Tuesday, 30 September 2025

SEJARAH ASAL USUL NEGERI SABAH, MALAYSIA

 



Asal-usul Nama Sabah

Asal-usul nama Sabah merupakan salah satu aspek penting dalam sejarah negeri tersebut kerana ia melambangkan identiti dan keunikan wilayah Borneo Utara sebelum dan selepas penjajahan. Walaupun wujud beberapa teori tentang punca nama Sabah, kesemuanya menggambarkan kaitan rapat antara alam sekitar, bahasa tempatan, pengaruh politik, dan catatan kolonial.

Pisang Saba, buah pisang yang popular untuk dibuat 'pisang goreng'

Salah satu teori paling popular menyatakan bahawa nama Sabah berasal daripada sejenis pokok pisang yang dikenali sebagai Pisang Saba. Pokok ini banyak tumbuh di sepanjang kawasan pantai barat Sabah, khususnya di sekitar Sungai Brunei hingga ke Pantai Mengkabong. Masyarakat tempatan ketika itu menamakan kawasan tersebut sebagai Negeri Saba(h) bersempena dengan kewujudan tumbuhan yang menjadi sumber makanan penting. Hingga kini, Pisang Saba masih digunakan dalam kehidupan seharian, termasuk sebagai bahan makanan tradisional di Borneo dan Filipina (Hashim, 2010).


Sabah ketika di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei yang terletak di hulu atau arah utara.

Selain itu, terdapat teori lain yang berpunca daripada bahasa tempatan. Dalam bahasa Melayu Brunei, perkataan saba bermaksud hulu atau arah utara. Oleh kerana negeri ini terletak di bahagian utara Pulau Borneo, kemungkinan besar masyarakat Brunei ketika itu menamakan wilayah ini sebagai Sabah. Hal ini memperlihatkan bagaimana faktor geografi turut mempengaruhi pembentukan nama negeri (Sabah Museum & Archives, 2002).


Sabah, 'North Borneo'

Di samping itu, dokumen kolonial turut mengukuhkan penggunaan nama Sabah. Ketika Syarikat Borneo Utara British (North Borneo Chartered Company) mengambil alih pentadbiran pada tahun 1881, pihak British mengekalkan penggunaan nama tempatan ini, walaupun mereka memperkenalkan istilah “North Borneo” atau Borneo Utara sebagai nama rasmi pentadbiran. Namun, selepas Sabah merdeka melalui Malaysia pada 16 September 1963, nama Sabah dikekalkan sebagai identiti rasmi negeri, menandakan kesinambungan warisan sejarahnya (Tregonning, 1965).


Sabah, Negeri di bawah bayu (Land below the wind)

Selain faktor botani, linguistik, dan kolonial, wujud juga cerita lisan masyarakat tempatan yang mengaitkan nama Sabah dengan konsep “tanah di bawah angin”. Istilah ini merujuk kepada kedudukan Sabah yang selamat daripada ancaman taufan besar yang sering melanda Filipina. Ungkapan ini bersesuaian dengan sebutan para pelaut asing yang mengenali Borneo Utara sebagai land below the wind, iaitu tanah di bawah angin kencang. Walaupun teori ini lebih bersifat legenda, ia menggambarkan kedudukan strategik Sabah dalam laluan perdagangan serantau.

Secara keseluruhannya, terdapat pelbagai versi asal-usul nama Sabah, namun teori yang paling kukuh dan sering dirujuk adalah yang berkaitan dengan pokok Pisang Saba. Walau bagaimanapun, faktor bahasa Brunei, pengaruh kolonial British, dan tradisi lisan masyarakat tempatan turut memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan nama tersebut. Hakikatnya, nama Sabah bukan sahaja mencerminkan ciri alam dan budaya masyarakat setempat, tetapi juga mengekalkan identiti sejarah negeri ini hingga ke hari ini.


📚 Sumber Rujukan

  1. Tregonning, K.G. (1965). A History of Modern Sabah, 1881–1963. Kuala Lumpur: University of Malaya Press.

  2. Hashim, Zainal Abidin. (2010). Sejarah Negeri Sabah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

  3. Sabah Museum & Archives. (2002). Origin of the Name Sabah. Journal of Sabah History.


Saturday, 30 August 2025

SEJARAH MALAYSIA (1800-2000): 3.5.3 Hubungan Luar

Nilaikan sumbangan Tun Razak dalam menjayakan dasar luar Malaysia dari tahun 1971 hingga tahun 1976.

  • Pengenalan
    • Tun Abdul Razak lahir pada 11 Mac 1922 di sebuah perkampungan kecil yang terletak di Pulau Keladi, iaitu di Pekan Pahang. 
    • Merupakan anak sulung kepada Orang Kaya Indera Shahbandar Dato’ Hussein bin Mohd. Taib, salah seorang daripada empat pembesar Diraja Pahang yang mempunyai hubungan erat dengan Istana Pahang.
    • Tun Abdul Razak mendapat pendidikan rendah di sekolah Melayu Kampung Jambul, Langgar, kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar dan pada tahun 1940, melanjutkan pelajarannya ke Raffles College, Singapura.
    • Tun terpaksa menamatkan pelajaran apabila Jepun menyerang Tanah Melayu dan setelah Jepun menyerah kalah, kerajaan British memberi biasiswa kepada Tun untuk menuntut di Lincoln's Inn, London, England.
    • Tun dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia Kedua menggantikan Tunku Abdul Rahman pada 22 September 1970 sehingga tahun 1976 dan memperlihatkan perubahan dalam mejayakan dasar luar Malaysia.
  • Politik : ASEAN
    • Keperibadian Tun Abdul Razak yang mementingkan kerjasama antara negara-negara tetangga atau jiran jelas terlihat dengan penyertaan aktif Malaysia dalam pertubuhan serantau ASEAN.
    • Tun telah menghadiri Persidangan Kemuncak Negara-negara Berkecuali di Lukasa, Zambia pada bulan Disember 1970.
    • Dalam persidangan tersebut, Tun menegaskan hasrat Malaysia menjadikan seluruh rantau Asia Tenggara sebagai kawasan berkecuali yang dijamin oleh kuasa besar seperti China, Rusia dan Amerika Syarikat.
    • Idea Tun menjadi kenyataan apabila dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur pada bulan November 1971, satu deklarasi bersama telah ditandatangani oleh semua negara anggota iaitu Deklarasi Kuala Lumpur.
    • Semua negara anggota bersepakart mengisytiharkan negara-negara ASEAN sebagai zon aman, bebas dan berkecuali atau ZOPFAN.
  • Politik: Diplomasi Pan-Islam
    • Diplomasi Pan-Islam juga bersesuaian dengan gaya dasar luar Tun Abdul Razak iaitu solidariti Islam yang membawa maksud menyokong penuh segala pertubuhan-pertubuhan negara Islam di peringkat antarabangsa. 
    • Sebagai contoh, Malaysia telah menyatakan sokongan terhadap negara-negara Arab dan Palestin dalam mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan yang wujud. 
    • Sokongan ini dapat dilihat apabila Malaysia menjadi tuan rumah Konferensi Kelima Menteri-Menteri Luar Islam yang diadakan di Kuala Lumpur pada 21 hingga 25 Jun 1974.
    • Rentetan daripada persidangan tersebut, Malaysia menjadi semakin aktif dalam setiap persidangan yang berlaku dalam kalangan negara Islam.
    • Bukan itu sahaja Malaysia turut memainkan peranan aktif dan penting dalam Organization of Islamic Conference (OIC).
  • Politik: Lawatan ke China
    • Tun mengalihkan perhatiannya kepada negara China kerana tidak mungkin akan menjamin konsep ZOPFAN jika Malaysia tidak mengiktiraf  kewujudan negara China.
    • Dalam kemelut menangani ancaman pengganas komunis, Tun Abdul Razak berkesempatan melangkahkan kakinya ke Republik Rakyat China sebagai pemimpin Asia Tenggara yang pertama merintis hubungan diplomatik dengan negara komunis itu pada 28 Mei 1974.
    • Beberapa perbincangan dilakukan semasa pertemuan Tun Abdul Razak bersama Perdana Menteri China, Chou En Lai, malah Tun juga turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Mao Tse-tung  (Mao Zedong) serta membuat rundingan selama selama satu setengah jam bersama pemimpin besar China itu.
    • Dalam lawatan berkenaan, enam deklarasi dicapai kedua-dua pihak menerusi satu kenyataan bersama yang ditandatangani pada 31 Mei 1974.
    • Antaranya, persetujuan menubuhkan hubungan diplomatik dan menjadikan Malaysia negara Asean pertama mewujudkan hubungan diplomatik dengan China.
  • Ekonomi
    • Objektif dasar luar ekonomi bersifat global dengan cara menyokong dan memastikan tujuan pertubuhan disertai itu tercapai. 
    • Hal ini terbukti apabila Malaysia menggunakan pendekatan proaktif melalui pengalibatan yang berkesinambungan di dalam aktiviti badan dan pertubuhan antarabangsa.
    • Antaranya International Tin Organization (ITC), General Agreement on Tariff and Trade (GATT), United Nations Confrence on Trade and Development (UNCTAD), International Monetary Fund (IMF), United Nation Economic and Social Council (ECOSOC) dan Asian Development Bank (ADB).
    • Bagi memastikan kejayaan bagi pencapaian objektif tersebut beberapa strategi telah dilakukan dan diaplikasikan.seperti  memberikan tumpuan yang lebih terhadap industri-industri yang berpotensi untuk memajukan ekonomi negara dengan meningkatkan pendapatan dengan menggalakkan beberapa jenis pelaburan asing.
    • Ini membuktikan berlakunya orientasi dasar luar ekonomi semasa era pemerintahan Tun Abdul Razak.
  • Pertahanan
    • Dari aspek pertahanan pula, Tun Abdul Razak telah menjalankan perubahan yang drastik dengan menamatkan dasar pro-Barat dan antikomunis yang keterlaluan ke arah dasar yang berkecuali.
    • Tun Abdul Razak bukan sahaja memperjuangkan konsep pengecualian atau berkecuali bagi negara Malaysia, namun beliau juga turut memperjuangkan konsep ini di dalam dasar luar ASEAN.
    • Ketika Amerika Syarikat dan UniSoviet mengurangkan ketegangan hubungan dibawah konsep Détente, Malaysia mengambil langkah untuk berkecuali dan bersahabat dengan semua negara.
    • Five Power Defence Arrangement (FIDA) yang ditubuhkan mengikat Malaysia, Singapura, Britain, New Zealand dan Australia dalam kerjasama ketenteraan dan telah memenuhi kelayakan sebagai sebuah negara yang berkecuali dari sebarang konfrontasi antarabangsa.
    • Tun Abdul Razak telah memperkenalkan dasar Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN)  semasa Persidangan Kemuncak Negara-negara berkecuali di Lusaka pada 8 hinnga 10 September 1970 yang membuktikan pembaharuan semasa era pemerintahan Tun Abdul Razak dalam dasar luar Malaysia.

  • Kesimpulan
    • Sumbangan Tun Razak dalam menjayakan dasar luar Malaysia dari tahun 1971 hingga tahun 1976 sememangnya tidak dapat dinafikan.
    • Dasar luar yang dilaksanakan oleh Tun Abdul Razak telah memberi kesan kepada pembangunan Malaysia sehingga digelar Bapa Pembangunan Negara.
    • Tun Abdul Razak menghembuskan nafas yang terakhir apda 14 Januari 1974 di London akibat penyakit leukemia dan telah dimakamkan di Makam Pahlawan, Kuala Lumpur.
    • Jelaslah bahawa sumbangan dasar-dasar luar Tun Abdul Razak telah membawa angin perubahan kepada pembangunan rantau ASEAN dan negara Malaysia.


      Selamat Hari Malaysia  

Sunday, 27 July 2025

SEJARAH MALAYSIA (1800-2000): 2.1.2 Sistem Pendidikan

 7. Jelaskan perkembangan sistem pendidikan vernakular di Malaysia sehingga Perang Dunia Kedua.


  • Pendahuluan:
    • Secara amnya, tidak terdapat sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia sehingga Perang Dunia Kedua.
    • Dasar British yang kurang memberi perhatian kepada bidang pendidikan telah membawa kepada pengenalan sistem pendidikan vernakular.
    • Lima aliran sekolah yang berbeza telah wujud semasa penjajahan British iaitu sekolah agama Islam, sekolah vernakular Melayu, Cina, Tamil dan aliran Inggeris.
    • Kesannya, wujud perbezaan politik, ekonomi dan sosial sehingga perpaduan kaum terhalang akibat terpisah apabila setiap kaum menghantar anak-anak mereka berlajar di sekolah yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
    • Setiap kaum mengikut kebudayaan masing-masing dan tiada wujud bahasa kebangsaan yang boleh menyatukan semua kaum.
  • Sekolah Agama Islam
    • sebelum penjajahan British, kanak-kanak Melayu mendapat pendidikan di surau, masjid, dan sekolah pondok.
    • Kurikulumnya ialah membaca dan memhami al-Quran, mempelajari bahasa Arab, hukum-hukum agama serta kemahiran membaca, menulis dan mengira.
    • Sistem pendidikan pondok atau madrasah menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih teratur.
    • Antara ciri-ciri sistem pendidikan pondok ialah penekanan kepada keagamaan, lulusan akan bakal berkhidmat sebagai guru agama dan tempoh pengajian selama 10 tahun.
    • Antara ciri-ciri pendidikan madrasah pula ialah sukatan pelajaran ditetapkan, kelas mengikut tahap, sistem diawasi oleh mudir atau guru besar dan terdapat sebuah lembaga dan jawatankuasa kewangan yang menyelia perjalanan madrasah.
  • Sekolah Vernakular Melayu
    • Semasa pentadbiran British, sekolah Melayu didirikan untuk memberi pendidikan sekular kepada anak-anak petani dan nelayan.
    • Anak-anak Melayu diajar menulis, membaca, dan mengira serta sedikit ilmu geografi, seni pertukangan, dan perkebunan.
    • Sekolah Melayu hanya memberikan pendidikan rendah sehingga darjah enam. Walaupun sekolah ini percuma, tetapi kehadiran pelajar adalah tidak menggalakkan.
    • Sekolah Melayu yang terawal dibuka di Negeri-negeri Selat iaitu Sekolah Melayu Gelugor dan Sekolah Melayu Bayan Lepas di Pulau Pinang.
    • Sekolah-seskolah yang didirikan khas bagi orang Melayu kurang mendapat sokongan kerana syak wasangka ibu bapa, tiada pengajaran al-Quran dan lokasi yang jauh.
  • Sekolah Vernakular Cina
    • Pendidikan Cina di Tanah Melayu sehingga abad ke-20 adalah berasaskan pengetahuan klasik Confucius.
    • Sekolah-sekolah Cina menekankan kaedah pembelajaran secara menghafal, mendeklmasi teks Confucius atau klasik Cina tanpa memahami maknanya.
    • Sekolah CIna menggunakan dialek masing-masing sebagai bahasa pengantar manakala guru, sukatan pelajaran, dan buku dibawa dari Negara Cina.
    • Sekolah Cina menyediakan pelajaran rendah selama enam tahun  dan sehingga tahap Menengah Atas  Tuga atau Sekolah Tunggi.
    • Bagi yang ingin melanjutkan pelajaran, mereka harus pergi ke Negara Chin.
  • Sekolah Vernakular Tamil
    • British tidak mengambil berat tentang pendidikan orang India dan dimulakan secara formal di Tanah Melayu oleh orang perseorangan dan pertubuhan masyarakat India.
    • Perkembangan sekolah vernakular Tamil dipengaruhi oleh perkembangan ekonomi di Tanah Melayu seperti di kawasan ladang di Seberang Perai, Pulau Pinang dan Johor.
    • Sekolah-sekolah di ladang bermutu rendah dan menghadapi masalah kekurangan kemudahan dan guru yang berkelayakan.
    • Bahasa pengantar yang digunakan ialah bahasa Tamil dan kadangkala bahasa Telegu, Malayalam, Punjabi atau Hindi.
    • Pada tahun 1912, British memperkenalkan Undang-undang Buruh yang mewajibkan pengusaha ladang menyediakan sekolah dan guru untuk anak-anak pekerjanya.
  • Sekolah Aliran Inggeris
    • Sekolah Inggeris menyediakan pelajaran bagi semua kaum di Tanah Melayu dan diusahakan oleh mubaligh Kristian dan badan-badan awam.
    • Tujuan kerajaan mengadakan sekolah Inggeris adalah supaya penduduk tahu membaca, menulis dan mengira.
    • Sekolah Inggeris yang pertama didirikan di Negeri-negeri Selat digelar Free School  kerana dibuka secara percuma kepada semua kaum seperti Penang Free School.
    • Dibahagikan kepada sekolah perempuan dan sekolah lelaki seperti Sekolah Perempuan Methodist Senior, Kuala Lumpur dan Sekolah Lelaki Katolik di Pulau Pinang.
    • Sukatan pelajaran berdasarkan sukatan di England dan mata pelajaran seperti bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Matematik Permulaan, Ilmu Kesihatan dan Ilmu Alam.
  • Kesimpulan
    • Sistem pendidikan zaman penjajah British bersifat terpisah apabila setiap kaum menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
    • Kerajaan British pada awalnya tidak berniatpun memajukan bidang pendidikan semasa memerintah Tanah Melayu. 
    • Ramai pegawai British berpendapat pendidikan untuk orang Melayu tidak mendatangkan faedah dan akan menimbulkan kesedaran untuk menentang kerajaan. British kelak.
    • Walaubagaimanapun, atas desakan pembesar Melayu iaitu Sultan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, pihak pemerintah British merasakan ada baiknya memberikan pendidikan setakat pendidikan rendah untuk orang Melayu. 
    • Oleh yang demikian, kerajaan British telah membina secara beransur-ansur sekolah rendah vernakular Melayu sejak pertengahan abad ke-19 sehinggalah berlaku Perang Dunia Kedua.

