Thursday 11 January 2018

USAHA NABI MUHAMMAD ﷺ S.A.W DALAM PEMBENTUKAN UMMAH DI MADINAH

Lukisan Masjid An Nabawi (Madinah)

PENDAHULUAN:

Ummah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud umat. Setiap masyarakat Islam dianggap sebagai satu ummah. Konsep ummah ini tidak berasaskan kepada bangsa atau sempadan geografi. Di dalam al-Quran kalimah ummah disebut sebanyak 40 kali yang membawa erti masyarakat atau kumpulan. Dalam Islam, ummah dalah satu masyarakat universal yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa yang disatukan melalui ajaran agama Islam iaitu ajaran Tauhid atau Tuhan (Allah S.W.T) Yang Esa. Ummah hendaklah menyembah Allah S.W.T dan mengamalkan ajaran agama yang dibawa oleh rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah S.W.T dan mengamalkan ajaran agama yang dibawa oleh rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah S.W.T kepada manusia. Nabi Muhammad S.A.W diutus sebagai rasul akhir zaman dan umat Islam hendaklah mengamalkan ajaran baginda. Umat Islam yang terawal dibentuk oleh Nabi Muhammad S.A.W di Makkah dan terus berkembang di Madinah selepas peristiwa HIjrah. Nabi Muhammad S.A.W telah melaksanakan pelbagai usaha dalam membentuk ummah yang kukuh di Madinah.

Gambar Hiasan: Ladang kurma di Madinah

USAHA 1: MENYATUKAN KAUM AUS DAN KHAZRAJ:

Antara langkah terawal ialah usaha Nabi Muhaammad S.A.W dalam menyatukan kaum Aus dan Khazraj. Melalui Perjanjian Aqabah I dan II, ummah Islam sudah pun dibentuk di Madinah. Masyarakat Islam dibentuk di Madinah menerusi dakwah . Sebelum memeluk Islam, kaum Aus dan Khazraj sentiasa bermusuhan dan berperang. Setelah mereka mengadakan Perjanjian Aqabah I dan II, mereka menjemput Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah yang pada masa itu Islam telah berkembang pesat. Baginda bersama para sahabatnya disambut dengan baik oleh penduduk asal Madinah dan mereka menyokong perjuangan Rasulullah S.A.W . Baginda berjaya menyatukan mereka dan menggelarkan mereka sebagai golongan Ansar. Mereka melakukan pengorbanan yang besar demi memperjuangkan Islam dan menegakkan negara Islam di Madinah.

Gambar Hiasan: Di luar Masjid An Nabawi, Madinah

USAHA 2: MEMPERSAUDARAKAN ANSAR DAN MUHAJIRIN

Nabi Muhammad S.A.W juga berjaya menyatupadukan masyarakat Islam di Madinah dengan mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar. Persaudaraan dalam Islam adalah berasaskan kesatuan akidah, iaitu keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T. Perbezaan bangsa atau harta tidak menghalang hubungan persaudaraan Islam. Persaudaraan yang berasaskan akidah dan kepercayaan dapat mewujudkan kerjasama yang erat antara golongan Muhajirin dan golongan Ansar. Penyatuan dan perpaduan umat berjaya memelihara kestabilan dan kemajuan ekonomi. Nabi Muhammad S.A.W berjaya melahirkan kesatuan ummah yang mantap dan membentuk masyarakat Islam yang harmonis dalam sebuah negara Islam. Di samping itu, baginda juga menyatukan umat Islam dengan orang bukan Islam yang tinggal di Madinah. Namun, sebahagian golongan Yahudi dan munafik bertindak mengkhianati baginda menyebabkan mereka dihalau keluar dari kota Madinah.

Manuskrip Piagam Madinah 

USAHA 3: MENGGUBAL PERLEMBAGAAN MADINAH

Nabi Muhammad S.A.W juga membentuk Perlembagaan Madinah atau Piagam Madinah untuk menguruskan pentadbiran negara. Perlembagaan Madinah dibentuk bertujuan untuk menjamin perpaduan dalam kalangan penduduk Madinah. Piagam Madinah mengiktirafkan Nabi Muhammad S.A.W sebagai ketua negara. Piagam Madinah mengiktiraf Nabi Muhammad S.A.W sebagai ketua negara. Piagam ini menjamin hak dan kebebasan orang Yahudi untuk meneruskan amalan agama mereka. Di samping itu, piagam ini menjamin keselamatan kepada orang bukan Islam. Piagam Madinah juga menekankan tanggungjawab bersama masyarakat Madinah untuk mempertahankan kota Madinah. Piagam ini mewujudkan perpaduan dalam kalangan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum. Negara Islam Madinah dibentuk berasaskan konsep tolong-menolong, kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan penduduk Madinah.


Gambar Hiasan: Umat Islam digalakkan menjalankan syura


USAHA 4: MELAKSANAKAN KONSEP SYURA

Pelaksanaan konsep syura dalam menyelesaikan masalah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W juga berjaya mewujudkan umat Islam yang bersatu padu. Baginda berusaha untuk mewujudkan persefahaman dan permuafakatan serta mengelakkan perbalahan pendapatan dalam kalangan masyarakat Islam. Dalam pemerintahan Islam, sistem syura digalakkan bagi membincang dan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul. Setiap anggota masyarakat diberi peluang untuk mengemukakan pendapat selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam. Nabi Muhammad S.A.W melaksanakan sistem ini untuk menjamin keadilan dan mengelakkan kezaliman. Sistem perbincangan dan rundingan diadakan dalam menentukan sesuatu keputusan dan tindakan. Keputusan dan ketetapan dibuat melalui persetujuan bersama hasil daripada perbincangan.

Masjid Quba yang pertama didirikan oleh Nabi Muhammad S.A.W

USAHA 5: MENJALANKAN DAKWAH DAN DIPLOMATIK

Langkah yang seterusnya ialah menggiatkan usaha-usaha dakwah dan menjalinkan hubungan diplomatik. Dua masjid, iaitu Masjid Quba dan Masjid Nabawi menjadi tempat beribadat dan tempat kesatuan ummah. Rasulullah S.A.W juga telah menghantar beberapa utusan untuk berdakwah dan menjalin hubungan doplimatik. Baginda telah mengirimkan surat-surat diplomatik melalui utusan. Baginda mengajak pemimpin, wakil kepada raja, ketua negara serta rakyat negara lain untuk memeluk agama Islam. Baginda telah menggunakan segala cara untuk menyampaikan Islam kepada kuasa-kuasa besar pada masa itu seperti Raja Habsyah, Raja Parsi dan Maharaja Rom. Terdapat beberapa utusan yang diterima dengan baik dan ada juga yang dibunuh. Namun, itu tidak memutuskan usaha Nabi Muhammad S.A.W untuk meneruskan dakwah dan hubungan diplomatik dalam mempertahankan Islam seterusnya membentuk ummah Islam yang lebih luas.

Gambar Hiasan: Para utusan dihantar untuk menjalankan dakwah dan diplomatik

KESIMPULAN:

Kesimpulannya, Nabi Muhammad S.A.W telah membentuk umat Islam generasi pertama dengan mengambil beberapa langkah yang bijak. Antara ciri-ciri ummah yang dibentuk oleh baginda ialah ummah yang menyembah Allah S.W.T, berilmu, bersatu padu, berjihad dan mendaulatkan Islam. Semangat persaudaraan dan penyatuan ummah di Madinah merupakan satu titik tolak kepada kemunculan masyarakat baru Islam dan kerajaan Islam yang pertama di dunia. Usaha-usaha yang dijalankan oleh Nabi Muhammad S.A.W bukan sahaja berjaya di Madinah tetapi berjaya membentuk masyarakat Islam yang lebih luas sehingga menakluk Kota Makkah dari bangsa Arab Jahiliah Quraisy.


*PETUNJUK:
- S.A.W (Sallallahu Alaihi Wasallam  صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم )- "Sejahteralah ke atas baginda (Nabi Muhammad)"
- S.W.T (Subahanu Wa Taala   سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى )- "Mahasuci dan Mahatinggi (Allah)"