Monday 2 August 2021

PDPR 03/08/2021: NOTA DAN LATIHAN SEJARAH STPM SEMESTER 1

1.1.1 MASYARAKAT FEUDAL DI ENGLAND PADA ABAD KE 16 HINGGA KE 17.

A. Pengenalan

1. Selepas kejatuhan Empayar Rom menjelang 800 Masihi, muncul institusi politik dikenali sebagai feudalisme di negara-negara Eropah termasuklah di England.

2. Feudalisme merujuk kepada zaman pertengahan yang menunjukkan hubungan saling memerlukan antara tuan tanah, orang biasa  atau petani dan tanah.

3. Feudalisme menyebabkan kewujudan satu bentuk organisasi antara tuan tanah yang menjadi asas kepada golongan pemerintah dan golongan diperintah.

4. Perang Seratus Tahun dan Perang Bunga Mawar di England telah menyebabkan kemunculan pemerintahan mutlak pada abad ke-16 dan ke-17 di England.

5. Pemerintahan berkuasa mutlak menyebabkan masyarakatnya berada dalam sistem feudal yang terbahagi kepada golongan pemimpin dan golongan yang dipimpin.

 

B. Ciri-ciri Masyarakat Feudal di England.

1. Struktur Sosial

a. Golongan pemimpin terdiri daripada raja, bangsawan dan knight manakala golongan yang dipimpin ialah petani atau rakyat biasa dipanggil serf.

b. Setiap golongan harus melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang telah ditetapkan dalam masyarakat.

c. Perubahan dalam kedudukan sosial dan status masyarakat jarang berlaku atau tiada mobiliti sosial.

d. Masyarakat feudal pada zaman pertengahan merupakan masyarakat yang bersusun lapis dan mempunyai kedudukan ekonomi, politik dan sosial berlainan.

e. Dalam masyarakat feudal, raja mempunyai kuasa mutlak dan hanya bertanggungjawab kepada Tuhan dalam menjalankan pemerintahan.

2. Pemilikan tanah

a. Tanah merupakan punca kekayaan kepada tuan tanah iaitu raja dan golongan bangsawan.

b. Tanah dikurniakan oleh raja kepada golongan bangsawan seperti baron, bishop dan knight atas perkhidmatan yang diberikan.

c. Di England, pemilikan tanah akan menentukan status dan kedudukan seseorang pada zaman feudal.

d. Seorang bangsawan akan berada pada kedudukan sosial yang lebih rendah dalam hierarki bangsawan yang menguasai tanah.

e. Golongan serf atau petani atau orang biasa tidak memiliki tanah tetapi dibenarkan untuk bercucuk tanam dan menternak binatang di atas tanah tuan tanah.

3. Ketenteraan

a. Seorang vassal akan memberikan perkhidmatan utama kepada lord atau tuan tanah berupa perkhidmatan ketenteraan.

b. Di England, wujud golongan tentera elit seperti knight dan chivalry yang lebih berdisiplin, terlatih, dan mempunyai peralatan yang mahal.

c. Perkhidmatan ketenteraan pada zaman feudal di England hanya mampu dimonopoli segolongan kecil golongan bangsawan, terutama yang menguasai tanah.

d. Perlaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan daripada vassal kepada lord ini dilaksanakan secara persendirian.

e. Perkembangan ini telah meningkatkan lagi jurang perbezaan yang sedia wujud antara golongan bangsawan dan golongan rakyat.

4. Kuasa Pemerintahan dan Hak Perundangan

a. Kuasa pemerintahan dan hak perundangan dimiliki secara persendirian dan dilaksanakan oleh lord terhadap vassalnya.

b. Kuasa ini juga meliputi penduduk bukan vasal yang berada di atas tanah-tanah kepunyaan lord.

c. Seorang lord juga berkuasa ke atas sumber ekonomi, pentadbiran, perlaksanaan cukai, kawalan ketenteraan dan institusi kewangan.

d. Jika berlaku pertelingkahan antara lord dengan raja, golongan vassal akan memberikan kesetiaan kepada lord berbanding raja.

e. Bagi Strayer (1953) aspek pemilikan kuasa dan hak perundangan golongan lord merupakan ciri feudalisme yang paling asas dan terpenting.

5. Hubungan Timbal Balas

a. Hubungan timbal balas antara vassal dan lord atau vassalage yang dibuat melalui persetujuan menunjukkan pengaruh lord yang kuat ke atas vassal.

b. Hubungan vassal dan lord ini adalah berbentuk persendirian dan di dalam kelas bangsawan sahaja.

c. Hubungan ini mengikat lord dan vassal dengan fungsi dan tanggungjawab tertentu iaitu vassal akan memberikan khidmat tentera kepada lord.

d. Lord pula akan berfungsi dengan memberikan penjagaan dan perlindungan kepada vassalnya.

 

C. Struktur Masyarakat Feudalisme England

1. Raja

a. Raja dianggap mempunyai kuasa mutlak dan merupakan pusat segala kekuasaan dan bertanggungjawab kepada Tuhan tetapi bukan kepada rakyat.

b. Kedudukan tertinggi raja dibuktikan semasa era pemerintahan Dinasti Tudor (1485-1603) dan Raja Henry VII serta raja James I.

c. Raja juga diiktiraf sebagai penguasa ke atas semua tuan tanah (lord) dan merupakan pemilik semua tanah dalam kerajaannya.

d. Raja akan memberikan tanah kepada golongan baron dan knight sebagai ganjaran terhadap perkhidmatan yang diberikan.

e. Raja memperoleh pendapatan daripada cukai-cukai yang dikenakan terhadap golongan bangsawan.

2. Bangsawan

a. Baron atau bangsawan pula berada dalam hierarki kedua selepas raja dan mempunyai peranan penting dalam pentadbiran dan ekonomi.

b. Bangsawan dikurniakan gelaran oleh raja seperti count, duke, baron (lord) dan vassal.

c. Duke berada dalam hierarki tertinggi diikuti oleh baron dan vassal dalam masyarakat feudal.

d. Golongan bangsawan yang menerima tanah daripada raja akan memberikan khidmat, tentera, penginapan dan makanan sewaktu raja melawat tanahmya.

e. Namun, golongan bangsawan yang menjadi tenant in chief ini ada ketikanya terlalu berkuasa dan mencabar kuasa raja.

3. Knight

a. Knight berada dalam golongan ketiga selepas golongan bangsawan dan mempunyai tanah yang luas untuk diagihkan kepada petani atau serf.

b. Knight akan memberikan perlindungan kepada serf dan keluarganya kerana memberikan khidmat.

c. Knight lebih menumpukan masa untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang ketenteraan kerana kehidupannya ditentukan oleh raja dan baron.

d. Pada abad ke-16, berlaku perubahan dalam kedudukan knight apabila raja ingin memperkukuhkan kedudukannya dengan mengambil tentera upahan.

e. Kesannya, fungsi dan peranan knight tidak lagi dapat mendominasi komposisi pasukan tentera.

4. Rakyat Biasa

a. Rakyat biasa dikenali sebagai serf atau petani berada di bawah sekali dalam lapisan masyarakat feudal.

b. Kehidupan mereka tidak bebas dan tidak boleh berpindah serta sentiasa di bawah pengawasan raja dan baron.

c. Institusi manor merupakan institusi yang melindungi petani, mendirikan mahkamah, kilang serta gereja untuk mereka.

d. Golongan petani juga melakukan khidmat buruh seperti membina bangsal, menggali parit, membina dan membaiki jalan serta membersihkan hutan.

e. Namun, kehidupan petani berubah selepas berlakunya perubahan ekonomi di England dan bebas daripada tuan tanah.

5. Hamba

a. Golongan hamba merupakan golongan terakhir dan berada di lapisan paling bawah struktur masyarakat feudal di England.

b. Golongan hamba mewakili satu persepuluh penduduk yang berada di England.

c. Golongan ini tidak memiliki tanah dan tiada hak dalam perundangan.

d. Mereka mempunyai hak yang sangat terhad.

 

CONTOH SOALAN ESEI

1.Huraikan ciri-ciri masyarakat feudal di England pada abad ke-16 dan abad ke-17. (STPM2016)

 

2.Bincangkan struktur masyarakat feudal England pada abad ke-16 hingga abad ke-17.

No comments:

Post a Comment