Sunday, 8 August 2021

PDPR 09/08/2021: NOTA SEJARAH STPM SEMESTER 1

 1.2 MASYARAKAT AGRARIA


A. Keruntuhan Sistem Feudal

1. Masyarakat agraria ialah masyarakat yang berasaskan pertanian, penternakan, dan pemungutan hasil hutan dan sungai.

2. Kebanyakan penempatan terbentuk di kawasan yang subur misalnya di lembah-lembah sungai, kawasan berbukit, serta kawasan sistem saliran yang baik.

3. Pada abad ke-16, Eropah mengalami perubahan politik dan ekonomi pesat dan sistem feudal telah runtuh.

4. Keruntuhan sistem feudal telah membentuk beberapa buah negara bangsa yang baru seperti Portugal, Sepanyol dan Belanda.

5. Keruntuhan sistem feudal membolehkan unit-unit politik yang diperintah secara berasingan telah disatukan di bawah pemerintahan raja mutlak.

6. Pemerintahan beraja mutlak membolehkan kerajaan menyeragamkan segala bentuk peraturan dan undang-undang yang memberi kesan kepada ekonomi.

7. Bagi masyarkat agraria di China, mereka hanya menurut segala arahan golongan pembesar dan tiada sistem pemberian gaji kepada petani.

8. Masyarakat agraria di China melaksanakan tanggungjawab sebagai petani atas tanggungjawab kepada pemerintah.

9. Negara Belanda dan China melaksanakan dasar ekonomi merkantalisme yang menjadi amalan pada abad ke-16 hingga abad ke-17.

 

B.Ekonomi Merkantalisme

1. Merkantalisme bermaksud satu sistem campur tangan kerajaan dalam hal ehwal ekonomi negara.

2. Tujuannya adalah untuk mengukuhkan kekuasaan politik dan kekayaan negara.

3. Campur tangan kerajaan dalam ekonomi dapat memastikan perkembangan ekonomi berlaku selari dengan matlamat negara.

4. Dasar merkantalisme mempunyai tiga unsur penting bersifat nasionalisme, paternalisme, dan imperialisme.

(a) Nasionalisme

i. Sesebuah negara membina satu sistem ekonomi kendiri, iaitu tidak bergantung kepada negara lain bagi memenuhi keperluannya.

ii. Ini membolehkan negara tersebut dapat mengekalkan kedaulatan, prestij, dan menambahkan kekuatan politik serta kekayaan ekonominya.

iii. Negara tersebut harus memajukan ekonominya sama ada dalam sektor pertanian atau sektor industri.

iv. Kerajaan memberikan galakan dan perlindungan terhadap kedua-dua sektor tersebut bagi memenuhi keperluan dalam negara

(b) Paternalisme

i. Kerajaan memainkan peranan yang besar dalam mengatur kegiatan ekonomi, politik dan sosial.

ii. Oleh sebab itu, hampir keseluruhan kehidupan rakyat Eropah tidak terlepas daripada peraturan dan undang-undang negara.

iii. Kerajaan menentukan kegiatan pengeluaran dalam bidang ekonomi, menentukan kuantiti dan kualiti barang, menetapkan harga, kadar upah dan sebagainya.

(c) Imperialisme

i. Unsur ini sangat penting kerana sesebuah negara perlu mempunyai tanah jajahan di seberang laut atau sempadan negara.

ii. Tanah jajahan menjadi lambang prestij sesebuah negara serta memenuhi keperluan ekonomi negara induk.

iii. Dengan mempunyai tanah jajahan, sesebuah negara tidak akan bergantung dengan negara lain.

iv. Tanah jajahan diperlukan untuk mengekalkan keperluan bahan mentah dan menjadi pasaran untuk keluaran negara induk.

5. Negara Belanda dan China mengamalkan dasar ekonomi merkantalisme yang mempunyai unsur yang berlainan.

6. Negara Belanda mengamalkan dasar merkantalisme dengan unsur paternalisme dan imperialisme.

7. Negara China pula mengamalkdan dasar merkantalisme dengan unsur nasionalisme dan paternalisme dalam menentukan ekonominya.

8. Pengamalan unsur-unsur merkantalisme ini membolehkan kedua-dua negara memperlihatkan perkembangan ekonomi agraria pada abad ke-16 hingga ke-17.

No comments:

Post a Comment