Thursday 1 September 2016

KEMERDEKAAN MALAYSIA 31 OGOS






Usaha ke arah kemerdekaan bermula apabila British berhasrat menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah British Crown Colony atau Tanah jajahan British sepenuhnya. Tindakan ini adalah di bawah perancangan pentadbiran tentera British yang kembali mentadbir Tanah Melayu selepas tamatnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945. tindakan British ini menimbulkan bantahan di kalangan Orang Melayu yang bersatu di bawah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO. Kebangkitan semangat nasionalisme dan keinginan untuk merdeka di kalangan orang Melayu telah membawa kepada kemerdekaan awal Malaysia pada 31 Ogos 1957. Pada 1959, Lee Kuan Yew mencadangkan pencantuman Singapura dengan Tanah Melayu sebagai usaha untuk memerdekakan Singapura tetapi Tunku Abdul Rahman menganggap idea itu menimbulkan masalah sosial akibat kedudukan kaum yang tidak seimbang. Sebaliknya, Tunku Abdul Rahman menyatakan idea itu hanya wajar jika melibatkan Sabah, Sarawak dan Brunei disebabkan mempunyai persamaan sekaligus meningkatkan kerjasama politik dan ekonomi. Pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman mencadangkan idea Persekutuan yang dinamakan Malaysia.


Usaha ke arah kemerdekaan bermula apabila British memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946. Kesatuan Malaya atau Malayan Union dirangka oleh pentadbiran tentera British di Tanah Melayu untuk membolehkan mereka menjajah sepenuhnya Tanah Melayu dan mentadbir dengan lebih efisien. Malayan Union telah mendapat tentangan di kalangan orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan UMNO sehingga menyebabkan Persekutuan Tanah Melayu dibentuk pada 1 Februari 1948 bagi menggantikan Malayan Union. Malayan Union telah menyatukan Raja-Raja Melayu dan masyarakat Melayu dari semua peringkat untuk bangkit melindungi kepentingan dan hak mereka. Kejayaan menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah melayu 1948 membuktikan sokongan dan kepercayaan British terhadap kuasa politik Orang Melayu.

Peristiwa darurat di Tanah Melayu antara 1948 hingga 1960 kesan tindakan keganasan Parti Komunis Melayu (PKM) telah menyebabkan British membentuk beberapa usaha bagi memastikan Tanah Melayu tidak menjadi sebuah negara komunis. Jawatankuasa Hubungan Antara kaum (CLC) pada Januari 1949 dibentuk untuk menyelesaikan masalah berkaitan perlembagaan, politik dan ekonomi antara kaum di Tanah Melayu. British memperkenalkan Sistem Ahli pada Januari 1951 hingga Jun 1955 sebagai usaha ke arah kemerdekaan. British melantik beberapa orang warganegara Persekutuan Tanah Melayu menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan terlibat dalam pentadbiran  Tanah Melayu. Antara yang dilantik ialah Dato' Onn bin Ja'afar, Dato' E.E.C. Thuraisingam dan Dr. Lee Tiang Keng.

British juga telah melancarkan perang psikologi ke atas komunis bagi persediaan ke arah kemerdekaan seperti mengadakan Pilihan Raya  di pelbagai peringkat. Pilihan raya pertama bermula dengan Majlis Perbandaran Kuala Lumpur pada Februari 1952 diikuti Pilihanraya Umum yang pertama pada tahun 1955. Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC menang dalam pilihanraya umum pertama ini dengan menguasai 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Kemenangan ini menunjukkan sokongan penduduk Tanah Melayu ke atas Parti Perikatan sebagai perhatian British untuk memberikan kemerdekaan. Tunku Abdul Rahman yang dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah mengadakan rundingan dengan PKM di Baling, Kedah dalam usaha menamatkan penentangan komunis tetapi gagal. Beliau meneruskan usaha menuntut kemerdekaan dengan mengadakan Rombongan Kemerdekaan ke London pada 18 Januari hingga 8 Ogos 1956 dan usaha ini membuahkan hasil.

Suruhanjaya Reid ditubuhkan pada Mac 1956 oleh British untuk merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dengan mendapatkan pandangan semua pihak. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 digubal dan mengiktiraf kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan kerakyatan mudah kepada penduduk yang lahir di Tanah Melayu. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani oleh raja-raja Melayu dan Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGallivry pada 5 Ogos 1957 di King's House, Kuala Lumpur. Pada pukul 12.00 tengah malam 30 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan di Padang Kelab Selangor dan pada pagi 31 Ogos 1957, wakil Ratu Elizabeth II, Duke of Glaoucester menyerahkan dokumen pengisytihatran kemerdekaan di Stadium Merdeka disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong pertama, Tunku Abdul Rahman Ibni al-Marhum Tuanku Muhammad dan raja-raja Melayu.

Penolakan idea pencatuman Tanah Melayu dan Singapura pada 1959 telah melahirkan idea pencantuman Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei oleh Tunku Abdul Rahman bagi membentuk sebuah persekutuan yang dinamakan Malaysia. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan idea pembentukan Malaysia diwujudkan seperti faktor ancaman komunis yang mula menyusup masuk ke dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura, faktor ketidakseimbangan kaum di Tanah Melayu dan Singapura, faktor kemajuan ekonomi di Tanah Melayu, Singapura dan Brunei serta kemunduran ekonomi di Sabah dan Sarawak; dan faktor untuk mempercepatkan kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak. 

Antara usaha yang dijalankan bagi pembentukan Malaysia ialah menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) pada 23 Julai 1961 di Singapura. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Donald Stephens dan dianggotai oleh wakil-wakil dari Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. Tujuan jawatankuasa ini adalah untuk menerangkan konsep pembentukan Malaysia terutamanya di Sabah, Sarawak dan Brunei.  4 kali rundingan diadakan iaitu pada 21 Ogos 1961 di Kota Kinabalu, 18 Disember 1961 di Kuching, 6 Januari 1962 di Kuala Lumpur dan 1 Februari 1962 di Singapura. JPPM bersetuju menjadikan Perlembagaan Tanah Melayu 1957 sebagai asas Perlembagaan Persekutuan Malaysia selain pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, keistimewaan sekatan imigresen di Sabah dan Sarawak, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan agama Islam sebagai agama rasmi.

Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan pada Februari 1962 untuk mendapatkan pandangan penduduk Sabah dan Sarawak berhubung pembentukan Malaysia. Suruhanjaya ini memulakan tugasnya pada 19 Februari hingga 18 April 1962 dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh Sir Anthony Abbel dan Sir David Watherson yang mewakili British, Mohd Ghazalie Shafie dan Wong Pow Wee mewakili Tanah Melayu. Mereka mengadakan pertemuan dengan lebih 4 ribu orang dan menerima 2 200 memorandum dan surat dari pelbagai pertubuhan. Laporan suruhanjaya diserahkan kepada British pada Julai 1962 yang mengesahkan lebih 80 peratus penduduk Sabah dan Sarawak bersetuju menyertai Malaysia. Suruhanjaya ini juga mengemukakan beberapa cadangan seperti kuasa autonomi dan jaminan khas yang hanya boleh dipinda oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak. Sabah dan Sarawak juga mempunyai Ketua Negeri sendiri, kuasa imigresen dan agama di bawah kawalan Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak serta peraturan kewangan bagi pembangunan ekonomi di Sabah dan Sarawak.

Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) ditubuhkan pada Ogos 1962 untuk merangka Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang diketuai oleh Lord Landsdowne sebagai pengerusi, Tun Abdul Razak sebagai timbalan pengerusi serta wakil-wakil British, Sabah, Sarawak dan Singapura. JAK menerima pandangan daripada pelbagai pihak termasuk tuntutan 20 perkara dari wakil Sabah untuk melindungi hak dan kepentingan penduduk di Sabah dan dipersetujui oleh wakil Sarawak. Antara tuntutan 20 perkara tersebut ialah agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, tetapi tidak rasmi di Sabah. Bahasa Inggeris terus menjadi bahasa rasmi di Sabah di samping bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Perwakilan di Parlimen hendaklah mengambil kira keluasan negeri di samping bilangan penduduk. JAK mengeluarkan laporannya pada Februari 1963, dibincangkan dalam Majlis Negeri Sarawak pada 8 Mac 1963 dan diikuti Sabah pada 13 Mac 1963. Laporan JAK diluluskan sebagai Akta Malaysia 1963 yang dibentangkan dalam persidangan Parlimen Persekutuan Tanah Melayu.

Rundingan akhir pembentukan Malaysia diadakan di London pada Jun 1963 dan hasilnya Perjanjian Malaysia ditandatangan di London pada 9 Julai 1963 antara Kerajaan Britain, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak seterusnya mengesahkan peralihan kedaulatan Britain ke atas Sabah, Sarawak dan Singapura. Ratu Elizabeth II memperkenankan Akta Malaysia yang diluluskan di Parlimen Britain. Perjanjian Malaysia kemusian diluluskan oleh Parlimen Tanah Melayu, Dewan Perhimpunan Singapura, Majlis Undangan Sarawak dan Majlis Undangan Sabah. Pada 26 Ogos 1963, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan Akta Malaysia. Akta Malaysia memperuntukkan beberapa perkara yang kemudiannya dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Antara peruntukkan Akta Malaysia ialah semua hal ehwal luar terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan. Agama Islam adalah agama bagi persekutuan kecuali Sabah dan Sarawak., tetapi agama lain boleh diamalkan dengan bebas. Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan namun, bagi Sabah dan Sarawak, bahasa rasmi iaitu bahasa Inggeris masih boleh digunakan sehingga 10 tahun selepas Hari Malaysia. Sabah dan Sarawak diberi kuasa mengawal hal ehwal imigresen. Rakyat bumiputera di Sabah dan Sarawak mendapat kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang dinikmati orang Melayu di Tanah Melayu.

Pada mulanya, tarikh pembentukan Malaysia dicadangkan pada 31 Ogos 1963 tetapi disebabkan Suruhanjaya Khas PBB yang dihantar ke Sabah dan Sarawak hanya menyiapkan laporan tinjauannya pada 14 September 1963, tarikh asal yang ditetapkan terpaksa ditunda kepada 16 September 1963. Perisytiharan Malaysia dijalankan secara serentak di seluruh negara pada tarikh tersebut. Di Tanah Melayu, perisytiharan dilakukan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur oleh Tunku Abdul Rahman dengan dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu. Perisytiharan di Sabah dibuat oleh Ketua Menteri, Donald Stephens di hadapan Yang Dipertua Negeri, Datu Mustapha bin Datu Harun dan wakil Persekutuan, Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein di Padang Bandar Jesselton, Jesselton (Kota Kinabalu). Perisytiharan di Sarawak pula dibuat oleh wakil kerajaan Persekutuan, Mohd Khir Johari dan dihadiri oleh Yang Dipertuan Negeri, Abang Haji Openg bin Abang Sapiee dan Ketua Menteri, Stephen Kalong Ningkan di Padang Central, Kuching. 

Kemerdekaan awal di Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 merupakan titik tolak kepada pembentukan sebuah Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Usaha kemerdekaan dan pembentukan Malaysia merupakan suatu peristiwa sejarah yang panjang bermula 1946 hinggalah 1963. Usaha mencapai kemerdekaan dan pembentukan Malaysia telah melalui pelbagai dugaan dan cabaran. Namun, berkat kerjasama dan tolak ansur antara rakyat sama ada kaum Melayu dan bukan Melayu di Tanah Melayu ataupun rakyat peribumi di Sabah dan Sarawak, maka kemerdekaan dan pembentukan Malaysia dikecapi sehinggalah ke hari ini. Sebagai sebuah negara yang merdeka, adalah menjadi tanggungjawab semua warganya untuk mempertahankan keharmonian dan kesejahteraan negaranya agar tidak sekali lagi dijajah oleh anasir luar yang jahat kerana penjajahan pada hari ini bukan sahaja dalam bentuk politik tetapi juga dalam bentuk sosial dan ekonomi. Mempertahankan kemerdekaan dan memberikan pengisian bermakna di dalamnya adalah usaha yang berpanjangan agar anak cucu cicit kita dapat menikimati keamanan dan kemakmuran yang sekian lama dipertahankan. Selamat Menyambut Hari Kebangsaan 2016. Merdeka! Merdeka! Merdeka! #sehatisejiwa.