PENDAHULUAN
Masyarakat Indonesia telah membentuk susun lapis masyarakat berdasarkan kepada pengaruh agama Hindu dan Buddha yang kuat dan diikuti dengan pengaruh Islam kemudiannya. Kedatangan Islam telah membawa perubahan kepada masyarakat peribumi. Pedagang Islam yang berdagang ke India dan China akan singgah ke Acheh di bawah Kerajaan Koetaradja. Di Jawa pula, Kesultanan Mataram di Yogjakarta mempunyai susun lapis masyarakat Islam yang tersusun. Islam telah mempengaruhi bentuk susun lapis masyarakat tempatan di Indonesia berdasarkan budaya, agama, suku kaum dan kedudukan geografi mereka. Struktur masyarakat Indonesia dapat dilihat dalam masyarakat Acheh dan masyarakat di Pulau Jawa.
ISI 1: RAJA ATAU SULTAN
Di Acheh, Raja atau sultan berada pada kedudukan teratas dalam hierarki sosial masyarakat Acheh seperti Sultan Ali Mughayat Syah. Raja atau sultan merupakan ketua agama Islam dan menjadi pelindung kepada masyarakat Acheh. Baginda mengetuai kerajaan dan bertanggungjawab menyatukan rakyat, memakmurkan negara dan menjamin keselamatan negara. Baginda juga berkuasa mutlak dengan memeirntah seluruh negara dan keseluruhan jajahan takluknya. Kerabat diraja merupakan keturunan bekas-bekas sultan yang pernah memerintah Acheh. Di Jawa, Sultan mempunyai kedudukan yang paling tinggi dalam susun lapis masyarakat di Pulau Jawa seperti Sultan Agung. Sultan berkuasa mutlak dalam pemerintahan wilayah dan jajahan takluknya. Baginda dianggap istimewa, mempunyai sifat keluarbiasaan, dianggap berdaulat serta tidak boleh diderhakai. Sultan juga dianggap khalifah Allah di muka bumi dan pemimpin bagi umat Islam.
ISI 2: ULEEBALANG/ PRIYAYI/ BANGSAWAN
Di Acheh, Uleebalang atau pembesar sangat penting dan merupakan tulang belakang pemerintahan dan pertahanan yang bergelar 'Teuku'. Uleebalang merupakan pengawal peribadi raja dan bertanggungjawab menjaga keselamatan baginda. Uleebalang menguasai wilayah-wilayah kecil atau daerah di bawah sultan. Golongan bangsawan Acheh pula terdiri daripada kerabat diraja dan bukan kerabat diraja. Di Pulau Jawa, golongan bangawan digelar priyayi dan merupakan penghubung antara sultan dengan rakyat jelata. Hubungan antara golongan priyayi dan petani adalah rapat dan bersepadu. Priyayi sangat dipercayai dan dihormati oleh rakyat dan berkuasa ke atas masyarakat peribumi dan ketua adat tempatan (Bupati).
ISI 3: ULAMA
Di Acheh, ulama menjadi penasihat agama Islam kepada raja atau sultan dan dihormati kerana ketinggian ilmunya. Ulama diberi gelaran Tengku dan sering menjadi rujukan masyarakt setempat. Pada zaman kegemilangan Acheh, beberapa orang ulama telah dilantik sebagai penasihat sultan, umpamanya Nuruddin al-Raniri pernah menjadi penasihat kepada Sultan Iskandar Thani. Sebuah badan penasihat yang dikenali sebagai Balai Gadang yang dianggotai oleh para ulama bertindak sebagai penasihat pemerintah Acheh. Di Jawa, sekumpulan ulama yang dikenali dengan Wali Songo merupakan kumpulan ulama yang bertanggungjawab menyebarkan Islam di Pulau Jawa.
ISI 4: RAKYAT
Rakyat kebanyakannya petani dan amat setia kepada golongan pemerintah. Di Acheh, rakyat biasa terdiri daripada golongan petani, nelayan, dan pedagang. Begitu juga di Jawa, majoriti rakyat biasa adalah golongan petani tetapi juga menjadi tenaga tentera. Semasa era pemerintahan Sultan Tenggono di Demak, Jawa, pemerintah bertindak sebagai ketua angkatan tentera dan angkatan perang. Pemerintah juga memegang jawatan Panglima Perang seperti Kusumadayu (Panglima Tinggi) dan Yudanegara (Panglima Rendah) manakala rakyat jelata sebagai anggota tentera. Rakyat tempatan bekerja sebagai tentera secara sukarela dan menunjukkan ketaatsetiaan yang tinggi kepada pemerintah.
ISI 5: HAMBA
Golongan yang terendah dalam susun lapis masyarakat Indonesia ialah golongan hamba abdi. Hamba terbahagi kepada hamba abdi dan hamba berhutang. Hamba abdi tertakluk kepada golongan pembesar dan tidak mempunyai hak berpolitik dan berekonomi. Terdapat rakyat yang terbeban dengan hutang yang berganda menyebabkan kemunculan golongan hamba berhutang. Hamba berhutang lebih bebas dan menjalankan kerja-kerja sebagai melunaskan hutang. Sistem perhambaan ini diamalkan secara meluas di Bali, Acheh, Palembang, Bangkahulu dan Lampung.
KESIMPULAN
Di Acheh dan Jawa, lapisan masyarakatnya dipisahkan mengikut tahap bahasa yang berbeza, gelaran, dan peraturan perkahwinan. Pada akhir abad ke-19, susun lapis masyarakat di Acheh dan Jawa agak kompleks apabila muncul satu golongan pegawai kerajaan dan profesional kesan daripada perkembangan pendidikan dan penjajahan Belanda di Indonesia.
No comments:
Post a Comment