Sunday 26 March 2017

PEMERINTAHAN ISLAM PADA ZAMAN KHULAFA AL-RASYIDIN (632 – 661 MASIHI)

Masjid An-Nabawi, Madinah. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a dan Khalifah Umar al-Khattab  r.a dikebumikan di sini bersebelahan Makam Nabi Muhammad s.a.w.

PEMERINTAHAN ISLAM PADA ZAMAN KHULAFA AL-RASYIDIN (632 – 661 MASIHI)

Pendahuluan:

Khulafa al-Rasyidin merupakan pemerintahan kerajaan Islam setelah wafatnya Nabi Muhammad s.a.w. iaitu antara tahun 632 hingga 661 Masihi. Pada zaman ini, pemerintahan Islam masih berpusat di Madinah dan diperintah oleh empat orang khalifah yang dikenali sebagai Khulafa al-Rasyidin iaitu Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a, Khalifah Umar al-Khattab r.a, Khalifah Uthman bin Affan r.a. dan Khalifah Ali bin Abi Talib r.a. Mengikut pandangan Mahmood Mohd Taib an-Najmi dalam Sejarah Tamadun Islam menyatakan, khalifah ialah satu jawatan menggantikan Nabi Muhammad s.a.w. selepas baginda wafat.[1]
Mahyudin Haji Yahya dalam bukunya Tamadun Islam pula menyatakan bahawa khalifah berasal daripada perkataan khulafa yang membawa maksud pengganti, iaitu menggantikan Nabi Muhammad s.a.w..[2] Al-Mawardi pula menegaskan bahawa al-Quran dan sunnah merestui kewujudan institusi khalifah seperti firman Allah s.w.t. di dalam al-Quran surah al-Baqarah, ayat 30 yang bermaksud “Sesungguhnya Aku jadikan di atas muka bumi khalifah”.

Pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a.(632-634 Masihi):

Saidina Abu Bakar al-Siddiq atau nama penuhnya Abdullah bin Abi Quhafa merupakan golongan pertama (para sahabat) dan bapa mertua kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Memerintah di bawah pemerintahan Khulafa al-Rasyidin dari 632 hingga 634 Masihi dan merupakan khalifah pertama umat Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.. Dilantik melalui kaedah perundingan beramai-ramai di Dewan Bani Saadah selepas dicalonkan oleh Saidina Umar al-Khattab dan disokong oleh Abu Ubaidah ibn al-Jarrah diikuti sokongan oleh majoriti umat Islam dan dibaiahkan dalam musyawarah sebagai khalifah pertama yang memerintah Negara Islam Madinah. Berjaya melaksanakan tugas pentadbiran dan politik yang dijalankan semasa pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w.. Saidina Abu Bakar al-Siddiq digelar Al-Siddiq yang bermaksud Yang Benar kerana sentiasa membenarkan kata-kata Nabi Muhammad s.a.w.. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq telah mencegah golongan yang baharu memeluk Islam dari meninggalkan Islam, memastikan kesatuan Ummah dan menghapuskan golongan Al-Riddah (nabi palsu, tidak bayar zakat dan murtad) serta meluaskan wilayah pemerintahan Islam (Dar Al Islam) hingga ke Laut Merah. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq juga telah menjalankan usaha pengumpulan ayat-ayat suci al-Quran yang ditulis pada kulit kayu, kulit binatang dan dihafal oleh para sahabat (hafiz al-Quran). Pada bulan-bulan terakhir pemerintahan, Khalifah Abu Bakar al-Siddiq telah menghantar Panglima Khalid ibn al-Walid dalam usaha menakluk Empayar Sassanid di Mesopotamia dan Byzantine di Syria. Pada 23 Ogos 634 Masihi, Khalifah Abu Bakar al-Siddiq jatuh sakit dan tidak sembuh disebabkan umur yang sudah tua. Beliau telah meninggalkan wasiat dan mencalonkan nama Saidina Umar al-Khattab sebagai khalifah bagi mengelakkan wujud sekali lagi perpecahan dalam umat Islam. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq meninggal dunia pada 22 Ogos 634 Masihi pada usia 61 Tahun dan dikebumikan di Masjid an-Nabawi, Madinah bersebelahan makam Nabi Muhammad s.a.w..[3]

Pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab r.a (634 – 644 Masihi):
Pada 22 Ogos 634 Masihi, Khalifah Abu Bakar meninggal dunia. Pada hari yang sama, Saidina Umar al-Khattab memasuki pejabat pentadbiran khalifah sebagai khalifah kedua pemerintahan Negara Islam. Saidina Umar al-Khattab terkenal sebagai seorang pemuda yang berani, tegas, berterus-terang dan mempunyai pemikiran yang tajam serta berketurunan Bani Adi. Khalifah Umar al-Khattab merupakan khalifah yang dilantik dengan kaedah mengusul seorang calon. Selepas wafatnya Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, pencalonan Saidina Umar al-Khattab dibawa ke Majlis Syura dan melalui musyawarah, para sahabat dan ahli lembaga Majlis Syura mempersetujui pelantikan Khalifah Umar al-Khattab dan menerima baiah daripada umat Islam tanpa bantahan. Pemerintahan era Khalifah Umar al-Khattab merupakan pemerintahan separa ketenteraan. Ini kerana, Khalifah Umar al-Khattab sangat berhati-hati bagi mengelakkan masalah dalam Negara akan berulang. Oleh itu, Khalifah Umar al-Khattab telah menempatkan pasukan tentera di kawasan jajahan takluk Islam dan memperbaharui perjanjian diplomatik dengan kuasa-kuasa luar. Beliau telah membahagikan jajahan takluk Islam kepada beberpa wilayah yang ditabir oleh seorang Wali (Gabenor Wilayah). Empayar Islam dibahagikan kepada wilayah Mekkah dan Madinah (Jajahan Arab), wilayah Basrah dan Kufah (Jajahan Iraq), wilayah Jazirah (Jajahan Tigris Euprates), wilayah Syria, Ilya’ dan Ramlah (Jajahan Palestin), Mesir Utara dan Mesir Selatan (Jajahan Mesir) dan wilayah Khurasan, Azerbaijan dan Fars (Jajahan Parsi). Di setiap wilayah, dibentuk daerah-daerah (100 daerah) yang ditadbir oleh seorang Amir. Di peringkat wilayah, diwujudkan jawatan seperti Katib (Ketua Setiausaha), Khatib Diwan (Setiausaha Tentera), Syahibul Kharaj (Pemungut Hasil), Syahibul Ahdath (Ketua Polis), Syahib Baitulmal (Pegawai Harta) dan Qadi (Ketua Hakim). Setiap jawatan dilantik secara bertulis dan mengikut undang-undang kerajaan. Khalifah Umar juga menubuhkan Jabatan Penyiasatan untuk menyiasat aduan kesalahan para pegawai negeri, memperkenalkan sistem kementerian awam, serta membuat peraturan penting seperti tidak membenarkan pegawai kerajaan terlibat dalam aktiviti perniagaan. Khalifah Umar al-Khattab juga membina dua terusan untuk menghubungkan wilayah Basrah dan sungai Tigris iaitu sungai al-Ubullah dan sungai Ma’qil. Ini membantu kepada kemajuan pertanian dan air minuman di seluruh wilayah Basrah yang baru dibina. Khalifah Umar juga membentuk polisi untuk mengambil balik tanah-tanah rampasan daripada tentera dan dijadikan hak milik Negara (rakyat). Sumber pendapatan Negara juga ditingkatkan dengan memperkenalkan cukai jizyah, kharaj, zakat dan usyur. Mata wang turut diperkenalkan dan urusan perdagangan turut dikawal dengan baik. Khalifah Umar turut menjalankan beberapa pembaharuan seperti menubuhkan pentadbiran tanah rampasan baru, pembesaran sempadan seperti Basrah dan Kufah, membaik pulih dan membesarkan Masjid a-Haram (Kaabah), Mekkah dan Masjid al-Nabawi, Madinah pada 638 Masihi. Beliau juga memberi arahan untuk member layanan yang baik kepada orang Krisitian dan Yahudi seperti hal penempatan dan pemilikan tanah. Khalifah Umar al-Khattab  juga merupakan pelopor ilmu Fiqh. Pada 641 Masihi, beliau menubuhkan Baitulmal, institusi perbendaharaan dan memulakan pembayaran bantuan kewangan tahunan kepada umat Islam. Setahun kemudian, beliau memberi bantuan kewangan kepada orang miskin, asnaf dan warga tua bukan Islam dalam Negara. Khalifah Umar al-Khattab juga menjalani hidup yang biasa untuk mendekati orang miskin dan sering menyamar berjalan-jalan pada waktu malam. Pada 638 Masihi, setelah 4 tahun sebagai khalifah dan 17 tahun Hijrah, beliau membentuk Kalendar Islam pertama bermula Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekkah ke Madinah. Khalifah Umar al-Khattab juga telah melawat Palestin (Jerusalem) pada 637 Masihi dan menunaikan solat di tempat yang sekarang dikenali sebagai “Dome of the Rock” (kubbat es sakhra). Khalifah Umar al-Khattab juga telah berjaya mengatasi masalah Musim Panas di Tanah Arab pada 638 Masihi dan Penyakit di Syria dan Palestin pada 639 Masihi. Pada 31 Oktober 644 Masihi,  Khalifah Umar al-Khattab telah dibunuh oleh Abu Lulu (Piruz Nahavandi) seorang hamba Parsi atas sebab dendam penaklukan Islam di jajahan Parsi. Tiga hari kemudian iaitu pada Rabu, 3 November 644 Masihi Khalifah Umar al-Khattab meninggal dunia dan sebelum itu melantik 6 para sahabat iaitu Abdur Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqas, Talhah bin Ubaidullah, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Zubair bin al-Awwam untuk memilih seorang khalifah di antara mereka. Khalifah Umar al-Khattab dikebumikan di Masjid al-Nabawi, Madinah bersebelahan makam Nabi Muhammad s.a.w. dan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq.[4]
Pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan r.a. (644 – 656 Masihi):

Khalifah Umar al-Khattab ketika nazak telah mengusul sekumpulan calon dengan membentuk sebuah pasukan yang terdiri daripada 6 orang sahabat untuk memilih khalifah seterusnya di kalangan mereka. Khalifah Umar al-Khattab meminta selepas kewafatannya, pasukan itu akan membuat keputusan terakhir dalam masa 3 hari dan pada hari ke-4, khalifah baharu akan mengangkat sumpah. Musyawarah dijalankan di antara mereka dan pengundian ditentukan melalui undian paling tinggi. Talhah bin Ubaidullah tidak dapat hadir ke Madinah manakala Abdul Rahman bin Auf menarik diri untuk menjadi orang tengah dan menemuduga semua calon secara berasingan bagi menentukan undi. Saidina Ali bin Abi Talib tidak memberi jawapan semasa ditanya dan Saidina Uthman bin Affan mengundi Saidina Ali bin Talib. Zubair bin al-Awwam pula mengundi Saidina Ali bin Abi Talib atau Saidina Uthman bin Affan. Akhir sekali, Saad bin Abi Waqas mengundi Saidina Uthman bin Affan. Ini menjadikan Saidina Uthman bin Affan mendapat kelebihan undi seterusnya dibaiah sebagai khalifah yang ketiga dalam pemerintahan Khulafa al-Rasyidin. Semasa memerintah, Khalifah Uthman bin Affan tidak mengeluarkan bantuan kewangan dari baitulmal untuk kegunaan peribadi atau untuk menerima gaji kerana beliau memiliki kekayaan serta sumber ekonomi yang banyak. Khalifah Uthman bin Affan menerima hadiah dan membenarkan ahli keluarganya menerima hadiah daripada orang ramai. Khalifah Uthman juga menggunakan sepenuhnya kewangan negara untuk pembaharuan ekonomi dan menjadikan masyarakat Islam dan bukan Islam dalam empayar pemerintahan Khulafa al-Rasyidin mengecapi kemakmuran ekonomi. Dalam bidang ketenteraan, kuasa tentera diberikan dengan penuh kepercayaan kepada penyokongnya seperti Abdullah ibn Aamir, Muawiyah I dan Abdullah ibn Saad ibn Abi as-Sarah. Kesannya, jajahan takluk Islam meluas sehingga ke Sindh, Pakistan. Pada 649 Masihi, Khalifah Uthman bin Affan memberi kebenaran kepada Muawiyah untuk membentuk pasukan tentera laut seterusnya mengalahkan tentera Byzantine dalam Perang Masts pada 655 Masihi yang membuka jalan ke Mediterranean. Pada 6 tahun pertama pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan, Sepanyol telah diserang melalui kawasan pantai Andalus. Begitu juga penaklukan semula kawasan Parsi seperti Fars, Kerman, Sistan dan Khurasan yang membuka jalan kepada penaklukan Afghanistan. Sekitar 654 Masihi,  muncul propaganda anti kerajaan khalifah di Mesir untuk menjatuhkan Khalifah Uthman bin Affan dan memberontak untuk menggantikannya dengan pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib. Alasan pemberontakan ini adalah disebabkan oleh pemilikan hak milik tanah di Iraq. Seramai 1 ribu orang dari Kufah, Basrah dan Mesir dihantar ke Madinah dengan arahan untuk membunuh Khalifah Uthman bin Affan dan menjatuhkan kerajaan. Pada 20 Julai 656 Masihi, para pemberontak memasuki rumah Khalifah Uthman bin Affan dan membunuh beliau tanpa dan lewat disedari oleh para penyokongnya. Khalifah Uthman bin Affan dikebumikan di Jannat al-Baqi berhampiran Masjid al-Nabawi di Madinah.[5]

Pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib r.a (656 – 661 Masihi):

Khalifah Ali bin Abi Talib menjadi khalifah pada waktu berlakunya kekecohan dalam sejarah Islam atau dipanggil Fitnah (Perang Saudara). Saidina Ali bin Abi Talib merupakan sepupu dan menantu kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Saidina Ali bin Abi Talib adalah seorang yang alim, berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan Sunnah serta menyertai peperangan menentang kesalahan umat Islam atas sebab tugas agama. Pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan bermaksud golongan pemberontak harus memilih khalifah baharu. Kaedah pemilihan ini adalah melalui pengusulan oleh sekumpulan masyarakat iaitu para pemberontak yang terdiri daripada beberapa kumpulan. Para pemberontak memilih Saidina Ali bin Abi Talib tetapi menolak tawaran tersebut atas sebab beliau sedar para penyokong kuatnya adalah golongan pemberontak. Umat Islam berhimpun di Masjid al-Nabawi untuk memilih khalifah dan atas pujukan dan desakan para sahabat, Saidina Ali bin Abi Talib bersetuju untuk menerima jawatan khalifah yang keempat dan dibaiah. Semasa memerintah, Khalifah Ali bin Abi Talib telah menghapuskan jawatan gabenor wilayah kecuali Muawiyah I yang memerintah jajahan Mediterranean Timur. Malahan Muawiyah I mahu Khalifah Ali bin Abi Talib untuk menghukum pemberontak yang telah membunuh Khalifah Uthman bin Affan. Muawiyah I adalah keturunan Bani Umayyah dan merupakan sepupu kepada Khalifah Uthman bin Affan. Perundingan antara Muawiyah I dan Khalifah Ali bin Abi Talib telah gagal dan menyebabkan tercetusnya Perang Jamal sekitar 656 Masihi seterusnya Perang Saudra (Fitna) yang merupakan berakhirnya kesatuan dalam ummah Islam yang pertama. Khalifah Ali bin Abi Talib meneruskan usaha untuk menuntut taat setia tetapi ditolak oleh Muawiyah I. Akhirnya, tercetus Perang Siffin pada tahun 657 Masihi. Namun, akhirnya berdamai dan menubuhkan Majlis Tahkim (persidangan timbang tara dan helah Muawiyah). Ini menyebabkan penyokong Khalifah Ali bin Abi Talib meninggalkan beliau dan menggelar diri mereka sebagai golongan Kawarij. Khalifah Ali bin Abi Talib telah mengembalikan semula semua tanah-tanah yang diambil dari pemiliknya dan melaksanakan pemusatan kuasa ibu Negara ke atas pendapatan wilayah serta keadilan dalam pemberian cukai kepada umat Islam. Beliau menggunakan semua hasil baitulmal untuk kegunaan masyarakat dan mengelak isu pilih kasih termasuklah adiknya sendiri, Aqil bin Abu Talib. Pada 27 Januari 661 Masihi, Khalifah Ali bin Abi Talib diserang oleh seorang Kawarij bernama Abdul Rahman bin Muljam[6] ketika sedang menunaikan solat Subuh di Masjid Kufah dan meninggal dunia 2 hari kemudian pada 29 Januari 661 Masihi dan dikebumikan di Masjid Ali, Najaf, Iraq.

Kesimpulan:

Selepas kewafatan Khalifah Ali bin Abi Talib, pemerintahan khalifah diberikan kepada anak sulungnya, iaitu Hasan bin Ali tetapi dipaksa untuk berdamai dan menyerahkan kuasa pemerintahan khalifah kepada Muawiyah I. Bermula daripada peristiwa ini, berakhirlah pemerintahan Khulafa al-Rasyidin yang dianggap sebagai satu-satunya pemerintahan awal demokrasi dalam sejarah Islam. Muawiyah I menjadikan pemerintahan khalifah bertukar menjadi pemerintahan sekular atau kesultanan. Di bawah pemeritahan Bani Umayyah, sistem demokrasi yang diamalkan semasa pemerintahan Khulafa al-Rasyidin diganti kepada sistem monarki berpusat semasa Khalifah Abdul Malik bin Marwan memerintah. Tidak dapat dinafikan, pemerintahan Khulafa al-Rasyidin merupakan titik tolak dan kesinambungan daripada pemerintahan awal kerajaan Islam di era Nabi Muhammad s.a.w.. Pemerintahan Khulafa al-Rasyidin merupakan sebuah pemerintahan yang menjulang keagungan pemerintahan Islam dari segi politik, sosial, ekonomi dan ketenteraan yang menjadi ikutan dan contoh kepada pemerintahan khalifah Islam yang seterusnya.

Singkatan:

1.      s.w.t : Subhanahu Wa Ta'ala (Arabic: سُبْحَانَهُ وَ تَعَالَى)  bermaksud “Allah Yang Maha Suci dan Maha Tinggi”

2.      s.a.w : Sallallahu Alaihi Wasallam   (Arabic: صلى الله عليه و سلم)  bermaksud “Sejahteralah ke atas baginda”

3.      r.a : Radia Allahu 'anha  (Arabic: رضي الله عنه)  bermaksud “Semoga Allah Ridha kepadanya”


Nota Hujung / Rujukan:


[1]An-Najmi, Mahmood Mohd.Taib. Sejarah Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Aman Press, 1971.

[2] Yahya, Mahyuddin Hj. Tamadun Islam. Kuala Lumpur : Fajar Bakti, 1998.

[3] Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna@Mohd. Noor Yunus. Sejarah Islam. Selangor: Pelangi, 2016.

[4] Mahdi Shuid, Ustaz Rumaizuddin Ghazali dan Hazlina Mansor. Teks Pra-U STPM Tamadun Islam. Perak: Pearson Longman Malaysia, 2006.


[5] Yahaya, Mahayudin Hj. Nota L:engkap STPM Tamadun Islam. Selangor: Fajar Bakti, 2001.

[6] Mahdi Shuid, Ustaz Rumaizuddin Ghazali dan Hazlina Mansor. Teks Pra-U STPM Tamadun Islam. Perak: Pearson Longman Malaysia, 2006.

No comments:

Post a Comment