Saturday, 21 June 2025

SEJARAH MALAYSIA (1800-2000): 1.2.1 Peranan Pembesar di Tanah Melayu




6. Bincangkan peranan pembesar di Tanah Melayu sebelum campur tangan British. [20 markah]

Jawapan:
  • Pendahuluan:
    • Pembesar menduduki lapisan kedua dalam hierarki masyarakat Melayu dan merupakan individu yang dilantik raja/sultan  bagi melaksanakan tugas-tugas pentadbiran.
    • Di Neger-negeri Melayu, sistem pembesar menggunakan Sistem Pembesar Empat Lipatan kecuali Negeri Sembilan menggunakan Sistem Undang.
    • Pembesar dilantik oleh raja atau sultan mengikut warisan atau pencapaian dan menerima surat tauliah yang berciop mohor.
    • Pembesar berperanan menjamin kestabilan, keselamatan dan kemakmuran kerajaan dan masyarakat.
    • Setiap pembesar mempunyai tanggtngjawab dan peranan yang sama meliputi bidang politik, sosial, ekonomi, sosial dan sebagainya.
  • Isi Politik: Menjalankan jentera pentadbiran negara
    • Peranan utama pembesar ialah sebagai penggerak jentera pentadbiran negara dengan berkesan.
    • Pembesar menjadi orang terpenting di belakang raja atau sultan  dalam mengendalikan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah kerajaan.
    • Kemajuan ekonomi, politik, dan sosial sesebuah kerajaan tertakluk kepada peranan-peranan pembesar seperti Bendahara, Temenggung, Syahbandar, Laksamana, dan Penghulu Bendahari.
    • Contohnya, kemunculan Kerajaan Melayu Melaka sebagai pusat perdagangan, pusat penyebaran agama Islam, dan empayar penakluk terkemuka di Asia Tenggara pada abad ke-15 adalah peranan yang dimainkan oleh Bendahara Tun Perak pada tahun 1456-1498.
    • Kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka kepada Portugis pada tahun 1611 adalah akibat tindakan dan peranan yang dilakukan oleh Bendahara Tun Mutahir pada tahun 1500-1511.
  • Isi Politik: Penasihat raja atau sultan
    • Pembesar memainkan peranan penting sebagai penasihat raja atau sultan dalam pentadbiran politik, ekonomi dan sosial masyarakat Melayu.
    • Pada abad ke-17, Sultan Johor telah melantik pembesar Orang Besar Indera Maharaja Perba atau Tok Raja, Orang Kaya Indera Segara Temerloh, Orang Kaya Pahlawan Chenor, dan Orang Kaya Indera Syahbandar untuk mentadbir Pahang yang terletak di bawah kekuasaan Johor.
    • Pada pertengahan abad ke-19, peranan  pembesar semakin jelas apabila memiliki 'cop mohor' sendiri atas perkenan atau kebenaran raja atau sultan untuk melaksanakan tugas.
    • Pembesar mempunyai kuasa penuh dalam kawasan pegangannya dan mempunyai hubungan yang rapat dengan rakyat.
    • Justeru, rakyat menghormati pembesar yang menyebabkan pembesar menjadi penghubung antara rakyat dan istana untuk menyampaikan sebarang permasalahan.
  • Isi Ekonomi: Mengutip cukai
    • Pembesar bertanggungjawab mengutip cukai yang merupakan punca rezeki utama golongan pembesar serta berpeluang menambah kekayaan. 
    • Setiap pembesar bertanggungajawab mengutip cukai di kawasan pegangan masing-masing dengan kebenaran sultan.
    • Pembesar juga menjadi perantara dengan pedagang yang datang dari luar yang pastinya setiap pembesar akan menerima ganjaran daripada hubungan dengan pedagang tersebut.
    • Sebagai bukti, peranan Datuk Muhammad Salleh Perang yang bertanggungjawab merancang pembangunan dan pengurusan kewangan Johor.
    • Pembesar juga berkuasa menentukan timbangan dan sukatan yang betul bagi memastikan urusan perdagangan berjalan dengan lancar.
  • Isi Ekonomi: Sistem kerah dan tenaga kerja
    • Peranan pembesar sebagai pembekal jentera keraj atau tenaga buruh kepada istani seperti membina istana, menyediakan perahu atau kapal raja, membina panggung aau pentas untuk upacara kerajaan dan kerja-kerja dalam istana seperti dayang dan sebagainya.
    • Dalam melakukan kerja-kerja tersebut, pekerja atau buruh tidak dibayar gaji atau upah tetapi hanya diberi makan, minum dan tempat tinggal sekadar sahaja.
    • Tenaga kerja atau buruh diperoleh daripada penduduk di kawasan pegangan pembesar melalaui sistem kerah.
    • Pembesar juga berperanan menyediakan dann membekalkan tentera-tentera kepada istana sekiranya berlaku kekacauan atau peperangan.
    • Contohnya, Jemaah Menteri Peperangan di Kelantan menguruskan hal ehwal, peperangan, ketenteraan, pertahanan dan keamanan.
    • Pembesar juga menyediakan pengawal keselamatan untuk mengawal daerah atau kawasan pegangan.
  • Isi Sosial: Penegak keadilan
    • Dari sudut perundangan, setiap pembesar berperanan menghakimi kesalahan-kesalahan atau jenayah kecil yang dilakukan di kawasan pegangan.
    • Pembesar boleh menjatuhkan hukuman seperti mengenakan denda kecuali hukuman bunuh yang hanya boleh dijalankan oleh sultan.
    • DI Kelantan, sewaktu pemerintahan Sultan Muhammad I, pembesar yang dilantik sebagai Jemaah Menteri Keadilan dan Kehakiman, bertanggungjawan menentukan keadlan dan kehakiman.
    • Golongan pembesar juga bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan anak buahnya dan memastikan seluruh penduduk di kawasannya taat setia kepada sultan.
    • Golongan pembesar juga wajib melaksanakan istiadat menjunjung duli kepada raja yang bermaksud memberi khidmat kepada raja apbila diperlukan.
  • Kesimpulan:
    • Sebelum pertengahan abad ke-19, pembesar Melayu memainkan peranan penting dalam politik, ekonomi dan sosial dalam masyarakat Melayu di Tanah Melayu.
    • Pembesar adalah jentera pentadbir dan penasihat kepada raja atau sultan dalam segala aspek pentadbiran dan pemerintahan.
    • Kemajuan dan kejatuhan sesebuab kerajaan atau pemerintahan adalah tertakluk kepada peranan dan tugasan para pembesar.
    • Pada pertengahan abad ke-19, apabila British campur tangan dalam pemerintahan Tanah Melayu, peranan pembesar Melayu mulai lenyap apabila diambil alih oleh Residen British.