1. Bincangkan ciri-ciri masyarakat Maritim di Portugal pada abad ke-16 hingga ke-17 Masihi.
2. Bincangkan peranan maharaja di China semasa pemerintahan Dinasti Ming. link
3. Perihalkan perkembangan ekonomi Kapitalisme di England. link
4. Jelaskan peranan Charles Louis Montesquie dalam aspek intelektual. link
5. Huraikan faktor-faktor tercetusnya Peristiwa Dahagi di India pada 1857. link
6. Sejauh manakah pakatan tentera merupakan faktor yang mencetuskan perang dunia pertama 1914-1918. link
Skema Jawapan Soalan 1
Bincangkan ciri-ciri
masyarakat Maritim di Portugal pada abad ke 16 hingga 17 Masihi.
Masyarakat maritim ialah masyarakat yang bergantung kepada aktiviti
berasaskan kelautan seperti perdagangan, perikanan, pengumpulan hasil laut,
perkapalan, penerokaan, dan penjelajahan. Masyarakat maritim terdiri daripada golongan pedagang,
nelayan, nakhoda, anak kapal, dan peneroka. Perkembangan ini didorong oleh
kemunculan kerajaan maritim di Eropah pada abad ke-17. Antara kuasa maritim
yang unggul pada abad tersebut ialah Portugal, Belanda, dan Inggeris. Portugal
menjadi kuasa maritim yang terunggul di Eropah pada abad ke-15 semasa era
pemerintahan Putera Henry. Kemunculan ini adalah disebabkan ingin mencari
keuntungan, kemegahan bangsa, raja dan negara serta menyebarkan agama Kristian.
Ciri-ciri masyarakat maritim Portugal ialah penempatan, aktiviti ekonomi,
pelabuhan, teknologi dan penjelajahan.
Petempatan masyarakat maritim Portugal bertumpu di pesisiran pantai,
lembah sungai dan kepulauan. Hal ini adalah kerana kedudukan geografi Portugal
yang terletak di Semenanjung Iberia, bersama beberapa pulau di Lautan Atlantik
seperti Pulau Azores, Madeira dan Savage. Selain itu, Portugal bersempadan
dengan Sepanyol di sebelah utara dan timur, serta Lautan Atlantik di barat dan
selatan. Kelebihan kedudukan geografi ini telah menyebabkan masyarakat maritim
Portugal terdedah kepada pengaruh kelautan.
Masyarakat maritim Portugal menjalankan kegiatan ekonomi perdagangan
sebagai aktiviti ekonomi utama. Kegiatan perdagangan ini berkembang luas di
Lautan Atlantik bermula pada tahun 1500 apabila sebuah kapal Portugal di bawah
pimpinan Pedro Cabral sampai ke pantai Brazil dan Amerika Selatan dengan
membawa hasil hutan seperti kayu-kayan dan bahan pencelup. Selain itu, pedagang
Portugal turut membuka ladang tebu, menjalankan penanaman tembakau serta
menternak lembu dan kuda. Kesemua hasil tersebut telah diperdagangkan dan dan
memberi keuntungan kepada Portugal. Pada akhir abad ke-17 pula, emas telah
dijumpai pada tahun 1693 di Selatan Brazil. Penemuan ini sudah pastinya
meningkatkan pendapatan pedagang Portugal.
Portugal juga muncul sebagai pelabuhan pembekal kerana mempunyai
pelabuhan yang menjadi tumpuan para pedagang Eropah iaitu pelabuhan Lisbon dan
Antwerp. Portugal menjadikan pelabuhan-pelabuhan ini sebagai pusat
pengeskportan dan pengeluaran barangan dagangan Portugal. Kesannya, dalam masa
30 tahun, Portugal berjaya menembusi pasaran rempah-ratus yang dikuasai oleh
pedagang Venice di Itali. Seterusnya, Portugal berhasrat untuk menguasai
perdagangan rempah daripada para pedagang Islam yang telah menjual barangan
dari Timur di Venice dengan harga yang tinggi. Oleh itu, Portugal dapat
menguasai perdagangan tersebut hanya apabila dapat menguasai jalan perdagangan
di Lautan Hindi dan mengambil aih peranan pedagang Venice sebagai orang tengah.
Masyarakat maritim Portugal juga mempunyai kemahiran membina perahu dan
kapal. Masyarakat ini berkemampuan membina kapal yang besar yang mampu belayar
di lautan luas. Misalnya, mereka telah membina kapal jenis caravel seberat 2000
tan. Kemajuan ini membawa kemunculan industri pembinaan kapal di Portugal.
Masyarakat maritim Portugal juga mempunyai kemahiran dalam teknologi pelayaran.
Misalnya, penemuan baru seperti peta Benua Eropah (kartografi), kompas
magnetik, reka bentuk kapal, memiliki teknologi senapang dan meriam, serta
astrolab. Pelayar Portugal juga mempunyai catatan wilayah baru di atas peta dan
seni catatan peta yang tepat dalam peta gaya baru. Mereka mempunyai kompas yang
diambil dari orang Cina yang menunjukkan arah utara yang penting bagi
kapal-kapal yang belayar dari timur ke barat. Mereka juga memiliki teknologi
senjata api dan meriam dan menggunakan bahan letupan daripada China.
Seterusnya, masyarakat maritim Portugal juga terdedah dengan kegiatan
penjelajahan dan penerokaan. Penglibatan ini adalah hasil usaha Putera Henry
yang mahu orang Portugal mahir dalam bidang pelayaran. Hal ini adalah untuk
menguasai kekayaan di Afrika dan mencari Prester John yang menjadi raja dalam kerajaan
Kristian di Afrika bagi mendapatkan bantuan menguasai kerajaan Islam di
Maghribi. Putera Henry bercita-cita mengembangkan agama Kristian di luar Eropah
dan dalam masa yang sama menyekat penyebaran Islam di Timur. Usaha Putera Henry
ini telah berjaya melahirkan ramai pelayar Portugal seperti Bartolomew Diaz,
Vasco da Gama dan Alfonso de Albuquerque. Mereka telah berjaya menjelajah ke
selatan sehingga ke Cape Verde di sebelah pantai barat benua Afrika. Lopez de
Sequeire telah berjaya menguasai Melaka dan membolehkan Portugal menguasai
jalan perdagangan di Lautan Hindi.
Kesimpulannya, masyarakat Portugal berjaya menjadi perintis dan
meluaskan kekuasaan kerana tidak perlu bersaing dengan pihak lain di Eropah
pada masa tersebut. Kejayaan yang dinikmati oleh Portugal sebagai kuasa maritim
telah menyebabkan kuasa-kuasa Eropah yang lain turut serta dalam penerokaan dan
pelayaran bagi menikmati hasil yang sama yang dinikmati oleh Portugal.
*Untuk soalan 2-6 saya akan kemaskini setiap hari. Selamat membaca dan menguasai!
No comments:
Post a Comment