Saturday, 4 October 2025

SEJARAH KESULTANAN SULU DI SABAH


Peta menunjukkan empayar kekuasaan Kesultanan Sulu pada tahun 1845.
Sumber: Wikipedia, Delirium333 based on North Borneo was under Sulu from 1704-1878, Historical Notes on the North Borneo Dispute by Leigh R. Wright, The Sultanate of Bulungan was under the influence of Sulu ever since the fall of Kutai to the Dutch (1844) until 1878, Spanish-Moro conflict and History of Basilan 

Sejarah Kesultanan Sulu di Sabah

Kesultanan Sulu merupakan salah satu kerajaan Islam maritim yang berpengaruh di Asia Tenggara. Ia bukan sahaja memainkan peranan penting di Kepulauan Sulu dan Mindanao, malah turut meninggalkan kesan yang besar terhadap sejarah Sabah. Sejarah hubungan antara Kesultanan Sulu dengan Kesultanan Brunei menjadi titik utama yang menjelaskan bagaimana sebahagian wilayah Sabah, khususnya di pantai timur, pernah berada di bawah pengaruh Sulu. Hubungan ini berasaskan faktor politik, perkahwinan diraja, perdagangan, serta campur tangan ketenteraan dalam konflik dalaman Brunei. Peristiwa tersebut akhirnya membentuk asas kepada tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah yang berpanjangan hingga zaman moden.


Ilustrasi menunjukkan wajah Sharif ul-Hasim (Abu Bakr) seorang penjelajah, pendakwah dan pengasas Kesultanan Sulu dari Hadramaut, Yaman. Sumber: Philippine Muslim Today

Asal Usul Kesultanan Sulu

Kesultanan Sulu diasaskan pada tahun 1457 oleh Sharif ul-Hashim (Abu Bakr), seorang pendakwah Islam dari Hadramaut, Yaman, yang berkahwin dengan seorang puteri tempatan. Pemerintahan berasaskan Islam ini menjadikan Jolo sebagai pusat pentadbiran, dan pengaruhnya berkembang ke Palawan, Mindanao, Laut Sulu serta pantai timur Sabah (Majul, 1973). Sejak abad ke-16 hingga ke-18, Sulu menguasai perdagangan mutiara, hasil laut, dan barangan import dari pedagang asing, menjadikannya sebuah kuasa maritim penting di rantau ini (Warren, 1981).

Pada abad ke-17, pengaruh Kesultanan Sulu meluas ke sebahagian besar pantai timur Sabah seperti Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau. Kawasan tersebut diperoleh melalui perjanjian dengan Kesultanan Brunei, apabila Sultan Brunei menyerahkan sebahagian wilayah pantai timur Sabah kepada Sultan Sulu sebagai tanda terima kasih kerana membantu menumpaskan pemberontakan dalam negeri (Warren, 1981). Hal ini menjadikan Sabah sebahagian daripada kawasan taklukan dan jajahan takluk Kesultanan Sulu.

Hubungan Awal dengan Kesultanan Brunei


Peta menunjukkan k
eluasan wilayah maksimum Empayar Brunei (kuning) 
dengan vassalnya (kuning muda) pada tahun 1521.
Sumber: Wikipedia, Delirium333 based on  The Early Brunei Conquests by Rozan Yunos and A History of Brunei by Graham Saunders
Kesultanan Brunei lebih awal berkembang sebagai empayar besar di Borneo. Pada abad ke-15 dan 16, Brunei menguasai hampir seluruh wilayah pesisir Borneo termasuk Sabah, Sarawak, serta kawasan di Filipina. Hubungan dengan Sulu terjalin melalui perdagangan maritim, ikatan diplomasi, serta perkahwinan diraja. Kedua-dua kerajaan Islam ini saling menyokong dalam memperkukuh pengaruh mereka di Nusantara, khususnya berhadapan dengan cabaran kuasa luar seperti Sepanyol dan Belanda (Tarling, 1978).

Konflik Dalaman Brunei dan Campur Tangan Sulu

Ilustrasi menunjukkan peristiwa Perang Kastila pada 16 April - 26 Jun 1578 melibatkan penjajah Sepanyol dengan gabungan Kesultanan Brnei, Kesultanan Sulu dan Kesultanan Maguindanao.
Sumber: Rozan Yunos but upscaled by Syazwi Irfan, https://sitbatan.blogspot.com/2013/02/spain-philippines-and-brunei-connection.html but upscaled with https://www.upscale.media/

Peristiwa paling penting yang mengaitkan Brunei dengan Sulu berlaku pada abad ke-17. Ketika itu, Brunei dilanda perang saudara antara Sultan Abdul Hakkul Mubin dan Muhyiddin akibat perebutan takhta. Dalam keadaan terdesak,  Dalam keadaan terdesak, Raja Muhyiddin telah meminta bantuan luar bagi mengukuhkan kedudukannya. Ketika inilah beliau menghubungi Kesultanan Sulu yang berpengaruh di bahagian selatan Filipina. Sultan Sulu pada ketika itu ialah Sultan Salahud-Din Bakhtiar (1648–1680), atau lebih dikenali sebagai Sultan Salah ud-Din Karamat, Sultan Sulu yang ke-10 (Majul, 1973).     Muhyiddin meminta bantuan tentera daripada Kesultanan Sulu dengan janji menyerahkan sebahagian wilayah di pantai timur Sabah sebagai balasan (Tregonning, 1965).

Sultan Sulu menghantar angkatan laut membantu Muhyiddin. Gabungan ini berjaya menewaskan Abdul Hakkul Mubin dalam peperangan besar di Pulau Chermin, lalu Muhyiddin menaiki takhta sebagai Sultan Brunei. Benarlah janji, sebahagian pantai timur Sabah — dari Paitan, Sandakan, Lahad Datu, Semporna hingga ke Tawau — diserahkan kepada Kesultanan Sulu (Majul, 1973).

Peristiwa ini mempunyai kesan besar menyebabkan Sabah kini terbahagi kepada dua pengaruh – barat laut masih dalam kekuasaan Brunei, manakala pantai timur di bawah Sulu. Penyerahan ini juga menjadi asas utama tuntutan Sulu ke atas Sabah sehingga zaman moden. Dari segi perdagangan, Sulu menguasai laluan maritim strategik di Laut Sulu dan pantai timur Borneo.

Namun, sebahagian sejarawan berpendapat bahawa penyerahan tersebut tidak jelas bentuknya sama ada penyerahan kedaulatan penuh atau sekadar pengaruh dan hak perlindungan. Walau bagaimanapun, tradisi sejarah Sulu menegaskan ia adalah hak milik mutlak (Leake, 1995).

Perjanjian dengan Kuasa Asing dan Status Sabah

Gambar menunjukkan W. C. Cowie, pengarah urusan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB), bersama Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II (1899).
Sumber: Wikipedia, Dr. Johnstone; A.J. West (Officers of the Company), British North Borneo Chartered Company: Views of British North Borneo, Printed by W. Brown & co., limited, London, 1899

Selepas era Brunei dan Sulu, campur tangan kuasa Eropah mengubah peta politik Sabah. Pengaruh kuasa asing mula mempengaruhi status Sabah melalui beberapa siri perjanjian antarabangsa. Pada tahun 1878, Sultan Sulu menandatangani perjanjian dengan Baron von Overbeck dan Alfred Dent dari British North Borneo Company. Namun, berlaku tafsiran berbeza: pihak British menganggap perjanjian itu bermaksud “grant and cede” (penyerahan penuh), manakala pihak Sulu berpendapat ia hanyalah “lease” (penyewaan wilayah) (Tregonning, 1965).

