Sunday 23 June 2019

SEJARAH 3: SUSUN LAPIS MASYARAKAT MELAYU SEBELUM CAMPUR TANGAN BRITISH 1874

BAHAGIAN A: SEJARAH MALAYSIA

PENDAHULUAN
Masyarakat Melayu tradisional terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah terdiri daripada sultan/raja, kerabat raja (bangsawan), pembesar daerah, golongan ulama dan penghulu. Golongan yang diperintah pula terdiri daripada golongan merdeheka dan golongan hamba. Wujud hubungan timbal balik antara golongan pemerintah dengan golongan diperintah.

ISI 1: SULTAN/RAJA
Sultan dianggap sebagai ketua negeri dan kedudukannya teratas dalam pemerintahan. Baginda juga dihormati oleh pembesar daerah dan rakyat sebagai ketua negeri. oleh itu, baginda berkuasa mutlak dalam pemerintahan dan pentadbiran serta tindak-tanduknya tidak boleh dipersoalkan. Seterusnya, sultan juga bertanggungjawab menjaga keamanan dan baginda dianggap sebagai lambang perpaduan negeri. pengukuhan kuasa dan kedudukan sultan melalui konsep daulat dan derhaka. Kesetiaan sepenuhnya diberikan oleh rakyat kepada sultan. Barang siapa yang melanggar perintah sultan dianggap menderhaka dan akan mendapat tulah atau kesengsaraan. Oleh itu, pengukuhan kuasa daulat ini dapat diperlihatkan sebagai keistimewaan yang dimiliki oleh sultan seperti menggunakan bahasa istana, alat kebesaran dan warna kuning. Pertabalan sultan adalah melalui sistem warisan, sistem penggiliran seperti di Perak, dan sistem pelantikan oleh Undang seperti di Negeri Sembilan.

ISI 2: KERABAT DIRAJA (BANGSAWAN)
Merupakan lapisan kedua dalam masyarakat Melayu. Golongan ini mempunyai pertalian darah dengan sultan yang memerintah. Mereka juga adalah golongan kerabat diraja atau golongan bangsawan. Golongan ini akan menggunakan gelaran raja, tengku, dan engku. Oleh itu, golongan ini mempunyai pengaruh besar di istana, memiliki beberapa keistimewaan dan dilantik menjadi pemerintah jajahan takluk.

ISI 3: PEMBESAR JAJAHAN (DAERAH)
Pembesar-pembesar yang dilantik akan diberikan hak mentadbir jajahan atau daerah biasanya mereka yang terdiri daripada mereka yang sangat dipercayai oleh sultan. Pelantikan pembesar ini akan disertakan dengan surat tauliah dan cop mohor sebagai bukti bahawa mereka telah dilantik dan menjadi wakil sultan untuk mentadbir jajahan atau daerah tersebut. Antara pembesar yang dilantik menjadi pembesar jajahan ialah Long Jaafar di Larut, Dato' Maharaja Lela di Pasir Salak dan Raja Abdullah di Klang. Antara tanggungjawab pembesar jajahan ialah mengadili dan menjatuhkan hukuman kepada pesalah dalam daerah atau jajahannya kecuali hukuman bunuh, memungut cukai kawasan jajahannya, menyerahkan tenaga buruh untuk sistem kerah, membekalkan tenaga ketenteraan untuk raja, menghadap sultan dan melaksanakan istiadat menjunjung duli pada Hari Raya Puasa.

ISI 4: PENGHULU
Penghulu akan mengetuai pentadbiran kampung. Penghulu dipilih dalam kalangan rakyat biasa yang mempunyai latar belakang orang yang baik-baik, dihormati dan berpengaruh. Penghulu juga dilantik daripada anggota kumpulan masyarakat atau kumpulan keluarga yang terkemuka di kampung serta mendapat sokongan daripada pemerintah. Sultan pula akan melantik penghulu dan dianugerahkan surat tauliah sebagai syarat sah perlantikannya. Tanggungjawab penghulu adalah sebagai seorang perantara dan saluran perhubungan antara penduduk kampung dan pembesar daerah, menjaga keamanan masyarakat kampungnya, memastikan penduduk kampung memberikan ketaatsetiaan kepada sultan, menjalankan perundangan di kampung seperti mengadili kes pembahagian harta, perceraian, perkahwinan, pergaduhan dan sebagainya. Selain itu, penghulu juga berfungsi membekalkan tenaga sistem kerah, membekalkan tenaga buruh kepada raja serta mengutip cukai di kampungnya.

ISI 5: GOLONGAN ULAMA
Golongan ulama ini biasanya terdiri daripada keturunan Arab-Melayu dan kebanyakan daripada ulama ini berasal dari Asia Barat, India dan Pulau Jawa. Mereka menggunakan gelaran tertentu seperti maulana, kadi dan makhdum. Golongan ulama merupakan golongan cerdik pandai yang pakar pakar dalam hal ehwal agama Islam. Oleh itu, mereka diberi kepercayaan oleh sultan untuk memegang jawatan sebagai kadi, mufti, imam, khatib, dan guru agama. Selain itu, para ulama juga menasihati raja tentang hukum syarak dan hal ehwal agama. Mereka juga turut mahir dalam bidang kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, adat istiadat dan salasiah raja-raja.

ISI 6: GOLONGAN MERDEHEKA DAN HAMBA
Golongan merdeheka terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu rakyat biasa dan orang asing. Rakyat biasa merupakan penduduk peribumi yang bermastautin tetap di negeri tersebut. Mereka akan menjadi pengikut setia kepada pembesar-pembesar yang mentadbir daerah atau jajahan. Rakyat biasa hidup bebas menjalankan kegiatan ekonomi masing-masing seperti berdagang, berniaga, menangkap ikan, melombong dan menjadi tukang mahir. Mereka tertakluk dalam menjalankan sistem kerah dan serah. Lapisan terakhir dalam struktur masyarakat Melayu merupakan golongan hamba. Golongan hamba berfungsi dalam menyediakan tenaga kerja dan merupakan status sosial yang utama bagi golongan pembesar. Hamba terdiri daripada tiga kumpulan iaitu hamba biasa (abdi, diranggah dan habsyi), hamba berhutang( anak emas dan waris) dan hamba raja (perang, tawanan dan banduan).

KESIMPULAN
Kedudukan golongan diperintah ini mengukuhkan kedudukan golongan pemerintah dalam masyarakat Melayu tradisional dengan ikatan sosial yang dimeterai. Terdapat mobiliti sosial dalam masyarakat tradisional kerana kedudukan seseorang boleh berubah setelah menerima anugerah daripada raja kerana kebolehan, keistimewaan dan berjasa kepada raja. Selepas kedatangan British, sistem hamba dihapuskan dan ini membawa kepada penentangan terhadap British.

3 comments: