Tuesday 2 February 2021

5. HURAIKAN FAKTOR-FAKTOR TERCETUSNYA PERISTIWA DAHAGI DI INDIA PADA 1857.

 


HURAIKAN FAKTOR-FAKTOR TERCETUSNYA PERISTIWA DAHAGI DI INDIA PADA 1857.

Dahagi India merupakan pemberontakan yang dilancarkan oleh sepoi-sepoi dalam menentang pemerintahan British di India. Orang India menganggap Dahagi sebagai perjuangan membebaskan negara daripada pemerintahan British. Selain sepoi, golongan nawab dan pembesar yang kehilangan gelaran, tanah, dan kuasa turut menyertai pemberontakan tersebut. Pada pandangan sejarawan Barat, peristiwa Dahagi hanyalah kebangkitan tentera yang tidak berpuas hati terhadap isu peluru rifle yang disalut lemak khinzir dan lemak lembu. Namun, sejarawan Asia berpendapat, peristiwa Dahagi berlaku disebabkan reaksi langsung masyarakat India terhadap ancaman British terhadap isu adat, budaya, dan agama masyarakat India. Terdapat pelbagai faktor yang mencetuskan Peristiwa Dahagi di India pada tahun 1857.

Penghapusan amalan sutte dan thuggee yang diamalkan oleh masyarakat India beragama Hindu menimbulkan rasa kurang senang. Adat Suttee ialah amalan seseorang balu beragama Hindu yang membakar diri bersama suaminya yang sudah meninggal dunia semasa upacara pengebumian. Pentadbiran British cuba menghapuskan amalan ini yang dianggap tidak berperikemanusiaan melalui undang-undang yang digubal pada tahun 1928 oleh Lord William Bentick. Amalan Thuggee pula merujuk kepada budaya merompak dan membunuh oleh kumpulan-kumpulan agama yang bersenjata terhadap para saudagar dan pengembara yang menggunakan nama Dewi Kali. Tindakan Lord William mengharamkan amalan ini menimbulkan kemarahan golongan agama.

Amalan membunuh bayi perempuan telah diamalkan oleh masyarakat India beragama Hindu sejak turun-temurun. Golongan ini menganggap bayi perempuan beban kepada keluarga apabila membesar kelak. Amalan ini dilakukan bagi mengelakkan ibu bapa menanggung malu dan derita akibat pemberian dowri kepada bakal suami apabila anak perempuan itu berkahwin kelak. Lord William turut mengharamkan amalan ini dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan golongan tersebut. Bagi balu-balu dalam masyarakat Hindu di India, mereka dilarang untuk berkahwin semula. Pengganti Lord William Bentick, Lord Dalhousie memandang serius isu ini lalu menggubal Akta Kahwin Semula bagi balu-balu Hindu. Tindakan British memperkenalkan akta ini dianggap sebagai percubaan untuk menghina amalan tradisi masyarakat Hindu di India.

Cara British menguasai India juga menimbulkan kemarahan kepada penduduk tempatan. British menggunakan pelbagai alasan untuk menakluki sesebuah kawasan. Lord Dalhousie misalnya menggunakan tiga cara untuk menguasai wilayah di India. Pertama, berperang untuk menakluk sesuatu kawasan. Kedua, melalui “Undang-undang Lesap Waris” iaitu sebagai contoh, jika seseorang maharaja mangkat tanpa meninggalkan waris untuk mewarisi takhta tersebut, secara automatik negeri itu akan jatuh ke tangan British. Cara ketiga pula ialah memberi alasan penganiayaan, kezaliman, dan ketidakstabilan politik sesebuah wilayah. Jika sesebuah wilayah itu huru-hara, maka British boleh menguasai kawasan tersebut. Sebagai contoh, pentadbiran Qudh di bawah Nawab Khan berada dalam keadaan huru-hara dan amalan rasuah berleluasa. Lord Dalhousie merampas Qudh atas alasan tersebut.

Tindakan British memperkenalkan perubahan dalam sistem pendidikan menimbulkan perasaan tidak puas hati penduduk tempatan. Ekoran perubahan ini, jawatan-jawatan penting dalam kerajaan diberikan kepada penduduk tempatan yang berpendidikan Inggeris sahaja. Perubahan ini juga dianggap sebagai percubaan Inggeris untuk menyebarkan agama Krisitian dalam kalangan masyarakat India. British juga memperkenalkan sistem perhubungan moden seperti kereta api dan telegraf. Pengenalan sistem pengangkutan moden mengancam amalan kasta yang diwarisi oleh masyarakat India sejak turun-temurun dan mencemarkan adat resam dan agama Hindu. British turut memperkenalkan peraturan baru seperti Akta Penjajahan Punjab yang menjejaskan kehidupan penduduk dan menambahkana beban golongan petani di kawasan tersebut serta Akta Pengambilan Khidmat Awam oleh Lord Canning yang tidak memberi elaun tambahan kepada sepoi-sepoi India di luar negara.

Kemuncak kemarahan masyarakat India terhadap British boleh dilihat daripada peristiwa Dahagi India. Golongan pembesar telah kehilangan kedudukan dan menjejaskan sumber pendapatan serta status sosial mereka. Sepoi-sepoi India yang berkasta tinggi turut tidak berpuas hati apabila dihantar ke luar negeri kerana akan kehilangan status kasta mereka dan dihukum dengan hukuman gantung kepada yang enggan mematuhinya. Pemberontakan tercetus apabila sepoi-sepoi India mendapat tahu peluru rifle yang digunakan disalut dengan lemak khinzir dan lemak lembu. Lemak khinzir haram bagi orang Islam dan lemak lembu haram kepada penganut agama Hindu. Mereka menunjukkan kemarahan dengan membunuh pegawai British dan membakar kediaman mereka.

Pihak penjajah sering menganggap mereka lebih hebat menyebabkan mereka cenderung menggubal dasar yang memperkecilkan adat, budaya, dan agama masyarakat India. Maka, tidak hairanlah jika penduduk tempatan merasakan tidak ada cara lain selain melancarkan penentangan terhadap penjajah. Penentangan tersebut telah diterjemahkan melalui Peristiwa Dahagi India yang berlaku pada tahun 1857.

@juhaimimajid

No comments:

Post a Comment