Sunday 1 August 2021

PDPR 02/08/2021: NOTA DAN LATIHAN SEJARAH STPM SEMESTER 2

 2.1.2.3 Perlaksanaan Kharaj pada zaman pemerintahan Khalifah al-Rasyidin pada abad ke-7 hingga ke-8 Masihi.

 


A. Kharaj

1. Kharaj merupakan cukai tertua dikenali oleh tamadun manusia seperti dalam tamadun Firaun di Mesir dan kerajaan Rom (Tributum Soil).

2. Dalam konteks sejarah Islam, kharaj bukan bermaksud ufti tetapi bermaksud cukai tanah.

3. Kharaj dikenakan terhadap pemilik-pemilik tanah yang ditakluki oleh tentera Islam sama ada melalui peperangan atau secara aman.

4. Pemerintahan Khalifah al-Rasyiidn bermula pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar tetapi sistem tanah kharaj belum diperkenalkan lagi.

5. Kharaj merupakan sumber kewangan yang penting dalam zaman Khalifah al-Rasyidin dan dimulakan secara sistemaik pada zaman Khalifah Umar al-Khattab.

 

B. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq

1. Pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, sebahagian daripada tanah di Iraq telah dikuasai tetapi sistem tanah kharaj belum diperkenalkan.

2. Tanah-tanah yang ditakluki pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar masih dianggap sebagai harta rampasan perang.

3. Beliau telah mengagih-agihkan tanah-tanah tersebut kepada tentera Islam yang terlibat dalam ekspedisi peperangan.

 

C. Khalifah Umar al-Khattab

1. Khalifah Umar telah melaksanakan sistem kharaj secara adil dengan mengubah cara asal pelaksanaannya yang tidak adil pada zaman sebelum Islam.

2. Khalifah Umar telah meringankan beban para petani berbanding dengan beban cukai pada zaman pemerintahan Rom dan Parsi.

3. Cukai kharaj yang diperkenalkan beliau turut memberi keuntungan dan sumbangan kepada institusi Baitulmal.

4. Khalifah Umar melaksanakan pembukaan kawasan baharu di Iraq dan membahagikan tanah kepada dua iaitu tanah bertuan dan tanah tidak bertuan.

5. Tanah bertuan terus diusahakan oleh pemiliknya tetapi dijadikan tanah kharaj jika pemiliknya tidak memeluk Islam dan menjadi tanah zakat jika memeluk Islam.

6. Tanah tidak bertuan kekal sebagai tanah kharaj walaupun tanah itu dikerjakan oleh orang Islam.

7. Tanah tidak bertuan tidak boleh dijual beli atau diagih-agihkan dan dijadikan sebagai milik bersama umat Islam.

8. Tanah tidak bertuan yang terbengkalai diusahakan oleh petani tempatan di bawah pengawasan Pemegang Amanah.

9. Pemegang Amanah dikenali sebagai golongan Ahl-Ahyam dan memungut cukai kharaj1/5 daripada hasilnya.

10. Khalifah Umar membahagikan tanah kharaj kepada dua iaitu kharaj wazifah/masahah dan kharaj muqasamah.

11. Kharaj wazifah/masahah dikutip mengikut kawasan dan pemiliknya membayar berdasarkan keluasan tanah dan jenis tanamannya.

12. Kharaj muqasamah dibayar berdasarkan hasil tanaman seperti 1/2, 1/3, 1/4, 1/5 atau 1/6 daripada jumlah hasil tanaman.

13. Di kawasan tanah Sawad, Iraq yang dapat dikerjakan sebanyak 36 juta jarib, kadar kharaj dikutip mengikut jenis tanaman dan kualiti tanah.

14. Jumlah cukai kharaj yang dikutip adalah 86 juta dirham setahun kurang daripada 1/2 hasil yang diperoleh.

15. Di Mesir, sistem cukai yang diamalkan oleh Firaun dan Rom membebankan petani telah diubah dengan mengarahkan pakar-pakar membuat anggaran hasil.

16. Jumlah cukai yang dikumpul di Mesir telah dianggarkan berjumlah 1 juta dinar.

17. Di Syria, sistem cukai Raja Yunani dikekalkan dan mengelaskan tanah Syria berdasarkan kualiti dan kesuburannya.

18. Pendapatan cukai kharaj di Syria berjumlah 14 juta dinar setahun dan telah menambahkan pendapatan Baitulmal.

 

D. Khalifah Uthman bin Affan

1. Pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman, muncul satu jenis kharaj iaitu kharaj al-iltizam atau iqla’ yang diurus oleh pemilik-pemilik tanah.

 

E. Khalifah Ali bin Abi Talib

1. Pada zaman Khalifah Ali, pelaksanaan diteruskan kerana sistem kutipan kharaj telah pun mantap.

 

CONTOH SOALAN LATIHAN ESEI

1.Bincangkan pelaksanaan kharaj pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab.(STPM2 2019)

2.Bincangkan pelaksanaan kharaj pada zaman pemerintahan Khalifah al-Rasyidin pada abad ke-7 hingga abad ke-8.

No comments:

Post a Comment