Monday 22 April 2019

SEJARAH STPM: PERANCIS DI ALGERIA


REAKSI MASYARAKAT ALGERIA AKIBAT PENJAJAHAN PERANCIS 1830-1962


Sebelum penjajahan Perancis, Algeria merupakan sebahagian daripada empayar Turki Uthmaniyah. Kelemahan pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniyah memberikan ruang kepada kuasa Perancis campur tangan di Algeria dan menjajahnya pada tahun 1830. Kuasa-kuasa Barat mula membahagi-bahagikan wilayah dunia Islam. Penjajahan Perancis di Algeria bermula kerana isu kewangan. Pada akhir abad ke-18, Perancis terlibat secara aktif dalam ekonomi Algeria. Campur tangan Perancis bermula apabila pemerintah Algeria, Husain Dey (1818-1830) menuntut hutang daripada tentera Perancis yang masih tertunggak untuk pembelian gandum. Husain Dey ialah pemerintah Algeria yang dilantik oleh Khalifah Turki Uthmaniyah. Beliau ingin mengutip hutang dari Perancis tetapi ditolak. Husain Dey telah bertindak tidak mahu memberikan penghormatan kepada bendera Perancis yang menimbulkan krisis. Keadaan ini menggiatkan lagi usaha penjajahan Perancis ke atas Algeria. Peluasan kuasa ini telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat Algeria bermula tahun 1832 hingga tahun 1918.

Ketua tentera Perancis, Bertrand Claussel mempergiatkan lagi penjajahan Perancis yang mendorong kemasukan ramai peneroka Eropah ke Algeria. Mereka menceroboh masjid dan tanah perkuburan orang Islam. Keadaan ini mendorong penentangan kuat daripada masyarakat tempatan. Penentangan paling hebat berlaku pada tahun 1830-an dan 1840-an. Usaha peluasan kuasa Perancis ke atas Bandar Constantine pada tahun 1836 mendapat tentangan masyarakat tempatan di Algeria. Penaklukan ke atas bandar tersebut telah dicabar dan ditentang hebat oleh Ahmad Bey. Dalam penentangan ini, Perancis telah kehilangan nyawa 1000 orang tentera. Namun, penentangan Ahmad Bey berjaya dikalahkan oleh Perancis, tetapi Ahmad Bey tetap tidak mengiktiraf kekuasaan Perancis di Bandar Constantine.

Penentangan masyarakat Algeria diteruskan oleh Amir Abdul Qadir. Beliau merupakan seorang tokoh ulama, pemimpin politik dan tentera. Pengalaman yang diperolehnya semasa di kota Makkah, Damsyik dan Baghdad menanamkan semangat kepimpinan dalam dirinya. Sebagai seorang amir, beliau telah menyatukan pelbagai puak dan mengisytiharkan perang jihad untuk menentang Perancis. Amir Abdul Qadir ialah seorang yang mempunyai semangat cinta akan tanah air. Penentangan beliau berterusan sehingga tahun 1842 Masihi. Kejayaan beliau adalah kerana menggunakan taktik perang gerila. Beliau bergabung dengan Abu Ma’zi untuk menentang Perancis di wilayah Oran. Beliau berjaya menggerakkan pendudukan Algeria dan menewaskan Perancis dalam pertempuran Sidi Ibrahim. Sepanjang penentangan selama 10 tahun, beribu-ribu umat Islam Algeria terkorban.

Gabenor Jeneral Perancis yang baharu, iaitu Thomas Robert Bugeaud menyerang Algeria secara berterusan dari tahun 1841 hingga tahun 1847. Beliau mengambil banyak kawasan di Algeria. Selain itu, pihak peneroka Perancis menuntut untuk menggabungkan negara Algeria dengan negara Perancis. Tindakan Begeaud sangat ganas dan penduduk Algeria sangat menderita. Banyak kawasan petempatan, pertanian dan binatang ternakan dimusnahkan. Tentera Islam yang dibawa oleh Amir Abdul Qadir tidak dapat bertahan dan terpaksa menyerah diri pada bulan Disember 1847.

Penentangan rakyat Algeria diteruskan apabila Perancis mewujudkan Undang-undang 1848 yang membahagikan masyarakat Algeria kepada dua kumpulan iaitu masyarakat mewah Eropah dan masyarakat Islam Algeria yang menderita. Undang-undang ini diperkenalkan berikutan daripada kepadatan penduduk Eropah di Algeria yang mencecah 110 ribu orang dan kira-kira 85% daripadanya tinggal di kawasan Bandar dan menyokong Perancis dalam dasar peluasan kuasa. Selepas tahun 1851, Raja Napoleon III memberikan tanah yang dirampas daripada penduduk Algeria kepada syarikat-syarikat Perancis. Penduduk tempatan melakukan penentangan kerana tidak puas hati terhadap dasar Perancis yang merampas tanah-tanah yang subur dan tidak boleh dipindah milik.

Dasar penjajahan Perancis banyak menindas masyarakat tempatan di Algeria sehingga penduduk di Kabylia melancarkan pemberontakan. Pemberontakan ini disebabkan oleh ketidakpuasan hati mereka terhadap dasar Gabenor Jeneral Randon yang menggalakkan penghijrahan orang Eropah. Penghijrahan ini menyebabkan penduduk Eropah di Algeria semakin meningkat kepada 181 ribu orang. Dianggarkan 1/3 penduduk menyertainya namun, pemberontakan ini akhirnya berjaya ditumpaskan oleh Perancis pada tahun 1872. Selepas pemberontakan berakhir, masyarakat Algeria menjadi lebih miskin dan dikenakan cukai khas bagi menampung perbelanjaan Perancis. Pergerakan mereka turut dihadkan untuk mengelakkan hubungan luar dengan orang Islam di negara lain. Ini ditambah lagi dengan mengehadkan pendidikan rasmi kepada masyarakat Islam Algeria.

Penentangan bersenjata berlaku antara tahun 1900 hingga 1909. Rakyat Algeria telah bangkit menentang penjajahan Perancis dan menjadikan dasar Pan-Islamisme sebagai penyelesaian kepada permasalahan di negara mereka. Perancis berusaha menghapuskan golongan ini tetapi tidak berjaya. Gerakan ini juga berjaya menyekat kegiatan Kristianiti atau mengkristiankan penduduk Islam di Algeria dan Afrika Utara. Malahan, gerakan ini juga memberikan kesedaran kepada orang Islam bagi menghadapi polisi menggabungkan Perancis dan Algeria dengan memberi kerakyatan orang Islam Algeria menjadi warganegara Perancis setelah menukar agama mereka.

Kesimpulannya, peluasan kuasa Barat di Algeria pada abad ke-19 dan ke-20 telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat tempatan. Menjelang tahun 1900-an, muncul golongan modenis Islam Algeria yang berjuang dengan cara yang berhemah untuk mendapatkan kebebasan daripada penjajahan Perancis. Mereka memperjuangkan kemerdekaan Algeria dan akhirnya pada tahun 1962, Perancis telah mengisytiharkan kemerdekan Algeria.