Tuesday 23 March 2021

ANALISA DAN SPOT SOALAN SEJARAH SEMESTER 3 STPM 2020 TEMA 4


 


SOALAN SPOT

Bahagian A

1. Bincangkan sistem persekutuan yang diamalkan di Malaysia selepas 1957.

2. Jelaskan sistem raja berperlembagaan yang dilaksanakan di Malaysia selepas merdeka.

3. Bincangkan sistem demokrasi berparlimen yang digunakan dalam pemerintahan di Malaysia.

4. Huraikan pelaksanaan bahasa kebangsaan sebagai salah satu komponen penting dalam pembentukan masyarakat Malaysia.

5. Bincangkan pelaksanaan dan kepentingan rukun negara di Malaysia.

6. Bincangkan strategi pelaksanaan Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970).

7. Huraikan strategi pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

8. Bincangkan pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional.

9. Bincangkan Dasar Pembangunan Ekonomi yang dilaksanakan di Malaysia.

10. Bincangkan sumbangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

11. Huraikan komponen-kompenen di dalam Wawasan 2020.

12. Bincangkan peranan Malaysia di dalam Komanwel.

13. Bincangkan sumbangan Malaysia di dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

14. Jelaskan peranan Malaysia di dalam Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).


Bahagian B

1. Bincangkan dasar-dasar ekonomi Filipina.

2. Huraikan peranan Marcos dalam pemerintahan di Filipina.

3. Bincangkan sumbangan Aquino dalam pemerintahan di Filipina.

4. Bincangkan perhubungan luar Filipina.

5. Bincangkan dasar luar Thailand.

6. Jelaskan sistem pemerintahan di Thailand.

7. Bincagkan sistem pemerintahan di Filipina

8. Jelaskan peranan Phibun Songkram di Thailand.


* Peruntukkan soalan bagi Bahagian A dan B masing-masing 1 soalan.

* Semoga berjaya kepada semua calon STPM 2020. 


@juhaimimajid

Sunday 21 March 2021

ANALISA DAN SPOT SOALAN SEJARAH SEMESTER 3 STPM 2020 TEMA 3

 





SOALAN SPOT

Bahagian A

1. Bincangkan faktor-faktor kemunculan nasionalisme di Tanah Melayu.

2. Bincangkan peranan gerakan Islah dalam kemunculan nasionalisme di Tanah Melayu.

3. Huraikan faktor-faktor penentangan terhadap Malayan Union.

4. Jelaskan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948.

5. Jelaskan pembentukan perlembagaan di Sabah dan Sarawak.

6. Huraikan strategi kerajaan British di Tanah Melayu dalam menangani ancaman Parti Komunis Malaya.

7. Bincangkan perisitiwa kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

8. Bincangkan reaksi luaran pembentukan Malaysia.

Bahagian B

1. Bincangkan kemunculan semangat nasionalisme di Myanmar.

2. Jelaskan peranan Sarekat Islam di Indonesia.

3. Huraikan peranan Partai Nasional Indonesia dalam menyemarakkan semangat nasionalisme dan kemerdekaan di Indonesia.

4. Bincangkan peranan Poor Man's Party di Myanmar.

5. Bincangkan dasar dan kesan pendudukan Jepun di Mynamar.

6. Bincangkan perjuangan berperlembagaan dan bersenjata di Myanmar.

7. Bincangkan perjuangan berpembagaan dan bersenjata di Indonesia.

8. Bincangkan peristiwa kemerdekaan Indonesia.


* Peruntukkan soalan untuk Tema 3 bagi bahagian A dan B masing-masing adalah 0 atau 1 soalan.

@juhaimimajid


Wednesday 17 March 2021

ANALISA DAN SPOT SOALAN SEJARAH SEMESTER 3 STPM 2020 TEMA 2

 



SOALAN SPOT

Bahagian A

1. Bincangkan faktor peluasan kuasa asing di Tanah Melayu

2. Bincangkan cara peluasan kuasa asing di Sabah

3. Bincangkan cara peluasan kuasa asing di Sarawak.

4. Bincangkan penentangan kuasa asing di Sabah.

5. Bincangkan perubahan ekonomi yang dilakukan oleh British ketika menduduki Tanah Melayu.

6. Bincangkan faktor migrasi masyarakat Indonesia, Cina dan India ke Tanah Melayu.

7. Bincangkan faktor-faktor yang mendorong pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu pada awal abad ke-20 Masihi.

8. Bincangkan sistem pendidikan yang dilaksanakan di Tanah Melayu pada era pemerintahan British.

9. Bincangkan cara peluasan kuasa British di Tanah Melayu.

10. Bincangkan perubahan sistem pentadbiran di Tanah Melayu semasa pemerintahan British.

 

Bahagian B

1. Bincangkan peluasan kuasa Belanda di Indonesia.

2. Huraikan peranan Diponegoro dalam penentangan terhadap Belanda di Indoensia.

3. Bincangkan perubahan pentadbiran di Indoensia semasa pemerintahan Belanda.

4. Bincangkan perubahan pentadbiran di Myanmar semasa era pemerintahan British.

5. Bincangkan perubahan yang berlaku dalam kegiatan ekonomi di Myanmar selepas penguasaan British pada akhir abad ke-19.

6. Bincangkan perubahan sistem pendidikan di Myanmar semasa pemerintahan British.

7. Bincangkan peranan Thibaw dalam penentangan terhadap British di Myanmar.

8. Bincangkan perubahan sistem pendidikan di Indonesia semasa pemerintahan Belanda.


* Peruntukan soalan untuk Tema 2 bagi bahagian A dan B masing-masing adalah 1 atau 0 soalan.



@juhaimimajid

Tuesday 16 March 2021

ANALISA DAN SPOT SOALAN SEJARAH SEMESTER 3 STPM 2020 TEMA 1

 





SOALAN SPOT

Bahagian A

1.       Terangkan bentuk dan pelaksanaan adat Perpatih dan adat Temenggung di Tanah Melayu.

2.       Bincangkan undang-undang 99 Perak.

3.       Terangkan peranan raja dalam masyarakat di Tanah Melayu.

4.       Bincangkan ekonomi tradisional yang dijalankan oleh masyarakat Melayu sebelum kedatangan British.

5.       Huraikan ekonomi komersial yang dijalankan oleh masyarakat Melayu sebelum kedatangan British.

6.       Bincangkan susun lapis masyarakat Melayu sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu.

Bahagian B

1.       Bincangkan kegiatan ekonomi tradisional yang dijalankan di Vietnam sebelum kedatangan Perancis.

2.       Huraikan peranan raja dalam sistem pemerintahan di Thailand pada abad ke-19 Masihi.

3.       Jelaskan susun lapis masyarakat Vietnam sebelum kedatangan Perancis.

4.       Bincangkan sistem pembesar yang dilaksanakan di Thailand.

5.       Jelaskan susun lapis masyarakat Indonesia di Pulau Jawa sebelum kedatangan Belanda.

6.       Bincangkan kegiatan ekonomi komersial yang dijalankan oleh masyarakat Vietnam sebelum kedatangan Perancis.


*Peruntukkan soalan untuk Tema 1 bagi Bahagian A dan B masing-masing adalah 1 soalan.

Sunday 7 March 2021

SKEMA JAWAPAN SOALAN 6 CONTOH TRIAL SEJARAH SEMESTER 3 STPM 2020

 


6. Bincangkan usaha dan perkembangan ekonomi yang dilaksanakan di Filipna pada tahun 1953 hingga 1992.

Pada akhir abad ke-19, pemerintahan Filipina diambil alih oleh Amerika Syarikat selepas berjaya mengusir Sepanyol bermula pada tahun 1901. Sistem ekonomi Filipina berkembang pesat sepanjang pemerintahan Amerika Syarikat melalui amalan dasar ekonomi bebas atau laissez-faire dan sistem kerajaan berbentuk republik demokrasi. Sebahagian besar daripada kegiatan perdagangan dijalankan dengan Amerika Syarikat dan import Filipina adalah dari Amerika Syarikat yang menunjukkan kebergantungan Filipina terhadap Amerika Syarikat. Kerajaan Filipina di bawah Amerika Syarikat diketuai oleh seorang presiden. Presiden-presiden Filipina sepanjang tempoh tahun 1953 hingga 1992 telah mengambil beberapa langkah untuk membangunkan ekonomi di Filipina.

Presiden Ramon Magsaysay yang memerintah pada tahun 1953 hingga tahun 1957 telah memberi perhatian khusus kepada masalah ekonomi di Filipina. Beliau telah meluluskan Akta Republik 997 bagi meningkatkan kuasa eksekutifnya dan memulakan Rancangan Lima Tahun untuk membangunkan ekonomi negara. Rancangan Lima Tahun yang dimulakan telah menjana 1.7 juta pekerjaan kepada rakyat Filipina seterusnya mengurangkan kadar pengangguran. Beliau telah mengambil langkah dengan mengatasi masalah ekonomi dan melindungi kebajikan rakyat, mewujudkan National Resettlement and Rehabilation Administration, membentuk Suruhanjaya Penyewa Pertanian, melindungi dan mempelbagaikan industri tempatan, memperkenalkan Sistem Margrate dan Sistem Masagana untuk meningkatkan pengeluaran padi dan menubuhkan Presidential Assistant for Community Development (PACD) untuk membantu masyarakat petani luar bandar.

Carlos Garcia mengambil alih jawatan presiden Filipina dari tahun 1957 hingga tahun 1961. Beliau telah meneruskan dasar ekonomi yang dilaksanakan sebelum ini oleh Presiden Magsaysay. Beliau berusaha melindungi kepentingan rakyat dengan mengutarakan slogan ‘Utamakan Bangsa Filipina’, mengutamakan ekonomi laissez-faire atau pasaran bebas dan mengelakkan penguasaan ekonomi oleh Amerika Syarikat. Beliau telah berjaya menjadikan Filipina sebagai pengeluar kelapa kering dan gula yang utama di dunia pada tahun 1961.

Diosdado Pangan Macapagal menjadi presiden Filipina pada tahun 1961 hingga tahun 1965 dan menghadapi cabaran besar dalam pemerintahannya akibat inflasi, pembahagian tanah dan desakan tuntutan ke atas Sabah. Namun, beliau telah menjalankan beberapa usaha pemulihan ekonomi seperti meningkatkan pengeluaran makanan. Selain itu, beliau juga telah menghapuskan kawalan pertukaran asing, mengawal keuntungan keluar dan memperkenalkan kawalan harga. Beliau turut menekankan sektor pertanian seperti kelapa kering, tanaman tebu, abaka dan nanas sebagai hasil eksport. Beliau turut memajukan bidang perindustrian seperti industri ringan, pembungkusan, dan pemasangan. Dalam masa yang sama, industri besi keluli juga dimajukan. Lembaga Kelapa Filipina ditubuhkan bagi mengasingkan industri gula dan kelapa berikutan kedua-duanya menjadi penyumbang utama dalam hasil eksport Filipina.

Pada 30 Disember 1965, Ferdinand Marcos dilantik sebagai presiden Filipina yang baru. Beliau telah membangunkan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan dan kemudahan awam. Beliau juga telah meluluskan Akta Galakan Pelaburan 1967 bagi menggalakkan kemasukan modal pelabur asing. Akta ini merupakan satu cara yang lebih berkesan untuk membasmi kemiskinan di Filipina. Beliau juga telah meletakkan perancangan ekonomi di bawah tanggungjawab Lembaga Pembangunan dan Ekonomi Negara pada tahun 1973. Langkah ini telah membantu mengagihkan pendapatan rakyat secara adil dan merangsang pembangunan ekonomi di samping menstabilkan sistem kewangan negara.

Corazon Aquino merupakan presiden Filipina dari tahun 1986 hingga 1992. Beliau telah meneruskan Rancangan Pembangunan  bagi menghapuskan kemiskinan dalam kalangan rakyat luar bandar dan mengurangkan pengangguran. Beliau juga menggalakan penyertaan pihak swasta dalam pelbagai bidang seterusnya meningkatkan peluang pekerjaan. Beliau turut memperuntukkan bajet kepada sektor awam dalam bentuk pinjaman, subsidi dan sebagainya. Langkah seterusnya ialah mengawal pergerakan mata wang dengan menentukan tanggungjawab Bank Negara bertujuan menarik kemasukan pelabur asing dan mengatasi defisit kewangan negara. Beliau telah menghapuskan amalan rasuah dan penyelewengan serta pinjaman lapuk daripada rejim pemerintahan Presiden Marcos dahulu.

Kesimpulannya, presiden-presiden Filipina dari tahun 1953 hingga 1992 telah berusaha melaksanakan pelbagai dasar pembangunan ekonomi bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi di Filipina. Pertumbuhan ekonomi yang dinikmati Filipina sepanjang tempoh tahun tersebut telah meningkatkan taraf hidup masyarakatnya dan pertambahan kemudahan sosial di Filipina.

 @juhaimimajid


Thursday 4 March 2021

SKEMA JAWAPAN SOALAN 5 CONTOH TRIAL SEJARAH SEMESTER 3 STPM 2020

 


5. Bincangkan perubahan yang berlaku dalam kegiatan ekonomi di Myanmar selepas penguasaan British pada akhir abad ke-19.

Masyarakat peribumi di Myanmar menjalankan ekonomi tradisional berasaskan tanaman seperti beras, sekoi, minyak sayuran, garam, sutera dan sebagainya. Pemerintahan beraja di Myanmar mengekalkan ekonomi sara diri dalam kalangan rakyatnya dan ekonomi komersial dikuasai oleh golongan beraja dan pembesar. Apabila British menjadikan Myanmar sebagai negara jajahannya, Myanmar telah dijadikan sebagai pusat bagi mengaut keuntungan. Oleh itu, dalam memantapkan sistem ekonominya di Myanmar, British telah memperkenalkan pengamalan ekonomi laissez-faire yang telah membawa perkembangan ekonomi dalam bidang pertanian, perusahaan, dan perlombongan.

Dalam bidang pertanian, padi telah muncul sebagai tanaman dagangan yang utama. British telah menggalakkan petani Myanmar untuk membuka lebih banyak kawasan tanah pertanian bagi menanam padi terutama sekali di kawasan yang subur iaitu di Myanmar Hilir bagi menampung keperluan eksport. Buktinya, berlaku pertambahan kawasan penanaman padi untuk tujuan komersial berlaku apabila British menjajah Myanmar. Pada tahun 1885, British mendapat satu juta ekar tanah sawah padi di Myanmar Hilir. Pada tahun 1873 pula satu juta ekar ditambah lagi dan selepas itu jumlah tanah yang ditanam dengan padi bertambah seluas satu juta ekar tiap-tiap tujuh tahun hingga dalam tahun 1930 telah meningkat kepada 10 juta ekar.

Pertambahan tanah ini pula disertai dengan sistem pengairan yang baik serta kepentingan Delta Irrawaddy dan dataran lanar yang lembab dan subur telah meningkatkan penanaman padi di Myanmar. Selain itu, penggunaan tenaga buruh yang mencukupi, kepesatan pelabuhan Rangoon sebagai pengeksport padi dan pembukaan Terusan Suez pada tahun 1869. Kesannya, Rangoon menjadi pelabuhan terpenting dalam kegiatan mengeksport beras. India telah menjadi pengimport terbesar beras dari Myanmar dan lebih daripada 3 juta tan beras telah dieksport ke India menjelang akhir abad ke-19. Selain itu, Myanmar juga mengeksport beras ke Negeri-Negeri Selat.

Kekayaan sumber hutan seperti kayu jati telah mendorong perkembangan perusahaan pembinaan kapal di Myanmar sejak abad ke-17 lagi dan telah menjadi bahan utama dalam persaingan Inggeris dan Perancis pada abad ke-18. Di bawah firma-firma British, perusahaan kayu jati Myanmar telah berkembang dan jumlah pengeluaran kayu jati telah meningkat. Antara tahun 1919 hingga tahun 1924, sebanyak 500 000 tan setahun dikeluarkan. Pihak Jabatan Perhutanan pula telah mengisytiharkan hutan-hutan simpan untuk dipajakkan kepada pemborong swasta. Perusahaan balak ini telah dikuasai oleh syarikat-syarikat kepunyaan Eropah. Pelaburan modal mereka berjumlah Rs100 juta dan telah menggunakan seramai 55 000 orang tenaga kerja. Pelaburan yang tinggi dari syarikat-syarikat Eropah ini telah menggalakkan perusahaan pembalakan, mengilang papan dan pembinaan kapal.

Sektor perlombongan juga dimajukan dalam kegiatan ekonomi komersial. Minyak telah dilombong semasa zaman pemerintahan Dinasti Konbaung lagi. Telaga-telaga minyak telah berpusat di Yenangyaung. Perusahaan ini telah diambil alih oleh Syarikat Minyak Myanmar yang ditubuhkan oleh British pada tahun 1886. Burmah Oil Company telah menjalankan kegiatan dalam perusahaan minyak tempatan. Dalam masa lima tahun, iaitu tahun 1891, syarikat ini telah berjaya mengeksport minyak yang pertama dari Myanmar ke India dan dalam tahun 1896 pula mengeksport ke Pulau Pinang.

