Sunday 10 April 2016

EKONOMI ISLAM : MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH ALLAH SWT


UNIT 2.1 Ekonomi

2.1.1 Sistem Ekonomi

a.       Konsep Ekonomi Islam
·        Definisi ekonomi dari segi bahasa dan istilah
o   Dari segi bahasa, ekonomi bermaksud ilmu atau kajian tentang bagaimana isi rumah menggunakan sumber-sumber terhad seperti buruh, modal, tanah dan usahawan dengan kehendak-kehendak yang tidak terhad.
o   Dari segi istilah, ekonomi berasal dari bahasa Yunani iaitu “oikosnomus” yang bermaksud ilmu rumahtangga. Oleh itu, istilah ekonomi digunakan sebagai maksud ilmu yang mengkaji bagaimana isi rumah/rumah tangga menggunakan sumber-sumber yang terhad bagi memenuhi kehendak dan kepuasan yang tidak terhingga/terhad.
·        Menurut Al Quran / pandangan tokoh Islam
o   Di dalam al Quran, Surah al-Baqarah Ayat 295, Allah SWT menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Ini bermakna Sistem Ekonomi Islam tidaklah sama dengan sistem ekonomi moden atau yang diamalkan oleh negara Barat. Ini kerana di dalam sistem ekonomi Islam, segala aktiviti ekonomi adalah mengikut syariat/hukum Islam dan bertujuan untuk menmdapat keredhaan Allah SWT di dunia mahupun di akhirat kelak.
o   Pandangan tokoh Islam tentang ekonomi seperti Muhammad Abdul Mannan dalam bukunya, Islamic Economics, Theory and Practice, “ilmu ekonomi Islam adalah ilmu pengetahuan sosial yang mempelajari masalah-masalah ekonomi masyarakat yang diilhami oleh nilai-nilai Islam”.
o   Oleh itu dapatlah disimpulkan, ilmu ekonomi Islam merupakan ilmu yang mengkaji kegiatan manusia yang selaras dengan kehendak syariat Islam dari segi memperoleh, mengguna atau mengurus sumber asli untuk kebaikan diri serta kebaikan bersama secara kebendaan dan kerohanian demi mendapat keredhaan Allah SWT.

·        Asas-asas ekonomi Islam:
a.       Konsep Rububiyyah
o   Rububiyah (ketuhanan) merupakan konsep utama yang menjelaskan tentang hubungan manusia dengan pencipta-Nya dan hubungan manusia sesama manusia berasaskan konsep tauhid. Dalam konteks ekonomi, merupakan peraturan Allah SWT bagi menyusun rezeki dan kegiatan manusia demi kepentingan yang sebenar.
b.      Konsep Takziyah
o   Takziyah (kesucian jiwa) berkait rapat dengan proses pembentukan sahsiah dan akhlak. Pembentukan dan penyucian jiwa dapat dilakukan melalui amalan seperti zakat dan sedekah.
c.       Konsep Ubudiyah
o   Ubudiyah (kehambaan) manusia sebagai hamba Allah SWT dan khalifah di muka bumi yang disuruh menerima dan patuh segala suruhan-Nya. Manusia sebagai khalifah merupakan pemegang amanah yang bertanggungjawab memakmurkan bumi berdasarkan hukum syarak dan tidak melakukan sebarang kerosakan.
d.      Konsep Uluhiyyah
o   Uluhiyyah (mentauhidkan) menjelaskan tentang sifat Allah SWT sebagai Penguasa yang membuat peraturan-peraturan bagi menjaga dan menampung kehidupan makhluk untuk mencapai kesempurnaan Islam. Merupakan asas kepada falsafah ekonomi Islam.

b.      Ciri-ciri ekonomi
·        Ciri-ciri sistem ekonomi Islam:
a.       Ekonomi berasaskan al-Quran dan hadis
o   Segala aktviti ekonomi yang dijalankan oleh masyarakat Islam seperti pertanian, perniagaan, perdagangan dan perusahaan tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah.
b.      Aktiviti ekonomi adalah ibadah
o   Dalam ekonomi Islam, tujuan utama setiap aktiviti ekonomi adalah untuk beribadah kepada Allah SWT. Oleh itu, setiap aktiviti ekonomi haruslah dilakukan secara ikhlas dan halal.
c.       Kegiatan ekonomi tidak memisahkan antara kebendaan dan kerohanian (seimbang).
o   Aktiviti ekonomi Islam adalah untuk mendapat keuntungan material dan pahala daripada aktiviti yang dilakukan. Oleh itu, keperluan kebendaan perlulah seimbang dengan keperluan akhlak dan rohani.
d.      Berasaskan keadilan dan kebajikan.
o   Aktiviti ekonomi haruslah dilakukan dengan cara yang betul dan adil serta tidak mengenepikan aspek kebajikan masyarakat. Oleh itu, dalam pengagihan harta hendaklah dielakkan jurang perbezaan pendapatan yang ketara antara golongan miskin dan kaya.
e.       Pengharaman amalan berunsur penindasan seperti riba
o   Penindasan seperti riba dalam aktiviti ekonomi adalah membebankan masyarakat. Oleh itu, aktiviti penindasan dan membawa kesusahan kepada masyarakat adalah diharamkan. Sebarang aktiviti ekonomi hendaklah memberi kemakmuran dan kesenangan kepada masyarakat.
f.        Agihan kekayaan
o   Harta kekayaan yang diperoleh melalui aktiviti ekonomi tidak boleh disalahgunakan hingga mendatangkan mudarat kepada orang lain. Oleh itu, apabila harta kekayaan telah cukup nisab dan haulnya hendaklah dikleuarkan zakat, sedekah dan lain-lain agar agihan kekayaan dalam masyarakat tidak terlalu jauh.
g.       Penggunaan harta
o   Pengguna tidak boleh bersikap boros dan membazir dalam penggunaan harta bagi mendapat keredhaan Allah SWT. Islam menggalakkan sifat berjimat cermat serta bekerjasama dalam aktiviti ekonomi seterusnya melahirkan individu muslim yang berjiwa bersih dan bertakwa kepada Allah SWT. Sebarang penggunaan harta dalam aktiviti ekonomi hendaklah bermatlamat untuk kebaikan di dunia dan juga di akhirat.
  
·        Prinsip Ekonomi Islam:
a.       Harta hak milik Allah, hak milik individu dan hak milik umum (masyarakat dan negara)
o   Hak milik sebenar bagi segala isi kandungan yang terdapat di muka bumi ini ialah milik Allah SWT. Manusia hanya diberikan hak untuk mengurus dan mengambil manfaat daripada anugerah Allah SWT sebagai satu amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.
o   Islam juga membenarkan hak pemilikan individu kerana keinginan memiliki harta adalah fitrah manusia. Pemilikan harta individu hendaklah dalam konsep halal sahaja dan pemilikan secara haram adalah dilarang sama sekali.
o   Hak milik umum adalah untuk kepentingan masyarakat dan negara seperti pembinaan jalan raya, padang permainan, tempat rekreasi dan sebagainya yang dapat dinikmati oleh semua masyarakat. Oleh itu, harta hak milik umum hendaklah diagihkan secara adil oleh pemerintah dan pihak berkuasa.
b.      Prinsip Istikhaf (pertanggungjawaban)
o   Manusia merupakan khlifah Allah SWT dan bertanggungjawab menjaga amanah dan memakmurkan bumi. Oleh itu, sebarang aktiviti ekonomi yang dijalankan perlulah menjaga kemakmuran dan tidak melakukan kerosakan demi mendapat keredhaan di dunia dan juga di hari pembalasan (akhirat).
o   Tanggungjawab untuk menjaga hubungan persaudaraan sesama manusia agar membuahkan keadilan dan menolak kezaliman. Manusia hendaklah menjauhi sikap-sikap negatif yang akan menyebabkan hak saudara-saudaranya yang lain dilupakan.
c.       Kebebasan terpimpin
o   Seperti fitrah keinginan manusia untuk hidup bebas, aktiviti ekonomi yang dijalankan juga adalah bebas tetapi haruslah mengikut lunas-lunas halal haram yang ditetapkan dalam syariat Islam. Aktiviti ekonomi yang diharuskan ialah aktiviti yang dijalankan secara halal iaitu pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang suci, bersi, bermanfaat dan tiada unsur penipuan, penindasan dan pembaziran
o   Aktiviti ekonomi yang diharamkan seperti riba, penipuan, rasuah, monopoli, judi, pelacuran dan segala perkara haram mengikut hukum syarak adalah dilarang sama sekali disebabkan bercanggah dengan hukum Allah SWT.
d.      Campur tangan dan kawalan pihak berkuasa
o   Islam mengharuskan campur tangan pihak berkuasa dalam aktiviti ekonomi sama ada dalam bentuk pengurusan, perancangan dan pengagihan. Islam memneri jaminan persamaan peluang kepada seluruh anggota masyarakat tanpa mengira agama dan keturunan (had al-kifayah).
o   Pihak berkuasa harus campur tangan dalam urusan pasaran bagi mengelakkan tipu helah yang membawa kerugian kepada pihak pengguna. Begitu juga dalam soal polisi kerja yang berkaitan dengan hak pekerja bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa ketidakadilan golongan majikan. Hak pekerja haruslah sentiasa dilindungi seperti gaji/upah seperti dalam sebuah hadisa Rasulullah SAW yang bermaksud, “Bayarlah upah buruh sebelum peluhnya kering”-(HR Ibnu Majah, shahih)




§  Perbezaan antara sistem ekonomi Islam dengan sistem ekonomi feudaslisme, sosialisme, komunisme dan kapitalisme
o   Sistem ekonomi feudalisme gagal kerana berasaskan penindasan. Dalam sistem ini, golongan hamba mengusaha dan menghasilkan hasil pertanian untuk kegunaan golongan bangsawan. Kesannya, hamba-hamba yang telah dizalimi dan ditindas telah bangun memberontak. Dalam ekonomi Islam, penindasan adalah ditolak sama sekali kerana kepentingan individu dan umum perlu seimbang.
o   Sistem ekonomi sosialisme juga gagal kerana berlaku perampasan hak asasi manusia, iaitu kebebasan mengumpulkan harta. Segala harta dan sumber ekonomi diserahkan kepada negara untuk diagihkan sama rata kepada rakyat. Ekonomi Islam memberi hak kepada individu untuk memiliki harta secara halal. Walaupun ekonomi sosialisme memberi agihan keperluan dan pendapatan kepada rakyat, berlaku unsur ketidakadilan dengan menolong hak yang sepatutnya diterima oleh individu.
o   Sistem ekonomi kapitalisme juga gagal disebabkan penolakan agama sebagai alat untuk mengekalkan kekuasaan golongan bangsawan dan menindas golongan petani dan buruh. Menolak konsep ketuhanan adalah ditolak sama sekali dalam ekonomi Islam. Islam menganggap segala yang ada di muka bumi adalah milik Allah SWT sebagai Maha Pencipta dan manusia sebagai hamba Allah yang menjadi khalifah untuk menjaga dan mengurus anugerah-Nya sebagai satu amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.
o   Sistem ekonomi kapitalisme juga dianggap gagal kerana menolak nilai-nilai akidah dan akhlak. Barangan yang menuntungkan seperti arak dan judi diutamakan tanpa mengambil kira kesannya kepada masyarakat. Islam menggalakkan manusia menjalankan aktiviti ekonomi secara adil, saling bekerjasama dan tidak menggalakkan penjualan barangan haram yang boleh meruntuhkan moral dan keharmonian masyarakat.

Soalan Esei

1.   Bincangkan konsep Islam di Madinah semasa zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW. (STPM 2014)
2.      Bandingkan sistem ekonomi Islam dengan sistem ekonomi kapitalisme.
3.      Penerapan sistem ekonomi Islam oleh Nabi Muhammad SAW berjaya memecahkan monopoli golongan  Yahudi di Madinah. Bincangkan.

4.      Bincangkan ciri-ciri dan kegiatan ekonomi masyarakat Madinah pada zaman Nabi Muhammad SAW.

3 comments:

  1. Soalan esei no 3 mohon pencerahan

    ReplyDelete
  2. mohon saya rujuk nota cgu utk slaid

    ReplyDelete
  3. salam cikgu...esei cikgu sememangnya membantu saya dalam pembelajaran akan tetapi mohon cikgu memperbaiki 'Surah al-Baqarah Ayat 295' info ini, kepada ini ' surah al - Baqarah ayat 275'...maaf sekiranya ada kesilapan semasa menegur :)

    ReplyDelete