Sunday 28 February 2021

CONTOH SOALAN TRIAL SEJARAH SEMESTER 3 STPM 2020 BESERTA SKEMA JAWAPAN

 


Bahagian A : Sejarah Malaysia

(40 markah)

Jawab dua soalan sahaja.

1. Terangkan bentuk dan pelaksanaan adat Perpatih dan adat Temenggung di Tanah Melayu.(20)

2. Bincangkan faktor-faktor yang mendorong pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu pada awal abad ke-20.(20) link

3. Terangkan struktur dan organisasi sistem pentadbiran yang diamalkan di Malaysia selepas Merdeka.(20) link


Bahagian B: Sejarah Asia Tenggara

(40 markah)

Jawab dua soalan sahaja.

4. Huraikan sistem dan peranan pembesar di Thailand sebelum campur tangan Barat.(20) link

5. Bincangkan perubahan yang berlaku dalam kegiatan ekonomi di Myanmar selepas penguasaan British pada akhir abad ke-19.(20) link

6. Bincangkan usaha dan perkembangan ekonomi yang dilaksanakan di Filipina pada tahun 1953 hingga 1992. link


SKEMA JAWAPAN

1. Terangkan bentuk dan pelaksanaan adat Perpatih dan adat Temenggung di Tanah Melayu.(20)

Adat ialah peraturan yang diamalkan secara turun-temurun dalam masyarakat Melayu tradisional sehingga membentuk tingkah laku masyarakat Melayu tradisional dan menjadi hukuman yang harus dipatuhi. Adat juga merupakan peraturan kebiasaan atau lumrah dalam sesebuah masyarakat yang diterima dan diguna pakai oleh setiap individu dalam sesebuah masyarakat. Tujuan adat dalam kehidupan masyarakat Melayu adalah untuk menjaga baik dan kepentingan pemerintah dalam mengekalkan beberapa amalan tradisi, menentukan bidang kuasa dan tanggungjawab pembesar serta menjaga ketertiban rakyat untuk mengelak pelbagai perkara yang tidak diingini. Adat Melayu tradisional terdiri daripada Adat Perpatih dan Adat Temenggung.

Adat Perpatih bersifat matrilineal, iaitu kaum wanita mempunyai kedudukan yang utama dalam masyarakat. Kaum wanita sahaja yang berhak mewarisi harta dan keturunan anak mengikut suku ibu. Kesannya, mereka akan mendapat nama dan gelaran daripada suku ibu. Oleh itu, anak perempuan menjadi asas wujudnya suku. Adat Temenggung pula berunsurkan pengaruh agama Hindu dan kemudiannya dipengaruhi oleh unsur-unsur Islam mengikut mazhab Shafie. Adat Temenggung bersifat patrilineal, iaitu memberi keutamaan kepada kaum lelaki. Kaum lelaki dianggap generasi yang meneruskan keturunan sesebuah keluarga. Ini selaras dengan prinsip hukum faraid yang mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga. Justeru, anak lelaki akan mewarisi harta bapanya.

Dalam sistem politik, pengamalan adat diamalkan oleh sultan atau Yang Dipertuan Besar di negeri masing-masing. Bagi Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih, pemerintahan adalah bercorak demokrasi. Jawatan Yang DIpertuan Besar Negeri Sembilan adalah melalui pemilihan yang dilakukan oleh Undang Luak yang empat. Undang Luak ini pula akan dilantik oleh Dato’-Dato’ Lembaga di luak atau daerah masing-masing. Dato’ Lembaga pula dilantik oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar Buapak. Dalam Adat Temanggung, sistem pemerintahan adalah bersifat autokratik iaitu kuasa mutlak terletak di tangan sultan. Adat Temenggung mengutamakan kedudukan istimewa sultan dan jawatan sultan adalah diwarisi secara turun-temurun. Sultan berperanan melantik pembesar dalam pemerintahan sebagai pembantu dalam urusan pentadbiran negara.

Dalam sistem perundangan, Adat Perpatih mengamalkan sikap bertimbang rasa dan berperikemanusiaan. Undang-undang dalam Adat Perpatih mementingkan penyelesaian masalah dan bukan bertujuan menghukum kesalahan pesalah. Seseorang yang melakukan jenayah atau kesalahan didenda mengikut kesalahan yang dilakukan dengan membayar ganti rugi kepada mangsa. Adat Temenggung pula lebih bersifat kekerasan. Hukuman yang dikenakan atas kesalahan yang dilakukan adalah bersifat menghukum atau pembalasan. Ini adalah bertujuan untuk memberi pengajaran dan amaran kepada orang ramai agar tidak melakukan kesalahan atau jenayah. Dalam undang-undang Adat Temenggung, sesiapa yang melakukan kesalahan akan dihukum dengan hukuman berat. Hukuman bunuh dijatuhkan oleh sultan atas kesalahan seperti membunuh, memfitnah, dan menderhaka kepada sultan. Bagi hukuman mencuri, hukuman potong tangan dijatuhkan.

Dalam bidang ekonomi, pembahagian harta pusaka dalam Adat Perpatih mementingkan jural keturunan sebelah ibu. Sekiranya seseorang ibu tidak mempunyai anak perempuan, harta pusakanya akan diserahkan kepada adik perempuannya atau anak adik-beradik perempuannya atau cucu-cucu perempuannya. Terdapat tiga jenis harta daam Adat Perpatih iaitu harta sepencarian, harta dapatan dan harta pembawa. Harta sepencarian diperolehi sepanjang perkongsian hidup bersama dan dibahagi dua sekiranya bercerai. Harta dapatan merupakan harta sedia ada isteri sebelum berkahwin dan kekal sebagai hak isteri jika bercerai. Harta pembawa pula merupakan harta suami sebelum berkahwin dan kekal milik suami jika bercerai. Dalam Adat Temenggung, kaum lelaki akan mewarisi harta pusaka lebih banyak daripada kaum wanita. Mengikut hukum syarak, anak lelaki akan mendapat dua pertiga harta pusaka dan anak perempuan satu perlapan. Pembahagian harta selepas perceraian suami isteri juga berlandaskan hukum syarak.

Dari segi sosial, Adat Perpatih juga mengamalkan eksogami dalam aspek perkahwinan. Masyarakat dalam Adat Perpatih tidak membenarkan perkahwinan sesama suku kerana dipercayai mereka mempunyai pertalian darah antara satu sama lain. Malahan, dalam Adat Perpatih, mereka tidak dibenarkan berkahwin dengan dua orang wanita daripada suku yang sama. Dalam Adat Perpatih, selepas upacara perkahwinan berlangsung, seseorang lelaki digelar ‘orang semenda’. Suami tetap menjadi ketua keluarga dan berkuasa ke atas isterinya. Bagi Adat Temenggung pula, perkahwinan dibenarkan dengan sesiapa sahaja asalkan tidak bercanggah dengan hukum syarak. Berlandaskan hukum syarak, perkahwinan dalam Adat Temenggung melarang ikatan perkahwinan dengan orang yang mempunyai pertalian darah, perempuan yang bersaudara, orang bukan Islam, saudara susuan dan sebagainya. Selepas berkahwin, seseorang isteri dikehendaki mengikut suaminya dan tinggal bersama dengan keluarga suaminya kerana suami adalah ketua keluarga.

Kesimpulannya, adat mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu dalam pelbagai aspek. Kedua-dua adat ini masih diamalkan di Tanah Melayu. Kedatangan Barat tidak menggugat adat ini, malah adat ini diamalkan untuk menjaga kesejahteraan masyarakat Melayu ketika itu.

* Skema jawapan bagi soalan 2 hingga 6 akan dimuat naik pada post yang berikutnya. Selamat membaca!

@juhaimimajid

2 comments:

  1. As salam cg...boleh share skema ni secara keseluruhan soalan 1 hg 6...tq

    ReplyDelete
  2. cg ada soalan ramalaa sej sem 3 tak

    ReplyDelete