Thursday 29 July 2021

30/07/2021: NOTA SEJARAH 1 STPM (ESEI SEJARAH STPM)

ESEI SEJARAH STPM


Satu esei sejarah dalam peperiksaan STPM diperuntukkan 20 markah dan semua ini adalah sama dalam semua jenis peperiksaan sejarah yang dijalankan. Untuk mendapat 20 markah, pelajar perlu mempunyai struktur dan kandungan esei yang baik.

Esei yang baik dalam peperiksaan Sejarah STPM perlu mempunyai perkara-perkara berikut:

1.      Pendahuluan/pengenalan (3 markah)

2.      Isi (15 markah)

3.      Kesimpulan/Penutup (2 markah)

Jika dikira semua perkara di atas markahnya adalah berjumlah 20 markah. Oleh itu, pelajar perlu menguasai  3 perkara di atas untuk menghasilkan sebuah esei Sejarah STPM yang bermarkah baik. Perkara yang paling penting dalam penghasilan esei yang baik adalah pembacaan yang banyak dan daya ingatan serta imaginasi yang tinggi. Ini kerana, isi-isi atau fakta-fakta sejarah adalah perkara sebenar yang telah berlaku dan perlu dikuasai. Pelajar juga perlu pandai membuat huraian untuk menegaskan dan menghujah fakta dalam isi yang ditulis. Penggunaan bahasa yang menarik dan mudah difahami oleh pemeriksa juga sangat penting Tulisan dan penggunaan alat tulis juga turut mempengaruhi dalam penghasilan esei yang baik.

Berikut merupakan satu contoh soalan beserta jawapan esei Sejarah STPM:

SEJAUH MANAKAH PAKATAN TENTERA MERUPAKAN FAKTOR YANG MENCETUSKAN PERANG DUNIA PERTAMA 1914-1918.

1.      Pengenalan

Perang Dunia Pertama berlangsung antara tahun 1914 hingga 1918 dan berlaku dalam kalangan negara-negara Eropah sahaja. Negara-negara Eropah yang terlibat ialah Jerman, Britain, Rusia, Perancis, Austria-Hungary, Serbia, Itali, Belgium, dan Turki. Perang ini dikenali sebagai The Great War kerana sebelum ini tidak pernah berlaku peperangan sebesar dan sedasyat ini berlaku. Perang ini melibatkan dua pihak iaitu Triple Alliance dan Triple Entente. Triple Alliance atau Perikatan Kuasa Tengah dianggotai oleh Jerman, Austria-Hungary, dan Itali manakala Triple Entente atau Pakatan Bertiga dianggotai oleh Rusia, Perancis, dan Britain. Perang ini memperlihatkan dua buah kuasa atau dua blok yang masing-masing mempunyai kepentingan. Peperangan ini berakhir apabila Jerman berjaya dikalahkan oleh Rusia. Terdapat banyak faktor yang mencetuskan perang ini. Sistem Pakatan tentera yang dibentuk di Eropah bagi mengawal kuasa antara faktor tercetusnya Perang Dunia Pertama.

2.      Isi 1

Sistem Pakatan yang dibentuk di Eropah gagal mencapai tujuannya untuk mengimbangi kuasa antara negara-negara yang kuat di Eropah. Pada peringkat awal, Sistem Pakatan Tentera dibentuk pada tahun 1870 apabila Jerman berjaya mengalahkan Perancis. Ini bertujuan untuk menyekat mana-mana kuasa yang lebih kuat daripada lawannya atau mengimbangi kuasa antara negara-negara terbabit. Kepentingan wujudnya sistem pakatan tentera ini ialah bagi memastikan kestabilan politik antara kuasa-kuasa berkenaan terutamanya selepas kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyah. Selepas tahun 1900, situasi mula berubah apabila timbulnya perasaan saling mencurigai antara kuasa-kuasa berkenaan terutamanya selepas kejatuhan Kerajaan Islam tersebut. Rusia berusaha mengukuhkan pengaruhnya dalam kalangan bangsa Slav, bertembung pula dengn tindakan Austria-Hungary yang berhasrat menguasai negara-negara Balkan seperti Bosnia dan Serbia. Perlumbaan senjata turut berlaku antara Jerman, Britain, dan Perancis. Sebagai contoh antara tahun 1908 hingga 1914, Britain, Jerman, Rusia dan Austria-Hungary telah menambah lebih 50 peratus perbelanjaan ketenteraan. Sistem Pakatan Tentera dianggap gagal selepas Britain hanya memberi sokongan kepada Rusia dan Perancis pada Ogos 1914 selepas Jerman menyerang Belgium dan mengisytiharkan perang.

3.      Isi 2

Namun begitu, selain faktor pakatan tentera, terdapat juga faktor-faktor lain yang turut mencetuskan Perang Dunia Pertama. Imperialisme merupakan salah satu kaedah yang digunakan oleh kuasa-kuasa Barat bagi meluaskan pengaruh dan kekuasaan. Pada abad ke-20, kuasa-kuasa Barat kian hebat khususnya antara Jerman dan Britain memandangkan kedua-duanya merupakan negara industri di Eropah.  Bagi mendapatkan bahan-bahan mentah, kedua-dua buah negara berrkenaan aktif mencari tanah jajahan. Situasi ini telah membawa kepada konflik antara negara yang terlibat umpamanya di Morocco, Jerman telah bertembung dengan Perancis sehingga mencetuskan peperangan awal antara dua buah kuasa tersebut. Sekutu Perancis, Britain telah melihat situasi ini sebagai memberikan ancaman terhadap tanah jajahannya di Asia. Oleh sebab itu, Britain mula mempersiapkan angkatan tenteranya bagi mencabar Jerman sekaligus mewujudkan fenomena perlumbaan senjata antara pihak tersebut.

4.      Isi 3

Perkembangan aspek ketenteraan yang dikaitkan dengan senario politik di Jerman. Senario yang berlaku ialah apabila politik negara Jerman kini dikuasai oleh golongan tentera, contohnya golongan ini bertanggungjawab terus kepada Kaiser Jerman. Kebetulan Kaiser Jerman, Wilhem II sememangnya bercita-cita mewujudkan empayar Jerman yang kuat dan berpengaruh di Eropah. Sokongan golongan elit ini terbukti apabila Kaiser Wilhem II bersetuju dengan program pembinaan kapal-kapal perang, peluru berpandu dan meriam besar. Selain itu, Kaiser Wilhem II juga merancang membina landasan kereta api yang menghubungkan Berlin dan Baghdad bagi mengukuhkan pengaruh Jerman di Timur Tengah. Perancangan dan percubaan Kaiser Wilhem II ini menimbulkan rasa curiga-mencurigai dalam kalangan kuasa-kuasa Barat lain.

5.      Isi 4

Pada abad ke-20, muncul seorang pemikir Jerman, Frederich Nietzche yang menawarkan atau mempelawa agar golongan muda bangkit bersama negara meluaskan pengaruh dan kekuasaan Jerman. Idea yang dikemukakannya bukan sahaja tersebar di Jerman, bahkan dalam kalangan intelek muda di Rusia dan Serbia. Di Jerman sendiri, kurikulum pendidikan mula mengalami perubahan kerana para pemimpinnya berpendapat hanya melalui bahasa, sikap cinta akan negara dapat diwujudkan dalam kalangan generasi muda. Di Perancis pula, pendidikan Sejarah yang dilaksanakan  secara tersiratnya menggesa rakyat membuat persiapan yang sewajarnya apabila Perancis terlibat dalam peperangan dan mengalami kekalahan.

6.      Isi 5

Faktor pembunuhan Archduke Ferdinand iaitu waris takhta Austria-hungary juga merupakan faktor serta merta tercetusnya Perang Dunia Pertama. Kerajaan Austria-Hungary telah menuduh Serbia terlibat dengan pembunuhan tersebut. Austria-Hungary telah bertindak balas mengisytiharkan perang ke atas Serbia yang menyebabkan Rusia bertindak balas memberi bantuan kepada sekutunya, Serbia. Implikasinya kian mendalam apabila Jerman turut campur tangan membantu Austria-Hungary dan mengisytiharkan perang terhadap Rusia. Perancis turut sama menyertai konflik ini dengan harapan akan memperoleh kembali dua buah wilayahnya Alsace dan Lorraine yang berada di tangan Jerman. Senario semakin tegang apabila tindakan Jerman menceroboh Belgium untuk menyerang Perancis manakala Britain pula menyertai Rusia dan Perancis seterusnya membawa kepada Perang Dunia Pertama.

7.      Kesimpulan

Kegagalan sistem pakatan tentera yang diwujudkan bagi mengawal dan mengimbangi kuasa-kuasa tersebut dilihat sebagai faktor utama kepada tercetusnya perang. Faktor-faktor lain merupakan penyumbang dan pemangkin kepada kegagalan sistem pakatan tentera tersebut dan mewujudkan dua blok utama yang saling berperang dan mengorbankan banyak nyawa. Perang ini memberi kesan buruk terhadap ekonomi dan sosial di Eropah seterusnya mengubah situasi politiknya.


* Jika dilihat pada bahagian isi, terdapat 5 isi kesemuanya. Ini bermakna satu isi memberikan 3 markah. Terdapat soalan-soalan yang tidak semestinya mesti mempunyai 5 isi tetapi 3 atau 4 isi. Oleh itu, pelajar perlu banyak membuat pembacaan supaya lebih selamat dan yakin semasa menjawab esei dengan mencari 5 isi di dalam satu-satu soalan. Terdapat pelajar-pelajar yang meringkaskan pendahuluan dan kesimpulan atau tidak menulisnya langsung yang boleh menyebabkan kekurangan atau kehilangan markah.

Adalah penting untuk memastikan masa yang dijawab dalam sebuah esei Sejarah STPM cukup dan optimum. Ini kerana, dinasihatkan untuk satu esei perlu menjawab dalam masa 30 minit. Latihan pengurusan masa dalam menjawab satu esei sangat penting agar pelajar tidak kehilangan markah kerana tidak sempat menjawab soslan-soalan esei yang lain.

Wednesday 28 July 2021

PDPR 29/07/2021: NOTA SEJARAH 1 STPM (SKIM PENTAKSIRAN SEJARAH STPM)

 SKIM PENTAKSIRAN SEJARAH STPM



Kertas Peperiksaan Sejarah terdiri daripada enam (6) kertas iaitu Kertas 940/1: Sejarah Dunia (1500-1955), Kertas 940/2: Sejarah Islam (500-1918), Kertas 940/3 : Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000) dan Kertas 940/4: Kerja Kursus Sejarah, Kertas Ulangan 940/1 dan Kertas Ulangan 940/2.

 

1.      Kertas 940/1: Sejarah Dunia (1500-1955)

 

Dalam peperiksaan STPM Semester 1, kertas ini mengandungi 6 soalan esei dan mesti menjawab 4 soalan esei dalam masa 2 jam. Markah wajaran bagi kertas ini dalam STPM ialah 80 markah iaitu 29% daripada keseluruhan kertas Sejarah STPM. Setiap esei memperuntukkan 20 markah dan sebaiknya 1 esei dijawab dalam masa 30 minit. Kertas ini boleh diambil semula dalam peperiksaan ulangan untuk memperbaiki keputusan.

 

2.      Kertas 940/2: Sejarah Islam (500-1918) dan 940/4: Kerja Kursus Sejarah

 

Dalam STPM Semester 2, dua kertas di atas perlu dilaksanakan bersama. Untuk peperiksaan STPM Semester 2, Kertas 940/2 mengandungi 6 soalan dan mesti menjawab 3 soalan dalam masa 1 ½ jam. Markah wajaran bagi kertas ini dalam STPM ialah 60 markah iaitu 22% daripada keseluruhan kertas Sejarah STPM. Setiap esei juga memperuntukkan 20 markah dan sebaiknya 1 esei dijawab dalam masa 30 minit. Kertas ini juga boleh diambil semula dalam peperiksaan ulangan untuk memperbaiki keputusan.