Seterusnya, melalui Perjanjian Madrid 1885, Sepanyol mengakui kekuasaan Britain di Sabah dan mengehadkan kepentingannya di Kepulauan Sulu sahaja. Selepas Perang Dunia Kedua, Sabah menjadi tanah jajahan Crown Colony British (1946), sebelum akhirnya menyertai Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 berdasarkan referendum penduduk (Singh, 2011).

Tuntutan Sulu terhadap Sabah

Kiri: Peta menunjukkan Peta Borneo Utara British dengan kawasan kuning meliputi tuntutan Filipina ke atas Sabah timur, dibentangkan oleh Kerajaan Filipina kepada ICJ pada 25 Jun 2001 Sumber: Wikipedia, http://www.idfr.gov.my/images/stories/publication/2009/inside_pbp.pdf

Kanan: Salinan Surat Bayaran tahunan "Cession Money" oleh Kedutaan Malaysia kepada waris Kesultanan Sulu. Sumber: Wikipedia, Sultanate of Sulu, Malaysian Lease Payment for Sabah for 2003

Meskipun Sabah kini diiktiraf antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia, waris Sultan Sulu terus menuntut hak ke atas Sabah berdasarkan dua asas iaitu Penyerahan Pantai Timur Sabah oleh Brunei pada abad ke-17 dan Perjanjian 1878 yang ditafsir oleh mereka sebagai perjanjian sewa, bukan penyerahan.

Gambar kiri menunjukkan Penandatanganan Laporan Cobbold Suruhanjaya Siasatan, Borneo Utara dan Sarawak, di Knebworth House, London pada 21 Jun 1962. Suruhanjaya itu terdiri daripada lima ahli, dan dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas gabenor Bank of England. Ahli-ahlinya yang lain ialah Dato' Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie, mewakili kerajaan Malaya, Sir Anthony Abell, dan Sir David Watherston, wakil kerajaan British. Encik H. Harris bertindak sebagai Setiausaha.
Sumber: Wikipedia, British Government, https://en.wikipedia.org/wiki/Crown_copyright

Gambar kanan: Laporan yang mengandungi rekod Suruhanjaya Siasatan di Borneo Utara dan Sarawak Berkenaan Persekutuan Malaysia (Suruhanjaya Cobbold) yang terdiri daripada minit dan kertas. Ia dibahagikan lagi kepada bahagian Borneo Utara dan Sarawak yang terdiri terutamanya daripada kertas penyerahan.
Sumber: Commission of Enquiry in North Borneo and Sarawak Regarding Malaysian Federation, 1961-1962, Original source at National Archives, Kew, London

Malaysia menolak tuntutan ini dengan alasan bahawa Sabah memilih menyertai Malaysia melalui proses demokratik (Cobbold Commission) dan kedaulatannya telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Kaur, 2022).

Warisan Kesultanan Sulu di Sabah

Masyarakat Sulu/Suluk/Tausug di Sabah

Kehadiran Kesultanan Sulu di Sabah telah meninggalkan warisan sejarah, budaya dan sosial yang masih dapat dilihat hingga hari ini. Walaupun Sabah kini berada di bawah pentadbiran Malaysia, jejak pengaruh Kesultanan Sulu tidak dapat dipisahkan daripada identiti masyarakat di negeri ini. Warisan tersebut boleh ditelusuri melalui kewujudan komuniti etnik, sistem pentadbiran, budaya, bahasa, keturunan diraja, serta tuntutan sejarah yang masih berlarutan.

Pertama, kewujudan masyarakat Tausug atau Suluk di Sabah menjadi bukti paling nyata warisan Kesultanan Sulu. Komuniti ini banyak menetap di kawasan pantai timur Sabah seperti Semporna, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau. Sejak abad ke-15 lagi, orang-orang Sulu telah berhijrah ke Sabah untuk berdagang dan berinteraksi dengan masyarakat tempatan, sebelum bertambah ramai selepas abad ke-17 apabila pantai timur Sabah diserahkan oleh Brunei kepada Kesultanan Sulu. Hingga hari ini, komuniti Tausug masih mengekalkan bahasa, adat dan identiti mereka (Majul, 1973; Sather, 1997).

Selain itu, pengaruh Kesultanan Sulu turut dapat dilihat melalui aspek politik dan pentadbiran sejarah. Setelah menerima wilayah timur Sabah daripada Brunei sekitar tahun 1658, Kesultanan Sulu menempatkan pembesar dan ketua tempatan untuk mentadbir kawasan tersebut. Daerah seperti Sandakan dan Semporna pernah menjadi pusat pentadbiran kecil di bawah naungan Sulu. Walaupun kini Sabah sudah menjadi sebahagian daripada Malaysia, catatan sejarah mengenai peranan Sulu tetap menjadi bahagian penting dalam identiti sejarah negeri ini (Tregonning, 1965).

Dari segi budaya dan adat resam, masyarakat Sulu di Sabah masih mengekalkan pelbagai unsur tradisi. Antaranya ialah tarian Pangalay, iaitu tarian tradisional Sulu yang dipersembahkan dalam majlis keramaian, serta penggunaan senjata tradisional seperti barung dan kris yang menjadi lambang identiti mereka. Adat perkahwinan Tausug juga masih diamalkan, lengkap dengan muzik tradisional seperti kulintangan dan gabbang. Semua unsur ini membuktikan bahawa warisan Kesultanan Sulu masih hidup dalam masyarakat Suluk di Sabah (Sather, 1997).

Selain itu, bahasa Tausug juga merupakan bukti penting warisan Sulu. Bahasa ini masih dituturkan secara meluas dalam kalangan masyarakat Suluk, khususnya di kawasan pesisir timur Sabah. Bahkan, di sesetengah kawasan, bahasa ini digunakan sebagai bahasa perdagangan antara komuniti Bajau, Bugis, dan Suluk. Keberadaan bahasa ini menunjukkan kesinambungan warisan linguistik Kesultanan Sulu yang masih bertahan hingga kini (Warren, 1981).

Satu lagi bukti warisan ialah keberadaan silsilah dan keturunan Sultan Sulu yang masih menetap di Sabah. Sejak abad ke-18 dan ke-19, sebahagian daripada keluarga diraja Sulu telah berhijrah dan bermastautin di daerah-daerah seperti Sandakan dan Lahad Datu. Kehadiran mereka bukan sahaja menghubungkan masyarakat Sabah dengan sejarah panjang Kesultanan Sulu, tetapi juga menjadi sebahagian daripada identiti sejarah negeri ini (Kaur, 2022).

Pejuang-Pejuang Sabah Berketurunan Sulu

Sejarah Sabah tidak dapat dipisahkan daripada peranan masyarakat berketurunan Sulu (Tausug/Suluk) yang telah lama menetap di kawasan pesisir pantai timur negeri tersebut. Selain meninggalkan kesan dalam aspek budaya dan sosial, mereka juga melahirkan tokoh-tokoh penting yang berjuang menentang penjajahan dan memperjuangkan kemerdekaan Sabah. Antara tokoh berketurunan Sulu yang paling menonjol ialah Datu Paduka Mat Salleh, Sharif Osman dan Tun Datu Mustapha bin Datu Harun.

Illustrasi gambar Datu Paduka Mat Salleh. Sumber: Jabatan Arkib Negara

Tokoh pertama ialah Datu Paduka Mat Salleh (1850–1900), yang dikenali sebagai pejuang anti-penjajah paling berpengaruh dalam sejarah Sabah. Mat Salleh dilahirkan di Inanam, Kota Kinabalu dan merupakan keturunan campuran Bajau-Suluk melalui ibunya (Tregonning, 1965). Beliau memimpin penentangan bersenjata terhadap Syarikat Borneo Utara British (SBUB) antara tahun 1894 hingga 1900, terutamanya di Tambunan dan Tempasuk. Penentangan Mat Salleh berpunca daripada ketidakpuasan hati terhadap dasar cukai yang menindas serta campur tangan British dalam adat resam tempatan. Walaupun beliau gugur dalam pertempuran di Tambunan pada tahun 1900, perjuangannya dikenang sebagai simbol keberanian masyarakat tempatan menentang penjajahan (Kaur, 1984).

