Friday 15 April 2016

MENGAPA ANDA HARUS MEMILIH TINGKATAN 6?


Sesi 2016/2017 merupakan sesi ke-5 sistem pembelajaran dan peperiksaan baharu STPM yang mula diperkenalkan sejak tahun 2013. Sistem baharu yang menggunakan sistem pembelajaran dan peperiksaan 3 penggal merupakan kaedah pembelajaran yang diguna pakai di kolej-kolej yang menawarkan diploma atau sijil. Ini bermakna, murid tingkatan 6 didedahkan sistem pembelajaran dan peperiksaan di pengajian tinggi yang lebih mudah dan berperingkat berbanding sistem lama yang pembelajaran dan peperiksaan dilaksanakan sekaligus. Para pelajar juga hanya perlu memberikan tumpuan untuk sesi pembelajaran dan peperiksaan mengikut penggal dan bukannya secara keseluruhan. Selain itu, murid Tingkatan 6 juga diberi peluang untuk memperbaiki keputusan peperiksaan melalui peperiksaan ulangan yang dijalankan iaitu peperiksaan ulangan penggal 1 dan peperiksaan ulangan penggal 2 (tiada peperiksaan ulangan penggal 3 bermula sesi 2015/2016). Ini ditambah lagi dengan pelaksanaan kerja kursus (esei ilmiah) yang memberi 20 hingga 30 peratus markah dalam pengiraan markah keseluruhan peperiksaan untuk membantu murid lulus selain pengalaman membuat kajian yang akan ‘membantu’ di universiti kelak.
Dari segi kos perbelanjaan pula, ibu bapa sudah tidak perlu risau kerana tiada yuran pengajian dikenakan sepanjang sesi pembelajaran dan peperiksaan kecuali mengambil peperiksaan ulangan (RM50 dikenakan bagi satu kertas mata pelajaran) juga kes-kes seperti lewat daftar, tukar pusat dan sebagainya. Tambahan untuk itu juga, murid tingkatan 6 turut diberi peluang untuk  mendapat biasiswa dan mendapat baucar buku bernilai RM250 (bermula sesi 2014/2015 diberi 2 kali). Dari segi jarak, ibu bapa juga sudah tidak perlu risau dengan keadaan dan keselamatan anak-anak dan begitu juga kos pengangkutan kerana hanya perlu belajar di kawasan berhampiran.
Pilihan mata pelajaran juga banyak membantu pelajar untuk mendapat peluang memasuki universiti selain markah kokurikulum 10% yang turut diadakan di pusat-pusat tingkatan 6 sepanjang sesi pembelajaran. 4 mata pelajaran yang diambil (ada pelajar yang mengambil 5 mata pelajaran) bermakna ada 4 kursus yang boleh dipohon untuk memasuki universiti. Sebagai contoh, Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah dan Pengajian Perniagaan. 4 mata pelajaran ini ditawarkan mengikut bidang/fakulti/sekolah masing-masing di universiti.
Bermula sesi 2015/2015 juga, murid tingkatan 6 telah dibenarkan memakai pakaian ‘casual smart’ atau kemas dan santai memberi penampilan baru kepada para murid tingkatan 6 yang membezakan mereka dengan murid-murid di aliran perdana (tingkatan 1 hingga 5). Namun begitu, terdapat kod-kod yang harus dipatuhi seperti yang telah saya muat naik di dalam blog ini (sila rujuk).
Jika ibu bapa dan murid memikirkan, ”Bolehkah anak saya/saya boleh lulus dalam STPM?”. Jawapannya “boleh” disebabkan murid tingkatan 6 hanya perlu mendapat “C”(markah 40 hingga 44) dalam satu mata pelajaran sahaja. Dalam sistem peperiksaan yang lama (terminal), murid tingkatan 6 wajib lulus mata pelajaran Pengajian Am tetapi dalam sistem baharu, mata pelajaran ini hanya wajib lulus untuk masuk universiti.
Untuk masuk ke universiti, murid hanya perlu memenuhi syarat minimum Gred Purata Nilai Keseluruhan (GPNK) 2.80 ke atas. Namun terdapat kes murid-murid saya hanya dapat 2.0 tetapi mendapat tawaran untuk masuk ke universiti.

Oleh itu, jangan tunggu lagi. Ambil peluang untuk masuk ke universiti kerana saya sendiri merupakan contoh pelajar tingkatan 6 (1994-1995) yang berjaya masuk ke universiti dan sekarang merupakan Guru Akademik Tingkatan 6 di sekolah yang sama saya belajar iaitu Pusat Tingkatan Enam Agaseh yang kini mempunyai blok tingkatan 6 sendiri dengan 13 buah bilik pembelajaran. Insya Allah semoga Pusat Tingkatan 6 Agaseh ini akan menjadi Kolej Tingkatan 6 pertama di Daerah Lahad Datu seperti di daerah dan negeri yang lain di seluruh Malaysia. Assalamualaikum w.b.k.t dan salam 1 Malaysia.

2 comments: