Monday 1 March 2021

SKEMA JAWAPAN SOALAN 2 CONTOH TRIAL SEJARAH SEMESTER 3 STPM 2020

 


2. Bincangkan faktor-faktor yang mendorong pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu pada awal abad ke-20.

Menurut J.S.Furnivall, masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai budaya, bahasa, agama dan adat resam yang tersendiri, tinggal dalam satu kawasan politik tetapi hidup terpisah dan interaksi antara mereka hanya terhad kepada persoalan ekonomi sahaja. Konsep ini jelas dapat dilihat dalam masyarakat di Tanah Melayu yang terdiri daripada tiga kaum yang besar , iaitu Melayu, Cina, dan India adalah sebuah masyarakat yang tidak mengasimilasikan budaya antara satu sama lain sewaktu penjajahan British di Tanah Melayu. Keadaan ini telah mewujudkan kesukaran dalam komunikasi disebabkan oleh perbezaan budaya, bangsa, adat resam, kegiatan ekonomi dan taraf hidup, serta kawasan petempatan yang berbeza.

Amalan budaya yang berbeza membawa kepada pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu. Hal ini dapat dilihat kerana ketiga-tiga kaum ini hidup terpisah dan mempunyai budaya tradisi masing-masing daripada pelbagai aspek. Orang Cina berhijrah ke Tanah Melayu pada pertengahan abad ke-19 tertumpu di kawasan perlombongan seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Seremban serta hidup berkelompok berdasarkan puak masing-masing. Orang India yang berhijrah ke Tanah Melayu terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik berbeza seperti Tamil, Malbari, Pelikat, Telegu dan Punjabi serta menggunakan bahasa etnik masing-masing. Orang Cina dan India hidup berasingan dengan orang CIna dan peribumi Melayu. Mereka mengekalkan budaya mereka seperti cara berpakaian dan sambutan perayaan.

Dari segi agama dan kepercayaan, setiap kaum mengamalkan agama dan kepercayaan yang berbeza. Orang Melayu menganut agama Islam, orang Cina mengamalkan agama Buddha dan Confucianisme, manakala orang India beragama Hindu. Penubuhan institusi dan tempat beribadat serta pendidikan menyebabkan masyarakat Cina dan India terpisah daripada masyarakat peribumi Melayu. Untuk menjaga kepentingan dan keselamatan mereka di tempat asing, orang Cina dan India menubuhkan pelbagai institusi sosial, tempat beribadat seperti tokong dan kuil,  dan persatuan tidak rasmi. Kesemua ini dapat melindungi dan mengekalkan identiti etnik masing-masing.

Kedatangan buruh beramai-ramai dari Cina dan India berdasarkan fungsi ekonomi turut mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu. Orang Melayu meneruskan kegiatan ekonomi sara diri dengan bekerja sebagai petani dan nelayan. Mereka ditempatkan di kampung dan pinggir bandar. Orang Cina pula diperlukan dalam memajukan industri perlombongan dan tinggal di kawasan lombong dan bandar seperti Ipoh, Taiping dan Kuala Lumpur. Orang India pula diperlukan untuk sektor perladangan getah dan tinggal di kawasan ladang getah dan terpencil daripada orang CIna dan orang Melayu. Ternyata, fungsi ekonomi telah memisahkan petempatan ketiga-tiga kaum serta mewujudkan masyarakat majmuk.

Pengenalan sistem pendidikan di Tanah Melayu juga membawa kepada pembentukan masyarakat majmuk. Sistem pendidkkan yang diamalkan adalah berbeza mengikut dipanggil vernakular. Pendidikan orang Cina adalah untuk orang CIna dan buku serta guru mengajar juga dibawa dari negara China. Kebanyakan sekolah Cina telah dibina di kawasan perlombongan dan bandar-bandar besar. Sekolah Tamil pula dibina untuk anak-anak India yang tinggal di ladang getah. Kewujudan sekolah Tamil adalah ikhsan daripada pengusaha ladang dan oleh itu, buku dan guru mengajar dibawa khas dari India. Bagi orang Melayu pula, kanak-kanak akan bersekolah di sekolah Melayu atau sekolah pondok agama. Perbezaan sistem pendidikan ini telah menyebabkan jurang antara kaum semakin ketara di Tanah Melayu.

Akhir sekali, dasar pecah dan perintah yang diamalkan dalam pentadbiran British menjadi faktor penting kepada pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu. British mahu mengekalkan orang Melayu sebagai petani dan tidak mahu terdedah kepada pengaruh luar kerana akan membuka minda masyarakat Melayu tentang penjajahan dan akan bangkit menentang British kelak. Oleh itu, British berusaha untuk menggalakkan kedatangan pelabur luar dan imigran Cina dan India dalam meningkatkan sektor ekonominya disamping mengelakkan masyarakat peribumi Melayu menerima perubahan minda. British turut berusaha untuk mengelakkan segala tindakan asimilasi antara kaum dan mengekalkan jurang antara mereka.

Kesimpulannya, dasar pentadbiran British yang memperkenalkan ekonomi komersial dan hanya ingin mengaut kekayaan di Tanah Melayu telah membawa kepada pembentukan masyarakat majmuk. Kesannya, timbul beberapa masalah sosial seperti kegiatan kongsi gelap, sentimen perkauman dan setinggan.

@juhaimimajid

No comments:

Post a Comment