Tuesday, 30 July 2019

SEJARAH 1: PERANAN MAHARAJA CHINA DINASTI CHING




PENDAHULUAN

Negara China mengamalkan sistem pemerintahan beraja bercorak dinasti dari tahun 2205 SM hingga 1911 M. Dinasti pertama ialah Dinasti Hsia manakala yang terakhir ialah Dinasti Manchu. Antara dinasti yang terkenal ialah DInasti Chin, Dinasti Ming dan Dinasti Ching. Gelaran "maharaja" mula digunakan oleh Shih Huang Ti yang merupakan pengasas empayar di negara China. Dinasti Ching bermula sebagai Dinasti Chin pada tahun 1616 M dan Nurhaci sebagai Maharaja. Dinasti Ching juga berasal dari Manchuria juga dikenali sebagai Dinasti Manchu. Pada tahun 1618 M, anak Nurhaci, Abahai menyerang korea dan menamakan semula dinastinya kepada Ching. Dinasti Ching berakhir pada tahun 1912M.

ISI 1: BIDANG EKSEKUTIF

Dalam bidang eksekutif semasa era Dinasti Ching, maharaja mempunyai kuasa untuk memutuskan dasar kerajaan. Dasar-dasar seperti dasar keterbukaan dan dasar tutup pintu ditentukan oleh maharaja. Maharaja juga berkuasa melantik dan melucutkan jawatan pegawai-pegawai kerajaan. Maharaja Dinasti Ching telah menghapuskan jawatan Perdana Menteri dan badan canselori pusat atau Chung-shu-sheng. Maharaja mendapatkan nasihat daripada Sekretariat Agung yang bertugas menerima memorial setiap hari dan mendrafkan dikri-dikri diraja. Dalam memastikan pembesar menjalankan arahan sepenuhnya, maharaja menubuhkan Lembaga Penapis atau Censorate untuk menjadi mata dan telinga maharaja. 

ISI 2: BIDANG KETENTERAAN

Maharaja Dinasti Ching juga berperanan sebagai ketua tentera.  Pada peringkat awal pemerintahan Dinasti Ching, tugas maharaja dalam bidang ketenteraan terbukti apabila menghadapi penentangan terhadap bekas keluarga Dinasti Ming di Nanking dan penentangan Wu San-kuei pada tahun 1681. Maharaja Chien-lung (1736-1795M) terkenal sebagai maharaja ketenteraan semasa era Dinasti Ching. Baginda menjalankan kempen ketenteraan bagi meluaskan empayar Ching hingga melintasi kawasan China sebenar. Kawasan seperti Annam, Turkestan dan Burma menjadi negara naungan China.

ISI 3: BIDANG KEHAKIMAN DAN PERUNDANGAN

Dalam bidang kehakiman dan perundangan, Maharaja Dinasti Ching merupakan sumber undang-undang negara. Pada tahun 1729, Maharaja Yung Cheng menubuhkan Majlis Agung yang mengambil peranan Sekretariat Agung. Maharaja mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan undang-undang yang disediakan oleh Majlis Agung. Dalam sistem kehakiman dan perundangan China, hukuman adalah secara kolektif dan sesorang itu akan dianggap bersalah sehingga dia berjaya membuktikan dia tidak bersalah. Maharaja Chien Lung mengendalikan kes-kes rayuan dan juga memberikan pengampunan kepada sesorang yang didapati melakukan kesalahan.

ISI 4: BIDANG EKONOMI

Maharaja Dinasti Ching juga memainkan peranan penting dalam bidang ekonomi. Pada era Dinasti Ching, China mengalami Revolusi Pertanian Komersial yang membawa kemakmuran dalam ekonomi. Aktiviti ekonomi semakin rancak kesan penggunaan mata wang perak terutamanya pada era pemerintahan Maharaja Kangsi. Baginda mewajibkan penggunaan mata wang perak dalam pembayaran cukai. Peningkatan ekonomi telah menggalakkan rasuah di kalangan pegawai pemungut cukai. Bagi mengelakkan pegawai kerajaan mengamalkan rasuah, Maharaja Yung Cheng telah menaikkan gaji mereka. Maharaja Kangsi turut menjalankan aktiviti perdagangan dengan pedagang Barat dan membuka beberapa stesen cukai terutamanya di Canton pada tahun 1685M. Pada tahun 1725M semasa era pemerintahan Maharaja Yung Cheng, sistem Cohong diperkenalkan sebagai orang tengah dengan pedagang Barat.

ISI 5: BIDANG INTELEKTUAL DAN KEAGAMAAN

Maharaja Dinasti Ching memastikan bidang pendidikan berkembang pesat dengan menjadi penaung dalam bidang pembelajaran, memberi bantuan kewangan bagi menyelenggarakan dan menerbitkan kitab-kitab serta ensiklopedia. Selain itu, Maharaja Dinasti Ching mengendalikan peperiksaan awam di peringkat daerah dan bandar serta terlibat secara langsung dalam pengendalian peperiksaan awam di istana maharaja. Dalam bidang keagamaan pula, Maharaja Dinasti Ching menjadi ketua agama dan mengetuai upacara pemujaan,.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, pemerintahan beraja di China berakhir dengan tamatnya pemerintahan Dinasti Ching pada tahun 1912M. Kematian Maharaja Kuang-Hse diikuti oleh Maharani Dowager pada tahun 1908 membawa kesan ke atas masyarakat China. Ini mencetuskan idea pemodenan yang membawa kepada Revolusi China pada tahun 1911M. Revolusi ini telah menamatkan pemerintahan beraja Dinasti Ching juga menghapuskan sistem pemerintahan beraja di China.


4 comments:

  1. ada 8 permainan poker menarik di AJOQQ :D
    ayo segera bergabung dan dapatkan bonusnya :D
    WA : +855969190856

    ReplyDelete
  2. Bro without segan silu🗿

    ReplyDelete