Wednesday 24 August 2016

FAKTOR-FAKTOR KEMUNCULAN JEPUN SEBAGAI KUASA MARITIM PADA ABAD KE-16 DAN KE-17 MASIHI


Soalan 2: 
Terangkan faktor-faktor yang mendorong kemunculan Jepun sebagai kuasa maritim pada abad ke-16 dan ke-17 Masihi.

Pendahuluan:
Masyarakat maritim ialah masyarakat yang bergantung kepada aktiviti berasaskan kelautan. Masyarakat ini terlibat dalam perdagangan, perikanan, pengumpulan hasil laut, perkapalan, penerokaan, dan penjelajahan. Portugal merupakan negara Eropah yang paling awal memulakan penerokaan dan pelayaran ke dunia luar bermula sejak abad ke-3 Masihi. Pedagang-pedagang Jepun telah menjalinkan hubungan perdagangan dengan China, Vietnam dan Korea. Di samping itu, pedagang Jepun juga menjalankan kegiatan perdagangan dengan pelabuhan lain di Asia Tenggara. Menjelang abad ke-16, Jepun mengamalkan dasar buka pintu dengan menggalakkan kehadiran pedagang Barat ke negara tersebut. Kehadiran pedagang Barat menyebabkan pedagang Jepun bangkit sebagai sebuah kuasa maritime di Asia. Pelbagai faktor yang mendorong kemunculan Jepun sebagai sebuah kuasa maritime pada abad ke-16 dan ke-17 Masihi.

Isi 1: Kedudukan Geografi
Kedudukan geografi negara Jepun dikelilingi oleh beberapa pulau yang dikelilingi laut telah menjadi faktor mendorong kemunculan Jepun sebagai kuasa maritim pada abad ke-16 dan 17 Masihi. Antara pulau yang menjadi tumpuan masyarakat maritim di Jepun ialah Kyushu, Shikoku, Hokkaido dan Honshu. Maka, kawasan pesisir pantai ini dijadikan petempatan masyarakat Jepun. Lokasi petempatan yang berhampiran laut menjadi asas kemunculan masyarakat maritime di Jepun. Memandangkan bentuk muka bumi yang berpulau-pulau dan bergunung-ganang, maka banyak petempatan penduduk Jepun didirikan di kawasan pesisir pantai dan terdedah kepada kegiatan ekonomi yang berasaskan laut. Ini meletakkan asas bagi kemunculan masyarakat maritime di Jepun. Jepun juga terletak di sebelah barat Lautan Pasifik dan di sebelah timur pula ialah China, Korea dan Rusia yang menggalakkan aktiviti perdagangan.

Isi 2: Perkembangan Perdagangan
Perkembangan perdagangan juga menyumbang kepada kemunculan masyarakat maritim di Jepun. Perkembangan perdagangan telah bermula sejak zaman Ashikaga lagi yang mana perdagangan telah berkembang pesat di Jepun. Para pedagang Jepun menjalinkan hubungan perdagangan dengan negara di rantau Asia Tenggara. Menjelang zaman pemerintahan Tokugawa pula, hubungan perdagangan terjalin dengan China, Korea dan Vietnam. Malahan, para pedagang asing seperti pedagang dari Portugal juga datang ke Jepun. Hubungan perdagangan ini terus berkembang pada zaman Nobunaga dan lebih ramai pedagang dari Portugal telah datang berdagang di Jepun. Pengasas Kesyogunan Tokugawa iaitu Ieyasu (1603-1616), telah menerima kedatangan para pedagang Portugis dan Belanda. Kedatangan pedagang asing ini telah membawa kepada kemunculan masyarakat maritim di Jepun.

Isi 3: Teknologi Pelayaran
Kemajuan pesat dalam teknologi pelayaran telah menyebabkan masyarakat maritim di Jepun mampu untuk belayar hingga ke Korea, China dan Asia Tenggara. Kemajuan yang dicapai dalam teknologi pelayaran dan pembinaan kapal juga menjadikan negara Jepun berjaya muncul sebagai masyarakat maritim. Jepun melahirkan ramai pelayar yang mempunyai kemahiran dalam ilmu pelayaran serta pengetahuan dalam ilmu nautika, kartografi dan perkapalan. Menjelang abad ke-16, muncul pusat pembinaan dan baik pulih kapal-kapal di Jepun. Masyarakatnya juga mempunyai kemahiran dalam pembinaan kapal-kapal besar yang sesuai untuk pelayaran jauh. Buktinya, kapal mohor merah Shuinsen merupakan kapal layar bersenjata yang digunakan pedagang Jepun untuk belayar ke Asia Tenggara, Korea dan China pada zaman Kesyogunan Tokugawa. Direkodkan, sebanyak 350 buah kapal Jepun melakukan pelayaran ke luar negara antara tahun 1600 dan 1635.


Isi 4: Perkembangan Pelabuhan
Perkembangan pelabuhan di Jepun juga merangsang pertumbuhan masyarakat maritim. Hal ini seiring dengan perkembangan pesat perdagangan di Jepun dan kewujudan pelabuhan entrepot. Antara pelabuhan entrepot terpenting pada abad ke-16 ialah Kyushu, Nagasaki, Hokodate dan Shimoda yang juga menjadi tumpuan pedagang Jepun dan pedagang luar negara. Menjelang pertengahan abad ke-16, kapal pedagang Portugal berlabuh di pelabuhan Kyushu. Kehadiran mereka juga turut mendapat galakan daripada golongan bangsawan Jepun. Para pedagang Jepun apada abad ke-16 telah mengeskport perak, berlian, tembaga, pedang dan barang-barang lain. Jepun juga mengimport sutera China dan produk-poduk Asia Tenggara seperti gula dan kulit rusa. Aktiviti perdagangan yang bergiat rancak di pelabuhan-pelabuhan Jepun menggalakkan lagi aktiviti maritim dalam masyarakat Jepun.

Isi 5: Dasar Maharaja dan Pemerintah Shogun
Seterusnya, dasar maharaja Jepun yang mengamalkan dasar buka pintu turut menyumbang kepada kemunculan masyarakat maritim di Jepun. Dasar ini juga telah menyebabkan masyarakat maritim Jepun terdedah dengan pengaruh dari luar seperti Asia dan Barat. Buktinya, menjelang akhir abad ke-16, pedagang dari Portugal menjalankan aktiviti perdagangan dengan Jepun. Bukan itu sahaja, hubungan dengan Portugal juga turut menyebabkan masyarakat maritim Jepun menerima teknologi baharu dari Barat iaitu perkapalan. Era Hideyoshi, Jepun menjalinkan hubungan perdagangan dengan China dan Korea dan mengawal pelabuhan Nagasaki mulai tahun 1587. Era Shogun Tokugawa pula aktiviti perdagangan Shuinsen diperkenalkan iaitu pedagang asing perlu memiliki mohor merah. Pada abad ke-17, banyak kapal Shuinsen berdagang di Vietnam. Dasar Maharaja dan Pemerintah Shogun yang menggalakkan aktiviti perdagangan telah merancakkan kegiatan maritim di Jepun.

Kesimpulan:
Kesimpulannya, keterbukaan pemerintah Jepun yang menggalakkan kedatangan pedagang-pedagang asing telah memberikan gambaran bahawa masyarakat maritim di Jepun bukanlah masyarakat yang statik, sebaliknya mereka telah menerima unsur-unsur yang positif sehingga mampu dapat menyesuaikan diri dengan bangsa asing. Namun disebabkan ia tidak dapat dikawal telah memaksa pemerintah Kesyogunan Tokugawa mengisytiharkan dasar tutup pintu sehingga aktiviti perdagangan luar dihadkan di Pulau Deshima yang terletak di pelabuhan Nagasaki.


Tuesday 23 August 2016

CIRI-CIRI MASYARAKAT AGRARIA DI BELANDA ABAD KE-16 DAN KE-17 MASIHI





Soalan 1
Bincangkan ciri-ciri masyarakat agrarian di Belanda pada abad ke-16 dan abad ke-17 Masihi.

