Monday 14 June 2021

PDPR 15/06/2021: NOTA DAN LATIHAN SEJARAH 2 STPM (SUMBANGAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB)

 1.5.2 SUMBANGAN KHALIFAH/TOKOH



(ii) Khalifah Umar al-Khattab

Latar Belakang

1. Khalifah Umar al-Khattab dilahirkan di kota Makkah pada tahun 584 Masihi tiga belas tahun selepas Tahun Gajah.

2. Nama penuh beliau ialah Umar bin al-Khattab bin Naufal bin Abdul Uzza dari keturunan Bani Adi Quraisy yang sangat disegani.

3. Ketika berusia 27 tahun, beliau merupakan penentang Nabi Muhammad SAW pada awal kemunculan agama Islam.

4. Memeluk Islam pada usia 33 tahun iaitu pada 617 Masihi selepas tujuh tahun menentang Nabi Muhammad SAW.

5. Peristiwa memeluk Islam beliau berlaku selepas adiknya, Fatimah al-Khattab memeluk Islam menyebabkan beliau marah memukul adiknya hingga berdarah.

6. Diberi gelaran al-Faruq oleh Nabi Muhammad SAW kerana keislaman beliau menyebabkan orang Arab Quraisy sangat takut dengan keberaniannya.

7. Ini terbukti ketika penghijrahan orang Islam secara terbuka ke Yathrib (Madinah) kerana tiada seorang pun yang berani menghampiri beliau ketika keluar dari kota Makkah.


Perlantikan Khalifah Umar al-Khattab

1. Ketika Khalifah Abu Bakar al-Siddiq sedang gering, beliau telah membuat wasiat dan melantik Saidina Umar al-Khattab sebagai pegganti.

2. Perlantikan ini bertujuan mengelakkan berlaku lagi ketegangan dalam pemilihan khalifah seperti pada awal perlantikan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq.

3. Perlantikan ini juga dipersetujui dan direstui oleh para sahabat dan umat Islam seterusnya dibaiatkan sebagai khalifah kedua.

4. Khalifah Umar al-Khattab membuat pidato selepas dibaiatkan dan antara ucapannya akan membawa umat Islam ke jalan yang benar dan menegur jika beliau membuat kesalahan.

5. Memerintah selama 10 tahun 6 bulan bermula 22 Ogos 634 Masihi sehingga wafat pada pada 3 November 644 Masihi akibat dibunuh oleh Abu Lu'lu'ah ketika solat subuh.


Sumbangan Khalifah Umar al-Khattab

1. Pembaharuan politik

(a) Beliau sangat berhati-hati menjalankan pemerintahan agar masalah golongan nabi-nabi palsu dan golongan murtad tidak akan berulang.

(b) menempatkan pasukan tentera di kawasan jajahan takluk dan memperbaharui perjanjian dengan kuasa-kuasa luar.

(c) membahagikan pentadbiran negara kepada lapan daerah iaitu Mesir, Madinah, Syria(Syam), Jazirah(Mesopotamia), Basrah, Kufah, Makkah dan Palestin.

(d) setiap daerah dilantik Gabenor yang dibantu oleh Setiausaha Tentera (Khatib Diwan), Pegawai Perbendaharaan (Ahdul Baitulmal) dan Pegawai Cukai (Syahibul Kadi).

(e)  pegawai dipilih berdasarkan kepimpinan dan kewibawaan dan dibayar gaji bagi mengelakkan rasuah.

(f) bermesyuarat dengan para sahabat untuk mendapat kata sepakat dalam sebarang tindakan bagi melicinkan pentadbiran.

(g) mewujudkan Majlis Syura untuk bermesyuarat yang dianggotai oleh golongan Muhajirin dan Ansar.

(h) membentuk beberapa jabatan seperti Jabatan Tentera, Jabatan Polis, Jabatan Percukaian, dan Jabatan Perbendaharaan Negara yang diketuai Katib atau Setiausaha.

(i) Kadi-kadi dilantik di setiap wilayah untuk menguruskan pentadbiran undang-undang Islam yang terdiri daripada golongan ulama Muhajirin.


2. Pentadbiran Ekonomi

(a) mengambil balik tanah-tanah rampasan perang dari tangan tentera dan dijadikan hak milik negara (rakyat).

(b) Tentera-tentera dibayar gaji 4/5 daripada rampasan perang dan selebihnya 1/5 adalah hak milik negara.

(c) Tidak suka rakyat hidup mewah sebaliknya mahu rakyat hidup sederhana.

(d) Harta melalui rampasan perang perlu dikembalikan kepada tuannya sekiranya memeluk Islam.

(e) Mengenakan cukai seperti jizyah (bukan Islam), kharaj (cukai tanah orang Islam), zakat (rukun Islam keempat) dan usyur(cukai perdagangan) sebagai pendapatan negara.

(f) menggalakkan rakyat membuka tanah-tanah baru untuk pertanian dan penternakan manakala negara menyediakan kemudahan seperti  Empangan Abu Musa di Basrah.

(g) mata wang diperkenalkan dan masalah perdagangan diatasi segara seterusnya menggalakkan perdagangan luar dan dalam negara.


3. Pentadbiran Sosial

(a) membuat bayaran sara hidup kepada semua ahli keluarga Nabi Muhammad SAW mengikut kategori.

(b) bayaran sara hidup kepada isteri-isteri tentera Islam yang mati syahid dalam Perang Badar pada 624 Masihi dan tentera-tentera Islam yang bersara.

(c) bayaran sagu hati kepada golongan kurang bernasib baik seperti cacat anggota

(d) menyediakan rumah-rumah persinggahan untuk musafir yang datang ke Madinah.

(e) membentuk pasukan keselamatan kampung dan Khalifah Umar al-Khattab pernah menyamar sebagai pengawal serta menangkap pencuri.

(f) membina jalan raya dan pejabat pos.

(g) mengembangkan pengajaran al-Quran di kawasan masjid dan menghantar guru agama ke jajahan takluk seperti Kufah dan Basrah

(h) menghargai seni ukiran seperti ukiran ayat suci al-Quran dan hadis di dinding kubah atau mimbar masjid menggunakan tulisan khat.

(i) memperkenalkan kalendar Islam dengan menjadikan tahun hijrah sebagai titik mula pengiraan.

(j) meneruskan usaha Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dalam mengumpul ayat-ayat suci al-Quran daripada para sahabat dan tahfiz al-Quran.


4. Gerakan Ketenteraan.

(i) Penaklukan Parsi

(a) meneruskan perang menentang Rostam Parsi dari zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq.

(b) membentuk satu angkatan tentera berjumah 10 000 orang dan berjaya menawan 120 000 tentera Rostam Parsi.

(c) ramai rakyat Parsi memeluk Islam selepas Rostam Parsi terbunuh dalam serangan tersebut.

(d) memenangi perang melawan gabungan tentera Parsi pada 642 Masihi di Nahawind dan berjaya menawan daerah Qashan, Asbihan dan al-Rae.

(ii) Penaklukan Syria dan Palestin

(a) Syria dan Palestin terletak di bawah kekuasaan Rom dan usaha ini bermula sejak zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq.

(b) Khalifah Umar telah menggantikan Khalid al-Walid dengan Ubaidah al-Jarrah sebagai ketua panglima untuk meneruskan usaha menawan Syria dan Palestin.

(c) Kota Damsyik, Syria ditawan tentera Islam pada 636 Masihi dan pemerintah Rom, Hercules menyerang balas dengan 24 000 tentera di Yarmuk tetapi tewas.

(d) Ini menggerakkan tentera Islam menakluk Khama, Haman, Qinnarsin, Laziqiah, Aleppo, Reifa, Akka, Jaffa, Ghazzan dan kawasan-kawasan lain jajahan Rom.

(e) Baitulmuqaddis (Palestin) merupakan kubu Krisitian yang bermati-matian dipertahankan oleh tentera Rom.

(f) Kengganan pemerintah Rom, Artibun untuk menyerahkan Palestin menyebabkan tentera Islam mengepungnya selama empat bulan.

(g) seorang paderi Krisitian sanggup berdamai dengan syarat Khalifah Umar datang sendiri untuk membuat perundingan dan perjanjian damai ditandatangani pada 637 Masihi.

(iii) Penaklukan Mesir

(a) Kepentingan Mesir seperti kemajuan perdagangan di pelabuhan Iskandariah dan kesuburan tanah pertanian di Lembah Nil menyebabkan tentera Islam menakluknya.

(b) Pada 639 Masihi, kota Balbis dan kawasan berhampiran seperti Arisy dan Farma di Mesir di tawan tentera Islam.

(c) tentera Islam seterusnya mara ke Ummu Dunain dan Khalifah Umar menghantar empat  orang panglima membantu pasukan tentera Islam.

(d) tentera Islam bertempur dengan tentera Rom (Mesir) di bawah pimpinan Theodore pada 641 Masihi dan berjaya menawan Ainul Shams dan Ainul Dunain.

(e) tentera Islam seterusnya mengepung Babylon selama tujuh hari dan Gabenor Mesir, al-Muqauqis setuju membayar jizyah(cukai perlindungan).

(f) al-Muqauqis dipecat oleh Heraculis yang berada di Constantinople (istanbul) dan menerima perjanjian damai dengan tentera Islam.

(g) Perjanjian damai itu ditandatangan pada 28 November 641 Masihi yang dikenali sebagai Perjanjian Iskandariah.

(h) Pada 642 Masihi, tentera Islam berjaya menduduki seluruh Mesir dengan aman dan Rom hilang kekuasaannya ke atas Mesir.


CONTOH SOALAN-SOALAN LATIHAN ESEI

1.    Bincangkan pembaharuan politik dan ekonomi yang dilaksanakan oleh Khalifah Umar al-Khattab r.a. semasa pemerintahannya. (STPM2 2015)

2.  Bincangkan usaha yang dilakukan oleh Khalifah Umar bin al-Khattab dalam bidang ekonomi dan sosial bagi membina sebuah negara yang berkebajikan. (STPM2 2020)

3. Khalifah Umar al-Khattab telah melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam memajukan masyarakat Islam dan negara Islam. Jelaskan pembaharuan-pembaharuan yang telah dilaksanakan.

4. Huraikan pembaharuan dalam bidang politik yang telah dilaksanakan oleh Khalifah Umar al-Khattab.

5. Huraikan pembaharuan sosioekonomi yang dijalankan oleh Khalifah Umar al-Khattab.

6. Huraikan kejayaan peluasan kuasa Islam pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab.


@juhaimimajid


No comments:

Post a Comment