Tuesday 2 March 2021

SKEMA JAWAPAN SOALAN 3 CONTOH TRIAL SEJARAH SEMESTER 3 STPM 2020

 


3. Terangkan struktur dan organisasi sistem pentadbiran yang diamalkan di Malaysia selepas merdeka.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, kerajaan British telah memperkenalkan Perlembagaan Malayan Union pada 1 April 1946. Butiran Perlembagaan Malayan Union telah mendapat tentangan daripada orang Melayu dan digantikan dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perlembagaan ini menjadi teras kepada sistem demokrasi berparlimen berdasarkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957. Pada 16 September 1963, Persekutuan Malaysia dibentuk dan Sabah serta Srawak mencapai kemerdekaan melalui gabungan tersebut. Sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Malaysia selepas merdeka adalah berbentuk sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Perlembagaan 1957 berasaskan kepada teori ‘Separation of power’ yang bermaksud pengasingan kuasa. Pengasingan kuasa ini dibahagikan kepada tiga iaitu badan perundangan, badan pelaksana, dan badan kehakiman. Badan perundangan merupakan institusi tertinggi yang terdapat di Malaysia dan bertanggungjawab menggubal rang undang-undang dan meliputi Sabah dan Sarawak selepas tahun 1963. Mengikut perlembagaan Malaysia, ketua negara ialah Yang di-Pertuan Agong. Baginda ialah seorang raja berperlembagaan dan menjalankan kuasa pemerintahan di bawah perlembagaan. Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

Mengikut undang-undang, Parlimen terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara, dan Dewan Rakyat. Dewan Negara adalah majlis tertinggi dalam Parlimen. Tugas utamanya ialah membahas rang undang-undang yang dikemukakan oleh Dewan Rakyat. Dewan Negara tidak boleh menolak undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat tetapi boleh menangguhkan selama sebulan untuk diteliti oleh Dewan Rakyat. Dewan Negara mengandungi 70 orang ahli  yang dipilih atau dilantik. 26 orang ahli dipilih oleh Dewan Undangan Negeri. Setiap negeri diwakili oleh 2 orang ahli dan 44 orang ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Ahli Dewan Negara berkhidmat sebagai anggota dewan selama 3 tahun, dan boleh dilantik selama tiga tahun lagi untuk penggal kedua. Dewan Rakyat terdiri daripada 222 wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya. Tugas utama Dewan Rakyat ialah menggubal undang-undang dan meluluskan undang-undang.

Badan Pelaksana atau Badan Eksekutif diketuai oleh Perdana Menteri dan kabinet dalam menjalankan dasar-dasar pentadbiran kerajaan mengikut perlembagaan dan undang-undang yang ada. Terdapat tiga peringkat pentadbiran kerajaan iaitu peringkat persekutuan, negeri dan tempatan. Pentadbiran peringkat persekutuan dijalankan oleh Kabinet atau Jemaah Menteri. Jemaah Menteri diketuai oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri lain sebagai ahli. Bagi menjalankan tugas-tugas eksekutif Kerajaan Persekutuan, beberapa buah kementerian, jabatan, dan badan berkanun diwujudkan. Setiap kementerian akan diketuai oleh seorang Menteri dan dibantu oleh Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Setiausaha Politik, Ketua Setiausaha Kementerian, pegawai kementerian, dan kakitangan yang dikenali pegawai kerajaan.

Pentadbiran Kerajaan Negeri pula terletak pada Sultan atau Raja atau Yang di-Pertuan Besar atau Yang diPertua Negeri. Kuasa tersebut dijalankan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO). Badan ini diketuai oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri yang dilantik oleh Sultan atau Raja atau Yang di-Pertuan Besar atau Yang di-Pertua Negeri. Majlis ini bersama-sama bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri. Di Sarawak pula, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dipanggil Majlis Tertinggi manakala di Sabah dipanggil Kabinet Negeri. Pentadbiran Kerajaan Tempatan pula terdiri daripada Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah. Majlis Perbandaran diketuai oleh seorang Yang di-Pertua dan ditadbir oleh sebuah majlis yang dilantik oleh Kerajaan Negeri. DI Sabah, pentadbirannya dibahagikan kepada daerah dan kampung. Setiap daerah ditadbir oleh Pegawai Daerah yang dibantu oleh Ketua Anak negeri dan Ketua Kampung. Di Sarawak, pentadbirannya dibahagikan kepada bahagian, daerah, daerah kecil, dan kampung. Setiap bahagian ditadbir oleh seorang residen dan dibantu oleh Temenggung. Di daerah ditadbir oleh Pegawai Daerah dan Pegawai-pegawai Perkhidmatan Tadbir Sarawak. Manakala kampung ditadbir oleh Penghulu.

Badan kehakiman pula adalah badan yang menjaga keadilan dan keamanan serta kuasa pengimbang antara badan perundangan dan badan pemntadbiran. Hakim mahkamah dilantik oleh Yang di-petuan Agong dan ini membuktikan bahawa ianya adalah badan bebas. Mahkamah berkuasa membicarakan kes sivil dan jenayah. Terdapat tiga kategori mahkamah di Malaysia iaitu Mahkamah Tinggi (Mahkamah Utama dan Mahkamah Atasan), Mahkamah Rendah dan mahkamah-mahkamah khas. Mahkamah Tinggi terdiri daripada Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Tinggi. Mahkamah Rendah terdiri daripada Mahkamah Seksyen, Mahkamah Majistret, dan Mahkamah Penghulu. Mahkamah-mahkamah khas pula terdiri daripada Mahkamah Perusahaan, Mahkamah Tentera, Mahkamah Khas, Mahkamah Syariah, Mahkamah Juvana, dan Mahkamah Bumiputera. Setiap mahkamah mempunyai bidang kuasa yang telah ditetapkan.

Kesimpulannya, sistem pemerintahan Malaysia selepas merdeka telah distruktur dengan jelas di peringkat Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Pentadbiran Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dapat berjalan dengan sistematik dan lancar.

@juhaimimajid

No comments:

Post a Comment