Wednesday, 3 February 2021

6. SEJAUH MANAKAH PAKATAN TENTERA MERUPAKAN FAKTOR YANG MENCETUSKAN PERANG DUNIA PERTAMA 1914-1918.

 


SEJAUH MANAKAH PAKATAN TENTERA MERUPAKAN FAKTOR YANG MENCETUSKAN PERANG DUNIA PERTAMA 1914-1918.

Perang Dunia Pertama berlangsung antara tahun 1914 hingga 1918 dan berlaku dalam kalangan negara-negara Eropah sahaja. Negara-negara Eropah yang terlibat ialah Jerman, Britain, Rusia, Perancis, Austria-Hungary, Serbia, Itali, Belgium, dan Turki. Perang ini dikenali sebagai The Great War kerana sebelum ini tidak pernah berlaku peperangan sebesar dan sedasyat ini berlaku. Perang ini melibatkan dua pihak iaitu Triple Alliance dan Triple Entente. Triple Alliance atau Perikatan Kuasa Tengah dianggotai oleh Jerman, Austria-Hungary, dan Itali manakala Triple Entente atau Pakatan Bertiga dianggotai oleh Rusia, Perancis, dan Britain. Perang ini memperlihatkan dua buah kuasa atau dua blok yang masing-masing mempunyai kepentingan. Peperangan ini berakhir apabila Jerman berjaya dikalahkan oleh Rusia. Terdapat banyak faktor yang mencetuskan perang ini. Sistem Pakatan tentera yang dibentuk di Eropah bagi mengawal kuasa antara faktor tercetusnya Perang Dunia Pertama.

Sistem Pakatan yang dibentuk di Eropah gagal mencapai tujuannya untuk mengimbangi kuasa antara negara-negara yang kuat di Eropah. Pada peringkat awal, Sistem Pakatan Tentera dibentuk pada tahun 1870 apabila Jerman berjaya mengalahkan Perancis. Ini bertujuan untuk menyekat mana-mana kuasa yang lebih kuat daripada lawannya atau mengimbangi kuasa antara negara-negara terbabit. Kepentingan wujudnya sistem pakatan tentera ini ialah bagi memastikan kestabilan politik antara kuasa-kuasa berkenaan terutamanya selepas kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyah. Selepas tahun 1900, situasi mula berubah apabila timbulnya perasaan saling mencurigai antara kuasa-kuasa berkenaan terutamanya selepas kejatuhan Kerajaan Islam tersebut. Rusia berusaha mengukuhkan pengaruhnya dalam kalangan bangsa Slav, bertembung pula dengn tindakan Austria-Hungary yang berhasrat menguasai negara-negara Balkan seperti Bosnia dan Serbia. Perlumbaan senjata turut berlaku antara Jerman, Britain, dan Perancis. Sebagai contoh antara tahun 1908 hingga 1914, Britain, Jerman, Rusia dan Austria-Hungary telah menambah lebih 50 peratus perbelanjaan ketenteraan. Sistem Pakatan Tentera dianggap gagal selepas Britain hanya memberi sokongan kepada Rusia dan Perancis pada Ogos 1914 selepas Jerman menyerang Belgium dan mengisytiharkan perang.

Namun begitu, selain faktor pakatan tentera, terdapat juga faktor-faktor lain yang turut mencetuskan Perang Dunia Pertama. Imperialisme merupakan salah satu kaedah yang digunakan oleh kuasa-kuasa Barat bagi meluaskan pengaruh dan kekuasaan. Pada abad ke-20, kuasa-kuasa Barat kian hebat khususnya antara Jerman dan Britain memandangkan kedua-duanya merupakan negara industri di Eropah.  Bagi mendapatkan bahan-bahan mentah, kedua-dua buah negara berrkenaan aktif mencari tanah jajahan. Situasi ini telah membawa kepada konflik antara negara yang terlibat umpamanya di Morocco, Jerman telah bertembung dengan Perancis sehingga mencetuskan peperangan awal antara dua buah kuasa tersebut. Sekutu Perancis, Britain telah melihat sitruasi ini sebagai memberikan ancaman terhadap tanah jajahannya di Asia. Oleh sebab itu, Britain mula mempersiapkan angkatan tenteranya bagi mencabar Jerman sekaligus mewujudkan fenomena perlumbaan senjata antara pihak tersebut.

Perkembangan aspek ketenteraan yang dikaitkan dengan senario politik di Jerman. Senario yang berlaku ialah apabila politik negara Jerman kini dikuasai oleh golongan tentera, contohnya golongan ini bertanggungjawab terus kepada Kaiser Jerman. Kebetulan Kaiser Jerman, Wilhem II sememangnya bercita-cita mewujudkan empayar Jerman yang kuat dan berpengaruh di Eropah. Sokongan golongan elit ini terbukti apabila Kaiser Wilhem II bersetuju dengan program pembinaan kapal-kapal perang, peluru berpandu dan meriam besar. Selain itu, Kaiser Wilhem II juga merancang membina landasan kereta api yang menghubungkan Berlin dan Baghdad bagi mengukuhkan pengaruh Jerman di Timur Tengah. Perancangan dan percubaan Kaiser Wilhem II ini menimbulkan rasa curiga-mencurigai dalam kalangan kuasa-kuasa Barat lain.

Pada abad ke-20, muncul seorang pemikir Jerman, Frederich Nietzche yang menawarkan atau mempelawa agar golongan muda bangkit bersama negara meluaskan pengaruh dan kekuasaan Jerman. Idea yang dikemukakannya bukan sahaja tersebar di Jerman, bahkan dalam kalangan intelek muda di Rusia dan Serbia. Di Jerman sendiri, kurikulum pendidikan mula mengalami perubahan kerana para pemimpinnya berpendapat hanya melalui bahasa, sikap cinta akan negara dapat diwujudkan dalam kalangan generasi muda. Di Perancis pula, pendidikan Sejarah yang dilaksanakan  secara tersiratnya menggesa rakyat membuat persiapan yang sewajarnya apabila Perancis terlibat dalam peperangan dan mengalami kekalahan.

Faktor pembunuhan Archduke Ferdinand iaitu waris takhta Austria-hungary juga merupakan faktor serta merta tercetusnya Perang Dunia Pertama. Kerajaan Austria-Hungary telah menuduh Serbia terlibat dengan pembunuhan tersebut. Austria-Hungary telah bertindak balas mengisytiharkan perang ke atas Serbia yang menyebabkan Rusia bertindak balas memberi bantuan kepada sekutunya, Serbia. Implikasinya kian mendalam apabila Jerman turut campur tangan membantu Austria-Hungary dan mengisytiharkan perang terhadap Rusia. Perancis turut sama menyertai konflik ini dengan harapan akan memperoleh kembali dua buah wilayahnya Alsace dan Lorraine yang berada di tangan Jerman. Senario semakin tegang apabila tindakan Jerman menceroboh Belgium untuk menyerang Perancis manakala Britain pula menyertai Rusia dan Perancis seterusnya membawa kepada Perang Dunia Pertama.

Kegagalan sistem pakatan tentera yang diwujudkan bagi mengawal dan mengimbangi kuasa-kuasa tersebut dilihat sebagai faktor utama kepada tercetusnya perang. Faktor-faktor lain merupakan penyumbang dan pemangkin kepada kegagalan sistem pakatan tentera tersebut dan mewujudkan dua blok utama yang saling berperang dan mengorbankan banyak nyawa. Perang ini memberi kesan buruk terhadap ekonomi dan sosial di Eropah seterusnya mengubah situasi politiknya.

@juhaimimajid

No comments:

Post a Comment