Ilustrasi gambar seorang Ketua Sulu yang berkemungkinan besar Syarif Osman yang disalah tafsir sebagai Ketua Melayu (1845). 
Sumber: Wikipedia, Framk Marryat, https://blog.nus.edu.sg/linus/2023/05/03/borneo-and-the-indian-archipelago-with-drawings-of-costume-and-scenery/comment-page-1/
Selain Mat Salleh, seorang lagi tokoh berketurunan Sulu ialah Sharif Osman, seorang pemimpin tempatan dan syahbandar di Sandakan pada abad ke-19. Beliau berasal daripada keluarga bangsawan Sulu dan berperanan penting dalam perdagangan di pantai timur Sabah. Sharif Osman menentang perluasan kuasa British kerana ia menjejaskan pengaruh politik dan ekonomi orang Sulu di kawasan tersebut. Walaupun peranannya tidak seterkenal Mat Salleh, beliau tetap dianggap sebagai sebahagian daripada kesinambungan perjuangan masyarakat Sulu dalam mempertahankan hak mereka daripada dominasi penjajah (Warren, 1981).
Alahhyarham Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Datu Mustapha Datu Harun
SMN, SPDK, SIMP, PNBS, SPMJ, SPMS, SPMP, SPCM, KCRL (Lubnan), KVO, OBE (England). Yang di-Pertua Negara Sabah pertama (16 September 1963-16September 1968)
Sumber: Wikipedia, https://www.iloveborneo.my/perjuangan-mustapha-bin-harun-sabah-dijajah/?utm_medium=organic&utm_source=yandexsmartcamera

Tokoh ketiga ialah Tun Datu Mustapha bin Datu Harun (1918–1995), seorang pemimpin politik moden Sabah yang juga berasal daripada keturunan bangsawan Suluk. Dilahirkan di Kudat, beliau muncul sebagai tokoh utama dalam perjuangan kemerdekaan Sabah. Tun Mustapha merupakan pengasas United Sabah National Organisation (USNO) dan memainkan peranan besar membawa Sabah menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 (Singh, 2011). Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah pada tahun 1967 hingga 1975. Peranannya bukan sahaja terbatas kepada politik, tetapi juga dalam memperkukuh kedudukan Islam di Sabah melalui dasar pembangunan dan dakwah (Kaur, 1984). Oleh itu, jika Mat Salleh dikenang sebagai pejuang bersenjata anti-penjajah, Tun Mustapha pula dikenang sebagai pejuang politik yang memperjuangkan kemerdekaan dan kemajuan Sabah.


Kesimpulan

Sejarah hubungan Kesultanan Sulu dengan Sabah merupakan sebuah naratif yang kaya dengan dinamika politik, migrasi, budaya, dan perjuangan. Sebelum kehadiran rasmi Kesultanan Sulu di Sabah, masyarakat Suluk bersama kelompok maritim Nusantara telah pun berhubung dengan kawasan pesisir pantai timur Sabah melalui perdagangan, perikanan, dan perantauan. Kedatangan dan pengaruh Kesultanan Sulu kemudiannya memperkukuh kehadiran tersebut, terutama selepas abad ke-17 apabila Kesultanan Brunei menyerahkan sebahagian wilayah di pantai timur Sabah kepada Sulu. Peristiwa ini menandakan bahawa Sabah bukan sahaja ruang geografi, tetapi juga menjadi titik pertemuan dan interaksi antara dua kuasa besar di rantau ini.

Bukti warisan Kesultanan Sulu di Sabah dapat dilihat dalam pelbagai aspek. Kehadiran masyarakat Suluk yang menetap secara turun-temurun di daerah-daerah seperti Semporna, Lahad Datu, Sandakan, dan Tawau menunjukkan kesinambungan sejarah yang hidup sehingga kini. Selain itu, budaya dan adat resam seperti bahasa, muzik tradisional kulintangan, tarian, serta sistem sosial masih menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat setempat. Di samping itu, tokoh-tokoh sejarah seperti Sharif Osman di Marudu dan Mat Salleh, yang dikaitkan dengan keturunan Sulu, memperlihatkan bagaimana perjuangan mereka mewarnai sejarah Sabah. Tidak ketinggalan, tokoh moden seperti Tun Datu Mustapha Datu Harun, seorang pemimpin berketurunan Suluk, turut berjasa besar dalam sejarah pembentukan Malaysia dan perjuangan politik di Sabah.

Meskipun potret autentik tokoh-tokoh seperti Sharif Osman tidak pernah ditemui, warisan mereka tetap hidup melalui makam, tradisi lisan, dan catatan kolonial. Hal ini membuktikan bahawa warisan Kesultanan Sulu bukan sahaja terikat pada dokumen visual, tetapi juga tertanam dalam ingatan kolektif masyarakat dan dalam identiti budaya yang diwarisi. Hubungan antara Kesultanan Sulu dan Brunei juga mencerminkan sifat geopolitik rantau ini, di mana Sabah menjadi ruang interaksi, konflik, dan akhirnya pembentukan sebuah masyarakat majmuk yang kaya dengan identiti.

Kesultanan Sulu bukan sekadar meninggalkan jejak politik, tetapi juga membentuk identiti budaya yang kekal hidup dalam kalangan masyarakat Suluk, Bajau, dan komuniti maritim di Sabah. Warisan ini adalah sebahagian daripada sejarah besar Sabah yang melibatkan interaksi dengan kuasa serantau dan penjajah, serta perjuangan mempertahankan maruah dan kedaulatan bangsa.

Sebagai seorang guru dan penulis blog berbangsa Bajau Suluk, penulisan ini adalah bentuk penghargaan kecil saya kepada sejarah dan leluhur yang telah berjuang mempertahankan maruah bangsa. Setiap penelitian dan penulisan tentang Kesultanan Sulu bukan sekadar usaha akademik, tetapi juga satu amanah untuk memastikan generasi akan datang memahami akar identiti mereka. Seperti pepatah Suluk menyebut: “In pagtuunan in manga tihi, in manga anak mamagsukul” – jika yang tua menjadi teladan, maka yang muda akan berilmu. Dengan pena dan kata, saya berharap warisan ini akan terus hidup, bukan sahaja dalam buku dan arkib, tetapi juga dalam hati setiap anak bangsa yang mencintai sejarahnya.


Rujukan

  • Kaur, A. (2022). Sabah and the Sulu Claim: A Historical and Legal Perspective. Journal of Southeast Asian Studies.
  • Leake, D. (1995). The History of Brunei. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Majul, C. A. (1973). Muslims in the Philippines. Quezon City: University of the Philippines Press.
  • Sather, C. (1997). The Bajau Laut: Adaptation, History, and Fate in a Maritime Fishing Society of South-Eastern Sabah. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
  • Singh, B. (2011). Malaysia’s Foreign Policy: Issues and Perspectives. Singapore: NUS Press.
  • Tarling, N. (1978). Britain, the Brookes and Brunei. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
  • Tregonning, K. G. (1965). A History of Modern Sabah (North Borneo, 1881–1963). Singapore: University of Malaya Press.
  • Warren, J. F. (1981). The Sulu Zone, 1768–1898: The Dynamics of External Trade, Slavery, and Ethnicity in the Transformation of a Southeast Asian Maritime State. Singapore: Singapore University Press.


1 comment: