Sunday 27 June 2021

PDPR 28/06/2021: NOTA DAN LATIHAN SEJARAH 2 STPM (MAHARAJA AKBAR)

1.6.2.2 PEMERINTAHAN PUSAT DAN WILAYAH INDIA


2.1 Maharaja Akbar

(a) Latar Belakang

1. Nama sebenar baginda ialah Jalaluddin Muhammad Akbar juga dikenali sebagai Akbar Agung, dilahirkan pada 15 Oktober 1542 di Umarkot, SInd.

2. Baginda merupakan putera kepada Humayun, pemerintah Empayar Moghul yang kedua (1556-1605 Masihi).

3. Baginda tinggal di Afghanistan dan menghabiskan masa remajanya dengan mempelajari cara untuk berburu dan bertempur kerana pada 1540, bapanya tinggal dalam buangan.

4. Pada 14 Februari 1556, pada usia 13 tahun, baginda menaiki takhta selepas ayahnya meninggal dunia yang berjaya menguasai Delhi pada tahun 1555.

5. Baginda menjadi pemerintah Kerajaan Moghul Ketiga dan dianggap sebagai pemerintah agung dan terhebat dalam Empayar Moghul.

6. Baginda seorang raja yang baik hati dan bijak serta mempunyai perwatakan yang disenangi oleh orang-orang di sekelilingnya.

7. Baginda berjaya menghapuskan Sher Shah di Afghanistan yang pernah merampas kuasa ayahnya dan Hemu, pemerintah Hindu dalam Pertempuran Panipat.

8. Baginda mendapat perhatian daripada pemerintah Rajput dan mengahwini puteri Rajput bernama Jodha Bai (Mariam-uz-Zamani).

9. Di akhir pemerintahannya, anak sulung dan anak keduanya meninggal dunia akibat ketagihan arak dan anak ketiganya, Salim (Jahangir) memberontak.

10. Baginda meninggal dunia pada 27 Oktober 1605 akibat kesihatannya mula merosot dan disemadikan di Sikandar, berhampiran Agra.


(b) Pemerintahan Pusat dan Wilayah

1. Baginda telah membentuk dan menyusun pentadbirannya sehingga menjadi sebuah empayar yang terkenal.

2. Baginda telah mengasingkan politik dengan agama serta menghapuskan perbezaan agama mahupun bangsa.

3. Untuk itu, baginda memperkenalkan agama baharu iaitu Din Ilahi pada tahun 1581 Masihi yang menggabungkan agama Islam, Hindu, Krisitian dan Zoroster..

4. Baginda telah membina Ibadat Khana sebagai tempat berkumpulnya pelbagai tokoh agama bagi membincangkan hal berkaitan agama.

5. Baginda turut menghapuskan amalan perhambaan dan usaha ini telah mendapat sokongan politik daripada semua lapisan rakyat.

6. Baginda juga menghapuskan bayaran jizyah dengan alasan bagi mewujudkan keadilan dan kestabilan dalam pemerintahan empayarnya.

7. Takhta kerajaan baginda adalah berasaskan sistem perwarisan dan ketua negara bergelar sultan atau maharaja serta mempunyai kuasa mutlak.

8. Baginda dibantu oleh pegawai yang dilantik untuk melicinkan pemerintahannya seperti Bairam Khan (Perdana Menteri) dan Navratnas (Sembilan Permata).


(c) Organisasi Pentadbiran

1. Bagi memantapkan sistem pentadbiran di peringkat pusat, baginda telah mewujudkan satu sistem pentadbiran tersusun dikenali sebagai Mansabdar.

2. Mansabdar menjalankan tugas-tugas pentadbiran awam dan melengkapkan pasukan tentera di raja.

3. Mansabdar dibahagikan kepada  33 peringkat dan setiap peringkat memerintah satu batalion tentera berkuda antara 10 hingga 10 000 orang.

4. Jawatan-jawatan lain diwujudkan seperti Wakil (perdana menteri), Wazir (menteri), Khan Qanan (Ketua Angkatan Tentera) dan Kadi besar (hakim).

5. Selain itu, Muhtasib (moral awam), Diwan (kewangan), Mir Bakhshi (gaji tentera), Sadr-us-Sudur (agama dan kebajikan) dan Kotwal (polis).

6. India dibahagikan kepada 18 wilayah (subas) dan setiap wilayah dibahagikan kepada beberapa daerah (sarkar).

7. Di peringkat daerah, faudjar dilantik dan bertanggungjawab mengurus pentadbiran daerah seperti cukai, jenayah, tentera dan pemberontakan.

8. Di setiap sarkar pula, terdapat mukim (parganah) dan kampung (mahal).


(d) Dasar Peluasan Wilayah

1. Maharaja Akbar berjaya membina empayar Moghul meliputi seluruh bumi Hindustan bermula dari Laut Arab hingga Teluk Benggala  dari Himalaya hingga Nawada.

2. Baginda telah meluaskan empayar Moghul dengan menakluk wilayah seperti Malwa (1562), Gujarat (1572), Benggala (1574), Kabul (1581), Kashmir (1586) dan Kandesh (1601).

3. Baginda melantik wizurai di kawasan yang telah ditakluk bagi mengelakkan pemberontakan dan mengawal pentadbiran.

4. Untuk mengelakkan para menterinya terlalu berpusat di Delhi, baginda telah memindahkan pentadbirannya ke Fatehpur Sikri, berdekatan Agra.

5. Langkah ini tidak berjaya dan baginda menubuhkan kerajaan bergerak supaya dapat memerhatikan perkembangan dalam negara.


(e) Ekonomi

1. Pemerintahan Maharaja Akbar dicirikan oleh kemajuan aktiviti komersial dalam perdagangan.

2. Kerajaan Moghul menggalakkan aktiviti perdagangan dengan menyediakan perlindungan dan keselamatan untuk urusan jual beli dan menggalakkan perdagangan asing. 

3. Bagi meminimumkan kejadian jenayah, pasukan polis lebuh raya dilantik untuk memastikan keselamatan peniaga. 

4. Baginda berusaha untuk memperbaiki jalan raya bagi memudahkan penggunaan kenderaan beroda melalui Laluan Khyber, laluan paling popular di kalangan peniaga.

5. Baginda memperkenalkan duit syiling dengan motif bunga hiasan, bagi memudahkan aktiviti berniaga dan berdagang.

6. Maharaja Akbar menetapkan pembaharuan pentadbiran hasil tanah empayarnya dengan mengamalkan sistem yang telah digunakan oleh Sher Shah Suri. 

7. Kawasan yang tanamannya tumbuh dengan baik, diukur dan dikenakan cukai melalui kadar tetap berdasarkan tanaman dan produktiviti kawasan itu. 

8. Walau bagaimanapun, kesusahan para petani yang berada di kawasan luar bandar menyebabkan sistem cukai diperhalusi dan dinilai semula.


(f) Polisi beragama

1. Maharaja Akbar menghabiskan masa mudanya berlatarbelakangkan suasana sentimen liberal beragama dan dasar toleransi agama antara masyarakat Hindu dan umat Islam.

2. Baginda menaja perdebatan agama antara kumpulan Islam, Sikh, Jains, Yahudi, dan Materialis.

3. Ketika baginda berada di Fatehpur Sikri, diadakan perbincangan kerana suka mengetahui tentang kepercayaan agama orang lain. 

4. Ini menyebabkan beliau membentuk gagasan agama baru, Sulh-e-kul yang bermaksud keamanan sejagat dikenali sebagai Din Ilahi.

5. Idea beliau tentang agama ini tidak mencalitkan agama lain dan memberi tumpuan kepada idea-idea keamanan, perpaduan dan toleransi.


(g) Perkembangan Intelektual

1. Maharaja Akbar yang memerintah secara liberal bertindak meluaskan ilmu pengetahuan kepada rakyat.

2. Mendirikan institusi pengajian di Fatehpur Sikri dan Agra dan menubuhkan Khutub Khanah Akbar untuk menyimpan manuskrip dan dokumen untuk bacaan.

3. Baginda turut menjalankan kegiatan penterjemahan karya asing seperti melantik tokoh agama seperti Badauni yang menterjemahkan kitab Hindu, Ramayana.


CONTOH SOALAN LATIHAN ESEI

1. Bincangkan langkah-langkah yang diambil oleh Maharaja Akbar bagi memantapkan sistem pemerintahannya. (STPMU2 2014)

2. Jelaskan sistem politik dan pentadbiran Akbar dalam mengukuhkan pemerintahan kerajaan Moghul di India. (STPM2 2016)

3. Huraikan pencapaian Maharaja Akhbar dalam bidang politik dan sosial untuk mengukuhkan empayar Moghul di India (STPMU2 2020)

4. Huraikan bentuk pentadbiran pusat dan wilayah kerajaan Moghul di India sewaktu pemerintahan Maharaja Akbar.




     @juhaimimajid

5 comments: