Friday 30 March 2018

SUMBER PENDAPATAN NEGARA MADINAH PADA ZAMAN NABI MUHAMMAD S.A.W.


PENDAHULUAN

Sebelum kedatangan Islam, Madinah merupakan sebuah kawasan oasis yang sesuai untuk bercucuk tanam seterusnya membentuk masyarakat yang menjalankan aktiviti pertanian. Antara tanaman yang dihasilkan di Kota Madinah ialah tamar, anggur, barli dan gandum. Pokok tamar merupakan tanaman paling penting kerana memberi banyak faedah kepada penduduk Madinah. Kaum Yahudi yang berada di Madinah pula merupakan usahawan, petani dan peniaga yang menjalankan sistem riba. Namun begitu selepas kedatangan Islam, sistem ekonomi ini berubah terutamanya selepas peristiwa Hijrah Nabi Muhammad S.A.W. Baginda menjadi ketua negara Islam Madinah dan memberi perhatian bukan sahaja dalam bidang sosiopolitik tetapi juga ekonomi. Aktiviti ekonomi Madinah pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad S.A.W telah mengalami peningkatan melalui sumber-sumber ekonomi seperti derma, rampasan perang, rampasan hartanah, jizyah, dan sadaqat.


ISI 1 - DERMA

Derma pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad S.A.W dilakukan tanpa paksaan dan masyarakat Madinah dengan rela hati kepada golongan yang baru berhijrah ke Kota Madinah. Mereka akan berlumba-lumba menderma dalam bentuk pakaian, makanan, wang dan hartanah. Dalam menegakkan syiar Islam, Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a telah menderma semua hartanya yang berjumlah 4000 dirham dan Khalifah Umar al-Khattab pula menderma separuh daripada kekayaannya. Golongan Ansar di Madinah pula banyak menderma kepada golongan Muhajrin dari Makkah seperti yang dilakukan oleh Harithah bin Nu’maan yang menghadiahkan istana dan ladangnya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Derma yang disumbangkan ini dapat mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh golongan Muhajirin yang baru berpindah dan meninggalkan harta di Makkah. Dalam mengukuhkan keselamatan dan kekuatan negara Islam Madinah, masyarakatnya juga telah menderma seperti yang dilakukan oleh Sa’ad bin Ubadah semasa tercetusnya Perang Khandak dengan menderma makanan dan kurma kepada tentera Islam.


 ISI 2- RAMPASAN SERANG

Dalam peperangan yang berpihak kepada kemenangan Islam, banyak rampasan diperolehi seperti wang dan harta benda. Namun begitu dalam peperangan Islam, bukanlah bertujuan untuk mendapatkan harta dan kekayaan tetapi jihad kerana diperangi musuh. Ini berlaku dalam Perang Badar 623 Masihi, apabila tentera Islam seramai 313 orang menentang tentera Quraisy seramai 1000 orang. Perang ini merupakan kemenangan pertama umat Islam dan memperolehi harta rampasan seperti senjata, 150 ekor unta, 10 ekor kuda, tikar kulit dan pakaian. Harta ini dibahagikan kepada tabung negara dan tentera Islam yang menyertai perang. Tawanan perang turut diberi peluang untuk membebaskan diri dengan pembayaran tebusan. Dalam Perang Badar, seramai 20 tawanan perang membayar 75 ribu dirham, 10 tawanan perang membayar 4 ribu dirham, 1 tawanan membayar 2 ribu dirham dan 1 tawanan lagi membayar 1 ribu dirham. Walaupun hasil rampasan dan tebusan perang tidaklah banyak, tetapi ia cukup untuk menampung beban ekonomi masyarakat Madinah yang kecil pada masa itu.


ISI 3 - RAMPASAN HARTA TANAH

Sumber ekonomi negara yang seterusnya ialah rampasan harta tanah. Kebanyakan kaum Yahudi di Madinah telah mengambil tanah-tanah milik orang Ansar diambil secara haram oleh mereka atau telah melanggar Piagam Madinah. Kedatangan Nabi Muhammad S.A.W dan Islam ke Madinah telah mengembalikan hak dan harta tanah milik orang Ansar. Harta tanah pertama yang dirampas adalah daripada pihak Yahudi, iaitu Bani Fityun yang diusir keluar dari Madinah. Amwal (harta tanah) Bani Qunaiqa’ iaitu kubu dan pasar juga telah diambil alih oleh orang Islam. Amwal Bani Nadhir seperti kebun dan ladang turut diambil alih. Bagi amwal Bani Khaibar, yang mempunyai ladang tanaman kurma yang luas telah diisytiharkan sebagai al-fai’ atau safiy iaitu Bani Khaibar Yahudi boleh terus memiliki tanah tersebut dengan syarat 50 peratus daripada hasilnya diserahkan kepada kerajaan.


ISI 4 - JIZYAH

Jizyah merupakan cukai politik yang dikenakan ke atas orang bukan Islam yang digelar zimmi sebagai perlindungan harta benda dan nyawa dalam negara Islam. Tidak membayarnya tidak setia dan membawa kepada hukuman berat. Jizyah dikutip dalam bentuk tunai, barangan atau kedua-duanya sekali. Bagi tunai, kadarnya ialah satu dinar atau kain senilai dengannya manakala bagi barangan pula, ialah 1 bahagian daripada hasil pertanian. Direkodkan, kutipan jizyah tahunan daripada masyarakat Kristian Najran ialah sebanyak 2000 pakaian pada bulan Rejab dan 1000 lagi pada bulan Safar. Pembayaran jizyah merupakan satu pengiktirafan kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W yang digunakan untuk membangunkan masyarakat Islam Madinah.


ISI 5 - SADAQAT

Sadaqat merupakan satu bentuk cukai agama yang dikenakan ke atas umat Islam seperti zakat, ushr dan sebagainya. Zakat merupakan rukun Islam ke-5 yang wajib dibayar untuk menyucikan harta dan mengurangkan jurang perbezaan pendapatan rakyat. Zakat dikenakan kepada semua tidak kira lelaki atau perempuan, merdeka, tidak gila, memiliki harta seperti wang, hasil pertanian dan hasil penternakan. Rasulullah S.A.W telah melantik Attab bin Asid sebagai wali Makkah untuk mengutip hasil kurma dan anggur kaum Quraisy di Taif. Rasulullah S.A.W turut mengutus sepucuk surat kepada penduduk Oman dan Bahrain yang mewajibkan mereka membayar zakat dan ushr (cukai niaga) bagi kurma dan gandum mereka. Rasulullah S.A.W turut melantik Bilal bin Rabah sebagai pegawai sadaqat untuk hasil buah-buahan.


KESIMPULAN

Pelbagai sumber pendapatan diperolehi dalam negara Islam semasa zaman pemerintahan Nabi Muhammad S.A.W. Sumber-sumber ekonomi yang banyak ini telah membantu membangunkan negara Islam Madinah yang baru ditubuhkan. Selain itu juga, perolehan sumber ekonomi dalam wilayah terus bertambah walaupun selepas wafatnya Nabi Muhammad S.A.W sehingga wujudnya institusi Baitulmal sebagai pusat pengumpulan sumber-sumber ekonomi pada zaman berikutnya.


*semua gambar adalah hiasan sahaja.

March 2018