5. Bincangkan perubahan yang berlaku dalam kegiatan
ekonomi di Myanmar selepas penguasaan British pada akhir abad ke-19.
Masyarakat peribumi di Myanmar
menjalankan ekonomi tradisional berasaskan tanaman seperti beras, sekoi, minyak
sayuran, garam, sutera dan sebagainya. Pemerintahan beraja di Myanmar
mengekalkan ekonomi sara diri dalam kalangan rakyatnya dan ekonomi komersial
dikuasai oleh golongan beraja dan pembesar. Apabila British menjadikan Myanmar
sebagai negara jajahannya, Myanmar telah dijadikan sebagai pusat bagi mengaut
keuntungan. Oleh itu, dalam memantapkan sistem ekonominya di Myanmar, British
telah memperkenalkan pengamalan ekonomi laissez-faire yang telah membawa
perkembangan ekonomi dalam bidang pertanian, perusahaan, dan perlombongan.
Dalam bidang pertanian, padi
telah muncul sebagai tanaman dagangan yang utama. British telah menggalakkan
petani Myanmar untuk membuka lebih banyak kawasan tanah pertanian bagi menanam
padi terutama sekali di kawasan yang subur iaitu di Myanmar Hilir bagi
menampung keperluan eksport. Buktinya, berlaku pertambahan kawasan penanaman
padi untuk tujuan komersial berlaku apabila British menjajah Myanmar. Pada
tahun 1885, British mendapat satu juta ekar tanah sawah padi di Myanmar Hilir.
Pada tahun 1873 pula satu juta ekar ditambah lagi dan selepas itu jumlah tanah
yang ditanam dengan padi bertambah seluas satu juta ekar tiap-tiap tujuh tahun
hingga dalam tahun 1930 telah meningkat kepada 10 juta ekar.
Pertambahan tanah ini pula
disertai dengan sistem pengairan yang baik serta kepentingan Delta Irrawaddy
dan dataran lanar yang lembab dan subur telah meningkatkan penanaman padi di
Myanmar. Selain itu, penggunaan tenaga buruh yang mencukupi, kepesatan
pelabuhan Rangoon sebagai pengeksport padi dan pembukaan Terusan Suez pada
tahun 1869. Kesannya, Rangoon menjadi pelabuhan terpenting dalam kegiatan
mengeksport beras. India telah menjadi pengimport terbesar beras dari Myanmar
dan lebih daripada 3 juta tan beras telah dieksport ke India menjelang akhir
abad ke-19. Selain itu, Myanmar juga mengeksport beras ke Negeri-Negeri Selat.
Kekayaan sumber hutan seperti
kayu jati telah mendorong perkembangan perusahaan pembinaan kapal di Myanmar
sejak abad ke-17 lagi dan telah menjadi bahan utama dalam persaingan Inggeris
dan Perancis pada abad ke-18. Di bawah firma-firma British, perusahaan kayu
jati Myanmar telah berkembang dan jumlah pengeluaran kayu jati telah meningkat.
Antara tahun 1919 hingga tahun 1924, sebanyak 500 000 tan setahun dikeluarkan. Pihak
Jabatan Perhutanan pula telah mengisytiharkan hutan-hutan simpan untuk
dipajakkan kepada pemborong swasta. Perusahaan balak ini telah dikuasai oleh
syarikat-syarikat kepunyaan Eropah. Pelaburan modal mereka berjumlah Rs100 juta
dan telah menggunakan seramai 55 000 orang tenaga kerja. Pelaburan yang tinggi
dari syarikat-syarikat Eropah ini telah menggalakkan perusahaan pembalakan,
mengilang papan dan pembinaan kapal.
Sektor perlombongan juga
dimajukan dalam kegiatan ekonomi komersial. Minyak telah dilombong semasa zaman
pemerintahan Dinasti Konbaung lagi. Telaga-telaga minyak telah berpusat di
Yenangyaung. Perusahaan ini telah diambil alih oleh Syarikat Minyak Myanmar
yang ditubuhkan oleh British pada tahun 1886. Burmah Oil Company telah
menjalankan kegiatan dalam perusahaan minyak tempatan. Dalam masa lima tahun,
iaitu tahun 1891, syarikat ini telah berjaya mengeksport minyak yang pertama
dari Myanmar ke India dan dalam tahun 1896 pula mengeksport ke Pulau Pinang.
Myanmar juga mengeksport bahan
galian lain selain minyak. Bahan galian lain ialah plumbum, zink, dan bijih
timah. Plumbum dijumpai di lombong-lombong Bawdin dan Namt. Kawasan
perlombongan ini diusahakan oleh pelombong-pelombong Cina. Bagi galian bijih
timah pula, Myanmar menduduki tempat keempat di antara pengeluar-pengeluar
bijih timah dalam rantau Asia Tenggara sebelum meletusnya Perang Pasifik. Bijih
timah banyak dilombong di Mawchi. Di Mawchi juga didapati longgokan zink. Nilai
eksport zink hanya kecil jika dibandingkan dengan eksport minyak Myanmar. Di
Myanmar juga terdapat batu permata. Batu permata seperti batu delima dan batu
nilam banyak dilombong di sekiytar daerah Mogok di Utara Mandalay.
Kesimpulannya, British membawa
banyak perubahan dalam sektor ekonomi di Myanmar tetapi dikuasai oleh orang
asing seperti Eropah, India dan Cina. Perkembangan ekonomi ini telah membuka
Myanmar kepada kemasukan orang luar sehingga melahirkan rasa tidak puas hati
dalam masyarakat di Myanmar dan menyebabkan berlakunya rusuhan serta
pemberontakan petani pada tahun 1930-1932.
No comments:
Post a Comment