerakan Islam dinamakan Ikhwanul Muslimin telah diasaskan oleh rakyat Mesir sendiri iaitu Sheikh Hasan al-Banna. Gerakan ini berperanan menyedarkan umat Islam di Mesir kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan mengecam penjajahan British yang kejam. Gerakan ini menegakkan Islam berdasarkan ajaran al-Quran dan hadis. Gerakan ini menggunakan pengaruh Islam untuk mewujudkan kesedaran dan jihad. Gerakan ini juga merasa bimbang dengan golongan cerdik pandai Mesir yang terpengaruh dengan pendidikan Barat. Oleh itu, pengaruh agama dapat mengembalikan kesedaran umat Islam Mesir untuk menentang penjajah British.



FAKTOR BAHASA DAN SASTERA

Seterusnya, perkembangan bahasa dan sastera Arab telah menyemarakkan lagi semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat Mesir. Ahmad Shawqi, seorang penyair neoklasik Arab telah menulis sebuah sajak yang menceritakan tentang Boutros Ghali, seorang Arab berbangsa Qibti dan merupakan hakim yang enggan mendesak parlimen Mesir untuk memberikan konsesi Terusan Suez yang lebih kepada pihak British dibunuh selepas menandatangani perjanjian bersama Sudan. Kematian beliau diabadikan dalam sajak-sajak yang diterbitkan dalam al-Muayyaddan al-Liwa seterusnya menyemarakkan semangat nasionalisme Mesir. Hafiz Ibrahim pula banyak menggunakan pentas puisi untuk meniup semangat antikolonialisme dalam kalangan penduduk tempatan. Golongan modenis Islam seperti Rasyid Rida memperjuangkan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran menggantikan bahasa Inggeris.






FAKTOR KEWARTAWANAN

Bidang kewartawanan turut memainkan peranannya dalam menimbulkan kesedaran. Surat khabar digunakan oleh sesetengah pihak untuk perjuangan mereka. Rasyid Rida, orang kanan Muhammad Abduh menimbulkan kesedaran melalui akhbar Salafiya. Akhbar Salafiya yang banyak menyentuh soal modenisasi Islam dalam masyarakat. Beliau sentiasa mengkritik dan menyalahkan penjajah atas nasib malang masyarakat Arab. Penulis wanita seperti Malak Hifni Nasif pula tidak ketinggalan dalam memperjuangkan hak mereka terutama dalam isu pendidikan. Beliau menggunakan nama pena Bahithat al-Badiya turut memperjuangkan peranan wanita secara terbuka melalui penulisannya yang diterima oleh golongan intelektual Mesir.



FAKTOR PENDIDIKAN

Pendidikan juga berjaya menjadi faktor kemunculan gerakan nasionalisme di Mesir. British telah mengubah kurikulum pelajaran sedia ada agar dapat melahirkan pegawai yang dapat berkhidmat kepada kerajaan kolonial dan bersikap tidak adil dalam memberikan peluang pendidikan melalui Sistem Dunlop. British mengamalkan diskriminasi dengan memberikan jawatan kerajaan kepada orang British walaupun tidak berkelayakan dan golongan kaya. Isu ini telah menimbulkan sentimen anti-British. Pada tahun 1907, Saad Zaghlul telah menjadi Menteri Pendidikan Mesir. Beliau telah menggalakkan penggunaan bahasa Arab dalam pendidikan. Graduan pula telah disuntik dengan semangat anti-British oleh guru-guru dan pensyarah mereka semasa menuntut di Perancis.



FAKTOR GOLONGAN INTELEKTUAL

Golongan intelektual merupakan pemangkin dalam kebangkitan gerakan nasionalisme di Mesir. Mereka mendapat pengalaman dan ilmu dari luar dan terdiri daripada dua golongan iaitu golongan ulama dan golongan pendidikan Barat. Walaupun aliran pendidikan mereka berbeza tetapi perjuangan mereka mempunyai matlamat yang hampir sama iaitu memerdekakan Mesir. Antara golongan ulama adalah seperti Shaikh Hassan al-Banna yang menubuhkan Ikhwanul Muslimin untuk menentang British. Golongan intelektual ingin membebaskan Mesir daripada cengkaman British untuk menubuhkan sebuah kerajaan Islam. Antara tokoh dari golongan pendidikan Barat adalah seorang dari sekolah undang-undang seperti Mustafa Kamil Pasha menyokong nasionalisme sekular dan cuba meraihkan sokongan daripada keturunan Qibti. Beliau bercita-cita untuk menubuhkan sebuah kerajaan berparlimen ala-Barat.



KESIMPULAN

Kesimpulannya, terdapat banyak yang memangkin kemunculan gerakan nasionalisme di Mesir, namun tanpa seorang warganegara yang berjiwa patriotik dan sayangkan negara, tidak akan muncul gerakan-gerakan tersebut. Kesan penentangan berterusan oleh nasionalis Mesir mendorong British untuk mengisytiharkan kemerdekaan Mesir pada tahun 1992. Ahmad Fuad menggunakan gelaran sultan, iaitu Raja Fuad. Selepas pilihan raya, Saad Zaghlul dilantik sebagai Perdana Menteri Mesir yang pertama.



17 Mei 2018