Sunday 28 February 2021

CONTOH SOALAN TRIAL SEJARAH SEMESTER 3 STPM 2020 BESERTA SKEMA JAWAPAN

 


Bahagian A : Sejarah Malaysia

(40 markah)

Jawab dua soalan sahaja.

1. Terangkan bentuk dan pelaksanaan adat Perpatih dan adat Temenggung di Tanah Melayu.(20)

2. Bincangkan faktor-faktor yang mendorong pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu pada awal abad ke-20.(20) link

3. Terangkan struktur dan organisasi sistem pentadbiran yang diamalkan di Malaysia selepas Merdeka.(20) link


Bahagian B: Sejarah Asia Tenggara

(40 markah)

Jawab dua soalan sahaja.

4. Huraikan sistem dan peranan pembesar di Thailand sebelum campur tangan Barat.(20) link

5. Bincangkan perubahan yang berlaku dalam kegiatan ekonomi di Myanmar selepas penguasaan British pada akhir abad ke-19.(20) link

6. Bincangkan usaha dan perkembangan ekonomi yang dilaksanakan di Filipina pada tahun 1953 hingga 1992. link


SKEMA JAWAPAN

1. Terangkan bentuk dan pelaksanaan adat Perpatih dan adat Temenggung di Tanah Melayu.(20)

Adat ialah peraturan yang diamalkan secara turun-temurun dalam masyarakat Melayu tradisional sehingga membentuk tingkah laku masyarakat Melayu tradisional dan menjadi hukuman yang harus dipatuhi. Adat juga merupakan peraturan kebiasaan atau lumrah dalam sesebuah masyarakat yang diterima dan diguna pakai oleh setiap individu dalam sesebuah masyarakat. Tujuan adat dalam kehidupan masyarakat Melayu adalah untuk menjaga baik dan kepentingan pemerintah dalam mengekalkan beberapa amalan tradisi, menentukan bidang kuasa dan tanggungjawab pembesar serta menjaga ketertiban rakyat untuk mengelak pelbagai perkara yang tidak diingini. Adat Melayu tradisional terdiri daripada Adat Perpatih dan Adat Temenggung.

Adat Perpatih bersifat matrilineal, iaitu kaum wanita mempunyai kedudukan yang utama dalam masyarakat. Kaum wanita sahaja yang berhak mewarisi harta dan keturunan anak mengikut suku ibu. Kesannya, mereka akan mendapat nama dan gelaran daripada suku ibu. Oleh itu, anak perempuan menjadi asas wujudnya suku. Adat Temenggung pula berunsurkan pengaruh agama Hindu dan kemudiannya dipengaruhi oleh unsur-unsur Islam mengikut mazhab Shafie. Adat Temenggung bersifat patrilineal, iaitu memberi keutamaan kepada kaum lelaki. Kaum lelaki dianggap generasi yang meneruskan keturunan sesebuah keluarga. Ini selaras dengan prinsip hukum faraid yang mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga. Justeru, anak lelaki akan mewarisi harta bapanya.

Dalam sistem politik, pengamalan adat diamalkan oleh sultan atau Yang Dipertuan Besar di negeri masing-masing. Bagi Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih, pemerintahan adalah bercorak demokrasi. Jawatan Yang DIpertuan Besar Negeri Sembilan adalah melalui pemilihan yang dilakukan oleh Undang Luak yang empat. Undang Luak ini pula akan dilantik oleh Dato’-Dato’ Lembaga di luak atau daerah masing-masing. Dato’ Lembaga pula dilantik oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar Buapak. Dalam Adat Temanggung, sistem pemerintahan adalah bersifat autokratik iaitu kuasa mutlak terletak di tangan sultan. Adat Temenggung mengutamakan kedudukan istimewa sultan dan jawatan sultan adalah diwarisi secara turun-temurun. Sultan berperanan melantik pembesar dalam pemerintahan sebagai pembantu dalam urusan pentadbiran negara.

Dalam sistem perundangan, Adat Perpatih mengamalkan sikap bertimbang rasa dan berperikemanusiaan. Undang-undang dalam Adat Perpatih mementingkan penyelesaian masalah dan bukan bertujuan menghukum kesalahan pesalah. Seseorang yang melakukan jenayah atau kesalahan didenda mengikut kesalahan yang dilakukan dengan membayar ganti rugi kepada mangsa. Adat Temenggung pula lebih bersifat kekerasan. Hukuman yang dikenakan atas kesalahan yang dilakukan adalah bersifat menghukum atau pembalasan. Ini adalah bertujuan untuk memberi pengajaran dan amaran kepada orang ramai agar tidak melakukan kesalahan atau jenayah. Dalam undang-undang Adat Temenggung, sesiapa yang melakukan kesalahan akan dihukum dengan hukuman berat. Hukuman bunuh dijatuhkan oleh sultan atas kesalahan seperti membunuh, memfitnah, dan menderhaka kepada sultan. Bagi hukuman mencuri, hukuman potong tangan dijatuhkan.

Dalam bidang ekonomi, pembahagian harta pusaka dalam Adat Perpatih mementingkan jural keturunan sebelah ibu. Sekiranya seseorang ibu tidak mempunyai anak perempuan, harta pusakanya akan diserahkan kepada adik perempuannya atau anak adik-beradik perempuannya atau cucu-cucu perempuannya. Terdapat tiga jenis harta daam Adat Perpatih iaitu harta sepencarian, harta dapatan dan harta pembawa. Harta sepencarian diperolehi sepanjang perkongsian hidup bersama dan dibahagi dua sekiranya bercerai. Harta dapatan merupakan harta sedia ada isteri sebelum berkahwin dan kekal sebagai hak isteri jika bercerai. Harta pembawa pula merupakan harta suami sebelum berkahwin dan kekal milik suami jika bercerai. Dalam Adat Temenggung, kaum lelaki akan mewarisi harta pusaka lebih banyak daripada kaum wanita. Mengikut hukum syarak, anak lelaki akan mendapat dua pertiga harta pusaka dan anak perempuan satu perlapan. Pembahagian harta selepas perceraian suami isteri juga berlandaskan hukum syarak.

Dari segi sosial, Adat Perpatih juga mengamalkan eksogami dalam aspek perkahwinan. Masyarakat dalam Adat Perpatih tidak membenarkan perkahwinan sesama suku kerana dipercayai mereka mempunyai pertalian darah antara satu sama lain. Malahan, dalam Adat Perpatih, mereka tidak dibenarkan berkahwin dengan dua orang wanita daripada suku yang sama. Dalam Adat Perpatih, selepas upacara perkahwinan berlangsung, seseorang lelaki digelar ‘orang semenda’. Suami tetap menjadi ketua keluarga dan berkuasa ke atas isterinya. Bagi Adat Temenggung pula, perkahwinan dibenarkan dengan sesiapa sahaja asalkan tidak bercanggah dengan hukum syarak. Berlandaskan hukum syarak, perkahwinan dalam Adat Temenggung melarang ikatan perkahwinan dengan orang yang mempunyai pertalian darah, perempuan yang bersaudara, orang bukan Islam, saudara susuan dan sebagainya. Selepas berkahwin, seseorang isteri dikehendaki mengikut suaminya dan tinggal bersama dengan keluarga suaminya kerana suami adalah ketua keluarga.

Kesimpulannya, adat mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu dalam pelbagai aspek. Kedua-dua adat ini masih diamalkan di Tanah Melayu. Kedatangan Barat tidak menggugat adat ini, malah adat ini diamalkan untuk menjaga kesejahteraan masyarakat Melayu ketika itu.

* Skema jawapan bagi soalan 2 hingga 6 akan dimuat naik pada post yang berikutnya. Selamat membaca!

@juhaimimajid

Thursday 25 February 2021

ANALISA DAN SOALAN SPOT SEJARAH ULANGAN SEMESTER 1 2020 DAN SEMESTER 1 2021 TEMA 4


 


SOALAN SPOT

       Jelaskan faktor-faktor yang menyebabkan Gerakan Menguatkan Diri (1861-1895) di China menemui kegagalan.

       Bincangkan langkah-langkah pembaharuan yang dilaksanakan oleh kerajaan China dalam Gerakan Pembaharuan Ching pada abad ke 18.

       Huraikan faktor-faktor tercetusnya Peristiwa Dahagi di India pada 1857.

       Sejauh manakah pakatan tentera merupakan faktor yang mencetuskan perang dunia pertama 1914-1918.

       Bincangkan sebab-sebab berlakunya kebangkitan Boxer di negara China.

       Jelaskan peluasan kuasa British di India yang telah membawa transformasi sosial, ekonomi dan pendidikan dari tahun 1828 hingga 1856.

       Bincangkan kesan-kesan tercetusnya Perang Dunia Pertama di Eropah.

       Bincangkan pemerintahan Yuan Shih-kai selepas tercetusnya Revolusi China 1911.

       Bincangkan peranan golongan pelajar dalam peristiwa Gerakan 4 Mei 1919 di China.

       Huraikan kesan-kesan Gerakan 4 Mei 1919 di China.

       Bincangkan perkembangan Gerakan Kebangsaan di India sejak tahun 1935 hingga 1947 yang membawa kepada kemerdekaan India.

       Bincangkan perkembangan Kongres Kebangsaan India dari tahun 1885 hingga 1919.

       Bincangkan matlamat penubuhan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).


*Peruntukkan soalan bagi tema ini kebiasaannya 2 soalan daripada 6 soalan.


*Semoga berjaya kepada semua calon pelajar yang akan menduduki kertas peperiksaan Sejarah STPM Ulangan 1 2020 dan Semester 1 2021 pada 22 Mac 2021 (Isnin) jam 11.00 pagi hingga jam 1.00 petang. Diharap analisa dan spot dari tema 1 hingga 4 ini dapat membantu calon pelajar dalam ulangkaji sebelum peperiksaan nanti.


@juhaimimajid

Monday 15 February 2021

Monday 8 February 2021

ANALISA DAN SOALAN SPOT SEJARAH ULANGAN SEMESTER 2 STPM 2020 TEMA 3

 



SOALAN SPOT

Huraikan faktor-faktor yang mendorong peluasan kuasa Barat di wilayah Turki Uthmaniyah pada abad ke-18 hingga tahun 1918.

Bincangkan isu agama boleh membawa kepada gerakan nasionalisme di Syria pada abad ke-20.

Berikan ulasan anda tentang kesan Perang Dunia Pertama kepada kerajaan Turki Uthmaniyah.

Huraikan reaksi masyarakat tempatan di Algeria pada abad ke-19 hingga tahun 1918.

Huraikan konflik di rantau Balkan yang mencetuskan Perang Dunia Pertama (1914-1918).


*Semoga berjaya memperbaiki keputusan kepada pelajar2 STPM 2020 yang akan mengambil peperiksaan ulangan kertas Sejarah 2 (Islam) tidak lama lagi. Diharap bahan-bahan analisa dan spot soalan ini dapat membantu dan memberi panduan kepada pelajar2 untuk persediaan peperiksaan kelak. 

Sunday 7 February 2021

ANALISA DAN SOALAN SPOT SEJARAH ULANGAN SEMESTER 2 STPM 2020 TEMA 2

 




SOALAN SPOT

Bincangkan pelaksanaan Baitulmal pada zaman pemerintahan Bani Abbasiyah pada abad ke-9 hingga abad ke-11.

Bincangkan pelaksanaan Kharaj pada zaman Khalifah Abbasiyah (abad ke-19 hingga abad ke-20M).

Bincangkan pelaksanaan jizyah pada zaman pemerintahan Khalifah al-Rasyidin (abad ke-7 hingga abad ke-8).

Bincangkan pelaksanaan jizyah pada zaman pemerintahan Bani Abbasiyah pada abad ke-9 hingga abad ke-11.

Jelaskan pelaksanaan zakat pada zaman pemerintahan Khalifah Abbasiyah.

Bincangkan pelaksanaan pendidikan pada zaman Khalifah Umayyah.

Jelaskan institusi pendidikan pada zaman Khalifah Umayyah.

Jelaskan mata pelajaran yang diajar dalam sistem pendidikan pada zaman Khalifah Umayyah.

Bincangkan pelaksanaan pendidikan pada zaman Khalifah Abbasiyah.

Jelaskan institusi pendidikan pada aman Khalifah Abbasiyah.

Huraikan sumbangan Ibn Sina kepada perkembangan ilmu perubatan.

Huraikan sumbangan Ibn Battutah kepada perkembangan ilmu penerokaan.

Pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW terdapat pelbagai sumber pendapatan negara dan kepentingannya kepada masyarakat. Bincangkan.

@juhaimimajid

Thursday 4 February 2021

ANALISA DAN SOALAN SPOT SEJARAH ULANGAN SEMESTER 2 STPM 2020 TEMA 1

 




SOALAN SPOT

Piagam Madinah adalah perkembangan bertulis yang pertama pada zaman Islam. Huraikan kandungan dan peranan Piagam Madinah. 

Huraikan konsep dan ciri-ciri seorang khalifah dengan merujuk kepada Khulafa al-Rasyidin. 

Bincangkan kaedah pemilihan khalifah pada zaman kerajaan Bani Umayyah. Bincangkan struktur pemerintahan bagi pentadbiran pusat dan wilayah pada zaman Khalifah al-Rasyidin

Bincangkan sistem pemerintahan Islam di Andalusia pada abad ke-13. 

Takrifkan konsep jihad dan huraikan kepentingan konsep jihad dalam mempertahankan negara dari zaman Nabi Muhammad SAW hingga zaman Khulafa al-Rasyidin. 

Terangkan etika yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika menghadapi peperangan. 

Bincangkan hubungan diplomatik pada zaman Nabi Muhammad SAW dan Khalifah al-Rasyidin. 

Bincangkan dasar perhubungan luar melalui hubungan diplomatik yang dilaksanakan pada zaman pemerintahan Khalifah al-Rasyidin. 

Bincangkan bentuk hubungan luar iaitu naungan melalui bayaran jizyah semasa zaman Khalifah al-Rasyidin dan Khalifah Bani Umayyah. 

Analisiskan istilah jahiliah dengan melihat dari sudut kepercayaan dan nilai etika bangsa Arab. 

Terangkan ciri-ciri kepimpinan Nabi Muhammad SAW di Madinah. 

Kerajaan Abbasiyah mencapai kemuncak pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid.  Ulaskan pernyataan ini.

@juhaimimajid

Wednesday 3 February 2021

6. SEJAUH MANAKAH PAKATAN TENTERA MERUPAKAN FAKTOR YANG MENCETUSKAN PERANG DUNIA PERTAMA 1914-1918.

 


SEJAUH MANAKAH PAKATAN TENTERA MERUPAKAN FAKTOR YANG MENCETUSKAN PERANG DUNIA PERTAMA 1914-1918.

Perang Dunia Pertama berlangsung antara tahun 1914 hingga 1918 dan berlaku dalam kalangan negara-negara Eropah sahaja. Negara-negara Eropah yang terlibat ialah Jerman, Britain, Rusia, Perancis, Austria-Hungary, Serbia, Itali, Belgium, dan Turki. Perang ini dikenali sebagai The Great War kerana sebelum ini tidak pernah berlaku peperangan sebesar dan sedasyat ini berlaku. Perang ini melibatkan dua pihak iaitu Triple Alliance dan Triple Entente. Triple Alliance atau Perikatan Kuasa Tengah dianggotai oleh Jerman, Austria-Hungary, dan Itali manakala Triple Entente atau Pakatan Bertiga dianggotai oleh Rusia, Perancis, dan Britain. Perang ini memperlihatkan dua buah kuasa atau dua blok yang masing-masing mempunyai kepentingan. Peperangan ini berakhir apabila Jerman berjaya dikalahkan oleh Rusia. Terdapat banyak faktor yang mencetuskan perang ini. Sistem Pakatan tentera yang dibentuk di Eropah bagi mengawal kuasa antara faktor tercetusnya Perang Dunia Pertama.

Sistem Pakatan yang dibentuk di Eropah gagal mencapai tujuannya untuk mengimbangi kuasa antara negara-negara yang kuat di Eropah. Pada peringkat awal, Sistem Pakatan Tentera dibentuk pada tahun 1870 apabila Jerman berjaya mengalahkan Perancis. Ini bertujuan untuk menyekat mana-mana kuasa yang lebih kuat daripada lawannya atau mengimbangi kuasa antara negara-negara terbabit. Kepentingan wujudnya sistem pakatan tentera ini ialah bagi memastikan kestabilan politik antara kuasa-kuasa berkenaan terutamanya selepas kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyah. Selepas tahun 1900, situasi mula berubah apabila timbulnya perasaan saling mencurigai antara kuasa-kuasa berkenaan terutamanya selepas kejatuhan Kerajaan Islam tersebut. Rusia berusaha mengukuhkan pengaruhnya dalam kalangan bangsa Slav, bertembung pula dengn tindakan Austria-Hungary yang berhasrat menguasai negara-negara Balkan seperti Bosnia dan Serbia. Perlumbaan senjata turut berlaku antara Jerman, Britain, dan Perancis. Sebagai contoh antara tahun 1908 hingga 1914, Britain, Jerman, Rusia dan Austria-Hungary telah menambah lebih 50 peratus perbelanjaan ketenteraan. Sistem Pakatan Tentera dianggap gagal selepas Britain hanya memberi sokongan kepada Rusia dan Perancis pada Ogos 1914 selepas Jerman menyerang Belgium dan mengisytiharkan perang.

Namun begitu, selain faktor pakatan tentera, terdapat juga faktor-faktor lain yang turut mencetuskan Perang Dunia Pertama. Imperialisme merupakan salah satu kaedah yang digunakan oleh kuasa-kuasa Barat bagi meluaskan pengaruh dan kekuasaan. Pada abad ke-20, kuasa-kuasa Barat kian hebat khususnya antara Jerman dan Britain memandangkan kedua-duanya merupakan negara industri di Eropah.  Bagi mendapatkan bahan-bahan mentah, kedua-dua buah negara berrkenaan aktif mencari tanah jajahan. Situasi ini telah membawa kepada konflik antara negara yang terlibat umpamanya di Morocco, Jerman telah bertembung dengan Perancis sehingga mencetuskan peperangan awal antara dua buah kuasa tersebut. Sekutu Perancis, Britain telah melihat sitruasi ini sebagai memberikan ancaman terhadap tanah jajahannya di Asia. Oleh sebab itu, Britain mula mempersiapkan angkatan tenteranya bagi mencabar Jerman sekaligus mewujudkan fenomena perlumbaan senjata antara pihak tersebut.

Perkembangan aspek ketenteraan yang dikaitkan dengan senario politik di Jerman. Senario yang berlaku ialah apabila politik negara Jerman kini dikuasai oleh golongan tentera, contohnya golongan ini bertanggungjawab terus kepada Kaiser Jerman. Kebetulan Kaiser Jerman, Wilhem II sememangnya bercita-cita mewujudkan empayar Jerman yang kuat dan berpengaruh di Eropah. Sokongan golongan elit ini terbukti apabila Kaiser Wilhem II bersetuju dengan program pembinaan kapal-kapal perang, peluru berpandu dan meriam besar. Selain itu, Kaiser Wilhem II juga merancang membina landasan kereta api yang menghubungkan Berlin dan Baghdad bagi mengukuhkan pengaruh Jerman di Timur Tengah. Perancangan dan percubaan Kaiser Wilhem II ini menimbulkan rasa curiga-mencurigai dalam kalangan kuasa-kuasa Barat lain.

Pada abad ke-20, muncul seorang pemikir Jerman, Frederich Nietzche yang menawarkan atau mempelawa agar golongan muda bangkit bersama negara meluaskan pengaruh dan kekuasaan Jerman. Idea yang dikemukakannya bukan sahaja tersebar di Jerman, bahkan dalam kalangan intelek muda di Rusia dan Serbia. Di Jerman sendiri, kurikulum pendidikan mula mengalami perubahan kerana para pemimpinnya berpendapat hanya melalui bahasa, sikap cinta akan negara dapat diwujudkan dalam kalangan generasi muda. Di Perancis pula, pendidikan Sejarah yang dilaksanakan  secara tersiratnya menggesa rakyat membuat persiapan yang sewajarnya apabila Perancis terlibat dalam peperangan dan mengalami kekalahan.

Faktor pembunuhan Archduke Ferdinand iaitu waris takhta Austria-hungary juga merupakan faktor serta merta tercetusnya Perang Dunia Pertama. Kerajaan Austria-Hungary telah menuduh Serbia terlibat dengan pembunuhan tersebut. Austria-Hungary telah bertindak balas mengisytiharkan perang ke atas Serbia yang menyebabkan Rusia bertindak balas memberi bantuan kepada sekutunya, Serbia. Implikasinya kian mendalam apabila Jerman turut campur tangan membantu Austria-Hungary dan mengisytiharkan perang terhadap Rusia. Perancis turut sama menyertai konflik ini dengan harapan akan memperoleh kembali dua buah wilayahnya Alsace dan Lorraine yang berada di tangan Jerman. Senario semakin tegang apabila tindakan Jerman menceroboh Belgium untuk menyerang Perancis manakala Britain pula menyertai Rusia dan Perancis seterusnya membawa kepada Perang Dunia Pertama.

Kegagalan sistem pakatan tentera yang diwujudkan bagi mengawal dan mengimbangi kuasa-kuasa tersebut dilihat sebagai faktor utama kepada tercetusnya perang. Faktor-faktor lain merupakan penyumbang dan pemangkin kepada kegagalan sistem pakatan tentera tersebut dan mewujudkan dua blok utama yang saling berperang dan mengorbankan banyak nyawa. Perang ini memberi kesan buruk terhadap ekonomi dan sosial di Eropah seterusnya mengubah situasi politiknya.

@juhaimimajid

Tuesday 2 February 2021

5. HURAIKAN FAKTOR-FAKTOR TERCETUSNYA PERISTIWA DAHAGI DI INDIA PADA 1857.

 


HURAIKAN FAKTOR-FAKTOR TERCETUSNYA PERISTIWA DAHAGI DI INDIA PADA 1857.

Dahagi India merupakan pemberontakan yang dilancarkan oleh sepoi-sepoi dalam menentang pemerintahan British di India. Orang India menganggap Dahagi sebagai perjuangan membebaskan negara daripada pemerintahan British. Selain sepoi, golongan nawab dan pembesar yang kehilangan gelaran, tanah, dan kuasa turut menyertai pemberontakan tersebut. Pada pandangan sejarawan Barat, peristiwa Dahagi hanyalah kebangkitan tentera yang tidak berpuas hati terhadap isu peluru rifle yang disalut lemak khinzir dan lemak lembu. Namun, sejarawan Asia berpendapat, peristiwa Dahagi berlaku disebabkan reaksi langsung masyarakat India terhadap ancaman British terhadap isu adat, budaya, dan agama masyarakat India. Terdapat pelbagai faktor yang mencetuskan Peristiwa Dahagi di India pada tahun 1857.

Penghapusan amalan sutte dan thuggee yang diamalkan oleh masyarakat India beragama Hindu menimbulkan rasa kurang senang. Adat Suttee ialah amalan seseorang balu beragama Hindu yang membakar diri bersama suaminya yang sudah meninggal dunia semasa upacara pengebumian. Pentadbiran British cuba menghapuskan amalan ini yang dianggap tidak berperikemanusiaan melalui undang-undang yang digubal pada tahun 1928 oleh Lord William Bentick. Amalan Thuggee pula merujuk kepada budaya merompak dan membunuh oleh kumpulan-kumpulan agama yang bersenjata terhadap para saudagar dan pengembara yang menggunakan nama Dewi Kali. Tindakan Lord William mengharamkan amalan ini menimbulkan kemarahan golongan agama.

Amalan membunuh bayi perempuan telah diamalkan oleh masyarakat India beragama Hindu sejak turun-temurun. Golongan ini menganggap bayi perempuan beban kepada keluarga apabila membesar kelak. Amalan ini dilakukan bagi mengelakkan ibu bapa menanggung malu dan derita akibat pemberian dowri kepada bakal suami apabila anak perempuan itu berkahwin kelak. Lord William turut mengharamkan amalan ini dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan golongan tersebut. Bagi balu-balu dalam masyarakat Hindu di India, mereka dilarang untuk berkahwin semula. Pengganti Lord William Bentick, Lord Dalhousie memandang serius isu ini lalu menggubal Akta Kahwin Semula bagi balu-balu Hindu. Tindakan British memperkenalkan akta ini dianggap sebagai percubaan untuk menghina amalan tradisi masyarakat Hindu di India.

Cara British menguasai India juga menimbulkan kemarahan kepada penduduk tempatan. British menggunakan pelbagai alasan untuk menakluki sesebuah kawasan. Lord Dalhousie misalnya menggunakan tiga cara untuk menguasai wilayah di India. Pertama, berperang untuk menakluk sesuatu kawasan. Kedua, melalui “Undang-undang Lesap Waris” iaitu sebagai contoh, jika seseorang maharaja mangkat tanpa meninggalkan waris untuk mewarisi takhta tersebut, secara automatik negeri itu akan jatuh ke tangan British. Cara ketiga pula ialah memberi alasan penganiayaan, kezaliman, dan ketidakstabilan politik sesebuah wilayah. Jika sesebuah wilayah itu huru-hara, maka British boleh menguasai kawasan tersebut. Sebagai contoh, pentadbiran Qudh di bawah Nawab Khan berada dalam keadaan huru-hara dan amalan rasuah berleluasa. Lord Dalhousie merampas Qudh atas alasan tersebut.

Tindakan British memperkenalkan perubahan dalam sistem pendidikan menimbulkan perasaan tidak puas hati penduduk tempatan. Ekoran perubahan ini, jawatan-jawatan penting dalam kerajaan diberikan kepada penduduk tempatan yang berpendidikan Inggeris sahaja. Perubahan ini juga dianggap sebagai percubaan Inggeris untuk menyebarkan agama Krisitian dalam kalangan masyarakat India. British juga memperkenalkan sistem perhubungan moden seperti kereta api dan telegraf. Pengenalan sistem pengangkutan moden mengancam amalan kasta yang diwarisi oleh masyarakat India sejak turun-temurun dan mencemarkan adat resam dan agama Hindu. British turut memperkenalkan peraturan baru seperti Akta Penjajahan Punjab yang menjejaskan kehidupan penduduk dan menambahkana beban golongan petani di kawasan tersebut serta Akta Pengambilan Khidmat Awam oleh Lord Canning yang tidak memberi elaun tambahan kepada sepoi-sepoi India di luar negara.

Kemuncak kemarahan masyarakat India terhadap British boleh dilihat daripada peristiwa Dahagi India. Golongan pembesar telah kehilangan kedudukan dan menjejaskan sumber pendapatan serta status sosial mereka. Sepoi-sepoi India yang berkasta tinggi turut tidak berpuas hati apabila dihantar ke luar negeri kerana akan kehilangan status kasta mereka dan dihukum dengan hukuman gantung kepada yang enggan mematuhinya. Pemberontakan tercetus apabila sepoi-sepoi India mendapat tahu peluru rifle yang digunakan disalut dengan lemak khinzir dan lemak lembu. Lemak khinzir haram bagi orang Islam dan lemak lembu haram kepada penganut agama Hindu. Mereka menunjukkan kemarahan dengan membunuh pegawai British dan membakar kediaman mereka.

Pihak penjajah sering menganggap mereka lebih hebat menyebabkan mereka cenderung menggubal dasar yang memperkecilkan adat, budaya, dan agama masyarakat India. Maka, tidak hairanlah jika penduduk tempatan merasakan tidak ada cara lain selain melancarkan penentangan terhadap penjajah. Penentangan tersebut telah diterjemahkan melalui Peristiwa Dahagi India yang berlaku pada tahun 1857.

@juhaimimajid

Monday 1 February 2021

4. JELASKAN PERANAN CHARLES LOUIS MONTESQUIEU DALAM ASPEK INTELEKTUAL.

 



JELASKAN PERANAN CHARLES LOUIS MONTESQUIEU DALAM ASPEK INTELEKTUAL.

Charles Louis Montesquieu atau Charles Louis de Scondat dilahirkan pada 18 Januari 1689 dan meninggal dunia pada 10 Februari 1775. Beliau dilahirkan di Chateu de la Brede barat daya Perancis. Ayahnya Jacques de Scondat merupakan seorang tentera. Ibunya pula bernama Marie Francoise de Pesnel seorang wanita warak dan kaya. Montesquieu bersekolah di Chatholic Collage of Juiny dan melanjutkan pelajaran di fakulti undang-undang di University Bordeux dan berjaya menjadi seorang peguam pada tahun 1708. Pada tahun berikutnya, Montesquieu mewarisi kekayaan dan dan gelaran ‘Montesquieu’ setelah bapa saudaranya meninggal. Beliau adalah salah seorang tokoh yang banyak memberikan sumbangan dan ide semasa Zaman Pencerahan. Antara sumbangannya ialah menghasilkan tiga karya besar yang mengutarakan pemikiran politik, sejarah, falsafah dan agama.

Charles Louis Montesquieu telah menghasilkan beberapa penulisan ketika menuntut di Academy of Bordeaux. Antaranya, Le temple de Dnide, Essai sur le Gout, Dia-logue de Syela et d’Eucrate, Arcase at Ismenie dan lebih seratus surat. Hasil karya-karyanya ini telah dikumpulkan dalam Oeuvres Completes de Montesquieu dan diedit oleh Edward Laboulaye, Melanges Inedits de Montesquieu, Voyages de Montasquieu, dan Pensees et Fragments Inedits de Montesquieu. Selain itu, Montesquieu telah menghasilkan tiga karya yang terpenting iaitu; Lettre Persanes (1721), The Considerations on the cause of the Grander and Decandenveof the Romans (1734) dan Spirit of the Laws (1748).

Hasil karya Montesquieu iaitu Lettres Persanes (1721) memaparkan kisah dua orang Persia yang bernama Usbek dan Rica yang mengembara ke Perancis untuk mempelajari gaya hidup dan adat istiadat di Eropah. Karya ini berisi surat-surat, antaranya Montesquieu menceritakan tentang Harem Persia iaitu cara wanita-wanita di Persia hidup dikawal oleh suami-suami mereka semasa ketiadaan mereka. Mereka akan dikawal oleh sida yang bertanggungjawab terhadap wanita-wanita ini sehingga dibenarkan membunuh jika perlu. Selain itu, Montesquieu juga memaparkan kemerosotan moral di penghujung zaman pemerintahan Louis XIV dan Louis XV melalui watak Rica yang menceritakan bahawa Raja Perancis adalah lebih kaya daripada Raja Sepanyol kerana mempunyai rakyat yang mudah terpedaya dengan kata-kata raja mereka. Malahan, Montesquieu menggunakan karya ini untuk mengkritik masyarakat Perancis.

Karya The Considerations on the Causes of the Grandeur and Decadence of the Romans yang diterbitkan pada tahun 1734 di Amsterdam pula memaparkan sejarah kebangkitan, kebesaran dan kejatuhan Rom. Beliau mengkaji peristiwa yang menimpa tentera Rom yang akhirnya membawa kepada kejatuhannya. Beliau menyatakan bahawa kejayaan Rom adalah disebabkan oleh kebajikan masyarakat, sistem konsul, kebijaksanaan senat, kekuasaan rakyat terbatas, kemenangan yang diperolehi serta pembahagian harta rampasan. Manakala kejatuhan Rom adalah disebabkan oleh kemerosotan kerjasama antara rakyat dan tentera, kemewahan ekonomi dan kekuasaan, dan hilang identiti kewarganegaraan. Karyanya ini memperlihatkan cara beliau menginterpretasikan sebab dan akibat sejarah dengan memfokus kepada sebab-sebab tersirat dari segi sosial dan moral bagi kejatuhan Rom. Oleh itu, beliau sering digelar sebagai ahli sosiologi yang pertama kerana sumbangannya dalam mengkaji kesan dan akibat sosial dan fenomena persekitaran kepada tingkah laku manusia.

Karya Spirit of the Laws (1748) pula mengandungi tiga puluh satu buah buku dan dibahagikan kepaa enam bahagian. Perkara yang dibincangkan ialah bentuk-bentuk pemerintahan, adat kebiasaan dan iklim, masalah ekonomi, masalah agama dan hukum Romawi, hukum Perancis serta feudalisme. Montesquieu juga menjelaskan mengenai konsep pengasingan kuasa dalam pemerintahan yang terbahagi kepada tuga buah badan yang bebas iaitu Badan Perundangan, Badan Eksekutif, dan Bdan Kehakiman yang mempunyai bidang kuasa tersendiri untuk mengelakkan pertindihan bidang kuasa. Hal ini juga bagi memastikan seseorang itu tidak berkuasa lebih daripada satu bidang kuasa dan dapat mengelakkan penyalahgunaan kuasa akibat pemusatan kuasa pada sesebuah badan tertentu. Jika ketiga-ketiga kuasa tidak dipisahkan, penyelewengan akan berlaku dan kebebasan tidak wujud, dan hakim-hakim tidak mendapat kebebasan dalam melaksanakan keadilan.

Oleh itu, doktrin pengasingan kuasa yang dilaksanakan ini bukanlah menunjukkan Montesquieu memusuhi golongan aristokrat, tetapi beliau hanya mementingkan had kuasa dan rakyat mendapat hak yang sepatutnya dalam sistem monarki. Oleh itu, harus wujud penguasa yang mematuhi hukum, menghormati rakyat dan menghormati hak-hak kaum bangsawan. Malahan, beliau yakin bahawa undang-undang kebanyakan negeri boleh menjadi lebih liberal dan berperikemanusiaan bagi mengelakkan penyelewengan kuasa serta dapat menghapuskan penindasan agama, sistem perhambaan dan menggalakkan perdagangan.

Kesimpulannya, Charles Louis Montesquieu telah banyak memberikan sumbangan kepada peradaban dunia amnya dan Perancis khasnya semasa Zaman Pencerahan. Doktrin pengasingan kuasa yang diutarakannya berjaya mempengaruhi penggubalan perlembagaan di dunia termasuk penggubalan Perlembagaan Amerika Syarikat 1787.

@juhaimimajid