Sunday 22 September 2019

SEJARAH 1: EKONOMI FEUDALISME DI CHINA ABAD KE-16.



PENDAHULUAN

Di China, ekonomi feudalisme berkait rapat dengan keadaan geografi negara China. Dua pertiga merupakan kawasan gunung dan gurun di sebelah barat dan utara.  Kawasan pertanian hanya 15 peratus sahaja namun mampu mengeksport makanan keluar negara dan keperluan masyarakatnya. Selain itu, sistem ekonomi feudalisme di China memperlihatkan kawalan ketat daripada maharaja ke atas golongan petani dan pedagang asing yang datang berdagang di China. Hal ini menjadi bukti bahawa pentadbiran maharaja China memainkan peranan utama dalam perkembangan ekonomi. Kemakmuran ekonomi era Dinasti Ming menambah penduduk 150 juta akhir abad ke-16.

ISI 1: PERTANIAN

Antara kegiatan utama yang dijalankan semasa pemerintahan Dinasti Ming di China ialah pertanian. Kawasan tumpuan utama bagi aktiviti pertanian ialah di kawasan timur laut China dan Mongolia, iaitu di dataran Loes yang subur kerana dilalui oleh Sungai Kuning. Di sebelah selatan Sungai Kuning, terdapat Sungai Yangtze yang turut menjadi penyumbang kepada ekonomi dan menyediakan sistem perhubungan utama kepada 12 wilayah dalam empayar China dan membentuk bandar-bandar besar seperti Chungking, Hankow, Kinkiang, Anking dan Nanking. Tembakau ditanam di Kwangsi dan Fukien, Kapas di Sungkiang, Mulberi di Kwangtung, Gandum di Shantung dan Milet di Kansu. Padi huma, sekoi dan kekacang ditanam di sekitar Sungai Heilongjiang manakala padi sawah diimport benihnya dari Vietnam. Semua pembaharuan yang dilaksanakan telah meningkatkan hasil pertanian seperti tanaman bergilir dalam skala besar, menanam padi baharu cepat masak, penanaman padi dua kali setahun dan penambahan sistem pengairan.

ISI 2: INDUSTRI KECIL

Selain itu, industri kecil turut memainkan peranan dalam membantu pertumbuhan ekonomi khususnya di pusat bandar yang besar seperti Nanjing dan Beijing yang mengeluarkan kertas, sutera, kapas dan porselin. Kiangsi merupakan pengeluar porselin utama yang memberi sumbangan besar kepada perbendaharaan negara. Sochow pula merupakan pusat industri tekstil dan Sungkian pengeluar kain kapas. Industri kraf tangan dan tenunan turut menyumbang kepada pembangunan negara China sehingga dapat berdagang dengan Jepun, Afrika Timur, dan negara-negara  lain.

ISI 3: PERDAGANGAN

Pada abad ke-16, walaupun aktiviti ekonomi feudalisme diberi keutamaan, namun aktiviti berdagang tetap berjalan lancar. China telah menggunakan sungai-sungai sebagai jalan perhubungan dan pengangkutan yang sistematik. Sungai Yangtze dimuduki kapal sejauh seribu batu dari kuala untuk berdagang di lembangan tengah. Sungai-sungai barat pula membolehkan pedagang berdagang di selatan dan Sungai Peiho serta Sungai Kuning. Sistem jalan air diperluas dengan pembinaan Terusan Besar dari Beijing ke Hangchow.

ISI 4: HUBUNGAN LUAR

Dinasti Ming turut membenarkan para pelayar China ke Asia Tenggara, India dan Afrika. Ini membawa kepada kedatangan pedagang luar yang mahu berdagang di pelabuhan Canton. Pedagang Portugal, Sepanyol dan Belanda telah diterima untuk berdagang di China. Pada tahun 1516, Rafael Perestrello dan Tom Pires antara pengembara Barat yang dibenarkan masuk ke Tanah Besar China. Pada tahun 1532, pedagang Portugis telah dibenarkan berdagaang di Macau.

ISI 5: KESATUAN DAGANG

Menjelang zaman Ming, muncul kesatuan-kesatuan dagang akibat kepesatan sektor industri dan perniagaan di China. Kesatuan Dagang Shanxi ditubuhkan bagi institusi-institusi kewangan. Golongan bangsawan turut membantu kerajaan pusat dalam mengawasi kegiatan kesatuan dagang dan aktiviti ekonomi di wilayah-wilayah China.

KESIMPULAN

Sistem ekonomi feudalisme di China memperlihatkan penguasaan golongan pemerintah selain ciri-ciri ekonomi tradisional. Kepesatan ekonomi China menyebabkan pedagang Barat datang ke China untuk berdagang. Pemerintah China terpaksa menukar dasar tutup pintu kepada buka pintu kesan aktiviti ekonomi yang pesat.


