Thursday, 22 February 2018

PEMBAHARUAN KHALIFAH UMAR BIN ABDUL AZIZ DALAM BIDANG POLITIK, SOSIAL DAN POLTIK KERAJAAN BANI UMAYYAH.


PENGENALAN

Khalifah Umar bin Abdul Aziz merupakan khalifah kelapan Bani Umayyah pada tahun 771 Masihi. Nama penuhnya ialah Abu Hafs, Umar ibn Abd al-Aziz ibn Marwan ibn al-Hakam al-Umawiy al-Qurashiy, Baginda dilahirkan pada  682 Masihi/ 68 Hijrah di kota Helwan, berhampiran Kaherah, Mesir dan mempunyai pertalian darah dengan Khalifah Umar al-Khattab serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang hampir sama seperti zuhud dan takwa. Khalifah mendapat pendidikan agama dan sastera yang sempurna daripada ibunya semasa menetap di Madinah. Sebelum menjawat jawatan sebagai khalifah, baginda pernah dilantik sebagai gabenor di Hijaz yang berpusat di Madinah pada tahun 87 Hijrah. Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah melaksanakan pemerintahan secara adil, warak dan bijak serta melakukan pembaharuan-pembaharuan dalam bidang politik, sosial dan ekonomi dalam Kerajaan Khalifah Bani Umayyah.


ISI 1 - POLITIK (AL QURAN DAN HADIS)

Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah melakukan pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan Bani Umayyah dengan melaksanakan pemerintahan berlandaskan al-Quran dan hadis. Baginda telah mengetatkan peraturan kepada semua pegawai dan kakitangan kerajaan serta mengarahkan mereka menjalankan tanggungjawab berlandaskan al-Quran dan hadis. Malahan, semua keputusan dalam pemerintahannya diambil melalui mesyuarat yang dihadiri oleh pegawai dan kakitangan kerajaan serta para sahabat. Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga menghapuskan jurang antara khalifah dan rakyat dengan melaksanakan hubungan antara khalifah dengan kakitangan kerajaan dan rakyat tanpa mengira status dan keturunan. Sebagai contoh, baginda mengarahkan gabenor-gabenor agar tidak memungut jizyah daripada golongan zimmi yang telah memeluk Islam.


ISI 2 - POLITIK (KEZALIMAN DAN PENINDASAN)

Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah menghapuskan segala bentuk kezaliman yang dilakukan oleh pemerintahan Bani Umayyah sebelum ini. Beliau telah menjalankan proses pembersihan diri dan keluarganya yang banyak dipengaruhi oleh kemewahan hidup. Segala harta yang diwarisi secara tidak jujur seperti harta rampasan perang dijadikan hak milik kerajaan. Di kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan pula, Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengambil tindakan terhadap pegawai yang melakukan kezaliman dan tidak mengikut ajaran al-Quran dan hadis dengan memecat pegawai mereka. Antara pegawai yang dipecat kerana menindas rakyat ialah Usamah bin Zaid al-Tabikhi, iaitu Gabenor Mesir, Yazid bin Abu Muslim, Gabenor Afrika, Saleh bin Abdul Rahman, Gabenor Iraq dan al-Harith bin Abdul Rahman Gabenor Sepanyol.Baginda sering mengadakan ceramah kepada pegawai-pegawai yang berkhidmat dengan tujuan memastikan corak pemerintahan mereka adalah berlandaskan al-Quran dan hadis. 


ISI 3 - POLITIK (PENTADBIRAN WILAYAH)

Bagi melicinkan pentadbiran, Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah membahagikan wilayah-wilayah Islam kepada lima daerah dan diketuai oleh seorang pegawai pemerintah seperti Yaman, Hijaz, dan Asia Tengah dalam satu daerah. Mesir, Arab Utara dan Arab Selatan dijadikan daerah yang lain. Khalifah juga membentuk pelbagai jabatan seperti Jabatan Ketua Setiausaha Kerajaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Cukai, Jabatan Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Pertahanan. Bahasa Arab dijadikan bahasa rasmi kerajaan namun bahasa-bahasa lain boleh digunakan. Pegawai kerajaan telah dikategorikan kepada empat peringkat iaitu khalifah yang merupakan pemerintah tgertinggi. Gabenor pula dilantik sebagai pemerintah daerah, Kadi mengurus kehakiman dan undang-undang dan Pemegang Amanah Kerajaan sebagai pegawai tertinggi terakhir. Khalifah Umar Abdul Aziz juga telah menghapuskan jawatan Pegawai Peribadi bagi memudahkan rakyat berjumpa dengan khalifah pada bila-bila masa tanpa melalui orang tengah.


ISI 4 - EKONOMI

Dalam bidang ekonomi, Khalifah Umar Abdul Aziz telah berjaya memastikan umat Islam mencapai kemajuan pesat sehinggakan tiada seorang pun rakyatnya yang hidup melarat. Sebagai seorang ketua dan contoh pemimpin rakyatnya, Khalifah Umar Abdul Aziz telah telah hidup dalam keadaan sederhana dan tidak bermegah-megah. Segala hasil kerajaan diserahkan kepada Baitulmal sebagai pendapatan negara dan dibelanjakan untuk kegunaan rakyat dan pembangunan negara. Dalam sektor pertanian, Khalifah telah membina parit dan terusan untuk mengalirkan air ke kawasan-kawasan penanaman. Khalifah juga melaksanakan pungutan cukai dan zakat seperti cukai kepala, zakat fitrah, cukai kharaj, pungutan harta tanpa waris dan pungutan harta rampasan perang untuk dijadikan sebagai pendapatan negara di dalam Baitulmal. Pungutan cukai jizyah kepada orang yang memeluk Islam turut dihapuskan serta menurunkan cukai kharaj (tanah). Gaji buruh dan kakitangan awam juga turut dinaikkan bagi mengurangkan jurang pendapatan rakyat. 


ISI 5 - SOSIAL

Khalifah Umar bin Abdul Aziz turut menumpukan usaha kepada kebajikan rakyatnya seperti menyediakan tali air, jalan raya, rumah rehat, rumah tumpangan, hospital dan rumah orang tua. Semua kemudahan digunakan secara percuma tanpa mengira status. Khalifah juga telah menghapuskan tindakan mencaci Khalifah Ali bin Abi Talib dalam Khutbah Jumaat kerana tindakan itu menjatuhkan maruah keluarga Nabi Muhammad S.A.W serta menimbulkan kebencian golongan Syiah terhadap Kerajaan Bani Umayyah. Sebagai seorang pemimpin yang cintakan keamanan, Khalifah Umar Abdul Aziz tidak suka kepada pertumpahan darah dan peperangan. Oleh itu, Khalifah telah memanggil balik pasukan tentera Islam yang sedang menyusun strategi perang ke atas orang Kristian di Constantinople (Istanbul). Kemajuan ilmu pengetahuan Bani Umayyah mencapai kemuncaknya semasa era pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz sehingga digelar Wali kerana menggalakkan ilmu pengetahuan berkaitan al-Quran dan hadis serta ilmu duniawi seperti geografi, bahasa, sains, algebra, perubatan dan sebagainya. Masjid dijadikan sebagai pusat perkembangan ilmu dan majlis ilmu. Muncul beberapa kota ilmu seperti Basrah, Kufah dan Damsyik kesan perkembangan ilmu pengetahuan.


KESIMPULAN

Khalifah Umar Abdul Aziz telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan dalam pemnerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tanpa mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Keadilan yang diperjuangkan mencontohi keadilan pada zaman datuknya, Khalifah Umar al-Khattab r.a. Khalifah mahu rakyat tidak ditindas oleh para pembesar yang angkuh dan zalim seperti pemerintahan sebelumnya. Pembaharuan yang dilaksanakan oleh Khalifah juga bertujuan untuk membentuk umat Islam yang mengikut syariat Islam sebenar dan hidup dalam keadaan aman dan damai. Khalifah menghembuskan nafasnya setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan dan amat dikagumi oleh rakyatnya serta dicontohi oleh pemerintahan khalifah selepasnya.


@juhaimimajid
February 2018

2 comments: