Wednesday 3 March 2021

SKEMA JAWAPAN SOALAN 4 CONTOH TRIAL SEJARAH SEMESTER 3 STPM 2020

 


4. Huraikan sistem dan peranan pembesar di Thailand sebelum campur tangan Barat.

Pembesar bermakna pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik oleh raja untuk menjawat jawatan tertentu dan melaksanakan tugasnya dalam bidang kuasa yang diberikan. Pembesar melaksanakan tugas pemerintahan dan merupakan orang kedua penting dan berada pada paras kedua selepas kedudukan raja. Pembesar di Thailand adalah merupakan anggota keluarga diraja golongan Chao.

Sistem pentadbiran pusat di Thailand dianggotai oleh para pembesar yang merupakan anggota diraja yang digelar Chao. Chao bertindaak sebagai menteri-menteri kanan kepada raja. Chao berperanan penting dalam membantu raja dalam urusan pentadbiran negara. Mereka mengetuai jabatan-jabatan (Krom) tertentu iaitu Krom Mahattai (Jabatan Hal Ehwal Pentadbiran Awam), Krom Kalahan (Jabatan Pertahanan), dan Krom Khlanf (Jabatan Kewangan dan Hubungan Luar).

Krom Mahattai dan Kalahon mempunyai tugas utama iaitu mengawal tenaga rakyat dan keselamatan wilayah-wilayah di bawah kuasa masing-masing. Hal ini kerana kecekapan dan keberkesanan kerajaan Thailand bergantung kepada kebolehan pembesar mengawal serta mempergunakan tenaga buruhnya supaya keselamatan dan kestabilan sosioekonomi negara terjamin. Manakala, tangguungjawab utama Krom Khlang ialah menguruskan hal-ehwal kewangan dan perniagaan diraja.

Di bawah Ketua Krom Mahattai (Jabatan Hal Ehwal Pentadbiran Awam) dan Ketua Krom Kalahan (Jabatan Pertahanan), terdapat pembesar yang berjawatan lebih rendah. Mereka dibahagi kepada empat Krom dan keempat-empat jabatan ini bertanggungjawab melicinkan pentadbiran kerajaan di peringkat pusat, iaitu Krom Maung (Jabatan Ibu Kota), Krom Na (Jabatan Tanah), Krom Wang (Jabatan Istana), dan Krom Khlang (Jabatan Kewangan, Perniagaan dan Hubungan Luar).

Para pembesar di peringkat wilayah dilantik terus oleh raja dan biasanya terdiri daripada golongan Khunnang (bangsawan). Tugas utama pembesar peringkat wilayah atau daerah ini adalah melaksanakan pentadbiran tersendiri, mengutip cukai, dan mengetuai adat istiadat serta ketua agama Buddha di wiayah masing-masing. Mereka juga menguasai sumber tenaga manusia bagi menjamin kedudukan, kuasa politik, ekonomi dan sosial.

Terdapat empat wilayah yang pada dasarnya diperintah oleh raja tetapi pelaksanaan pemerintahan dilakukan oleh pembesar tertentu. Wilayah pertama meliputi kawasan strategi keselematan termasuk bandar-bandar besar dan bandar penting. Wilayah kedua dan ketiga meliputi kawasan yang agak besar, tetapi termasuk di bawah penyeliaan ibu kota. Tanggungjawab bagi kedua-dua wilayah ini diletakkan di bawah Krom Hal Ehwal Pentadbiran Awam, Pertahanan, serta Kewangan dan Hubungan Luar.

Wilayah keempat ialah bandar-bandar kecil sekitar ibu kota yang diletakkan di bawah kerajaan pusat secara langsung. Wilayah keempat tidak mempunyai pentadbir yang berkedudukan gabenor tetapi ditadbir oleh pegawai yang bergelar pemangku pentadbir. Wilayah keempat juga dianggap sebagai kawasan penampan untuk mempertahankan ibu kota semasa berlakunya perang atau pemberontakan menyerang pusat kerajaan.

Kesimpulannya, sistem pembesar mengukuhkan institusi pemerintahan beraja di Thailand. Selepas kedatangan Barat, peranan pembesar telah berubah. Raja Mongkut telah memodenkan pentadbiran yang berasaskan pentadbiran Barat demi menyelamatkan negara Thailand daripada dijajah.

@juhaimimajid

No comments:

Post a Comment