Tuesday 15 June 2021

PDPR 16/06/2021 : NOTA DAN LATIHAN SEJARAH 2 STPM (SUMBANGAN KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ)

 1.5.2 SUMBANGAN KHALIFAH/TOKOH



(iii) Khalifah Umar Abdul Aziz

1. Khalifah Umar Abdul Aziz dilahirkan di kota Helwan, berhampiran Keherah,Mesir pada 682 Masihi dan berasal daripada keturunan Khalifah Umar al-Khattab (ibunya Laila binti Asim binti Umar al-Khattab).

2. Didikan yang sempurna menjadikan beliau seorang khalifah yang terkenal dalam zaman pemerintahan Khalifah Bani Umayyah 661-750 Masihi).

3. Pemerintahan beliau mempunyai persamaan dengan moyangnya, Khalifah Umar al-Khattab dan sifat beliau mempunyai persamaan dengan isterinya, Fatimah binti Abdul Malik bin Marwan.

4. Dalam era Khalifah Bani Umayyah, beliau terkenal dengan panggilan ulama dan wali yang menjadi lambang kemajuan.


Perlantikan Khalifah Umar Abdul Aziz

1. Sebelum menjadi khalifah, beliau pernah dilantik sebagai Gabenor  Madinah selama tujuh tahun.

2. Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik melantik beliau sebagai putera mahkota dan kemudian menyerahkan jawatan khalifah kerana masalah kesihatan.

3. Selepas kewafatan Khalifah Sulaiman, wazir khalifah mengumumkan perlantikan beliau sebagai khalifah kelapan Bani Umayyah dan disokong oleh umat Islam.

4. Beliau memerintah selama 2 tahun lebih bermula dari tahun 717 Masihi  sehingga Februari 720 Masihi pada usia 39 tahun akibat terminum racun.

5. Kewafatan beliau dipercayai oleh golongan yang benci dengan kejayaannya dan ini turut menjadi punca kejatuhan Khalifah Bani Umayyah kerana kehilangan pemimpin berwibawa.


Sumbangan Khalifah Umar Abdul Aziz

1. Politik

(i) Al Quran dan Hadis

1. Berusaha melaksanakan pelbagai perubahan dalam pemerintahan agar selari dengan ajaran al-Quran dan Sunnah (Hadis).

2.  Menghayati tugas kepimpinan sebagai satu amanah yang sangat berat dan akan dipersoalkan di akhirat kelak.

3. Pada hari kedua perlantikannya sebagai khalifah, beliau menyampaikan khutbah umum tentang ajaran al-Quran dan hadis serta tanggungjawab seorang pemimpin.

4. Ajaran-ajaran Islam sepenuhnya dipraktikkan dalam pentadbiran seperti larangan memungut cukai jizyah kepada orang bukan Islam yang memeluk Islam.

(ii) Perubahan pentadbiran

1. membahagikan wilayah-wilayah Islam kepada lima daerah seperti Yaman, Hijaz, Asia Tengah, Mesir dan Arab yang diketuai seorang pegawai pemerintah.

2. Membentuk pelbagai jabatan seperti Jabatan Ketua Setiausaha Kerajaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Cukai, Jabatan Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Pertahanan.

3. Bahasa Arab dijadikan bahasa rasmi kerajaan namun bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan.

4. Pegawai kerajaan dikategorikan mengikut hirarki bermula dari Khalifah diikuti Gabenor Daerah, Kadi yang mengurus kehakiman dan akhir sekali Pemegang Amanah Kerajaan.

5. Menghapuskan jawatan Pegawai Peribadi kepada Khalifah dan membenarkan rakyat berjumpa dengannya pada bila-bila masa tanpa melalui orang tengah.

6. Beliau juga memecat pegawai-pegawai kerajaan yang didapati rasuah atau yang melakukan kezaliman ke atas rakyat.

(iii) Perubahan dasar peperangan dan penaklukan

1. Beliau sangat cintakan kedamaian dan tidak suka pertumpahan darah walaupun pada zaman pemerintahannya empayar Islam sangat luas.

2. Beliau telah mengarahkan tentera-tentera kerajaan yang sedang mengepung Constantinople (Istanbul) untuk pulang.

3. Dasar penarikan tentera dari medan peperangan adalah sangat berbeza dengan pemerintah sebelumnya.

4. Beliau bertindak sedemikian kerana cintakan keamanan dan memberi peluang kepada tentera Islam berehat dan pulang ke pangkuan keluarga mereka.


2. Sosial

(i) Kebajikan Rakyat

1. Mengadakan projek-projek kebajikan untuk rakyat dan membina rumah tumpangan untuk persinggahan para musafir.

2. Mengarahkan pegawainya menggali parit dan terusan untuk menggalakkan aktiviti pertanian.

3. Menggalakkan asimilasi perkahwinan antara Arab dan bukan Arab untuk memastikan rakyat hidup aman dan stabil kerana kedua-duanya sering bermusuhan.

4. Menghapuskan cacian terhadap Khalifah Ali bin Abi Talib dalam khutbah jumaat sebaliknya digantikan dengan ayat-ayat suci al-Quran.

(ii) Ilmu Pengetahuan

1. Mengarahkan agar masjid-masjid dijadikan pusat penyebaran ilmu dan mengadakan majlis ilmu serta pertemuan dengan golongan ilmuwan.

2. Mengarahkan para pegawai kerajaan supaya meluangkan masa bersama ulama dan menghadiri majlis ilmu yang dianjurkan.

3. Menghantar 10 pakar perundangan Islam (Fuqaha) ke Afrika Utara bagi mengajar ilmu dan menyebarkan dakwah Islam.

4. Mengambil berat ilmu hikmah dan kedoktoran dan mengarahkan ahli bijak pandai menterjemahkan ilmu-ilmu Greek, Siryani dan Latin ke bahasa Arab.

5. Memberi biasiswa sebagai galakan rakyat menuntut ilmu bagi yang ingin mendalami dan melanjutkan pelajaran.

6. Khalifah yang pertama mengarahkan hadis-hadis Nabi MUhammad SAW ditulis dan dibukukan.


 3. Ekonomi

(i) Dasar ekonomi baharu

1. Cukai tanah (kharaj) dikenakan terhadap hasil tanaman melalui tanah yang diperoleh melalui penaklukan.

2. Cukai jizyah(perlindungan bukan Islam) hanya dikenakan ke atas orang bukan Islam dan bukan kepada orang bukan Islam yang memeluk Islam.

3. Memansuhkan semua jenis perayaan, upacara rasmi kerajaan, hadiah dan perbelanjaan kerajaan yang membazirkan.

4. Dasar ekonomi baharu yang dilaksanakan ini telah menjadikan kedudukan kewangan negara Khalifah Bani Umayyah semakin kukuh.

5. Menaikkan gaji buruh untuk menaikkan taraf hidup rakyat dan mengelakkan pegawai-pegawai kerajaan melakukan rasuah.


CONTOH SOALAN-SOALAN LATIHAN ESEI

1. Analisiskan pembaharuan dari aspek politik yang dilaksanakan oleh Umar Abdul Aziz setelah dilantik sebagai khalifah kerajaan Bani Umayyah. (STPM2 2014)

2. Huraikan pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh Umar bin Abdul Aziz sebagai khalifah kerajaan Bani Umayyah.(STPMU2 2019)

3. Bincangkan pembaharuan dalam bidang ekonomi dan politik semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. (STPMU2 2020)

4. Bincangkan sumbangan Khalifah Umar bin Abdul Aziz pada zaman pemerintahan kerajaan Bani Umayyah.

5. Huraikan kejayaan Khalifah Umar bin Abdul Aziz dalam bidang politik dan ekonomi.

6. Bincangkan pembaharuan-pembaharuan yang dilaksanakan oleh Umar bin Abdul Aziz dalam bidang pentadbiran dan sosial.


@juhaimimajid

No comments:

Post a Comment