Friday 28 June 2019

SEJARAH 1: MASYARAKAT AGRARIA DI BELANDA PADA ABAD KE 16 DAN KE 17 MASIHI

SEJARAH 1:  DUNIA
TEMA 1: MASYARAKAT

PENDAHULUAN
Masyarakat agraria merupakan masyarakat yang berasaskan pertanian, penternakan, dan pemungutan hasil hutan serta sungai. Masyarakat agraria tinggal menetap di kawasan tanah pertanian yang subur dan sesuai untuk menjalankan kegiatan pertanian. Belanda telah mengalami ledakan ekonomi pada tahun 1585 selepas berjaya melepaskan cengkaman pemerintahan Raja Philip II dari Sepanyol. Revolusi Pertanian yang berlaku telah menaikkan taraf hidup masyarakat Belanda di Eropah. Belanda telah menjadi kuasa perdagangan di Eropah dan pelabuhan di Amsterdam juga turut berkembang kesan daripada revolusi teknik pembinaan kapal. Belanda mencapai zaman kegemilangan ekonomi pada abad ke-16 hingga ke-17. Masyarakat Belanda memberi keutamaan kepada aktiviti bercucuk tanam dan penternakan sebagai sumber ekonomi mereka.

ISI 1: PERTANIAN PESISIR PANTAI
Belanda melaksanakan aktiviti pertanian di pesisir pantai. Mereka mendirikan petempatan di kawasan yang subur seperti Friesland, Zeeland, Flanders dan Utrect. Kerajaan menambak laut kesan pertambahan penduduk dan keperluan bahan makanan. Pada abad ke-17, berlaku pertambahan tanah pertanian kepada 36 ribu ekar dari 1590 hingga 1615 kesan tambakan laut oleh kerajaan Belanda. Ini menyebabkan berlaku peningkatan dalam pengeluaran hasil pertanian. Pada tahun 1590 hingga tahun 1615, dianggarkan sebanyak 36 000 ekar tanah digunakan untuk pertanian.

ISI 2: TANAMAN BIJIRIN
Masyarakat agraria Belanda memfokus tanaman bijirin bagi menampung keperluan makanan seperti gandum, barli, oat dan kekacang. Kekurangan tanah pertanian menyebabkan Belanda mengimport bijirin dari Perancis. Masyarakat agraria di Belanda turut mengusahakan tanaman komersial atau dagangan yang mendapat permintaan tinggi, antaranya bunga tulip, hem, biji cole dan mader. Biji cole giat diusahakan di utara Belanda kerana menghasilkan minyak. Mader pula diusahakan kerana akarnya dijadikan pewarna industri tekstil.

ISI 3: PENTERNAKAN
Merupakan ekonomi kedua terpenting masyarakat agraria di Belanda. Terdapat 2 jenis lembu yang diternak iaitu lembu tenusu dan lembu daging. Lembu tenusu diternak untuk industri tenusu seperti keju, mentega dan susu segar. Hasil tenusu dapat menampung keperluan domestik dan turut dieksport ke England, Perancis dan Sepanyol seterusnya meningkatkan taraf hidup masyarakat. Lembu daging dieksport antara tahun 1500 hingga 1660. Pada tahun 1662, 2 ribu ekor dieksport oleh VOC(Syarikat Hindia Timur Belanda) ke Indonesia setiap tahun.

ISI 4: INOVASI PENANAMAN
Masyarakat agraria Belanda mempelbagaikan kaedah penanaman. Pada peringkat awal, sistem pertanian padang terbuka diamalkan. Sistem ini dilaksanakan setiap musim dan para petani mengusahakan 2 daripada 3 bidang tanah. 1 bidang tanah dijadikan sebagai tanah rang untuk kesuburan tanah. Terdapat juga kaedah tanaman bergilir untuk tanah lebih produktif antara tanaman ubi-ubian, kekacang dan bijirin. Kaedah penggilirian ini telah menghapuskan sistem tanah secara perlahan-lahan. Sistem menanam dengan membuat batas juga digunakan dan kedudukan batas-batas ini diubah setiap tahun untuk kesuburan. Batas-batas ini dibentuk secara deretan atau jajaran.

ISI 5: TEKNOLOGI TINGGI
Penggunaan teknologi dapat memastikan peningkatan produktiviti. Oleh itu, masyarakat agraria Belanda mencipta peralatan baharu seperti tenggala beroda dan mesin menampi bijirin. Pada tahun 1600, Jan Adriannszoon berjaya memajukan kaedah mengeringkan air dengan membina sejumlah daik dan kincir air. Pada tahun 1612, Tasik Beemster berjaya dikeringkan membentuk dataran baharu yang dikenali sebagai Beemster Polder. Daik-daik dan kincir angin diguna untuk menyekat air laut dari memasuki kawasan petempatan dan pertanian. Banyak kawasan berjaya dikeringkan atau ditebus guna sebagai kawasan pertanian. Kincir angin pula menyalurkan air ke kawasan tanah tinggi.

KESIMPULAN
Kesan penggunaan teknologi tinggi serta kreativiti masyarakat agraria Belanda serta sokongan kerajaan telah membawa kepada peningkatan dalam pengeluaran hasil-hasil pertanian. Lebihan hasil pertanian yang dieksport ke luar Belanda turut meningkatkan taraf hidup golongan petani. Belanda terkenal sebagai negara penghasilan barangan berasaskan pertanian dan penternakan sehingga ke hari ini.

Sunday 23 June 2019

SEJARAH 3: SUSUN LAPIS MASYARAKAT MELAYU SEBELUM CAMPUR TANGAN BRITISH 1874

BAHAGIAN A: SEJARAH MALAYSIA

PENDAHULUAN
Masyarakat Melayu tradisional terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah terdiri daripada sultan/raja, kerabat raja (bangsawan), pembesar daerah, golongan ulama dan penghulu. Golongan yang diperintah pula terdiri daripada golongan merdeheka dan golongan hamba. Wujud hubungan timbal balik antara golongan pemerintah dengan golongan diperintah.

ISI 1: SULTAN/RAJA
Sultan dianggap sebagai ketua negeri dan kedudukannya teratas dalam pemerintahan. Baginda juga dihormati oleh pembesar daerah dan rakyat sebagai ketua negeri. oleh itu, baginda berkuasa mutlak dalam pemerintahan dan pentadbiran serta tindak-tanduknya tidak boleh dipersoalkan. Seterusnya, sultan juga bertanggungjawab menjaga keamanan dan baginda dianggap sebagai lambang perpaduan negeri. pengukuhan kuasa dan kedudukan sultan melalui konsep daulat dan derhaka. Kesetiaan sepenuhnya diberikan oleh rakyat kepada sultan. Barang siapa yang melanggar perintah sultan dianggap menderhaka dan akan mendapat tulah atau kesengsaraan. Oleh itu, pengukuhan kuasa daulat ini dapat diperlihatkan sebagai keistimewaan yang dimiliki oleh sultan seperti menggunakan bahasa istana, alat kebesaran dan warna kuning. Pertabalan sultan adalah melalui sistem warisan, sistem penggiliran seperti di Perak, dan sistem pelantikan oleh Undang seperti di Negeri Sembilan.

ISI 2: KERABAT DIRAJA (BANGSAWAN)
Merupakan lapisan kedua dalam masyarakat Melayu. Golongan ini mempunyai pertalian darah dengan sultan yang memerintah. Mereka juga adalah golongan kerabat diraja atau golongan bangsawan. Golongan ini akan menggunakan gelaran raja, tengku, dan engku. Oleh itu, golongan ini mempunyai pengaruh besar di istana, memiliki beberapa keistimewaan dan dilantik menjadi pemerintah jajahan takluk.

ISI 3: PEMBESAR JAJAHAN (DAERAH)
Pembesar-pembesar yang dilantik akan diberikan hak mentadbir jajahan atau daerah biasanya mereka yang terdiri daripada mereka yang sangat dipercayai oleh sultan. Pelantikan pembesar ini akan disertakan dengan surat tauliah dan cop mohor sebagai bukti bahawa mereka telah dilantik dan menjadi wakil sultan untuk mentadbir jajahan atau daerah tersebut. Antara pembesar yang dilantik menjadi pembesar jajahan ialah Long Jaafar di Larut, Dato' Maharaja Lela di Pasir Salak dan Raja Abdullah di Klang. Antara tanggungjawab pembesar jajahan ialah mengadili dan menjatuhkan hukuman kepada pesalah dalam daerah atau jajahannya kecuali hukuman bunuh, memungut cukai kawasan jajahannya, menyerahkan tenaga buruh untuk sistem kerah, membekalkan tenaga ketenteraan untuk raja, menghadap sultan dan melaksanakan istiadat menjunjung duli pada Hari Raya Puasa.

ISI 4: PENGHULU
Penghulu akan mengetuai pentadbiran kampung. Penghulu dipilih dalam kalangan rakyat biasa yang mempunyai latar belakang orang yang baik-baik, dihormati dan berpengaruh. Penghulu juga dilantik daripada anggota kumpulan masyarakat atau kumpulan keluarga yang terkemuka di kampung serta mendapat sokongan daripada pemerintah. Sultan pula akan melantik penghulu dan dianugerahkan surat tauliah sebagai syarat sah perlantikannya. Tanggungjawab penghulu adalah sebagai seorang perantara dan saluran perhubungan antara penduduk kampung dan pembesar daerah, menjaga keamanan masyarakat kampungnya, memastikan penduduk kampung memberikan ketaatsetiaan kepada sultan, menjalankan perundangan di kampung seperti mengadili kes pembahagian harta, perceraian, perkahwinan, pergaduhan dan sebagainya. Selain itu, penghulu juga berfungsi membekalkan tenaga sistem kerah, membekalkan tenaga buruh kepada raja serta mengutip cukai di kampungnya.

ISI 5: GOLONGAN ULAMA
Golongan ulama ini biasanya terdiri daripada keturunan Arab-Melayu dan kebanyakan daripada ulama ini berasal dari Asia Barat, India dan Pulau Jawa. Mereka menggunakan gelaran tertentu seperti maulana, kadi dan makhdum. Golongan ulama merupakan golongan cerdik pandai yang pakar pakar dalam hal ehwal agama Islam. Oleh itu, mereka diberi kepercayaan oleh sultan untuk memegang jawatan sebagai kadi, mufti, imam, khatib, dan guru agama. Selain itu, para ulama juga menasihati raja tentang hukum syarak dan hal ehwal agama. Mereka juga turut mahir dalam bidang kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, adat istiadat dan salasiah raja-raja.

ISI 6: GOLONGAN MERDEHEKA DAN HAMBA
Golongan merdeheka terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu rakyat biasa dan orang asing. Rakyat biasa merupakan penduduk peribumi yang bermastautin tetap di negeri tersebut. Mereka akan menjadi pengikut setia kepada pembesar-pembesar yang mentadbir daerah atau jajahan. Rakyat biasa hidup bebas menjalankan kegiatan ekonomi masing-masing seperti berdagang, berniaga, menangkap ikan, melombong dan menjadi tukang mahir. Mereka tertakluk dalam menjalankan sistem kerah dan serah. Lapisan terakhir dalam struktur masyarakat Melayu merupakan golongan hamba. Golongan hamba berfungsi dalam menyediakan tenaga kerja dan merupakan status sosial yang utama bagi golongan pembesar. Hamba terdiri daripada tiga kumpulan iaitu hamba biasa (abdi, diranggah dan habsyi), hamba berhutang( anak emas dan waris) dan hamba raja (perang, tawanan dan banduan).

KESIMPULAN
Kedudukan golongan diperintah ini mengukuhkan kedudukan golongan pemerintah dalam masyarakat Melayu tradisional dengan ikatan sosial yang dimeterai. Terdapat mobiliti sosial dalam masyarakat tradisional kerana kedudukan seseorang boleh berubah setelah menerima anugerah daripada raja kerana kebolehan, keistimewaan dan berjasa kepada raja. Selepas kedatangan British, sistem hamba dihapuskan dan ini membawa kepada penentangan terhadap British.