Myanmar juga mengeksport bahan galian lain selain minyak. Bahan galian lain ialah plumbum, zink, dan bijih timah. Plumbum dijumpai di lombong-lombong Bawdin dan Namt. Kawasan perlombongan ini diusahakan oleh pelombong-pelombong Cina. Bagi galian bijih timah pula, Myanmar menduduki tempat keempat di antara pengeluar-pengeluar bijih timah dalam rantau Asia Tenggara sebelum meletusnya Perang Pasifik. Bijih timah banyak dilombong di Mawchi. Di Mawchi juga didapati longgokan zink. Nilai eksport zink hanya kecil jika dibandingkan dengan eksport minyak Myanmar. Di Myanmar juga terdapat batu permata. Batu permata seperti batu delima dan batu nilam banyak dilombong di sekiytar daerah Mogok di Utara Mandalay.

Kesimpulannya, British membawa banyak perubahan dalam sektor ekonomi di Myanmar tetapi dikuasai oleh orang asing seperti Eropah, India dan Cina. Perkembangan ekonomi ini telah membuka Myanmar kepada kemasukan orang luar sehingga melahirkan rasa tidak puas hati dalam masyarakat di Myanmar dan menyebabkan berlakunya rusuhan serta pemberontakan petani pada tahun 1930-1932.

@juhaimimajid

Wednesday 3 March 2021

SKEMA JAWAPAN SOALAN 4 CONTOH TRIAL SEJARAH SEMESTER 3 STPM 2020

 


4. Huraikan sistem dan peranan pembesar di Thailand sebelum campur tangan Barat.

Pembesar bermakna pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik oleh raja untuk menjawat jawatan tertentu dan melaksanakan tugasnya dalam bidang kuasa yang diberikan. Pembesar melaksanakan tugas pemerintahan dan merupakan orang kedua penting dan berada pada paras kedua selepas kedudukan raja. Pembesar di Thailand adalah merupakan anggota keluarga diraja golongan Chao.

Sistem pentadbiran pusat di Thailand dianggotai oleh para pembesar yang merupakan anggota diraja yang digelar Chao. Chao bertindaak sebagai menteri-menteri kanan kepada raja. Chao berperanan penting dalam membantu raja dalam urusan pentadbiran negara. Mereka mengetuai jabatan-jabatan (Krom) tertentu iaitu Krom Mahattai (Jabatan Hal Ehwal Pentadbiran Awam), Krom Kalahan (Jabatan Pertahanan), dan Krom Khlanf (Jabatan Kewangan dan Hubungan Luar).

Krom Mahattai dan Kalahon mempunyai tugas utama iaitu mengawal tenaga rakyat dan keselamatan wilayah-wilayah di bawah kuasa masing-masing. Hal ini kerana kecekapan dan keberkesanan kerajaan Thailand bergantung kepada kebolehan pembesar mengawal serta mempergunakan tenaga buruhnya supaya keselamatan dan kestabilan sosioekonomi negara terjamin. Manakala, tangguungjawab utama Krom Khlang ialah menguruskan hal-ehwal kewangan dan perniagaan diraja.

Di bawah Ketua Krom Mahattai (Jabatan Hal Ehwal Pentadbiran Awam) dan Ketua Krom Kalahan (Jabatan Pertahanan), terdapat pembesar yang berjawatan lebih rendah. Mereka dibahagi kepada empat Krom dan keempat-empat jabatan ini bertanggungjawab melicinkan pentadbiran kerajaan di peringkat pusat, iaitu Krom Maung (Jabatan Ibu Kota), Krom Na (Jabatan Tanah), Krom Wang (Jabatan Istana), dan Krom Khlang (Jabatan Kewangan, Perniagaan dan Hubungan Luar).

Para pembesar di peringkat wilayah dilantik terus oleh raja dan biasanya terdiri daripada golongan Khunnang (bangsawan). Tugas utama pembesar peringkat wilayah atau daerah ini adalah melaksanakan pentadbiran tersendiri, mengutip cukai, dan mengetuai adat istiadat serta ketua agama Buddha di wiayah masing-masing. Mereka juga menguasai sumber tenaga manusia bagi menjamin kedudukan, kuasa politik, ekonomi dan sosial.

Terdapat empat wilayah yang pada dasarnya diperintah oleh raja tetapi pelaksanaan pemerintahan dilakukan oleh pembesar tertentu. Wilayah pertama meliputi kawasan strategi keselematan termasuk bandar-bandar besar dan bandar penting. Wilayah kedua dan ketiga meliputi kawasan yang agak besar, tetapi termasuk di bawah penyeliaan ibu kota. Tanggungjawab bagi kedua-dua wilayah ini diletakkan di bawah Krom Hal Ehwal Pentadbiran Awam, Pertahanan, serta Kewangan dan Hubungan Luar.

Wilayah keempat ialah bandar-bandar kecil sekitar ibu kota yang diletakkan di bawah kerajaan pusat secara langsung. Wilayah keempat tidak mempunyai pentadbir yang berkedudukan gabenor tetapi ditadbir oleh pegawai yang bergelar pemangku pentadbir. Wilayah keempat juga dianggap sebagai kawasan penampan untuk mempertahankan ibu kota semasa berlakunya perang atau pemberontakan menyerang pusat kerajaan.

Kesimpulannya, sistem pembesar mengukuhkan institusi pemerintahan beraja di Thailand. Selepas kedatangan Barat, peranan pembesar telah berubah. Raja Mongkut telah memodenkan pentadbiran yang berasaskan pentadbiran Barat demi menyelamatkan negara Thailand daripada dijajah.

@juhaimimajid

Tuesday 2 March 2021

SKEMA JAWAPAN SOALAN 3 CONTOH TRIAL SEJARAH SEMESTER 3 STPM 2020

 


3. Terangkan struktur dan organisasi sistem pentadbiran yang diamalkan di Malaysia selepas merdeka.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, kerajaan British telah memperkenalkan Perlembagaan Malayan Union pada 1 April 1946. Butiran Perlembagaan Malayan Union telah mendapat tentangan daripada orang Melayu dan digantikan dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perlembagaan ini menjadi teras kepada sistem demokrasi berparlimen berdasarkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957. Pada 16 September 1963, Persekutuan Malaysia dibentuk dan Sabah serta Srawak mencapai kemerdekaan melalui gabungan tersebut. Sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Malaysia selepas merdeka adalah berbentuk sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Perlembagaan 1957 berasaskan kepada teori ‘Separation of power’ yang bermaksud pengasingan kuasa. Pengasingan kuasa ini dibahagikan kepada tiga iaitu badan perundangan, badan pelaksana, dan badan kehakiman. Badan perundangan merupakan institusi tertinggi yang terdapat di Malaysia dan bertanggungjawab menggubal rang undang-undang dan meliputi Sabah dan Sarawak selepas tahun 1963. Mengikut perlembagaan Malaysia, ketua negara ialah Yang di-Pertuan Agong. Baginda ialah seorang raja berperlembagaan dan menjalankan kuasa pemerintahan di bawah perlembagaan. Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

Mengikut undang-undang, Parlimen terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara, dan Dewan Rakyat. Dewan Negara adalah majlis tertinggi dalam Parlimen. Tugas utamanya ialah membahas rang undang-undang yang dikemukakan oleh Dewan Rakyat. Dewan Negara tidak boleh menolak undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat tetapi boleh menangguhkan selama sebulan untuk diteliti oleh Dewan Rakyat. Dewan Negara mengandungi 70 orang ahli  yang dipilih atau dilantik. 26 orang ahli dipilih oleh Dewan Undangan Negeri. Setiap negeri diwakili oleh 2 orang ahli dan 44 orang ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Ahli Dewan Negara berkhidmat sebagai anggota dewan selama 3 tahun, dan boleh dilantik selama tiga tahun lagi untuk penggal kedua. Dewan Rakyat terdiri daripada 222 wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya. Tugas utama Dewan Rakyat ialah menggubal undang-undang dan meluluskan undang-undang.

Badan Pelaksana atau Badan Eksekutif diketuai oleh Perdana Menteri dan kabinet dalam menjalankan dasar-dasar pentadbiran kerajaan mengikut perlembagaan dan undang-undang yang ada. Terdapat tiga peringkat pentadbiran kerajaan iaitu peringkat persekutuan, negeri dan tempatan. Pentadbiran peringkat persekutuan dijalankan oleh Kabinet atau Jemaah Menteri. Jemaah Menteri diketuai oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri lain sebagai ahli. Bagi menjalankan tugas-tugas eksekutif Kerajaan Persekutuan, beberapa buah kementerian, jabatan, dan badan berkanun diwujudkan. Setiap kementerian akan diketuai oleh seorang Menteri dan dibantu oleh Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Setiausaha Politik, Ketua Setiausaha Kementerian, pegawai kementerian, dan kakitangan yang dikenali pegawai kerajaan.

Pentadbiran Kerajaan Negeri pula terletak pada Sultan atau Raja atau Yang di-Pertuan Besar atau Yang diPertua Negeri. Kuasa tersebut dijalankan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO). Badan ini diketuai oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri yang dilantik oleh Sultan atau Raja atau Yang di-Pertuan Besar atau Yang di-Pertua Negeri. Majlis ini bersama-sama bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri. Di Sarawak pula, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dipanggil Majlis Tertinggi manakala di Sabah dipanggil Kabinet Negeri. Pentadbiran Kerajaan Tempatan pula terdiri daripada Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah. Majlis Perbandaran diketuai oleh seorang Yang di-Pertua dan ditadbir oleh sebuah majlis yang dilantik oleh Kerajaan Negeri. DI Sabah, pentadbirannya dibahagikan kepada daerah dan kampung. Setiap daerah ditadbir oleh Pegawai Daerah yang dibantu oleh Ketua Anak negeri dan Ketua Kampung. Di Sarawak, pentadbirannya dibahagikan kepada bahagian, daerah, daerah kecil, dan kampung. Setiap bahagian ditadbir oleh seorang residen dan dibantu oleh Temenggung. Di daerah ditadbir oleh Pegawai Daerah dan Pegawai-pegawai Perkhidmatan Tadbir Sarawak. Manakala kampung ditadbir oleh Penghulu.

Badan kehakiman pula adalah badan yang menjaga keadilan dan keamanan serta kuasa pengimbang antara badan perundangan dan badan pemntadbiran. Hakim mahkamah dilantik oleh Yang di-petuan Agong dan ini membuktikan bahawa ianya adalah badan bebas. Mahkamah berkuasa membicarakan kes sivil dan jenayah. Terdapat tiga kategori mahkamah di Malaysia iaitu Mahkamah Tinggi (Mahkamah Utama dan Mahkamah Atasan), Mahkamah Rendah dan mahkamah-mahkamah khas. Mahkamah Tinggi terdiri daripada Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Tinggi. Mahkamah Rendah terdiri daripada Mahkamah Seksyen, Mahkamah Majistret, dan Mahkamah Penghulu. Mahkamah-mahkamah khas pula terdiri daripada Mahkamah Perusahaan, Mahkamah Tentera, Mahkamah Khas, Mahkamah Syariah, Mahkamah Juvana, dan Mahkamah Bumiputera. Setiap mahkamah mempunyai bidang kuasa yang telah ditetapkan.

Kesimpulannya, sistem pemerintahan Malaysia selepas merdeka telah distruktur dengan jelas di peringkat Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Pentadbiran Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dapat berjalan dengan sistematik dan lancar.

@juhaimimajid

Monday 1 March 2021

SKEMA JAWAPAN SOALAN 2 CONTOH TRIAL SEJARAH SEMESTER 3 STPM 2020

 


2. Bincangkan faktor-faktor yang mendorong pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu pada awal abad ke-20.

Menurut J.S.Furnivall, masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai budaya, bahasa, agama dan adat resam yang tersendiri, tinggal dalam satu kawasan politik tetapi hidup terpisah dan interaksi antara mereka hanya terhad kepada persoalan ekonomi sahaja. Konsep ini jelas dapat dilihat dalam masyarakat di Tanah Melayu yang terdiri daripada tiga kaum yang besar , iaitu Melayu, Cina, dan India adalah sebuah masyarakat yang tidak mengasimilasikan budaya antara satu sama lain sewaktu penjajahan British di Tanah Melayu. Keadaan ini telah mewujudkan kesukaran dalam komunikasi disebabkan oleh perbezaan budaya, bangsa, adat resam, kegiatan ekonomi dan taraf hidup, serta kawasan petempatan yang berbeza.

Amalan budaya yang berbeza membawa kepada pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu. Hal ini dapat dilihat kerana ketiga-tiga kaum ini hidup terpisah dan mempunyai budaya tradisi masing-masing daripada pelbagai aspek. Orang Cina berhijrah ke Tanah Melayu pada pertengahan abad ke-19 tertumpu di kawasan perlombongan seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Seremban serta hidup berkelompok berdasarkan puak masing-masing. Orang India yang berhijrah ke Tanah Melayu terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik berbeza seperti Tamil, Malbari, Pelikat, Telegu dan Punjabi serta menggunakan bahasa etnik masing-masing. Orang Cina dan India hidup berasingan dengan orang CIna dan peribumi Melayu. Mereka mengekalkan budaya mereka seperti cara berpakaian dan sambutan perayaan.

Dari segi agama dan kepercayaan, setiap kaum mengamalkan agama dan kepercayaan yang berbeza. Orang Melayu menganut agama Islam, orang Cina mengamalkan agama Buddha dan Confucianisme, manakala orang India beragama Hindu. Penubuhan institusi dan tempat beribadat serta pendidikan menyebabkan masyarakat Cina dan India terpisah daripada masyarakat peribumi Melayu. Untuk menjaga kepentingan dan keselamatan mereka di tempat asing, orang Cina dan India menubuhkan pelbagai institusi sosial, tempat beribadat seperti tokong dan kuil,  dan persatuan tidak rasmi. Kesemua ini dapat melindungi dan mengekalkan identiti etnik masing-masing.

Kedatangan buruh beramai-ramai dari Cina dan India berdasarkan fungsi ekonomi turut mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu. Orang Melayu meneruskan kegiatan ekonomi sara diri dengan bekerja sebagai petani dan nelayan. Mereka ditempatkan di kampung dan pinggir bandar. Orang Cina pula diperlukan dalam memajukan industri perlombongan dan tinggal di kawasan lombong dan bandar seperti Ipoh, Taiping dan Kuala Lumpur. Orang India pula diperlukan untuk sektor perladangan getah dan tinggal di kawasan ladang getah dan terpencil daripada orang CIna dan orang Melayu. Ternyata, fungsi ekonomi telah memisahkan petempatan ketiga-tiga kaum serta mewujudkan masyarakat majmuk.

Pengenalan sistem pendidikan di Tanah Melayu juga membawa kepada pembentukan masyarakat majmuk. Sistem pendidkkan yang diamalkan adalah berbeza mengikut dipanggil vernakular. Pendidikan orang Cina adalah untuk orang CIna dan buku serta guru mengajar juga dibawa dari negara China. Kebanyakan sekolah Cina telah dibina di kawasan perlombongan dan bandar-bandar besar. Sekolah Tamil pula dibina untuk anak-anak India yang tinggal di ladang getah. Kewujudan sekolah Tamil adalah ikhsan daripada pengusaha ladang dan oleh itu, buku dan guru mengajar dibawa khas dari India. Bagi orang Melayu pula, kanak-kanak akan bersekolah di sekolah Melayu atau sekolah pondok agama. Perbezaan sistem pendidikan ini telah menyebabkan jurang antara kaum semakin ketara di Tanah Melayu.

Akhir sekali, dasar pecah dan perintah yang diamalkan dalam pentadbiran British menjadi faktor penting kepada pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu. British mahu mengekalkan orang Melayu sebagai petani dan tidak mahu terdedah kepada pengaruh luar kerana akan membuka minda masyarakat Melayu tentang penjajahan dan akan bangkit menentang British kelak. Oleh itu, British berusaha untuk menggalakkan kedatangan pelabur luar dan imigran Cina dan India dalam meningkatkan sektor ekonominya disamping mengelakkan masyarakat peribumi Melayu menerima perubahan minda. British turut berusaha untuk mengelakkan segala tindakan asimilasi antara kaum dan mengekalkan jurang antara mereka.

Kesimpulannya, dasar pentadbiran British yang memperkenalkan ekonomi komersial dan hanya ingin mengaut kekayaan di Tanah Melayu telah membawa kepada pembentukan masyarakat majmuk. Kesannya, timbul beberapa masalah sosial seperti kegiatan kongsi gelap, sentimen perkauman dan setinggan.

@juhaimimajid