Monday, 21 June 2021

PDPR 22/06/2021: NOTA DAN LATIHAN SEJARAH 2 STPM (SULTAN MUHAMMAD AL-FATIH)

 1.7.3 KEPEMIMPINAN



(2). Sultan Muhammad al-Fatih.

(a) Latar Belakang

1. Nama sebenar Sultan Muhammad al-Fatih ialah Muhammad II dan diberi gelaran 'al-Fatih'  yang bermaksud 'pembuka'  kerana berjaya menawan kota Constantinople (Istanbul). 

2. Dilahirkan pada 30 Mac 1432 di Edime iaitu ibu negara Kerajaan Turki Uthmaniyah pada masa itu dan merupakan putera Sultan Murad II, sultan keenam Kerajaan Turki Uthmaniyah.

3. Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu dan mengikuti sistem pendidikan yang tersusun dan sistematik di bawah pengawasan sekumpulan ulama.

4. Pada usia 11 tahun, baginda dilantik sebagai Amir  di Amasya, utara Turki dan mengambil beberapa orang ulama untuk belajar seperti Syeikh Aq Shamsuddin yang diseganinya.

5. Pada usia 12 tahun, baginda menaiki takhta melalui lantikan bapanya pada tahun 1444 Masihi selepas bapanya mengadakan perjanjian damai dengan Hungary pada 12 Jun 1444M.

6. Di awal pemerintahan baginda, tentera Hungary di bawah John Hunyadi melanggar perjanjian damai dengan menyerang kawasan taklukan tetapi berjaya dikalahkan.

7. Gabungan tentera Hungary-Poland menyebabkan bapanya, Sultan Murad II mengambil alih takhta dan mengetuai peperangan Varna pada 10 November 1444 Masihi.

8. Pada 1451 Masihi, bapanya mangkat dan baginda dinaikkan takhta semula yang pada masa itu berusia 19 tahun.

9. Baginda sangat sinonim dengan penaklukan kota Constantinople (Istanbul) kerana berkait dengan hadis Nabi Muhammad SAW tentang seorang pemimpin yang akan menakluknya.

10. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 Masihi pada usia 46 tahun di tanah perkuburan Masjid al-Fatih, Istanbul.

11. Mengikut catatan, baginda mangkat akibat terminum racun oleh anak sulungnya iaitu Beyazid sehingga diraihkan dan digelar 'The Great Eagle is dead' oleh Eropah.


(b) Jasa dan Sumbangan

(i) Penaklukan dan pembukaan Constantinople

1. Merupakan jasa terbesar baginda kerana bukan sahaja memenuhi cita-cita akidah tetapi memudahkan gerakan pembukaan di Balkan.

2. Selama 2 tahun, baginda mengkaji pelan Kota Constantinople dan sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu yang bermula dari zaman Khulafa al-Rasyidin.

3. Baginda mengarahkan tenteranya membina peralatan perang moden seperti meriam besar yang boleh menembak bom seberat 300 kilogram sejauh satu batu.

4. Mengumpul 250 000 orang tentera yang terdiri daripada 12 000 janisseri, 20 000 sipahi, 100 000 pejalan kaki, dan selebihnya hamba abdi.

5. Strategi peperangan terdiri daripada dua iaitu angkatan darat dan angkatan laut serta menggunakan taktif kepung, saraf, tempur gali terowong dan menara turus.

6. Mengepung kota Constantinople bermula 1453 Masihi dengan 400 buah kapal di laut dan 200 buah meriam di darat.

7. Taktik paling berkesan baginda adalah apabila berjaya menarik 67 kapal ringan merentasi bukit dari Selat Bosphorus ke Tanjung Emas.

8. Seramai 150 000 tentera Islam bersolat di belakang baginda dengan suara takbir sehingga tentera Byzantine Constantiniople gentar.

9.Pada 19 April 1453 Masihi, serangan peluru meriam dimulakan selama 48 hari selepas Maharaja Byzantine menolak tawaran menyerah kalah.

10. Pada 29 Mei 1453 Masihi, selepas 53 hari pengepungan , tentera Islam berjaya menakluk Kota Constantinople dan baginda menukar namanya kepada Islambul atau Istanbul.

(ii) Peluasan jajahan takluk

1. Bagi mengukuhkan kota Istanbul yang baru ditakluk dan dibuka serta dijadikan ibu negara baharu Kerajaan Turki Uthmaniyah, baginda ingin meluaskan jajahan takluk.

2. Beberapa siri peperangan ke atas negeri-negeri sempadan dilancarkan seperti Serbia (1454-1459M), Morea (1458-1460M), Trebizond(1460-1461M), Bosnia (1463M) Anatolia (1464M), Albania (1466M), Crotia (1469M) dan Negroponte (1470M).

3. Baginda turut menyerang pelabuhan Venice di Laut Adriatic bagi meluaskan lagi jajahan takluk sehingga Venice sanggup membayar ufti tahunan sebanyak 10 000.

(iii) Pentadbiran

1. Selepas menakluk Constantinople, baginda menukar namanya kepada Islambul (Islam seluruhnya) atau Istabndul dan dijadikan ibu negara pentadbiran yang baharu.

2. Baginda melarang keras sebarang keganasan  terhadap musuh yang menyerah kalah dan membenarkan penduduk Krisitian Constantinople keluar secara aman.

3. Baginda turut memberi pengampunan, melaksanakan perdamaian serta mewujudkan toleransi beragama dalam kalangan penduduknya.

4. Baginda melayan penduduk Constantinople dengan hormat seperti membenarkan ajaran Kiristian dan mengekalkan gereja.

5. Baginda melantik ketua-ketua mazhab Krisitian dan mengarahkan tentera Islam tidak merosakkan gereja sebaliknya membaik pilih gereja.

6. Baginda membina masjid, sekolah, istana , taman-taman, pasar-pasar dan hospital percuma kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

(iv) Ekonomi

1. Baginda mencetak mata wang baharu bagi mengambarkan kekuatan dan kedaulatan negaranya.

2. Baginda turut menghalang penguasaan individu atau monopoli terhadap barangan seperti garam, sabun dan lilin sebagai produk negara.

3. Mengambil alih semula 20 000 tanah-tanah kampung dan estet untuk dijadikan milik negara seterusnya menambah pendapatan dan sumber ekonomi negara.

4. Meningkatkan sektor perdagangan dengan membina infrastruktur dan membangunkan bandar Nicae sebagai jaringan perdagangan yang maju.

5. Membina kilang logistik, kilang senjata dan benteng keselamatan dalam bidang industri serta menggalakkan pelabur luar masuk membangunkan Constantinople.

(v) Sosial

1. Memperbaiki sistem saliran, sistem infrastruktur, pembentungan, dan pasar-pasar serta menjamin struktur dan keutuhan bangunan-bangunan dalam negara.

2. Membina Istana Topkapi sebagai lambang kemewahan dan memanggil semua pedagang di Balkan ke Constantinople.

3. Keadaan ini menyebabkan penduduk Istanbul semakin maju dan bertambah sehingga mencecah 100 000 orang.

4. Membina lapan buah sekolah yang lengkap dengan asrama, perpustakaan, ruang makan dan penyeragaman kurikulum.

5. Menggalakkan pembelajaran kanak-kanak diajar sejak awal dan menyediakan biasiswa kepada pelajar-pelajar.

6. Baginda menggalakkan para menteri, ulama dan hartawan membangunkan institusi pendidikan seperti sekolah, masjid dan waqaf.


CONTOH SOALAN LATIHAN ESEI

1. Bincangkan ciri kepimpinan yang dimiliki oleh Sultan Muhammad al-Fateh. (STPMU2 2013)

2. Nilaikan kepimpinan Sultan Muhammad al-Fatih dalam bidang ketenteraan pada abad ke-15 Masihi. (STPMU2 2015)

3. Nilaikan kepimpinan dan sumbangan Sultan Muhammad al-Fatih dalam mengukuhkan empayar Uthmaniyah pada abad ke-15.

4. Bincangkan tindakan-tindakan yang diambil oleh Sultan Muhammad al-Fatih dalam usaha baginda menawan kota Constantinople daripada Byzantine.  



@juhaimimajid

1 comment:

  1. Terima kasih 👍🏻✨ - student stpm 05

    ReplyDelete