Sunday 13 June 2021

PDPR 14/06/2021: NOTA DAN LATIHAN SEJARAH 2 STPM (SUMBANGAN KHALIFAH ABU BAKAR AL-SIDDIQ)

 1.5.2  SUMBANGAN KHALIFAH/TOKOH



(i) Khalifah Abu Bakar

Latar Belakang

1. Khalifah Abu Bakar dilahirkan di kota Makkah pada tahun 572 Masihi dua tahun selepas Tahun Gajah.

2. Nama beliau sebelum memeluk Islam ialah Abdul Kaabah bin Abu Quhafah al-Tamimi dari keturunan Bani Tamim.

3. Sebelum kedatangan Islam, beliau merupakan pedagang yang kaya dan disegani oleh kabilah-kabilah Arab di kota Makkah.

4. Beliau adalah orang kedua memeluk agama Islam selepas isteri Nabi Muhammad SAW, Siti Khadijah binti Khuwailid.

5. Memainkan pernan penting dalam penyebaran dan perkembangan Islam juga menjadi pelindung kepada Nabi Muhammad SAW daripada ancaman orang Arab Quraisy.

6. Beliau diberikan gelaran al-Siddiq oleh Nabi Muhammad SAW kerana percaya dengan kebenaran peristiwa Israk dan Mikraj.

7. Dibaiahkan oleh umat Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW kerana ketokohan, kesetiaan dan keberanian beliau bersama Nabi Muhammad SAW sejak dari awal kemunculan ajaran Islam.


Pelantikan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq

1. Selepas Nabi Muhammad SAW wafat pada 632 Masihi, umat Islam kehilangan pemimpin yang dapat meneruskan perkembangan agama Islam dan kerajaan Islam Madinah.

2. Ketegangan antara golongan Muhajirin dan Ansar dalam memilih pengganti Nabi Muhammad SAW menyebabkan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq menjadi orang tengah.

3. Beliau melantik Saidina Umar al-Khattab mewakili golongan Muhajirin dan Abu Ubaidah mewakili golongan Ansar namun kedua-dua bersetuju mencadangkan beliau sebagai khalifah.

4. Pada hari kedua, beliau dilantik menjadi khalifah dan membuat ucapan dasar dan ikrar di atas mimbar Masjid Madinah.

5. Beliau hanya memerintah selama 2 tahun 2 bulan 10 hari selepas wafat pada malam Selasa, 22 Ogos 634 Masihi selepas demam selama 15 hari.


Sumbangan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq

1. Menyelamatkan negara Islam

(a) Beliau berjaya menyelesaikan krisis pengganti Nabi Muhammad SAW antara golongan Muhajirin dan Ansar.

(b) Beliau berjaya mengatasi masalah golongan murtad dengan bantuan panglima Khalid al-Walid, Abdul Rahman bin Auf, Saidina Ali bin Abi Talib dan lain-lain.


2. Membentuk pasukan tentera

(a) Beliau menubuhkan pasukan tentera yang teratur untuk menghadapi ancaman orang murtad dan musuh-musuh Islam di dalam dan di luar negara Madinah.

(b) Beliau juga melantik panglima-panglima tentera yang gagah dan berwibawa untuk memimpin pasukan tentera tersebut seperti Khalid al-Walid, Akramah bin Hisham, Amru al-As dan lain-lain.


3. Mengumpul ayat-ayat suci al-Quran

(a) Ayat-ayat suci al-Quran yang diturunkan pada zaman Nabi Muhammad SAW (wahyu) dikumpul dengan cara ditulis pada kulit kayu, kulit binatang dan dihafal oleh para sahabat.

(b) Bagi mengelakkan ayat-ayat suci al-Quran tersebut hilang dan para sahabat yang menghafal meninggal dunia, beliau telah mengarahkan Zaid bin Sabit mengumpulnya sebagai khazanah negara.

(c) Usaha ini berjaya menghimpun dan membukukan ayat-ayat suci al-Quran tersebut secara teratur pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan yang dikenali sebagai Mushaf Uthmani.


4. Peluasan Kuasa

(a) Beliau berjaya meluaskan kuasa Islam ke negara jiran seperti Rom, Parsi dan Syria dan menyebarkan syiar Islam ke seluruh Semenanjung Tanah Arab.

(b) Beliau meneruskan usaha Nabi Muhammad SAW dalam memerangi jajahan Rom Byzantine kerana kerajaan Rom Byzantine sering mengancam kerajaan Islam.

(c) Beliau juga telah memerintahkan Khalid al-Walid menyerang Ubullah yang merupakan kawasan pertahanan Parsi dan pemerintahnya Hormuz yang ingin berperang dan tidak menerima Islam.

(d) Syam atau Syria merupakan pusat kerajaan Rom Byzantine ditakluk selepas itu melalui Pertempuran Yarmuk tetapi Khalifah Abu Bakar al-Siddiq telah wafat.


5. Gerakan al-Riddah

(a) Dilancarkan untuk menghapuskan golongan yang ingin menghancurkan agama Islam dan kerajaan Islam Madinah selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

(b) Terdiri daripada golongan nabi-nabi palsu, golongan yang enggan membayar zakat dan golongan ajaran lama atau murtad.

(c) Golongan nabi-nabi palsu seperti Tulaihah al-Kuwailid, Al Aswad Al Ansi berjaya dihapuskan kerana mempengaruhi umat Islam yang lemah imannya dan merosakkan akidah.

(d) Golongan yang enggan membayar zakat seperti Malik al-Nuwairah turut dihapuskan kerana menganggap zakat sebagai paksaan dan mempengaruhi iman umat Islam yang lemah.

(e) Golongan yang kembali ke ajaran lama atau murtad dengan menyembah kembali berhala turut dihapuskan seperti Laqit bin Malik Azadi.


CONTOH SOALAN-SOALAN LATIHAN ESEI

1. Bincangkan sumbangan Khalifah Abu Bakar dalam membanteras golongan ar-Riddah. (Soalan STPM Ulangan 2015)

2. Jelaskan sumbangan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dalam menyatukan ummah selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

3. Bincangkan kejayaan-kejayaan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq sepanjang pemerintahannya sebagai khalifah pertama kerajaan Khulafa al-Rasyidin.

4. Huraikan sumbangan dan jasa Khlifah Abu Bakar al-Siddiq sebagai khalifah yang menyelamatkan negara Islam.

5. Jelaskan proses perlantikan Abu Bakar al-Siddiq sebagai khalifah Islam yang pertama dan sumbangannya terhadap perkembangan Islam.


@juhaimimajid

   

No comments:

Post a Comment