Wednesday 24 August 2016

FAKTOR-FAKTOR KEMUNCULAN JEPUN SEBAGAI KUASA MARITIM PADA ABAD KE-16 DAN KE-17 MASIHI


Soalan 2: 
Terangkan faktor-faktor yang mendorong kemunculan Jepun sebagai kuasa maritim pada abad ke-16 dan ke-17 Masihi.

Pendahuluan:
Masyarakat maritim ialah masyarakat yang bergantung kepada aktiviti berasaskan kelautan. Masyarakat ini terlibat dalam perdagangan, perikanan, pengumpulan hasil laut, perkapalan, penerokaan, dan penjelajahan. Portugal merupakan negara Eropah yang paling awal memulakan penerokaan dan pelayaran ke dunia luar bermula sejak abad ke-3 Masihi. Pedagang-pedagang Jepun telah menjalinkan hubungan perdagangan dengan China, Vietnam dan Korea. Di samping itu, pedagang Jepun juga menjalankan kegiatan perdagangan dengan pelabuhan lain di Asia Tenggara. Menjelang abad ke-16, Jepun mengamalkan dasar buka pintu dengan menggalakkan kehadiran pedagang Barat ke negara tersebut. Kehadiran pedagang Barat menyebabkan pedagang Jepun bangkit sebagai sebuah kuasa maritime di Asia. Pelbagai faktor yang mendorong kemunculan Jepun sebagai sebuah kuasa maritime pada abad ke-16 dan ke-17 Masihi.

Isi 1: Kedudukan Geografi
Kedudukan geografi negara Jepun dikelilingi oleh beberapa pulau yang dikelilingi laut telah menjadi faktor mendorong kemunculan Jepun sebagai kuasa maritim pada abad ke-16 dan 17 Masihi. Antara pulau yang menjadi tumpuan masyarakat maritim di Jepun ialah Kyushu, Shikoku, Hokkaido dan Honshu. Maka, kawasan pesisir pantai ini dijadikan petempatan masyarakat Jepun. Lokasi petempatan yang berhampiran laut menjadi asas kemunculan masyarakat maritime di Jepun. Memandangkan bentuk muka bumi yang berpulau-pulau dan bergunung-ganang, maka banyak petempatan penduduk Jepun didirikan di kawasan pesisir pantai dan terdedah kepada kegiatan ekonomi yang berasaskan laut. Ini meletakkan asas bagi kemunculan masyarakat maritime di Jepun. Jepun juga terletak di sebelah barat Lautan Pasifik dan di sebelah timur pula ialah China, Korea dan Rusia yang menggalakkan aktiviti perdagangan.

Isi 2: Perkembangan Perdagangan
Perkembangan perdagangan juga menyumbang kepada kemunculan masyarakat maritim di Jepun. Perkembangan perdagangan telah bermula sejak zaman Ashikaga lagi yang mana perdagangan telah berkembang pesat di Jepun. Para pedagang Jepun menjalinkan hubungan perdagangan dengan negara di rantau Asia Tenggara. Menjelang zaman pemerintahan Tokugawa pula, hubungan perdagangan terjalin dengan China, Korea dan Vietnam. Malahan, para pedagang asing seperti pedagang dari Portugal juga datang ke Jepun. Hubungan perdagangan ini terus berkembang pada zaman Nobunaga dan lebih ramai pedagang dari Portugal telah datang berdagang di Jepun. Pengasas Kesyogunan Tokugawa iaitu Ieyasu (1603-1616), telah menerima kedatangan para pedagang Portugis dan Belanda. Kedatangan pedagang asing ini telah membawa kepada kemunculan masyarakat maritim di Jepun.

Isi 3: Teknologi Pelayaran
Kemajuan pesat dalam teknologi pelayaran telah menyebabkan masyarakat maritim di Jepun mampu untuk belayar hingga ke Korea, China dan Asia Tenggara. Kemajuan yang dicapai dalam teknologi pelayaran dan pembinaan kapal juga menjadikan negara Jepun berjaya muncul sebagai masyarakat maritim. Jepun melahirkan ramai pelayar yang mempunyai kemahiran dalam ilmu pelayaran serta pengetahuan dalam ilmu nautika, kartografi dan perkapalan. Menjelang abad ke-16, muncul pusat pembinaan dan baik pulih kapal-kapal di Jepun. Masyarakatnya juga mempunyai kemahiran dalam pembinaan kapal-kapal besar yang sesuai untuk pelayaran jauh. Buktinya, kapal mohor merah Shuinsen merupakan kapal layar bersenjata yang digunakan pedagang Jepun untuk belayar ke Asia Tenggara, Korea dan China pada zaman Kesyogunan Tokugawa. Direkodkan, sebanyak 350 buah kapal Jepun melakukan pelayaran ke luar negara antara tahun 1600 dan 1635.


Isi 4: Perkembangan Pelabuhan
Perkembangan pelabuhan di Jepun juga merangsang pertumbuhan masyarakat maritim. Hal ini seiring dengan perkembangan pesat perdagangan di Jepun dan kewujudan pelabuhan entrepot. Antara pelabuhan entrepot terpenting pada abad ke-16 ialah Kyushu, Nagasaki, Hokodate dan Shimoda yang juga menjadi tumpuan pedagang Jepun dan pedagang luar negara. Menjelang pertengahan abad ke-16, kapal pedagang Portugal berlabuh di pelabuhan Kyushu. Kehadiran mereka juga turut mendapat galakan daripada golongan bangsawan Jepun. Para pedagang Jepun apada abad ke-16 telah mengeskport perak, berlian, tembaga, pedang dan barang-barang lain. Jepun juga mengimport sutera China dan produk-poduk Asia Tenggara seperti gula dan kulit rusa. Aktiviti perdagangan yang bergiat rancak di pelabuhan-pelabuhan Jepun menggalakkan lagi aktiviti maritim dalam masyarakat Jepun.

Isi 5: Dasar Maharaja dan Pemerintah Shogun
Seterusnya, dasar maharaja Jepun yang mengamalkan dasar buka pintu turut menyumbang kepada kemunculan masyarakat maritim di Jepun. Dasar ini juga telah menyebabkan masyarakat maritim Jepun terdedah dengan pengaruh dari luar seperti Asia dan Barat. Buktinya, menjelang akhir abad ke-16, pedagang dari Portugal menjalankan aktiviti perdagangan dengan Jepun. Bukan itu sahaja, hubungan dengan Portugal juga turut menyebabkan masyarakat maritim Jepun menerima teknologi baharu dari Barat iaitu perkapalan. Era Hideyoshi, Jepun menjalinkan hubungan perdagangan dengan China dan Korea dan mengawal pelabuhan Nagasaki mulai tahun 1587. Era Shogun Tokugawa pula aktiviti perdagangan Shuinsen diperkenalkan iaitu pedagang asing perlu memiliki mohor merah. Pada abad ke-17, banyak kapal Shuinsen berdagang di Vietnam. Dasar Maharaja dan Pemerintah Shogun yang menggalakkan aktiviti perdagangan telah merancakkan kegiatan maritim di Jepun.

Kesimpulan:
Kesimpulannya, keterbukaan pemerintah Jepun yang menggalakkan kedatangan pedagang-pedagang asing telah memberikan gambaran bahawa masyarakat maritim di Jepun bukanlah masyarakat yang statik, sebaliknya mereka telah menerima unsur-unsur yang positif sehingga mampu dapat menyesuaikan diri dengan bangsa asing. Namun disebabkan ia tidak dapat dikawal telah memaksa pemerintah Kesyogunan Tokugawa mengisytiharkan dasar tutup pintu sehingga aktiviti perdagangan luar dihadkan di Pulau Deshima yang terletak di pelabuhan Nagasaki.


7 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. Ummmmapakah kemahiran dalam teknologi perkapalan dan perlayaran merupakan ciri ciri penting masyarakat maritim di jepun?

    ReplyDelete
  3. Terbaik punya page,berguna sgt bila cikgu suruh buat essay,saya amik isi dasar maharaja Dan pemirintahan shogun..cikgu memuji saya.terima kasih

    ReplyDelete