Tuesday 3 September 2019

SEJARAH 3: PERANAN DAN PENGARUH GOLONGAN AGAMA DALAM GERAKAN NASIONALISME DI MYANMAR


PENDAHULUAN

Kebangkitan golongan agama dalam menentang penjajahan British di Myanmar dipelopori oleh golongan agama. Semasa awal penjajahan lagi, golongan ini sudah mula memainkan peranan mereka untuk mempertahankan kesucian agama mereka daripada diancam oleh agama Krisitian yang disebarkan oleh pihak penjajah British. Peranan mereka semakin menonjol apabila bermulanya kesedaran kebangsaan di kalangan penduduk peribumi di Myanmar yang dijajah oleh British.

ISI 1: PONGYI

Golongan agama (Pongyi atau sami-sami Buddha) mula terlibat secara langsung dalam gerakan kebangsaan di Burma setelah tercetusnya peristiwa "Pertikaian Kasut" pada tahun 1916. Golongan Pongyi telah memberi sokongan padu kepada Persatuan Belia Buddha dalam memperjuangkan isu tersebut. Selain itu, golongan Pongyi juga telah memberi sokongan padu kepada Persatuan Belia Buddha yang melancarkan mogok pelajar pada tahun 1920.

ISI 2: SOKONGAN RAKYAT

Sehingga tahun 1920, golongan Pongyi masih belum memainkan peranan secara langsung dalam gerakan kebangsaan di Burma. Tetapi disebabkan kedudukan mereka yang tinggi dalam masyarakat Burma. Tetapi disebabkan kedudukan mereka yang tinggi dalam masyarakat Burma, khususnya di kawasan luar bandar, pengaruh mereka amat kuat di kalangan rakyat. Sokongan dalam memperjuangkan isu-isu berkenaan meninggalkan kesan yang mendalam ke atas pergolakan politik Burma. Sebagai golongan yang berpengaruh, golongan Pongyi dapat menyalurkan idea perjuangan kebangsaan yang ketika itu dipelopori golongan berpendidikan Barat ke dalam masyarakat Burma dengan cara yang lebih luas.

ISI 3: PENYERTAAN POLITIK

Pada tahun 1922, penyertaan secara langsung golongan Pongyi dalam perjuangan politik Burma menjadi ketara. Pada tahun tersebut, telah ditubuhkan Majlis Am Sangha Semetggi yang dipelopori oleh golongan Pongyi sendiri dengan mempunyai program-program politik yang lebih jelas. Melalui Sangha Semetggi ini, perjuangan golongan Pongyi bukan sahaja lagi terbatas kepada menjaga kemurnian agama Buddha, tetapi juga merangkumi sehingga kepada tuntutan kemerdekaan yang penuh bagi Burma. Organisasi politik Sami Buddha ini juga menolak sistem Dyarchy yang diperkenalkan oleh penjajah British. Sikap anti British golongan Pongyi yang semakin ketara itu menyebabkan berlakunya ketegangan hbungan dengan pihak British.

ISI 4: PEMBERONTAKAN

Pada tahun 1930-an, golongan Pongyi yang mendapat sokongan semasa di bawah pimpinan Sanya San telah melancarkan pemberontakan yang bertujuan untuk menggulingkan kerajaan British dan memulihkan kedudukan dan kesucian agama Buddha di Burma. Tetapi pemberontakan ini telah dapat dipatahkan.

ISI 5: KEMEROSOTAN

Selepas kegagalan pemberontakan Sanya San, pihak British telah mengenakan tekanan yang kuat ke atas golongan Pongyi. Berikutan dengan itu, pengaruh mereka dalam politik Burma mula merosot. Ini menyebabkan berlakunya peralihan dari segi kepimpinan dalam Gerakan Kebangsaan di Burma. Kemerosotan pengaruh golongan Pongyi menyebabkan kepimpinan dalam gerakan kebangsaan diambil alih oleh golongan sekular yang berpendidikan Barat. Kemunculan golongan ini melalui penubuhan Dobama Asiayone oleh golongan Thakin pada tahun 1935. Sejak pada tarikh inilah, golongan Thakin menjadi pelopor perjuangan kebangsaan yang membawa kepada kemerdekaan Burma kemudiannya.

KESIMPULAN

Keadaan di Burma menunjukkan golongan agama memainkan peranan penting pada peringkat awal munculnya Gerakan Kebangsaan di Burma. Walaupun peranan dan pengaruh mereka kemudiannya merosot dan seterusnya diambil alih oleh golongan sekular, tetapi penyertaan mereka secara langsung dalam perjuangan politik menentang penjajah memberikan sumbangan besar dari segi meningkatkan kesedaran politik, pemupukan jati diri, dan perpaduan di kalangan rakyat di Myanmar.