Pendahuluan
Kemajuan pesat dalam bidang pertanian menyebabkan lahir masyarakat agrarian di negara Belanda pada abad ke-16 dan 17 Masihi. Masyarakat agraria di Belanda tinggal di kawasan pedalaman termasuk kawasan-kawasan pertanian yang subur. Mereka melibatkan diri dalam kegiatan yang berasaskan kepada aktiviti pertanian dan penternakan. Pada abad ke-16 dan 17, Belanda mengalami perubahan politik dan ekonomi selepas berjaya melepaskan cengkaman pemerintahan Raja Philip II dari Sepanyol. Perkembangan ini memperlihatkan bahawa kerajaan Belanda memainkan peranan yang besar dan secara langsung dalam perkembangan ekonomi sehingga masyarakat agraria yang miskin berubah kepada masyarakat agraria yang maju pada abad ke-17. Masyarakat agraria ini memberi keutamaan kepada aktiviti bercucuk tanam, penternakan dan perikanan sebagai sumber ekonomi mereka.

Isi 1 – Kegiatan ekonomi
Pada abad ke-16, masyarakat agrarian di utara Belanda mengusahakan ekonomi utama dalam bidang pertanian dan perikanan. Aktiviti pertanian meliputi penanaman pelbagai jenis tanaman sayur-sayuran seperti bawang, ketumbar, lobak dan teasel serta bijirin seperti barli, gandum dan oat. Masyarakat petani ini mengusahakan pertanian secara kecil-kecilan untuk dijual di pasar tempatan dan dipasarkan ke bandar lain di Belanda. Menjelang akhir abad ke-16, petani Belanda menghasilkan gandum antara 1150 kilogram hingga 1900 kilogram bagi setiap hektar. Selain itu, tanaman seperti kobis, kekacang dan bunga-bungaan turut diusahakan. Tanaman jagung pula dusahakan di Amsterdam. Hasil pertanian ini telah dieksport ke luar negara. Tanaman dagang seperti hem, biji kol dan mader juga diusahakan di Zeeland dan Bogaurden. Masyarakat Belanda juga menanam bunga secara meluas pada abad ke-17 seperti bunga tulip dan hop yang di tanam di sepanjang Sungai Maas berikutan permintaan yang tinggi di pasaran. Masyarakat Belanda juga menternak binatang secara meluas seperti lembu dan kambing di kawasan Friesland untuk daging dan hasil tenusu. Industri perikanan juga penting di Belanda dan dianggarkan satu per lima penduduk terlibat selain industri pembinaan kapal.

Isi 2 - Petempatan
Petempatan masyarakat agraria Belanda banyak terletak di kawasan lembah sungai yang subur dan menjadi tumpuan. Kawasan pinggir pantai juga mempunyai mendapan tanah lanar yang subur dan menjadi petempatan masyarakat agraria Belanda. Antara kawasan petempatan tersebut ialah Friesland, Zeeland dan Utretch. Sebahagian besar negara Belanda berada di bawah paras laut. Disebabkan berlakunya pertambahan penduduk dan keperluan terhadap bahan makanan, pihak kerajaan telah bertindak menambak tanah laut untk dijadikan kawasan pertanian. Menjelang 1680, tanah seluas 127 ribu hektar ditebus guna. Abad ke-17 menunjukkan pertambahan tanah pertanian dan petempatan kepada 36 ribu ekar sekitar tahun 1590 hingga 1615 yang membawa kepada peningkatan hasil pertanian. Antara kawasan yang terletak di kawasan yang ditambak dan ditebus guna ialah Pulau Zuid-Beveland, Middlezee, oud-Beijerland dan New-Beijerland. Di Pulau Zuid-Beveland, usaha menebus tanah diperluas hingga menjadi 5500 hektar.

Isi 3 – Kemahiran Pengairan dan Kesuburan Tanah
Masyarakat Agraria Belanda membina terusan, kolam, takungan air dan tali air bagi mengairi kawasan pertanian. Masyarakat Belanda juga mendirikan kincir angin bagi membolehkan air yang berlebihan dari kawasan tanah rendah dialirkan kewasan pertanian.masyarakat Belanda juga mempunyai kemahiran tinggi dalam memelihara kesuburan tanah bagi menjamin produktiviti. Pelbagai aktiviti dijalankan seperti memugarkan tanah pertanian dan menggunakan baja asli yang terdiri daripada najis ternakan untuk mengekalkan kesuburan. Mereka mempunyai bekalan baja asli yang mencukupi dari kawasan penternakan lembu. Petani Belanda mengamalkan sistem pertanian padang terbuka. Dalam sistem ini, tanah pertanian dibahagikan kepada tiga bidang iaitu dalam setiap bidang terdapat jalur-jalur yang dibahagikan secara memanjang untuk diusahakan. Dalam setiap musim, petani hanya mengusahakan dua daripada tiga bidang tersebut, satu lagi bidang dibiarkan sebagai tanah rang bertujuan untuk memulihkan kembali kesuburan tanah sebelum diusahakan pada musim yang berikutnya dan najis binatang ternakan menjadi baja untuk menyuburkan tanah apabila digunakan untuk aktiviti penternakan.

Isi 4 – Kaedah Pertanian
Masyarakat agrarian Belanda juga ada kemahiran dalam memperkenalkan pelbagai kaedah pertanian. Petani-petani Belanda merupakan perintis dalam memperkenalkan sistem penggiliran tanaman. Dengan mengamalkan sistem ini, sistem tanah rang dapat dimansuhkan. Sistem penggiliran tanaman melibatkan penanaman pelbagai tanaman mengikut musim seperti tanaman sengkuang dan kekacang berselang dengan tanaman bijirin Selain sistem ini, sistem batas juga diperkanalkan. Sistem menanam dengan membuat batas memudahkan saliran. Kedudukan batas juga diubah setiap tahun supaya tanaman tumbuh dengan subur dan mengekalkan kesuburan tanah. Sistem ini menggalakkan penanaman dalam jajaran. Satu lagi sistem penanaman yang diperkenalkan ialah penanaman deretan. Antara tanaman yang ditanam secara deretan ialah jagung, madder, hop, dan cole. Penanaman di atas alur yang dibuat menyebabkan kemunculan amalan sistem deretan. Pertambahan produktiviti dalam pertanian telah menambahkan bekalan makanan antara tahun 1550 hingga 1650. Penduduk Belanda juga mnencapai dua juta orang.

Isi 5 – Kemajuan Teknologi Pertanian
Masyarakat Belanda juga mencapai kemajuan dalam teknologi pertanian. Mereka mencipta pelbagai jenis peralatan untuk kegunaan pertanian secara skala besar. Sebagai contoh, penciptaan tugal dan tenggala beroda adalah untuk memugar dan membajak tanah pertanian.Terdapat juga mesin untuk menampi bijirin. Selain itu, mereka juga melakukan aktiviti penambakan tanah laut untuk dijadikan kawasan pertanian dengan mengeringkan kawasan tambakan laut menggunakan kincir angin dan daik seperti yang berjaya dijalankan oleh Jan Adriaanszoon pada tahun 1600-an. Menjelang abad ke-17, 49% wilayah Zeeland ditebus guna untuk pertanian. Pada tahun 1612, Tasik Beemster telah berjaya dikeringkan membentuk sebuah dataran baharu yang dikenali sebagai Beemster Polder. Terdapat kajian pertanian seperti kajian penanaman rumput jenis Clover, Lucerne dan Burnet untuk ternakan pada tanah-tanah rang.

Kesimpulan

Kesimpulannya, masyarakat agrarian di Belanda menjalankan ekonomi berasaskan pertanian, penternakan, industri swasta dan pertanian. Perkembangan ekonomi pertanian telah membawa kepada kemunculan ekonomi perdagangan di Belanda menjelang abad ke-18 dan menjadi inspirasi kepada masyarakat petani di negera-negara lain di Eropah.

Monday 22 August 2016

SOALAN UJIAN SEJARAH PENGGAL 1 STPM 2017 DAN PENGGAL 3 STPM 2016

SOALAN UJIAN PENGGAL 1 STPM 2017


SOALAN UJIAN PENGGAL 3 STPM 2016


* Skema jawapan akan disediakan dalam post yang akan datang. Terima kasih.