Wednesday, 30 June 2021

PDPR 01/07/2021: NOTA DAN LATIHAN SEJARAH 2 STPM (MAHARAJA AURANGZEB)

1.6.2.2 PEMERINTAHAN PUSAT DAN WILAYAH INDIA

2.2 Maharaja Aurangzeb

(a) Latar Belakang

1. Nama sebenar baginda ialah Muhiuddin Muhammad Aurangzeb Bahadur Alamgir I juga dikenali sebagai Alamgir I (Penakluk Dunia) dilahirkan pada 3 November 1618, di Dahod, Gujarat.

2. Merupakan sultan keenam kerajaan Moghul dan anak kepada sultan kelima Empayar Moghul, Maharaja Shah Jehan dan Mumtaz Mahal.

3. Pada Jun 1626, pemberontakan bapanya menyebabkan Aurangzeb dan abangnya Dara Shukoh dijadikan tebusan di bawah jagaan datuk dan nenek mereka di Lahore. 

4. Pada 26 Februari 1628, bapanya secara rasmi diisytiharkan sebagai Maharaja Moghul, dan Aurangzeb kembali tinggal bersama ibu bapanya di Kubu Agra.

5. Di Kubu Agra, Aurangzeb mendapat pendidikan formalnya dalam bahasa Arab dan Parsi serta pendidikan agama dan kajian sejarah.

6. Aurangzeb hidup dalam kesederhanaan, taat beragama dan menolak penggunaan duit negara dalam kehidupannya serta bekerja untuk mendapatkan pendapatannya.

7. Sebelum memerintah India, Aurangzeb pernah dilantik sebagai gabenor di Deccan, Gujerat dan Multa.

8. Pemerintahan Aurangzeb dalam Empayar Moghul telah ditandai dengan banyak perang dalam usaha penaklukan Islam.

9. Aurangzeb meninggal dunia di kem tenteranya di Bhingar berhampiran Ahmednagar pada 3 Mac 1707 ketika berusia 88 tahun.

10. Sebelum kematiannya, Aurangzeb meminta untuk tidak berbelanja secara boros pada pengebumiannya tetapi memastikan dilaksanakan dengan mudah dan biasa.


(b) Pemerintahan Pusat dan Wilayah

1. Aurangzeb melaksanakan dasar Islamisasi yang ketat dan jelas dalam pentadbirannya berdasarkan buku perundangan Islam, Fatwa Alamgir.

2. Aurangzeb cuba menjadikan India sebuah negara Islam (Dar al-Islam) berdasarkan pegangan ahli sunnah wal jamaah (Sunni) dalam pentadbirannya.

3. Baginda tidak bertolak ansur kepada mazhab dan agama lain serta sangat tegas dalam melaksanakan hukum Islam.

4. Baginda memperkenalkan bayaran jizyah kepada orang bukan Islam dengan kadar yang rendah dan menghapuskan 80 jenis cukai yang tidak dibenarkan dalam Islam.

5. Baginda berjaya meningkatkan pendapatan negara sekali ganda jika dibandingkan dengan zaman Akbar dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

6. Baginda bertindak menegakkan sistem sosial Islam dengan mengharamkan judi dan penjualan arak serta menghapuskan tradisi pemberian hadiah emas dan perak.

7. Baginda mengamalkan dasar yang keras terhadap orang Hindu dan Sikh serta tidak berkompromi dengan masyarakat bukan Islam.

8. Mengehadkan orang Hindu memegang jawatan penting dalam pentadbiran, ketenteraan dan kehakiman bagi menyekat pengaruh Hindu.

9. Mengamalkan dasar peluasan wilayah dengan menakluk 14 wilayah di Utara India, 6 wilayah di Deccan dan satu wilayah di Kabul.

10. Berjaya mengalahkan semua pemberontakan kaum Hindu dan Sind seperti pemberontakan kaum Pathan, Jat dan Satnawi.


(c) Organisasi Pentadbiran

1. Aurangzeb masih lagi mengekalkan sistem pentadbiran moyangnya, Maharaja Akbar namun bersesuaian dengan hukum dan undang-undang Islam.

2. Para ulama dilantik sebagai penasihat dalam pentadbirannya dan Lembaga Penapis ditubuhkan untuk melahirkan masyarakat yang patuh peraturan Islam.

3. Melantik para kadi dan ufti bagi menjalankan pengadilan untuk orang Islam dan Hindu manakala Hakim Besar untuk mengawasi kadi dan hakim tersebut.

4. Aurangzeb menghantar misi diplomatik ke Mekah pada tahun 1659 dan 1662, dengan wang dan hadiah untuk Sharif Mekkah (Penjaga Mekah).

5. Baginda turut menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara luar seperti Uzbekistan, Dinasti Safawid, Perancis, Maldives dan Khalifah Turki Uthmaniyah.


(d) Ekonomi

1. Aurangzeb menerima penghormatan dari seluruh benua kecil India, menggunakan dan menubuhkan kubu di India, terutamanya di Carnatic, Deccan, Bengal dan Lahore.

2. Aurangzeb menaikkan hasil pendapatan negara sebanyak 100 juta pound dalam hasil tahunan melalui pelbagai sumber seperti cukai, kastam dan hasil tanah dari 24 wilayah. 

3. Baginda mempunyai pendapatan tahunan sebanyak 450 juta, lebih daripada sepuluh kali ganda daripada Louis XIV, Maharaja Perancis.

4. Aurangzeb merasakan ayat-ayat dari al-Quran tidak boleh dicap pada duit syiling kerana sentiasa disentuh oleh tangan dan kaki manusia.

5. Oleh itu, baginda telah membuat duit syiling sendiri dengan menggunakan nama bandar, tahun, nama baginda dan bulan penuh.


(d) Sosial

1. Aurangzeb ingin mengurangkan patung-patung hiasan dalam Kerajaan Moghul kerana itu dilarang dalam Islam.

2. Oleh itu, baginda  menggalakkan seni khat Islam, pembinaan bangunan Masjid Lahore Badshahi dan Bibi Ka Maqbara di Aurangabad untuk isterinya Rabia-ud-Daurani.

3. Aurangzeb menghargai karya-karya seni khat Islam; permintaan terhadap manuskrip al-Quran dalam gaya naskh memuncak semasa pemerintahannya. 

4. Salah satu pembinaan terawal Aurangzeb adalah sebuah masjid marmar kecil yang dikenali sebagai Masjid Moti (Masjid Pearl), yang dibina untuk kegunaan peribadinya.

5. Baginda kemudiannya mengarahkan pembinaan Masjid Badshahi di Lahore, yang hari ini merupakan salah satu masjid terbesar di benua kecil India. 


CONTOH SOALAN LATIHAN ESEI

1. Bincangkan dasar pemerintahan Aurangzeb bagi mengukuhkan kerajaan Moghul di India. (STPMU2 2018).

2. Huraikan usaha yang telah dilakukan oleh Aurangzeb bagi mengukuhkan empayar Moghul di India. (STPM2 2019).

3. Jelaskan dasar pemerintahan Aurangzeb bagi mengukuhkan kerajaan Moghul di India.

5. Bincangkan usaha-usaha Aurangzeb dalam bidang politik, sosial dan ekonomi bagi mengukuhkan kerjaan Moghul di India.




@juhaimimajid

No comments:

Post a Comment