Sunday 11 July 2021

PDPR 12/07/2021: NOTA DAN LATIHAN SEJARAH 2 STPM (KEGIATAN EKONOMI ISLAM ZAMAN NABI MUHAMMAD SAW)

 2.1.1.1 KEGIATAN EKONOMI ZAMAN NABI MUHAMMAD SAW


(a) Kegiatan Ekonomi di Madinah

1. Madinah merupakan sebuah kawasan yang asalnya sebuah oasis , subur dan kaya dengan kegiatan ekonomi terutamanya perdagangan dan pertanian.

2. Sebelum penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah, ekonomi di Madinah dimonopoli oleh golongan Yahudi.

3. Puak Aus dan Khazraj hanya mengusahakan tanah yang kering-kontang dan hidup dalam kemiskinan.

4. Penghijrahan Nabi Muhammad SAW bersama kaum Muhajirin ke Madinah telah mengubah Madinah.

5. Persaudaraan dan kerjasama antara golongan Ansar dan Muhajirin telah membuahkan kejayaan.

6. Golongan Muhajirin terkenal sebagai pedagang dan pengurus kewangan yang cekap menyebabkan wujudnya pasar bermusim dan harian di Madinah.

7. Golongan Muhajirin juga melakukan aktiviti bertani, mengurus dan menyelenggarakan kebun tamar golongan Ansar.


(b) Sumber Kewangan Islam

1. Derma

a. Merupakan sumber kewangan utama umat Islam di Madinah pada zaman awal yang mencabar sehingga Islam sampai kemuncak kegemilangannya.

b. Orang Islam sentiasa menghulurkan pelbagai bentuk derma kepada tabung bersama seperti makanan, kurma dan wang.

c. Masyarakat Islam juga menderma dalam bentuk hartanah seperti tanah untuk membina tapak masjid oleh Khultum bin al-Hidm kepada Nabi Muhammad SAW.

d. Orang Yahudi turut memberi derma kerana percaya dengan keikhlasan Nabi Muhammad SAW.

2. Rampasan tunai dan harta benda

a. Umat Islam diwajibkan berjihad atau berperang untuk agama sekiranya mereka diperangi oleh musuh yang berniat untuk menghalang penyebaran Islam.

b. Kemenangan tentera Islam dalam Perang Badar menghasilkan harta rampasan yang besar kepada umat Islam.

c. Selain itu, bayaran tebusan perang selepas Perang Badar iaitu 20 tawanan membayar 75000 dirham, 10 tawanan membayar 4000 dirham dan 1 tawanan membayar 1000 dirham.

d. Harta rampasan perang lain seperti Perang al-Kudr, Peperangan Muraisi, Perang Khandak, dan Perang Khaibar.

3. Rampasan hartanah

a. Hartanah pertama diperolehi daripada puak Yahudi bani Fityun yang diusir keluar dari Madinah, Bani Qunaiqa' dan Bani Nadhir.

b. Tanah Bani Khaibar diisytiharkan sebagai al-fai' atau safiy iaitu cukai 50 peratus daripada hasilnya.

c. Tanah Khaibar ini diusahakan oleh orang Yahudi dan dibahagikan kepada dua bahagian serta mengizinkan mereka memilih bahagian yang mereka mahu.

d. Fadak, iaitu kawasan Yahudi yang ditakluki oleh tentera Islam tanpa pertempuran dan diisytiharkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai al-fai.

e.Jajahan Yahudi di Wadi al-Qura ditakluk selepas pertemnpuran kecil dan dijadikan ghanimah iaitu 4/5 untuk tentera Islam dan 1/5 untuk Nabi Muhammad SAW.

4. Jizyah

a. Jizyah ialah cukai politik yang dikenakan ke atas orang bukan Islam yang digelar golongan zimmi sebagai perlindunganoleh negara Islam.

b. Bayaran jizyah secara tunai ialah satu dinar atau kain senilai dengannya dan dalam bentuk satu daripada hasil pertanian.

c. Ini berlaku kepada penganut agama Majusi di Bahrain yang dikenakan kadar bayaran satu dinar setiap kepala.

d. Jizyah turut dikutip kepada orang Krisitian Najran dengan bayaran 2000 pakaian diserahkan setiap tahun pada bulan Rejab dan 1000 pada bulan Safar.

5. Sadaqat

a. Sadaqat ialah istilah yang digunakan bagi cukai agama kepada umat Islam seperti zakat, ushr, dan sebagainya.

b. Nabi Muhammad SAW melantik Attab bin Asid membuat taksiran hasil anggur dan kurma yang dihasilkan oleh orang Quraisy di Taif.

c. Nabi Muhammad SAW mengutus surat kepada penduduk Oman dan Bahrain yang mewajibkan mereka membayar zakat dan ushr serta gandum (nisf al-ushr).

d. Beberapa warkah Nabi Muhammad SAW menunjukkan ada penentuan perintah membayar zakat ternakan bagi orang Islam.


CONTOH SOALAN LATIHAN ESEI

1. Bincangkan konsep ekonomi Islam di Madinah semasa zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW. (STPM2 2014)

2. Pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW terdapat pelbagai sumber pendapatan negara dan kepentingannya kepada masyarakat. Bincangkan.



@juhaimimajid

No comments:

Post a Comment