Sunday 31 January 2021

3.PERIHALKAN PERKEMBANGAN EKONOMI KAPITALISME DI ENGLAND.



PERIHALKAN PERKEMBANGAN EKONOMI KAPITALISME DI ENGLAND.

Kapitalisme merupakan sistem ekonomi yang menekankan hak milik persendirian, pasaran, kebebasan ekonomi, dan perniagaan untuk meraih keuntungan. Kegiatan ekonomi ini berkembang pesat selepas tercetus Revolusi Perindustrian di England pada abad ke-18 dan 19. Perkembangan Revolusi Perindustrian di England pada tahun 1760 hingga 1850 mengubah kaedah pengeluaran barangan daripada penggunaan tangan kepada penggunaan mesin dan proses kimia. Perkembangan ekonomi kapitalisme menyebabkan perubahan yang amat ketara dalam pertanian, perindustrian dan perdagangan.

Perkembangan kapitalisme menyebabkan kemajuan dalam bidang pengangkutan di England. Kemunculan industri pengangkutan menyebabkan pembinaan jalan raya, terusan, landasan kereta api dan perkapalan. Sistem pengangkutan disediakan bagi memudahkan pergerakan barangan dan pemasaran. Pada tahun 1802, kapal-kapal menggunakan enjin stim dan keluli menyebabkan kapal-kapal ini boleh mengangkut lebih banyak kargo. Perluasan permintaan barangan perkilangan menyebabkan kemajuan dalam teknologi pembinaan jalan raya dan lokomotif menyebabkan sistem pengangkutan berkembang.

Kapitalisme menyebabkan perkembangan dalam bidang pertanian di England. Kemajuan dalam bidang ini menyaksikan peningkatan dalam pengeluaran hasil pertanian. Petani di England menggunakan sistem tanah berpagar untuk menggantikan tanah lapang yang memajukan tanah untuk aktiviti pertanian. Penggunaan kaedah pertanian yang baharu seperti sistem tanaman bergilir oleh Vicount Townshend mengekalkan kesuburan tanah setiap masa.  Sistem pengurusan ladang oleh Coke of Holkham telah meningkatkan pengeluaran pertanian dengan memperkenalkan cara menebus guna tanah secara heavy-manuring menjadikan kawasan berpasir sebagai penanaman gandum.

Perkembangan kapitalisme menyebabkan kemajuan dalam industri tekstil, kain kapas, arang batu dan besi. Permintaan yang tinggi bagi barangan tekstil telah membawa kepada penciptaan mesin pemintal yang pertama oleh James Hargreaves pada tahun 1764. Industri tekstil mengalami perkembangan pesat selepas penciptaan mesin baharu seperti Flying Shuttle dan Spinning Jenny. Kemunculan kilang-kilang perindustrian menyebabkan industri arang batu, besi dan keluli berkembang. England mempunyai banyak sumber bijih besi dan telah menghasilkan besi yang berkualiti yang digunakan untuk membuat mesin-mesin baru bagi sektor perkilangan dan pembinaan lokomotif.

Perkembangan ekonomi kapitalisme telah menyumbang kepada pertambahan penduduk dan kemunculan bandar perusahaan di England. Pada tahun 1850, lebih separuh populasi England tinggal di pekan dan bandar disebabkan oleh migrasi penduduk luar seperti migrasi penduduk Ireland beramai-ramai ke England. Bandar-bandar perusahaan muncul ekoran daripada penghijrahan penduduk ke kawasan bandar untuk bekerja di kilang seperti Manchester, Liverpool, York dan Birmingham. Penghijrahan penduduk membantu kepada perkembangan industri kapas dan tekstil di Englnad.

Perdagangan antarabangsa melibatkan pengeluaran barangan industri seperti arang batu, jentera, tekstil, besi dan tembaga. Pada tahun 1820-an, kilang-kilang kapas Manchester dan Leeds mengeluarkan pasaran melebihi permintaan pasaran tempatan. Hal ini membawa kepada pengeksportan kain kapas dari England. England menghasilkan pengeluaran secara besar-besaran terhadap barangan siap dan memansuhkan tarif import bahan mentah bagi meningkatkan perdagangan seterusnya melaksanakan dasar perdagangan bebas dan lebih liberal. Adam Smith dalam bukunya The Wealth of Nation menceritakan usaha mengekalkan kekayaan dengan menghapuskan perlindungan duti kastam.

Perkembangan kapitalisme selepas Revolusi Perindustrian menyebabkan perubahan besar dalam sistem ekonomi. Kapitalisme menyebabkan perubahan ekonomi yang berasaskan pertanian dan ekonomi komersial kepada negara perindustrian. Perubahana ini turut menyebabkan pertumbuhan kadar urbanisasi yang pesat dan pertumbuhan penduduk yang tinggi. Pengenalan kuasa jentera dan sistem kilang menghasilkan pengeluaran berlipat ganda. Pertumbuhan dalam bidang perindustrian dan pertanian telah menyebabkan England terlibat dalam perdagangan antarabangsa.

@juhaimimajid

Thursday 28 January 2021

2. BINCANGKAN PERANAN MAHARAJA DI CHINA SEMASA PEMERINTAHAN DINASTI MING.


BINCANGKAN PERANAN MAHARAJA DI CHINA SEMASA PEMERINTAHAN DINASTI MING.

Dalam sistem pemerintahan monarki yang diamalkan di China, maharaja mempunyai kedudukan yang tinggi. Maharaja China mempunyai kuasa mutlak dalm bidang eksekutif, perundangan dan kehakiman. Sistem pemerintahan beraja di China semasa pemerintahan dinasti Ming bermula sekitar abad ke-16 iaitu dari tahun 1368 hingga 1644. Sistem pentadbiran yang diamalkan merupakan warisan daripada dinasti terdahulu atau kesinambungan daripada pemerintahan sebelumnya. Dalam menjalankan pentadbiran, maharaja dibantu oleh kakitangan awam yang terdiri daripada golongan bangsawan. Dengan menguasai hal ehwal eksekutif, kehakiman, ketenteraan, kegamaan, dan keintelektualan pula, maharaja dapat mempertahankan kedudukannya.

 

Tidak dinafikan, maharaja merupakan individu yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam masyarakat China. Hal ini bukan sahaja disebabkan maharaja menduduki hierarki tertinggi dalam masyarakat China. Dinasti Ming mengekalkan struktur kerajaan China Kuno iaitu maharaja dikaitkan dengan konsep ketuhanan bertaraf suci serta mendapat mandat dari syurga yang pastinya memberikan kuasa tidak terhingga kepada seseorang maharaja. Kedudukan tertinggi ini diperkukuhkan dengan falsafah Confucianisme yang menggesa seseorang maharaja berkelakuan baik dan adil agar mendapat penghormatan daripada rakyat. Oleh sebab kedudukan tertinggi, maka tidak hairanlah maharaja di China mempunyai kekuasaan mutlak dalam pelbagai aspek politik, ekonomi, sosial, perundangan dan sebagainya.

 

Dari segi politik, kekuasaan maharaja ditonjolkan dengan peranannya sebagai pemerintah tertinggi yang mempunyai kuasa yang tidak boleh dipersoalkan. Maharaja juga bertanggungjawab melantik pembesar di peringkat wilayah yang wajib bertanggungjawab atas nama maharaja. Selain itu, maharaja juga bertanggungjawab membentuk sistem pentadbiran yang sistematik, umpamanya melantik individu-individu yang lulus peperiksaan awam bagi memastikan sistem pentadbiran berjalan dengan lancar serta cekap. Sebagai ketua negara, maharaja juga bertanggungjawab menentukan dasar-dasar negara. Dalam dinasti Ming, maharaja bertanggungjawab mengarahkan ekspedisi-ekspedisi ke luar negara bagi meningkatkan pengaruh dan status Kerajaan China.

 

Dari segi ekonomi, maharaja menguasai semua sumber ekonomi seperti cukai, tanah, buruh dan lain-lain. Dinasti Ming mempelbagaikan pembaharuan untuk meningkatkan hasil pengeluaran pertanian seperti mengingkatkan sistem pengairan, pertanian selingan dan penggunaan peralatan moden.Malah maharaja berperanan dalam menentukan dasar cukai negara dan segala perancangan dalam ekonomi negara. Aktiviti perdagangan luar perlu mendapat kebenaran dan restu baginda. Semasa era Dinasti Ming, dasar keterbukaan dalam urusan luar negara telah meluaskan bidang perdagangan dan perkembangan ilmu Barat di China. Pemilikan tanah yang menjadi sumber  atau lambang kekayaan adalah di bawah kuasa mutlak maharaja. Baginda berhak untuk menganugerahkan atau menarik balik pemilikan tanah kepada individu yang tertentu dan berjasa kepada negara.

 

Sementara dari sudut sosial, kekuasaan maharaja dapat dilihat dalam memainkan peranan penting dalam sosal keagamaan dengan mengetuai segala upacara keagamaan. Maharaja juga bertanggungjawab melantik ketua agama bagi mengetuai upacara keagamaan, pemujaan dan hal-hal kerohanian. Sebagai penaung kegiatan keilmuan, peperiksaan awam yang dijalankan pada peringkat pusat, wilayah dan daerah dilaksanakan dengan harapan melahirkan ramai tokoh pentadbir berwibawa. Baginda turut terlibat dalam perkembangan ilmu pengetahuan dengan memberi ceramah kepada pelajar-pelajar yang menuntut di Kolej Imperial.

 

Dalam bidang kehakiman dan perundangan pula, maharaja berperanan sebagai ketua hakim sekaligus mempunyai kuasa pemutus sama ada menjatuhkan hukuman atau mengampuni kesalahan seseorang individu. Malah, segala titah perintah diraja dianggap sebagai undang-undang. Pelaksanaan hukuman yang adil amat penting memandangkan ia mencerminkan imej sesorang maharaja. Kegagalan menjatuhkan hukuman yang sewajarnya boleh membawa kepada hilangnya mandat seseorang maharaja.

 

Kesimpulannya, China mempunyai sistem pemerintahan yang teratur semasa era Dinasti Ming seterusnya menjelang era pemerintahan dinasti Ching. Maharaja menjalankan kuasa pemerintahan secara mutlak dengan bantuan pegawai-pegawai kerajaan telah melahirkan kestabilan dalam politik, ekonomi dan sosial di China.

@juhaimimajid


Wednesday 27 January 2021

CONTOH SOALAN TRIAL STPM SEMESTER 1 TAHUN 2021.

1. Bincangkan ciri-ciri masyarakat Maritim di Portugal pada abad ke-16 hingga ke-17 Masihi. 

2. Bincangkan peranan maharaja di China semasa pemerintahan Dinasti Ming. link

3. Perihalkan perkembangan ekonomi Kapitalisme di England. link

4. Jelaskan peranan Charles Louis Montesquie dalam aspek intelektual. link

5. Huraikan faktor-faktor tercetusnya Peristiwa Dahagi di India pada 1857. link

6. Sejauh manakah pakatan tentera merupakan faktor yang mencetuskan perang dunia pertama 1914-1918. link


Skema Jawapan Soalan 1


Bincangkan ciri-ciri masyarakat Maritim di Portugal pada abad ke 16 hingga 17 Masihi.

Masyarakat maritim ialah masyarakat yang bergantung kepada aktiviti berasaskan kelautan seperti perdagangan, perikanan, pengumpulan hasil laut, perkapalan, penerokaan, dan penjelajahan. Masyarakat  maritim terdiri daripada golongan pedagang, nelayan, nakhoda, anak kapal, dan peneroka. Perkembangan ini didorong oleh kemunculan kerajaan maritim di Eropah pada abad ke-17. Antara kuasa maritim yang unggul pada abad tersebut ialah Portugal, Belanda, dan Inggeris. Portugal menjadi kuasa maritim yang terunggul di Eropah pada abad ke-15 semasa era pemerintahan Putera Henry. Kemunculan ini adalah disebabkan ingin mencari keuntungan, kemegahan bangsa, raja dan negara serta menyebarkan agama Kristian. Ciri-ciri masyarakat maritim Portugal ialah penempatan, aktiviti ekonomi, pelabuhan, teknologi dan penjelajahan.

 

Petempatan masyarakat maritim Portugal bertumpu di pesisiran pantai, lembah sungai dan kepulauan. Hal ini adalah kerana kedudukan geografi Portugal yang terletak di Semenanjung Iberia, bersama beberapa pulau di Lautan Atlantik seperti Pulau Azores, Madeira dan Savage. Selain itu, Portugal bersempadan dengan Sepanyol di sebelah utara dan timur, serta Lautan Atlantik di barat dan selatan. Kelebihan kedudukan geografi ini telah menyebabkan masyarakat maritim Portugal terdedah kepada pengaruh kelautan.

 

Masyarakat maritim Portugal menjalankan kegiatan ekonomi perdagangan sebagai aktiviti ekonomi utama. Kegiatan perdagangan ini berkembang luas di Lautan Atlantik bermula pada tahun 1500 apabila sebuah kapal Portugal di bawah pimpinan Pedro Cabral sampai ke pantai Brazil dan Amerika Selatan dengan membawa hasil hutan seperti kayu-kayan dan bahan pencelup. Selain itu, pedagang Portugal turut membuka ladang tebu, menjalankan penanaman tembakau serta menternak lembu dan kuda. Kesemua hasil tersebut telah diperdagangkan dan dan memberi keuntungan kepada Portugal. Pada akhir abad ke-17 pula, emas telah dijumpai pada tahun 1693 di Selatan Brazil. Penemuan ini sudah pastinya meningkatkan pendapatan pedagang Portugal.

 

Portugal juga muncul sebagai pelabuhan pembekal kerana mempunyai pelabuhan yang menjadi tumpuan para pedagang Eropah iaitu pelabuhan Lisbon dan Antwerp. Portugal menjadikan pelabuhan-pelabuhan ini sebagai pusat pengeskportan dan pengeluaran barangan dagangan Portugal. Kesannya, dalam masa 30 tahun, Portugal berjaya menembusi pasaran rempah-ratus yang dikuasai oleh pedagang Venice di Itali. Seterusnya, Portugal berhasrat untuk menguasai perdagangan rempah daripada para pedagang Islam yang telah menjual barangan dari Timur di Venice dengan harga yang tinggi. Oleh itu, Portugal dapat menguasai perdagangan tersebut hanya apabila dapat menguasai jalan perdagangan di Lautan Hindi dan mengambil aih peranan pedagang Venice sebagai orang tengah.

 

Masyarakat maritim Portugal juga mempunyai kemahiran membina perahu dan kapal. Masyarakat ini berkemampuan membina kapal yang besar yang mampu belayar di lautan luas. Misalnya, mereka telah membina kapal jenis caravel seberat 2000 tan. Kemajuan ini membawa kemunculan industri pembinaan kapal di Portugal. Masyarakat maritim Portugal juga mempunyai kemahiran dalam teknologi pelayaran. Misalnya, penemuan baru seperti peta Benua Eropah (kartografi), kompas magnetik, reka bentuk kapal, memiliki teknologi senapang dan meriam, serta astrolab. Pelayar Portugal juga mempunyai catatan wilayah baru di atas peta dan seni catatan peta yang tepat dalam peta gaya baru. Mereka mempunyai kompas yang diambil dari orang Cina yang menunjukkan arah utara yang penting bagi kapal-kapal yang belayar dari timur ke barat. Mereka juga memiliki teknologi senjata api dan meriam dan menggunakan bahan letupan daripada China.

 

Seterusnya, masyarakat maritim Portugal juga terdedah dengan kegiatan penjelajahan dan penerokaan. Penglibatan ini adalah hasil usaha Putera Henry yang mahu orang Portugal mahir dalam bidang pelayaran. Hal ini adalah untuk menguasai kekayaan di Afrika dan mencari Prester John yang menjadi raja dalam kerajaan Kristian di Afrika bagi mendapatkan bantuan menguasai kerajaan Islam di Maghribi. Putera Henry bercita-cita mengembangkan agama Kristian di luar Eropah dan dalam masa yang sama menyekat penyebaran Islam di Timur. Usaha Putera Henry ini telah berjaya melahirkan ramai pelayar Portugal seperti Bartolomew Diaz, Vasco da Gama dan Alfonso de Albuquerque. Mereka telah berjaya menjelajah ke selatan sehingga ke Cape Verde di sebelah pantai barat benua Afrika. Lopez de Sequeire telah berjaya menguasai Melaka dan membolehkan Portugal menguasai jalan perdagangan di Lautan Hindi.

 

Kesimpulannya, masyarakat Portugal berjaya menjadi perintis dan meluaskan kekuasaan kerana tidak perlu bersaing dengan pihak lain di Eropah pada masa tersebut. Kejayaan yang dinikmati oleh Portugal sebagai kuasa maritim telah menyebabkan kuasa-kuasa Eropah yang lain turut serta dalam penerokaan dan pelayaran bagi menikmati hasil yang sama yang dinikmati oleh Portugal.


*Untuk soalan 2-6 saya akan kemaskini setiap hari. Selamat membaca dan menguasai!

@juhaimimajid