Sunday 7 March 2021

SKEMA JAWAPAN SOALAN 6 CONTOH TRIAL SEJARAH SEMESTER 3 STPM 2020

 


6. Bincangkan usaha dan perkembangan ekonomi yang dilaksanakan di Filipna pada tahun 1953 hingga 1992.

Pada akhir abad ke-19, pemerintahan Filipina diambil alih oleh Amerika Syarikat selepas berjaya mengusir Sepanyol bermula pada tahun 1901. Sistem ekonomi Filipina berkembang pesat sepanjang pemerintahan Amerika Syarikat melalui amalan dasar ekonomi bebas atau laissez-faire dan sistem kerajaan berbentuk republik demokrasi. Sebahagian besar daripada kegiatan perdagangan dijalankan dengan Amerika Syarikat dan import Filipina adalah dari Amerika Syarikat yang menunjukkan kebergantungan Filipina terhadap Amerika Syarikat. Kerajaan Filipina di bawah Amerika Syarikat diketuai oleh seorang presiden. Presiden-presiden Filipina sepanjang tempoh tahun 1953 hingga 1992 telah mengambil beberapa langkah untuk membangunkan ekonomi di Filipina.

Presiden Ramon Magsaysay yang memerintah pada tahun 1953 hingga tahun 1957 telah memberi perhatian khusus kepada masalah ekonomi di Filipina. Beliau telah meluluskan Akta Republik 997 bagi meningkatkan kuasa eksekutifnya dan memulakan Rancangan Lima Tahun untuk membangunkan ekonomi negara. Rancangan Lima Tahun yang dimulakan telah menjana 1.7 juta pekerjaan kepada rakyat Filipina seterusnya mengurangkan kadar pengangguran. Beliau telah mengambil langkah dengan mengatasi masalah ekonomi dan melindungi kebajikan rakyat, mewujudkan National Resettlement and Rehabilation Administration, membentuk Suruhanjaya Penyewa Pertanian, melindungi dan mempelbagaikan industri tempatan, memperkenalkan Sistem Margrate dan Sistem Masagana untuk meningkatkan pengeluaran padi dan menubuhkan Presidential Assistant for Community Development (PACD) untuk membantu masyarakat petani luar bandar.

Carlos Garcia mengambil alih jawatan presiden Filipina dari tahun 1957 hingga tahun 1961. Beliau telah meneruskan dasar ekonomi yang dilaksanakan sebelum ini oleh Presiden Magsaysay. Beliau berusaha melindungi kepentingan rakyat dengan mengutarakan slogan ‘Utamakan Bangsa Filipina’, mengutamakan ekonomi laissez-faire atau pasaran bebas dan mengelakkan penguasaan ekonomi oleh Amerika Syarikat. Beliau telah berjaya menjadikan Filipina sebagai pengeluar kelapa kering dan gula yang utama di dunia pada tahun 1961.

Diosdado Pangan Macapagal menjadi presiden Filipina pada tahun 1961 hingga tahun 1965 dan menghadapi cabaran besar dalam pemerintahannya akibat inflasi, pembahagian tanah dan desakan tuntutan ke atas Sabah. Namun, beliau telah menjalankan beberapa usaha pemulihan ekonomi seperti meningkatkan pengeluaran makanan. Selain itu, beliau juga telah menghapuskan kawalan pertukaran asing, mengawal keuntungan keluar dan memperkenalkan kawalan harga. Beliau turut menekankan sektor pertanian seperti kelapa kering, tanaman tebu, abaka dan nanas sebagai hasil eksport. Beliau turut memajukan bidang perindustrian seperti industri ringan, pembungkusan, dan pemasangan. Dalam masa yang sama, industri besi keluli juga dimajukan. Lembaga Kelapa Filipina ditubuhkan bagi mengasingkan industri gula dan kelapa berikutan kedua-duanya menjadi penyumbang utama dalam hasil eksport Filipina.

Pada 30 Disember 1965, Ferdinand Marcos dilantik sebagai presiden Filipina yang baru. Beliau telah membangunkan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan dan kemudahan awam. Beliau juga telah meluluskan Akta Galakan Pelaburan 1967 bagi menggalakkan kemasukan modal pelabur asing. Akta ini merupakan satu cara yang lebih berkesan untuk membasmi kemiskinan di Filipina. Beliau juga telah meletakkan perancangan ekonomi di bawah tanggungjawab Lembaga Pembangunan dan Ekonomi Negara pada tahun 1973. Langkah ini telah membantu mengagihkan pendapatan rakyat secara adil dan merangsang pembangunan ekonomi di samping menstabilkan sistem kewangan negara.

Corazon Aquino merupakan presiden Filipina dari tahun 1986 hingga 1992. Beliau telah meneruskan Rancangan Pembangunan  bagi menghapuskan kemiskinan dalam kalangan rakyat luar bandar dan mengurangkan pengangguran. Beliau juga menggalakan penyertaan pihak swasta dalam pelbagai bidang seterusnya meningkatkan peluang pekerjaan. Beliau turut memperuntukkan bajet kepada sektor awam dalam bentuk pinjaman, subsidi dan sebagainya. Langkah seterusnya ialah mengawal pergerakan mata wang dengan menentukan tanggungjawab Bank Negara bertujuan menarik kemasukan pelabur asing dan mengatasi defisit kewangan negara. Beliau telah menghapuskan amalan rasuah dan penyelewengan serta pinjaman lapuk daripada rejim pemerintahan Presiden Marcos dahulu.

Kesimpulannya, presiden-presiden Filipina dari tahun 1953 hingga 1992 telah berusaha melaksanakan pelbagai dasar pembangunan ekonomi bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi di Filipina. Pertumbuhan ekonomi yang dinikmati Filipina sepanjang tempoh tahun tersebut telah meningkatkan taraf hidup masyarakatnya dan pertambahan kemudahan sosial di Filipina.

 @juhaimimajid


No comments:

Post a Comment