 

Bagi Kertas 940/4: Kerja Kursus Sejarah, perlu dilaksanakan dalam tempoh 6 bulan iaitu bermula pada bulan Mac dan penghantaran diikuti pembentangan pada bulan Ogos. Kerja kursus ini wajib dijawab oleh semua pelajar. Kegagalan menghantar folio kerja kursus akan menyebabkan keseluruhan markah dalam Sejarah STPM dianggap GAGAL. Markah wajaran bagi kerja kursus dalam STPM ialah 55 markah iaitu 20% daripada keseluruhan kertas Sejarah STPM.

 

3.      Kertas 940/3: Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)

 

Dalam STPM Semester 3, kertas ini mengandungi 2 bahagian iaitu Bahagian A untuk Sejarah Malaysia dan Bahagian B untuk Sejarah Asia Tenggara. Kertas Bahagian A dan B masing-masing mengandungi 3 soalan dan 2 soalan mesti dijawab dalam Bahagian A dan 2 soalan mesti dijawab dalam Bahagian B. Masa yang diperuntukkan ialah 2 jam. Markah wajaran bagi kertas ini dalam STPM ialah 80 markah iaitu 29% daripada keseluruhan kertas Sejarah STPM. Seperti dalam Kertas 1 dan Kertas 2, setiap 1 esei juga memperuntukkan 20 markah dan sebaiknya 1 esei dijawab dalam 30 minit. Kertas ini tidak boleh diulang dan tiada peperiksaan ulangan dilaksanakan seperti dalam Kertas 1 dan Kertas 2.

 

4.      Kertas Ulangan Semester 1 dan Kertas Ulangan Semester 2.

 

Kertas peperiksaan ulangan ini adalah sama dengan Kertas peperiksaan yang diambil dalam Semester 1 dan Semester 2. Hanya soalan sahaja yang berbeza. Tujuan peperiksaan ulangan ini dilaksanakan adalah untuk memberi peluang untuk pelajar memperbaiki keputusan dalam peperiksaan yang telah diambil dalam Semester 1 dan Semester 2. Pelajar perlu membayar RM50 untuk mendapatkan nombor pin di mana-mana Bank Simpanan Nasional. Sekiranya pelajar mendapat keputusan yang lebih BAIK dari sebelumnya, markah yang terbaik yang akan diambil kira dalam keputusan STPM keseluruhan. Jika pelajar mendapat keputusan kurang baik daripada sebelumnya, maka markah sebelumnya yang lebih baik akan dikira dalam peperiksaan STPM Keseluruhan.

Sunday 25 July 2021

PDPR 26/07/2021: NOTA DAN LATIHAN SEJARAH SPM TINGKATAN 4

BAB 5: PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1948



5.1 LATAR BELAKANG PENUBUHAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1948

1. Latar Belakang Penubuhan

a. Persekutuan Tanah Melayu diperkenalkan bagi menggantikan Malayan Union 1946 yang ditolak oleh penduduk tempatan.

b. Sebuah Jawatankuasa Kerja dibentuk untuk merangka Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.


2. Penubuhan Jawatankuasa Kerja

a. Tarikh penubuhan pada 25 Julai 1946.

b. Matlamat penubuhan adalah untuk membincangkan asas Perjanjian Tanah Melayu 1948.

c. Ahli Jawatankuasa terdiri daripada wakil Raja-raja Melayu, wakil UMNO dan pegawai kanan British.

d. Cadangan Jawatankuasa Kerja :

i. Menyatukan semua negeri Melayu dalam satu pentadbiran dan dua Negeri-negeri Selat.

ii. Memulihkan kedudukan dan kadaulatan Raja-raja Melayu.

iii. Menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain.

iv. Menubuhkan Dewan Perundangan Negeri bagi setiap negeri.

v. Mengenakan syarat kewarganegaraan yang ketat.


3. Pihak yang menentang Persekutuan Tanah Melayu 1948.

a. Terdapat dua pihak yang menentang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 iaitu Gerakan Nasionalis Melayu Radikal dan Gabungan PUTERA-AMCJA.

b. Gerakan Nasionalis Melayu Radikal menentang disebabkan oleh British menjalankan rundingan secara tertutup dan mengetepikan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

c. Gabungan PUTERA-AMCJA menentang kerana menganggap British tunduk kepada tuntutan UMNO, Jawatankuasa Kerja tidak demokratik, mengukuhkan British dan perkauman.

 

LATIHAN PENGUKUHAN

1. Mengapakah British membentuk Jawatankuasa  Kerja (1 markah) - Buku Teks Muka Surat 126.

2. Berikan dua ahli Jawatankuasa Kerja (2 markah) – Buku Teks Muka Surat 127.

3. Jelaskan cadangan Jawatankuasa Kerja terhadap Persekutuan Tanah Melayu 1948.(3 markah) – Buku Teks Muka Surat 127.

4. Nyatakan dua tokoh Raja-raja Melayu yang terlibat dalam penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 (2 markah) – Buku Teks Muka Surat 127.

5. Mengapakah British menolak rangka perlembagaan rakyat? (2 markah) - Buku Teks Muka Surat 131.

6. Apakah tindakan nasionalis Melayu radikal dan bukan Melayu apabila British menolak Perlemnbagaan Rakyat? (2 markah) – Buku Teks Muka Surat 131.



@juhaimimajid

Monday 12 July 2021

PDPR 13/07/2021: NOTA DAN LATIHAN SEJARAH 2 STPM ( BAITULMAL PADA ZAMAN KHALIFAH AL-RASYIDIN)

2.1.2.1 INSTITUSI EKONOMI BAITULMAL PADA ZAMAN KHALIFAH AL-RASYIDIN (ABAD KE-7-KE-8 MASIHI)



(a) Baitulmal

1. Sejarah penubuhan baitulmal bermula sejak zaman Nabi Muhammad SAW namun tidak berapa digunakan kerana pendapatan negara agak terbatas.

2. Baitulmal atau perbendaharaan negara merupakan institusi harta dan kewangan induk dalam negara Islam.

3. Tempat menyimpan harta kerajaan seperti zakat, cukai, harta wakaf, khairat dan kebajikan.

4. Baitulmal mula dilaksanakan bermula zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan secara rasmi pada zaman Khalifah Umar al-Khattab.

5. Harta baitulmal umumnya digunakan untuk kepentingan masyarakat dan negara serta membangunkan ekonomi umat Islam.

6. Sumber baitulmal dilaksanakan secara sistematik pada zaman Khulafa al-Rasyidin meliputi nilai kutipan, penggunaan dan peruntukan.

(b) Pengurusan sumber baitulmal

1.   Zakat

a. Bertujuan membantu golongan fakir miskin.

b. Zakat harta benda seperti emas, perak, zakat pertanian dan ternakan daripada orang Islam.

c. Jika jumlah kutipan berlebihan, baitulmal akan menyimpan dan menggunakan harta tersebut untuk tujuan pembangunan dan kebajikan.

2. Jizyah

a. Merupakan cukai perlindungan yang dikenakan ke atas orang bukan Islam (zimmi) yang bernaung dalam negara Islam.

b. Juga merupakan cukai perlindungan kepada negara bukan Islam yang mengadakan perjanjian damai dengan negara Islam.

c. Jizyah hanya dikenakan mengikut syarat yang telah ditetapkan iaitu lelaki, merdeka, berakal, baligh, masih hidup dan berupaya.

d. Kadar yang ditetapkan antara 12 hingga 48 dirham setahun mengikut taraf kekayaan atau keupayaan masing-masing.

3. Usyr

a. Merupakan cukai perniagaan yang dikenakan ke atas semua peniaga Islam atau bukan Islam dengan kadar yang berbeza.

b. Peniaga kafir harbi (tiada perjanjian) akan dikenakan 10 peratus manakala peniaga kafir zimmi (ada perjanjian) dikenakan 5 peratus dan peniaga Islam 2.5 peratus.

c.  Cukai ini hanya dikutip dan dikenakan jika cukup nisabnya atau 200 dirham.

4. Ghanimah dan al-fay

a. Ghanimah merupakan harta rampasan perang dan al-fay adalah harta rampasan tanpa perang.

b. Harta ini diperuntukkan kepada perbelanjaan kerajaan pusat Madinah dan selebihnya dibahagikan kepada tentera Islam yang ikut berperang.

c. Setelah dewan tentera ditubuhkan pada 20 Hijrah, tentera-tentera Islam diberi gaji mengikut kadar yang telah ditetapkan.

5. Kharaj

a. Merupakan cukai tanah yang dikenakan ke atas pemilik tanah di wilayah-wilayah yang ditakluki dengan kadar 10 peratus.

b. Pada zaman Khalifah Umar, cukai ini dikenali sebagai Kharaj al-Muqasamah dan diuruskan oleh kerajaan.

c. Pada zaman Khalifah Uthman pula, diwujudkan Kharaj al-Ihtizam yang diurus oleh pemilik tanah.

6. Lain-lain

a. Harta peninggalan orangn mati tanpa waris.

b. Harta karun rikaz

c. Luqatah atau harta tercicir yang dijumpai.

d. Harta wakaf/hadiah/sedekah/wasiat.

 

(c) Khalifah Abu Bakar

1. Baitulmal digunakan apabila sebidang tanah Nabi Muhammad SAW diserahkan kepada perbendaharaan negara.

2. Ekspedisi ketenteraan menentang Parsi telah memberikan pendapatan melalui kutipan jizyah dan zakat kemudian disimpan di dalam baitulmal.

3. Sebelum meninggal dunia, beliau berpesan kepada Saidina Umar al-Khattab supaya mengambil hartanya sebanyak 8000 dirham dan dikembalikan ke baitulmal.

 

(d) Khalifah Umar al-Khattab

1. Tentera Islam diberikan elaun dan gaji dari baitulmal dan melarang mereka memiliki tanah dan rumah sebagai rampasan perang.

2. Beliau membiarkan tanah-tanah diusahakan oleh pemilik asalnya dan melarang orang Islam memilikinya.

3. Golongan bukan Islam yang memeluk Islam akan dibahagikan tanahnya  dan akan diberikan gaji dan elaun oleh baitulmal.

4. Harta rampasan perang yang tidak boleh dialihkan, tidak akan dibahagikan sebaliknya disimpan di baitulmal sebagai fay.

5. Peraturan ini dilaksanakan agar tidak berlaku perselisihan faham dalam kalangan tentera Islam dan pemilik tanah dapat meneruskan pekerjaan mereka.


CONTOH SOALAN LATIHAN ESEI

1. Bincangkan pengurusan sumber baitulmal pada zaman Khulafa al-Rasyidin. (STPM2 2015)

2. Jelaskan peranan dan pelaksanaan institusi baitulmal pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. (STPMU2 2018)

3. Bincangkan sumber dan pelaksanaan sistem Baitumal pada zaman Khalifah al-Rasyidin pada abad ke-7 hingga abad k-8 Masihi.




Sunday 11 July 2021

PDPR 12/07/2021: NOTA DAN LATIHAN SEJARAH 2 STPM (KEGIATAN EKONOMI ISLAM ZAMAN NABI MUHAMMAD SAW)

 2.1.1.1 KEGIATAN EKONOMI ZAMAN NABI MUHAMMAD SAW


(a) Kegiatan Ekonomi di Madinah

1. Madinah merupakan sebuah kawasan yang asalnya sebuah oasis , subur dan kaya dengan kegiatan ekonomi terutamanya perdagangan dan pertanian.

2. Sebelum penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah, ekonomi di Madinah dimonopoli oleh golongan Yahudi.

3. Puak Aus dan Khazraj hanya mengusahakan tanah yang kering-kontang dan hidup dalam kemiskinan.

4. Penghijrahan Nabi Muhammad SAW bersama kaum Muhajirin ke Madinah telah mengubah Madinah.

5. Persaudaraan dan kerjasama antara golongan Ansar dan Muhajirin telah membuahkan kejayaan.

6. Golongan Muhajirin terkenal sebagai pedagang dan pengurus kewangan yang cekap menyebabkan wujudnya pasar bermusim dan harian di Madinah.

7. Golongan Muhajirin juga melakukan aktiviti bertani, mengurus dan menyelenggarakan kebun tamar golongan Ansar.


(b) Sumber Kewangan Islam

1. Derma

a. Merupakan sumber kewangan utama umat Islam di Madinah pada zaman awal yang mencabar sehingga Islam sampai kemuncak kegemilangannya.

b. Orang Islam sentiasa menghulurkan pelbagai bentuk derma kepada tabung bersama seperti makanan, kurma dan wang.

c. Masyarakat Islam juga menderma dalam bentuk hartanah seperti tanah untuk membina tapak masjid oleh Khultum bin al-Hidm kepada Nabi Muhammad SAW.

d. Orang Yahudi turut memberi derma kerana percaya dengan keikhlasan Nabi Muhammad SAW.

2. Rampasan tunai dan harta benda

a. Umat Islam diwajibkan berjihad atau berperang untuk agama sekiranya mereka diperangi oleh musuh yang berniat untuk menghalang penyebaran Islam.

b. Kemenangan tentera Islam dalam Perang Badar menghasilkan harta rampasan yang besar kepada umat Islam.

c. Selain itu, bayaran tebusan perang selepas Perang Badar iaitu 20 tawanan membayar 75000 dirham, 10 tawanan membayar 4000 dirham dan 1 tawanan membayar 1000 dirham.

d. Harta rampasan perang lain seperti Perang al-Kudr, Peperangan Muraisi, Perang Khandak, dan Perang Khaibar.

3. Rampasan hartanah

a. Hartanah pertama diperolehi daripada puak Yahudi bani Fityun yang diusir keluar dari Madinah, Bani Qunaiqa' dan Bani Nadhir.

b. Tanah Bani Khaibar diisytiharkan sebagai al-fai' atau safiy iaitu cukai 50 peratus daripada hasilnya.

c. Tanah Khaibar ini diusahakan oleh orang Yahudi dan dibahagikan kepada dua bahagian serta mengizinkan mereka memilih bahagian yang mereka mahu.

d. Fadak, iaitu kawasan Yahudi yang ditakluki oleh tentera Islam tanpa pertempuran dan diisytiharkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai al-fai.

e.Jajahan Yahudi di Wadi al-Qura ditakluk selepas pertemnpuran kecil dan dijadikan ghanimah iaitu 4/5 untuk tentera Islam dan 1/5 untuk Nabi Muhammad SAW.

4. Jizyah

a. Jizyah ialah cukai politik yang dikenakan ke atas orang bukan Islam yang digelar golongan zimmi sebagai perlindunganoleh negara Islam.

b. Bayaran jizyah secara tunai ialah satu dinar atau kain senilai dengannya dan dalam bentuk satu daripada hasil pertanian.

c. Ini berlaku kepada penganut agama Majusi di Bahrain yang dikenakan kadar bayaran satu dinar setiap kepala.

d. Jizyah turut dikutip kepada orang Krisitian Najran dengan bayaran 2000 pakaian diserahkan setiap tahun pada bulan Rejab dan 1000 pada bulan Safar.

5. Sadaqat

a. Sadaqat ialah istilah yang digunakan bagi cukai agama kepada umat Islam seperti zakat, ushr, dan sebagainya.

b. Nabi Muhammad SAW melantik Attab bin Asid membuat taksiran hasil anggur dan kurma yang dihasilkan oleh orang Quraisy di Taif.

c. Nabi Muhammad SAW mengutus surat kepada penduduk Oman dan Bahrain yang mewajibkan mereka membayar zakat dan ushr serta gandum (nisf al-ushr).

d. Beberapa warkah Nabi Muhammad SAW menunjukkan ada penentuan perintah membayar zakat ternakan bagi orang Islam.


CONTOH SOALAN LATIHAN ESEI

1. Bincangkan konsep ekonomi Islam di Madinah semasa zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW. (STPM2 2014)

2. Pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW terdapat pelbagai sumber pendapatan negara dan kepentingannya kepada masyarakat. Bincangkan.



@juhaimimajid