Tuesday 12 September 2017

KEMUNCULAN GERAKAN, PERSATUAN, KELAB DAN PERSATUAN NASIONALISME TANAH MELAYU

Bincangkan kemunculan gerakan, persatuan, kelab dan kesatuan nasionalisme di Tanah Melayu sebelum merdeka.
           
                                
 Pendahuluan                                                             
             Gerakan nasionalisme di Tanah Melayu muncul pada awal abad ke-20 dimulai dengan golongan intelek dan agama yang berpendidikan. Antara tahun 1926 hingga 1939, gerakan nasionalisme semakin berkembang dengan penubuhan persatuan dan kelab Melayu yang dipimpin oleh golongan intelek Melayu berpendidikan Melayu dan Inggeris. Perjuangan melalui kelab dan persatuan ini lebih teratur dan menarik sokongan rakyat. Dalam jangka masa pendek, kegiatan berpersatuan lebih bercorak budaya, agama dan sosial manakala dalam jangka masa panjang lebih kepada aspek politik.

Isi 1- Kesatuan Melayu Singapura
              Kesatuan Melayu Singapura mula ditubuhkan pada tahun 1926. Pengasas bagi KMS ialah Muhammad Eunus Abdullah dan beberapa orang lagi iaitu Tengku Abdul Kadir, Imam Haji Mohd Yusuf bin Haji Said dan Haji Embok Suloh bin Haji Omar. KMS merupakan sebuah pertubuhan yang bercorak separa politik, walaupun perkembangan semangat nasionalisme ketika itu belum begitu mendalam lagi. Ahli-ahli KMS terdiri daripada mereka yang berpendidikan Inggeris, wartawan, kakitangan kerajaan dan peniaga. Pertubuhan ini memberi tumpuan dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu. Tujuan tertubuhnya KMS adalah untuk menyedarkan orang ramai terutamanya Melayu tentang kepentingan mempunyai pendidikan pada peringkat tinggi. KMS juga mengingatkan kaum Melayu tentang kesan penjajahan British di negara kita. Dengan itu, KMS memupuk masyarakat Melayu dalam melibatkan diri dalam bidang politik demi memajukan sosioekonomi orang Melayu.

Isi 2-Gerakan Islah
              Gerakan Islah ialah satu gerakan yang menyeru masyarakat Melayu supaya membetulkan pandangan mereka terhadap Islam. Pendorong gerakan ini ialah Syed Syeikh Al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaludin dan Haji Abbas bin Mohd yang mendapat pendidikan agama dari Timur Tengah. Golongan ini mengelar diri mereka sebagai Kaum Muda. Mereka menerima pengaruh dari gerakan reformis Islam yang diketuai Syed Jamaludin Al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Pemikiran Syeikh Muhammad Abduh berjaya menarik perhatian mereka yang merupakan pelajar Melayu yang menuntut di Universiti al-Azhar. Mereka melihat perkembangan yang berlaku di Mesir sangat hebat dan hal ini memberi ilham kepada mereka untuk meneruskan perjuangan yang sama apabila kembali ke tanah air. Atas kesedaran ini, mereka telah menerbitkan dua buah majalah iaitu Seruan Azhar (1926-1928) dan Pilihan Timur (1927-1928) dengan kerjasama pelajar Indonesia. Melalui majalah tersebut, mereka menyalurkan pelbagai pandangan termasuk soal politik. Setelah kembali ke tanah air, mereka mempelopori gerakan pembaharuan Islam dengan menyeru orang Melayu supaya meninggalkan segala adat resam dan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Isi 3-Persaudaraan Sahabat Pena
               Persaudaraan Sahabat Pena ditubuhkan pada 7 April 1934 oleh akhbar Saudara bertujuan untuk mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan orang Melayu. Keahliannya terbuka kepada semua orang Melayu yang dikenakan bayaran pendaftaran sebanyak 50 sen dan yuran tahunan sebanyak 20 sen. Pertubuhan ini berpegang pada cogan kata ‘Hidup Bahasa, Hiduplah Bangsa’ bertujuan menimbulkan kesedaran orang Melayu terhadap bahasa Melayu. Antara mereka yang terlibat menggerakkan persatuan ini ialah Syed Alwi al-Hadi, Zainal Abidin, Sheikh Abdullah al-Maghribi dan Hamidun Mohd Hashim. Kegiatan persatuan ini tidak hanya tertumpu pada bahasa dan sastera sahaja tetapi juga politik. Pada tahun 1935, nama persatuan ini dikenali sebagai ‘Persaudaraan Sahabat Pena Malaya’ ataupun PASPAM. 

Isi 4-Kesatuan Melayu Muda
               Kesatuan Melayu Muda ditubuhkan pada tahun 1938 yang dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaacob, iaitu wartawan akhbar Majlis di Kuala Lumpur dengan beberapa tokoh nasionalis lain seperti Mustapha Hussain, Ishak Haji Muhammad, Onan Haji Siraj, Hassan Manan, Ahmad Boestamam dan Abdul Karim Rashid. Ahli-ahli KMM ini terdiri daripada guru-guru sekolah yang terdiri daripada sekolah Melayu yang berpendidikan MPSI. Penubuhan ini lebih kepada bersifat radikal. Nama KMM diilhamkan oleh Sultan Djenin iaitu pelarian politik dari Indonesia. Kesedaran ini timbul akibat dipengaruhi oleh gerakan nasional Indonesia dan perjuangan Parti Nasional Indonesia yang dipimpin oleh Sukarno. Tujuan KMM ditubuhkan adalah untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan pemuda Melayu di seluruh semenanjung dan untuk meningkatkan taraf pendidikan orang Melayu. Pada Perang Dunia ke-2, KMM bekerjasama dengan Jepun untuk menghalau British dari Tanah Melayu.

Isi 5-Kongres Melayu Se-Malaya
               Kongres Melayu Se-Malaya diadakan untuk mengeratkan hubungan perpaduan, memupuk perpaduan dan menggerakkan usaha untuk memajukan bangsa Melayu. Kongres ini menjadi kemuncak kepada kegiatan politik Melayu di peringkat kebangsaan. Kongres pertama diadakan pada 5-6 Ogos 1939 atas usaha Kesatuan Melayu Singapura dan Persatuan Melayu Selangor. Kongres kedua diadakan pada 25-26 Disember 1940 yang bertujuan untuk menanam semangat bersatu dan semangat nasionalisme Melayu serta memberi kerjasama dengan British dalam Perang Dunia ke-2. Kongres ketiga pula terpaksa dibatalkan kerana tercetusnya Perang Dunia ke2.

Kesimpulan
               Kesimpulannya, gerakan persatuan dan kelab di negeri-negeri Melayu banyak membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu. Semangat nasionalisme ini telah mempengaruhi pemikiran Melayu untuk bersifat anti-penjajah. Sifat anti-penjajah ini amat penting untuk menentang penjajahan yang berlaku kerana penjajahan akan menyebabkan hak-hak orang Melayu semakin diketepikan. Dengan itu, masyarakat Melayu berganding bahu dalam memartabatkan bangsa Melayu daripada terus ditindas.

Dibentang oleh:
Mardiana Nisha Saini 6 Atas UPM 2017

No comments:

Post a Comment