Sunday 19 June 2016

KISAH NABI YUSUF A.S DI DALAM AL QURAN

RAMADHAN DAN TURUNNYA AL-QURAN

Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia. Bulan ini dipilih  sebagai bulan untuk berpuasa dan pada bulan ini pula Al-Qur’an diturunkan. Sebagaimana Allah SWT berfirman,
A185
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Surah Al Baqarah [2] : 185)

MANFAAT MEMBACA AL-QURAN DI BULAN RAMADHAN



Ketika sudah masuk pada bulan Ramadhan seperti yang kita ketahui semua setiap habis solat Asar, solat Tarawih, dan bahkan solat Subuh umat Islam digalakkan untuk membaca Al-Qur’an. Di surau dan masjid suara membaca Al-Qur’an silih berganti. Memang membaca Al-Qur’an di bulan Ramadhan berbeza ketika dibaca di sebelas bulan yang lain. Di bulan-bulan biasa ketika membaca satu huruf, kita akan diberi balasan pahala dengan sepuluh kebaikan. Rasulullah Saw. bersabda:


Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, 

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لاَ أَقُولُ الـم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ.

“Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan itu dibalas sepuluh kali lipat. Saya tidak mengatakan ‘Alif Lam Mim’ satu huruf, tetapi ‘Alif’ satu huruf, ‘Lam’ satu huruf, ‘Mim’ satu huruf.” (HR. At-Tirmidzi). 

SURAH YUSUF DAN KISAH NABI YUSUF DI DALAM AL QURAN



Berbalik kepada kelebihan dan kepentingan amalan membaca dan memahami al-Quran, saya amat tertarik untuk membuat artikel ini mengenai Kisah Nabi Yusuf a.s yang telah saya baca pada Ramadhan ke-12 dan 13. Nabi Yusuf a.s merupakan antara para nabi dan rasul yang wajib diketahui oleh semua orang Islam sesuai dengan rukun iman yang ke 4 iaitu Beriman Kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul.



Surah Yusuf (سورة يوسف) adalah surah ke-12 dalam Al Qur'an dan terdiri atas 111 ayat. Surah ini termasuk golongan surah-surah Makkiyyah kerana diturunkan di Makkah sebelum hijrah. Surah ini dinamakan surah Yusuf adalah kerana metitikberatkan isinya mengenai riwayat Nabi Yusuf a.s. . Riwayat tersebut adalah salah satu di antara cerita-cerita ghaib yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai mukjizat . Menurut riwayat Al Baihaqi dalam kitab Ad Dalail bahawa segolongan orang Yahudi memeluk agama Islam selepas mereka mendengar cerita Yusuf a.s. Ini kerana ia sesuai dengan cerita-cerita yang mereka ketahui. Dari cerita nabi Yusuf a.s. ini, Nabi Muhammad s.a.w. mengambil unsur pengajaran yang banyak dan merupakan penghibur terhadap beliau dalam menjalankan tugasnya.


Yusuf (Arab يوسف ) (sekitar 1745-1635 SM) merupakan salah satu dari 12 anak-anak lelaki Nabi Yaʿakub a.s dan merupakan asal keturunan dari Nabi Ibrahim a.s. Baginda dilantik menjadi nabi Allah SWT pada tahun 1715 SM dan ia ditugaskan berdakwah kepada kaum Kanʻān dan Hyksos di Mesir. Nama baginda disebutkan sebanyak 27 kali di dalam Al-Quran. Baginda memiliki 2 anak laki dan 1 anak perempuan (Efraim dan Manasye). Baginda wafat di NablusPalestin.


Nama lengkap Nabi Yusuf a.s  adalah Yusuf bin Yaʿakub bin Ishaq bin Ibrahim bin Azar bin Nahur bin Saru' bin Ra'u bin Falikh bin 'Abir bin Syalikh bin Arfahsad bin Sam bin NuhDalam Perjanjian Lama, baginda dikenali sebagai Joseph (Yosef, Hebrew: יוֹסֵף). Nabi Yusuf a.s merupakan putera ketujuh (ada sumber mengatakan anak kesebelas) Nabi Yaʿakub a.s. Nabi Yusuf a.s mempunyai rupa paras yang tampan dan sangat dimanjai oleh bapanya Nabi Ya'akub a.s. Nabi Yusuf a.s mempunyai ibu yang dikenali sebagai Rahil (Rahel) dengan adiknya, Bunyamin (Benyamin). 

Ketika baginda berusia 12 tahun, ibunya meninggal dunia. Oleh itu, baginda sangat disayangi oleh ayahnya Nabi Ya'akub a.s. Kasih sayang yang diperolehi dan kelebihan pada baginda dan Bunyamin mendorong 10 adik-beradik lelaki dari ibu yang lain berasa iri-hati dan dengki yang mewujudkan komplot menarik perhatian bapa mereka. Mereka bercadang untuk membunuh baginda.

Di dalam Al-Qur'an, kisah Nabi Yusuf a.s bermula sejak baginda masih kanak-kanak lagi apabila saudara-saudaranya merancang sesuatu. Baginda bermimpi melihat sebelas planetmatahari, dan bulan bersujud padanya. Allah SWT mewahyukan kisah Nabi Yusuf a.s kepada Nabi Muhammad SAW di dalam al-Quran:
A004
A005
A006

(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku" (Surah Yusuf 12:4). 
Bapanya berkata:" Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.(Surah Yusuf 12:5). 
Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu takbir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub: sebagaimana Ia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana". .(Surah Yusuf 12:6). 

Mimpi tersebut menunjukkan kelebihan yang diberikan Allah SWT kepada baginda Nabi Yusuf a.s. Amatlah berbahaya untuk membongkarkan mimpi tersebut kepada adik-beradiknya yang lain memandangkan baginda dan adiknya, Bunyamin sudahpun dicemburui.

Pada hari sebelum mereka menjalankan rancangan, adik beradik Nabi Yusuf a.s menghadap Nabi Yaakub a.s. untuk meminta izin membawa Nabi Yusuf a.s bermain bersama mereka tetapi bapanya bimbang akan keselamatan Nabi Yusuf a.s yang berkemungkinan baginda akan dimakan serigala jika mereka tidak menjaganya.
Mereka berjaya menjalankan rancangan mereka dengan mencampakkan Nabi Yusuf a.s ke dalam sebuah perigi buta dan pulang ke rumah pada senjanya dengan berpura-pura menangis dan mengatakan kepada Nabi Yaakub a.s bahawa Nabi Yusuf a.s telah dimamah serigala sambil menunjukkan baju Nabi Yusuf a.s yang dilumuri darah palsu (darah kambing biri-biri/kibash) .
Nabi Yaakub a.s tetap tidak percaya dan mengatakan anak-anaknya berdusta kerana cerita mereka itu tidak masuk akal. Meskipun demikian Nabi Yaakub a.s hanya bersabar sahaja sambil memohon pertolongan dari Allah SWT semata-mata.

Sementara itu, baginda Nabi Yusuf a.s telah ditemui oleh rombongan pedagang yang berhenti untuk mengambil air di perigi. Rombongan pedagang itu terkejut apabila melihat bahawa perigi yang disangka mempunyai takungan air itu hanya terdapat seorang kanak-kanak kecil sahaja, lalu rombongan pedagang tersebut mengeluarkan Nabi Yusuf a.s dari telaga/perigi dan membawa baginda ke Mesir. Di sana, baginda dijual dengan harga beberapa dirham sahaja. Baginda dibeli oleh seorang bangsawan berbangsa Qibti atau Mesir yang bernama Futhifar (dalam al-Qur'an digelar al-Aziz - diceritakan bahawa beliau adalah Ketua Polis Mesir). Baginda berkhidmat sebagai hamba di Mesir sehingga dewasa.

Nabi Yusuf a.s hidup tenang dan tenteram di rumah Futhifar, Ketua Polis Mesir, sejak ia menginjakkan kakinya di rumah itu dan kepercayaan penuh dari kedua majikannya. Nabi Yusuf a.s yang telah dewasa mempunyai rupa yang tampan, menawan dan menarik minat ramai perempuan Mesir dan salah satu daripadanya ialah isteri kepada tuannya, Zulaikha.

Setelah lama menahan kehendak, isteri Futhifar memancing Nabi Yusuf a.s agar baginda terlebih dahulu mendekatinya dan bukannya dia dulu yang mendekati Nabi Yusuf a.s demi menjaga kehormatan dirinya sebagai isteri Ketua Polis. Dia selalu berdandan dan berhias malah menggoda Nabi Yusuf a.s apabila baginda berada di rumah. Sikap dingin dan acuh tak acuh baginda terhadap rayuan dan ajakan Zulaikha membuat Zulaikha terdesak dengan nafsunya dan memerangkap baginda untuk ke bilik tidurnya dan menawarkan dirinya. Penolakan baginda membuatkan wajah Zulaikha kemerahan, tanda marah yang meluap-luap kerana merasakan dirinya dihina dan diremehkan oleh Nabi Yusuf a.s dan menganggapnya suatu perbuatan kurang ajar dari seorang hamba terhadap seorang tuan .

Akhirnya, Nabi Yusuf a.s terperangkap apabila Futhifar pulang ketika Zulaikha menarik koyak belakang baju baginda ketika mengejar baginda yang hendak ke pintu. Tanpa sempat Nabi Yusuf a.s membuka mulut, Zulaikha memfitnah baginda di hadapan suaminya. Walau bagaimanapun, baginda terselamat dengan bukti yang berada di hadapan mereka iaitu baju baginda koyak di belakang dan bukan di hadapan. Akhirnya, Futhifar menyebelahi Yusuf dan berita itu sampai ke masyarakat umum.

Cacian dan cemuhan yang diterima Zulaikha membuatkan Zulaikha mempunyai niat untuk mengenakan Nabi Yusuf a.s kembali. Lalu diadakan satu jamuan (di kalangan wanita) dan para jemputan diberikan pisau untuk memotong makanan mereka. Kemudian, Nabi Yusuf a.s disuruh untuk keluar di hadapan para jemputan lalu rupa parasnya membuatkan mereka ternganga hingga mereka tidak sengaja telah melukai jari-jari tangan sendiri dan mengatakan yang Nabi Yusuf a.s bukanlah manusia biasa tetapi malaikat.

Dengan mengambil kesempatan tentang apa yang terjadi, Zulaikha menerangkan betapa Nabi Yusuf a.s tidak mendengar arahan tuannya dan betapa Zulaikha tidak bersalah dalam hal ini dengan mengatakan pasti dia takkan jatuh hati kepadanya kalau bukan kerana paras rupanya. Maka, ramai undangan bersetuju dan menggesa Nabi Yusuf a.s untuk menurut sahaja. Nabi Yusuf a.s yang tidak rela dengan gesaan itu berdoa agar dia lebih rela dimasukkan ke dalam penjara daripada melakukan perbuatan zina.

Futhifar, Ketua Polis Negara, suami Zulaikha memang pasti Nabi Yusuf a.s bersih dari tuduhan yang dilemparkan dan sedar isterinya yang mencemarkan nama baik keluarganya. Kerana itu dia sanggup mengikut kata isterinya untuk memenjarakan Nabi Yusuf a.s agar orang berpendapat yang Nabi Yusuf a.s bersalah untuk mengembalikan nama baiknya.

Nabi Yusuf a.s dimasukkan ke dalam penjara bukan disebabkan telah melakukan kesalahan, tetapi kerana tuannya ingin meletakkan kesalahan pada diri baginda. Walau bagaimanapun, bagi baginda, penjara adalah tempat yang aman untuk menghindari segala godaan dan tipu daya yang akan menjerumuskannya ke dalam kemaksiatan dan perbuatan mungkar dan keadaan yang sempit dan tidak selesa membolehkan baginda beribadat.

Nabi Yusuf a.s dipenjarakan bersama dua orang pegawai istana Firaun yang dituduh hendak meracuni Firaun atas perintah dan dengan kerjasama pihak musuh istana. Salah seorang daripada mereka ialah penjaga gudang makanan dan seorang lagi ialah pelayan meja istana. Pada suatu hari, kedua tahanan itu menceritakan kepada baginda bahawa mereka telah mendapat mimpi.

Si pelayan bermimpi dia akan memerah anggur dan si penjaga gudang melihat dirinya menjunjung roti sambil dipatuk dan disambar burung. Mereka berharap agar Nabi Yusuf a.s mentafsirkan mimpi tersebut memandangkan mereka melihat baginda sebagai orang yang boleh berbuat demikian.

Nabi Yusuf a.s memberi tafsiran bahawa si pelayan yang memerah anggur akan dibebaskan manakala yang disambar burung akan dihukum mati. Maka, benarlah apa yang dikatakan baginda dan si pelayan itu dibebaskan.

Baginda memesan agar si pelayan itu menyebut namanya di hadapan siapa dia bekerja iaitu Firaun dan memberitahu yang dia dipenjarakan bukan atas kesalahannya. Walau bagaimanapun, si pelayan itu telah terlupa akibat perbuatan iblis dan syaitan dan menyebabkan baginda terperangkap di dalam penjara untuk beberapa tahun lagi.

Pada suatu hari, firaun Mesir mengumpulkan para pembesar, penasihat dan cendekiawan untuk mentafsir mimpi yang telah merunsingkan dan menakutkannya. Firaun itu bermimpi melihat tujuh ekor lembu gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus-kurus. Dia juga melihat dalam mimpinya tujuh tangkai gandum hijau di samping tujuh tangkai yang lain kering sekali.

Tiada siapapun yang dapat memberikan tafsiran bagi mimpi Firaun bahkan sebahagian mereka menganggapnya hanyalah mimpi kosong yang tidak bererti dan menganjurkan Firaun agar melupakan saja mimpinya itu.

Pelayan Firaun, pemuda yang pernah berjumpa Nabi Yusuf a.s di dalam penjara teringat pesan Nabi Yusuf a.s kepadanya sewaktu dia dikeluarkan dari penjara. Lalu dia memberanikan diri untuk menghampiri Firaun mengesyorkan agar Firaun merujuk kepada Nabi Yusuf a.s.

Dengan izin Firaun, pelayan tersebut mengunjungi Nabi Yusuf a.s di dalam penjara dan menceritakan apa yang berlaku kisah mimpi Firaun dan jawapan penasihat Firaun. Dia mengatakan kepada Nabi Yusuf a.s jika Firaun dapat dipuaskan dengan tafsir mimpinya, berkemungkinan baginda akan dikeluarkan dari penjara setelah bertahun lamanya.

Al-Quran menceritakan:
A047
A048
A049

Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. [Surah Yusuf: 47]
Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih) [Surah Yusuf: 48].
"Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)" [Surah Yusuf: 49]

Nabi Yusuf a.s yang sudah cukup derita hidup sebagai banduan yang tidak berdosa enggan keluar dari penjara sebelum peristiwanya dengan isteri Ketua Polis Negara diselesaikan terlebih dahulu dan fitnah yang dituduh ke atasnya. Baginda ingin keluar dari penjara sebagai orang yang suci bersih.

Firaun Mesir yang sudah banyak mendengar tentang Nabi Yusuf a.s dan terkesan oleh tafsir mimpi baginda, membantu baginda lalu Firaun Mesir mengeluarkan titah untuk mengumpulkan para wanita yang telah menghadiri jamuan makan Zulaikha dan terhiris jari ketika itu. Mereka menceritakan tentang apa yang mereka lihat dan alami dalam jamuan itu dan mengatakan Nabi Yusuf a.s adalah ia seorang yang jujur, dan bersih. Zulaikha pula mengaku dialah yang bersalah.

Hasil pertemuan itu diumumkan ke seluruh lapisan masyarakat dan atas perintah Firaun, Nabi Yusuf a.s dikeluarkan dari penjara secara hormat dan bersih dari segala tuduhan.

Kecerdasan, pengetahuan, kesabaran , kejujuran, keramahan dan akhlak serta budi pekerti baginda membuatkan Firaun terfikir untuk menyerahkan tugas untuk membantunya memimpin negara dan rakyat. Maka, Nabi Yusuf a.s ditawarkan untuk tinggal di istana dan mewakili Firaun menyelenggarakan pemerintahan serta pengurusan negara serta memimpin rakyat Mesir yang diramalkan akan menghadapi masa-masa sukar dan sulit.

Nabi Yusuf a.s tidak menolak tawaran Firaun Mesir itu. Baginda meminta agar diberi kuasa untuk pada bahagian perbendaharaan (kewangan dan pengedaran makanan). Pada hari penobatan yang dihadiri oleh para pembesar dan bangsawan, Nabi Yusuf a.s dinaikkan sebagai wazir dengan mengenakan pakaian kerajaan dan hiasan yang mewah.

Kemudian, Firaun Mesir berkenan untuk mengahwinkan Nabi Yusuf a.s dengan Zulaikha, janda majikannya yang telah meninggal dunia ketika Nabi Yusuf a.s masih dalam penjara. Nabi Yusuf a.s menerima dan mendapat dua orang putera (menurut pendapat ulama, putera baginda dinamakan Ifratsim dan Minsya).

Dalam masa tujuh tahun pertama Nabi Yusuf a.s menjalankan pemerintahan di Mesir, rakyat merasakan hidup tenteram, aman dan sejahtera. Barang-barang keperluan untuk semua tanpa terkecuali. Baginda juga tidak lupa peringatan yang terkandung dalam mimpi Firaun Mesir, lalu mempersiapkan gudang bagi penyimpanan makanan untuk musim kemarau yang bakal tiba. Maka, tempoh kemarau telah dilalui tanpa sebarang kesukaran.

Musim kemarau membuatkan ramai orang luar Mesir seperti dari Palestin datang untuk meminta bantuan. Antara mereka ialah adik-beradik Nabi Yusuf a.s sendiri. Walau bagaimanapun, mereka tidak tahu bahawa Nabi Yusuf a.s masih hidup malah menjadi orang besar memimpin negara Mesir sebagai wakil Firaun.

Abang-abang Nabi Yusuf a.s yang tinggal di Palestin pergi ke Mesir bagi menukar barangan dengan makanan. Mereka masuk ke bandar Mesir dan pergi menemui Nabi Yusuf a.s yang menjaga gudang simpanan makanan. Dalam pertemuan itu Nabi Yusuf a.s serta-merta telah mengenali abang-abangnya tetapi mereka tidak mengenalinya.

Nabi Yusuf a.s ingin menguji abang-abangnya dengan meragukan identiti dan mengesyaki mereka sebagai musuh dan meminta bukti. Oleh kerana mereka adalah orang-orang musafir gharib, maka sukar sekali bagi mereka untuk memberi bukti atau membawa saksi. Nabi Yusuf a.s memberi peluang kepada mereka dengan membenarkan mereka membeli gandum dari gudang dengan syarat mereka harus membawa Bunyamin atau mereka tidak akan mempunyai peluang lagi. Mereka kini sukar untuk membawa Bunyamin memandangkan bapa mereka Nabi Ya’akub a.s menyayanginya dan lebih berat untuk meninggalkannya selepas khabar akan "kematian" Nabi Yusuf a.s.

Nabi Yusuf a.s bukanlah ingin menganiaya atau membalas dendam tetapi hanya sekadar ingin mengetahui keadaan ayah dan adik bongsunya, Bunyamin yang sudah bertahun-tahun ditinggalkan dan hanya sekadar taktik untuk mempertemukan kembali dengan ayah dan saudara-saudaranya yang sudah lama terpisah. Kemudian baginda memerintahkan pegawai-pegawainya mengisi karung-karung dengan makanan yang perlu tanpa mengambil sedikitpun barangan mereka untuk ditukar.

Tanpa mengetahu hal itu, mereka kembali di Palestin dan memberitahu Nabi Ya'akub a.s tentang perjalanan mereka dan bagaimana Nabi Yusuf a.s menerima mereka. Tetapi ayah mereka tidak mengizinkan mereka membawa Bunyamin kerana tidak mempercayai mereka lagi setelah apa yang berlaku ke atas Nabi Yusuf a.s. Setelah mengetahui bahawa barang untuk ditukar dengan makanan dipulangkan kembali, mereka lebih mudah meyakinkan ayah mereka, Bunyamin dibenarkan mengikuti mereka ke Mesir.

Setibanya di istana, mereka disambut oleh Nabi Yusuf a.s yang masih mereka belum menyedari hakikat bahawa itu adalah adik mereka. Mereka disediakan jamuan dan tempat penginapan untuk setiap dua orang sebuah rumah tetapi, Bunyamin diajak bersamanya menginap di istana. Di istana, Nabi Yusuf a.s memberitahu segalanya kepada adiknya dan adiknya memberitahu tentang ayahnya pula.

Kemudian, Allah SWT telah memberi ilham kepada Nabi Yusuf a.s supaya baginda menyediakan barang-barang makanan untuk dibawa pulang oleh abang-abangnya dan meletakkan piala minuman Raja Mesir di dalam karung barang-barangan yang diletakkan di atas unta Bunyamin.

Kemudian Nabi Yusuf a.s menyuruh pembantunya berpura-pura menjerit mengatakan Raja Mesir (Firaun) telah kehilangan piala minuman baginda dan menuduh abang-abang Nabi Yusuf a.s yang mencuri piala raja itu.

Selepas meminta diri, mereka pulang tetapi dikejar oleh pengawal istana berkuda untuk memeriksa barangan mereka. Para pengawal mengatakan piala minuman firaun telah hilang dan mungkin salah seorang daripada mereka telah mencurinya. Mereka mengatakan mereka ke sana bukan untuk mencuri tetapi penggeledahan tetap dilakukan lalu mereka menemui piala minuman itu.

Oleh kerana piala minuman itu ditemui dalam karung kepunyaan Bunyamin, maka Bunyamin ditahan dan tidak dibenarkan menyertai rombongan untuk pulang. Kerisauan muncul dalam fikiran yang lain kerana khuatir akan ayah mereka yang telahpun sengsara dengan kehilangan Nabi Yusuf a.s.

Lalu mereka menghadap Nabi Yusuf a.s dan merayu agar Bunyamin digantikan dengan sesiapa daripada mereka. Oleh kerana rayuan mereka tidak diterima, Yahudza (abang tiri paling sulung) sanggup menemani Bunyamin. Yang lain pula pulang ke Palestin untuk memberitahu ayah mereka.

Apabila berita itu disampaikan kepada ayah mereka, Nabi Ya'akub a.s tersangat berdukacita dan sentiasa menitiskan air mata sehingga dia menjadi buta. Selepas beberapa waktu, Nabi Yaakub a.s menyuruh abang-abang Nabi Yusuf a.s pergi semula ke Mesir membeli barang makan dan mencari berita tentang Nabi Yusuf a.s dan Bunyamin.

Maka mereka pun sekali lagi pergi ke Mesir. Setibanya di sana mereka terus pergi menemui Nabi Yusuf a.s dengan membawa barang-barang tukaran yang kurang elok mutunya bagi membeli bahan makanan, kerana itu mereka merayu supaya mereka dikasihani.

Pada saat itulah Nabi Yusuf a.s memperkenalkan siapa dirinya yang sebenar dan memperingatkan abang-abangnya akan apa yang telah mereka lakukan kepadanya suatu masa dahulu.

Kemudian apabila abang-abangnya sudah bersedia pulang ke Palestin, Nabi Yusuf a.s mengirimkan bajunya dengan pesanan supaya baju itu disapukan ke muka Nabi Yaakub a.s. Nabi Yusuf a.s juga menyuruh abang-abangnya datang semula ke Mesir dengan membawa ibu bapanya bersama (untuk berpindah dan bermastautin di Mesir).

Semasa abang-abang Nabi Yusuf a.s masih dalam perjalanan pulang, Nabi Yaakub a.s memberitahu saudara-maranya dia tercium-cium bau badan Nabi Yusuf a.s.

Setelah abang-abang Nabi Yusuf a.s tiba di Palestin dari Mesir, mereka menyapukan baju Nabi Yusuf a.s ke muka Nabi Yaakub a.s lalu ayah mereka dapat melihat kembali. Abang-abang Nabi Yusuf a.s mengaku telah berdosa dan meminta supaya ayah mereka meminta ampun bagi pihak mereka lalu Nabi Yaakub a.s memohon Allah mengampun anak-anaknya yang sudah insaf.

Abang-abang Nabi Yusuf a.s kemudian membawa ibu bapa mereka ke Mesir bagi berjumpa semula dengan Nabi Yusuf. Apabila mereka berjumpa, Nabi Yusuf a.s memeluk kedua ibu bapanya lalu menjemput mereka duduk di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka tunduk memberi hormat kepada Nabi Yusuf a.s.

Kata Nabi Yusuf a.s, itulah makna taabir mimpinya dahulu, iaitu sebelas adik-beradiknya menghormati dirinya sebagai manusia yang mulia di sisi Allah.

Menurut cerita riwayat tradisi, baginda Nabi Yusuf wafat ketika berumur 110 tahun di Mesir dan kerandanya di bawa oleh Nabi Musa a.s. ketika baginda berhijrah keluar dari Mesir agar dapat dikebumikan di Palestin.
Al-Quran menerangkan:
A101
"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh". [Surah Yusuf: 101]

Begitulah kisah Nabi Yusuf a.s yang menghadapi pelbagai dugaan daripada Allah SWT dan tabah menghadapinya dengan penuh kesabaran. Kesabaran Nabi Yusuf a.s dalam menghadapi ujian Allah SWT menjadikan baginda seorang nabi dan diberikan mukjizat sehingga menjadi pembesar di Mesir dan Raja Mesir.