Sunday 31 March 2019

SEJARAH STPM: SENI BINA ISLAM ANDALUS

Andalucia (Spain) under Umayyad Caliphate

Abad ke-13 Masihi, menyaksikan kemunculan kerajaan Nasriyyah atau Bani al-Ahmar sebagai kerajaan Islam yang terakhir muncul di Andalus. Kerajaan Nasriyyah ini diasaskan oleh Muhammad bin Yusuf bin Nasr yang lebih dikenali sebagai Ibn al-Ahmar. Kerajaan Nasriyyah ini telah menyumbangkan keindahan seni bina Islam di Andalus pada abad ke-13 yang menggambarkan kegemilangan tamadun Islam.

Alhambra Palace in Granada Andalucia, Spain

Keindahan seni bina Islam di Andalus dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kesenian di Granada dan kesenian luar Granada atau Mudejar. Kesenian seni bina Granada dihasilkan oleh seniman Islam dan melambangkan reka bentuk Islam seperti Istana Alhambra. Manakala kesenian seni bina luar Granada atau Mudejar pula dilahirkan bersama oleh orang Islam dan bukan Islam pada abad ke-13 dan abad ke-14 Masihi. Misalnya Alcazar di Seville dan Gereja Toledo.


Nazari Tower in Sierra Nevada

Keindahan seni bina Islam juga dapat dilihat dengan pembinaan menara. Terdapat dua buah menara yang tinggi dan berkilau yang dibina di atas Banjaran Sierra Nevada. Kepentingan binaan menara ini ialah dapat melihat keindahan kota Granada dengan taman-taman bunga dan pohon buah-buahan yang subur menghijau. Selain itu, menara juga digunakan untuk memantau kawasan istana atau sempadan bagi tujuan keselamatan.

Inside Alhambra Palace

Selain itu, keindahan seni bina di Andalus juga memperlihatkan pembinaan ruang khas dalam bangunan. Setiap bangunan yang didirikan terdapat ruangan khas dan mempunyai fungsi yang tersendiri. Contohnya, binaan Istana Alhambra yang mengandungi beberapa buah bilik dengan berukuran sederhana, dua buah dewan besar serta mempunyai halaman yang dihiasi dengan kolam air pancut dan taman. Istana Alhambra juga mempunyai ruangan untuk duta, ruang persalinan permaisuri dan ruangan persiraman diraja yang menjanjikan kelebihan dan keterasingan yang tersendiri daripada segi keindahannya.

Inside The Mezquita Mosque

Keindahan bangunan-bangunan di Andalus juga diperlihatkan dengan tulisan kaligrafi yang mengandungi ayat-ayat al-Quran, puji-pujian, dan gelaran pemerintah. Contohnya, Masjid al-Mulk yang didirikan oleh Sultan Muhammad II. Di atas pintu masuk masjid ini tertera sepotong tulisan Arab, Azza Maulana al-Sultan Abdillah dan di bawah perkataan tersebut terdapat sebuah syair yang menyentuh agama Islam. Pada bahagian mihrab masjid pula terdapat hiasan yang diperbuat daripada emas dengan bertatahkan permata zamrud dan yaqut. Permukaan dinding masjid berkenaan pula dipenuhi dengan hiasan ukiran yang berselang-seli dengan ayat-ayat yang menggunakan tulisan Arab seperti al-Mulku li’lLah.


Kesimpulannya, pembinaan seni bina di Andalus memperlihatkan keindahan gabungan ilmu Islam dan memperlihatkan kegemilangan tamadun Islam. Keindahan ini masih dapat dilihat hingga ke hari ini dan sukar ditandingi.