Thursday, 19 January 2017

JELASKAN STRUKTUR DAN CIRI-CIRI MASYARAKAT ARAB PADA ZAMAN JAHILIAH

Jelaskan struktur dan ciri-ciri masyarakat Arab pada zaman jahiliah.

 PETIKAN DARI MOVIE "THE MESSAGE 1976" GAMBARAN MASYARAKAT JAHILIAH DI KOTA MAKKAH



Pendahuluan:

Masyarakat di Tanah Arab sebelum kedatangan Islam disebut sebagai masyarakat jahiliah. Perkataan jahiliah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud bodoh dan sesat. Secara konsepnya, masyarakat jahiliah dirujuk sebagai masyarakat yang wujud di zaman sebelum Nabi Muhammad s.a.w. diangkat menjadi Rasulullah s.w.t. Secara dasarnya, zaman ini memperlihatkan segelintir masyarakatnya tidak mempunyai agama yang sebenar di sisi Allah s.w.t. serta mereka tidak mengesakan Allah s.w.t. Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan ciri-ciri kehidupan dan kejahilan masyarakat pada zaman itu. Antaranya dalam surah al-Maidah dan surah al-Jumaat. Berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam surah-surah tersebut, antara ciri-ciri jahiliah yang ada ialah tidak terdapatnya nabi, rasul atau kitab suci untuk dijadikan panduan, tidak wujud tamadun dan akal fikiran tidak digunakan secara waras, masyarakat mempunyai akhlak yang sangat rendah dan mereka tidak tunduk kepada syariat Islam, malah kitab-kitab terdahulu tidak diguna pakai. Menurut ahli sejarah pula, zaman jahiliah berlaku dalam tempoh masa tiga abad.

Isi 1: Struktur-Pembahagian Masyarakat

Walaupun segelintir masyarakat zaman jahiliah dikatakan tidak bertamadun dan terpesong, namun mereka mempunyai sistem dan struktur masyarakat yang tersendiri. Contohnya, dalam struktur sosial, masyarakat jahiliah dapat dibahagikan kepada dua golongan iaitu golongan Badwi dan Hadari. Golongan Badwi adalah masyarakat yang tinggal di pedalaman dan kampung (wadi dan oasis) di kawasan tengah dan utara Tanah Arab. Kebiasaannya, mereka berpindah-randah dari satu kawasan ke kawasan yang lain bergantung kepada aktiviti kehidupan seharian mereka. Antara aktiviti kehidupan yang mereka jalankan ialah menternak binatang. Keistimewaan golongan ini pula ialah mereka bersifat tahan lasak, berani, pemurah, dan amanah. Manakala golongan masyarakat Hadari pula merupakan golongan yang lebih maju. Mereka menetap di bandar atau pinggir bandar di selatan Tanah Arab. Golongan Hadari ini sebenarnya terdiri daripada para cerdik pandai dan bangsawan. Hal ini membolehkan mereka hidup mewah sekaligus tinggal menetap di penempatan mereka. Tambahan pula, aktiviti kehidupan yang mereka lakukan jauh lebih baik daripada golongan Badwi iaitu mereka menjalankan aktiviti perdagangan, pertukangan dan pertanian.

Isi 2: Struktur-Sistem Kabilah

Dalam sistem masyarakat jahiliah, hidup mereka ditunjangi sistem kabilah yang membahagi-bahagikan mereka kepada beberapa unit tertentu. Pembentukan bermula daripada satu keluarga yang tinggal di dalam khemah. Daripada keluarga atau khemah terbentuk satu kumpulan masyarakat yang dikenali sebagai ihai. Beberapa ihai bercantum membentuk kaum dan akhirnya terbentuk kabilah. Pembentukan kabilah ini biasanya ditentukan melalui pertalian darah dalam kalangan ahli masyarakat. Kabilah diketuai oleh syeikh. Kehidupan masyarakat jahiliah pula diikat dengan satu semangat yang dinamakan semangat assabiyah iaitu semangat kesukuan. Masyarakat jahiliah sangat taksub dengan kabilah masing-masing. Ikatan yang padu ini mendorong merka untuk sanggup berperang demi mempertahankan kabilah masing-masing walaupun perbalahan mereka bermula dari perkara yang remeh.

Isi 3: Ciri-Agama dan Kepercayaan

Masyarakat jahiliah berpegang kepada ajaran agama dan kepercayaan nenek moyang. Ajaran ini berkait rapat dengan konsep paganisme, syirik dan kufur kerana ianya tidak berlandaskan kepada ajaran yang disampaikan oleh nabi-nabi terdahulu. Mereka juga menyelewengkan ajaran yang dibawa oleh para rasul dan nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Sebagai contoh, ada yang mengamalkan agama Wathani yang menganggap berhala adalah Tuhan. Pada asalnya, ia adalah ajaran Nabi Ibrahim tetapi telah dipesongkan. Berdasarkan kepercayaan Wathani, berhala disembah untuk mendapatkan restu. Antara berhala yang terkenal ialah al-Uzza, al-Manat dan al-Lata. Agama Yahudi turut diamalkan dan berasal dari Palestin serta bertapak di Yathrib (Madinah). Selain itu, terdapat juga agama lain seperti agama Krisitian yang sebenarnya mengakui kebesaran Allah s.w.t. tetapi mendakwa Nabi Isa a.s. sebagai anak Tuhan manakala Mariam sebagai isteri Tuhan serta tidak mempercayai nabi selepas Nabi Isa a.s.. Malah terdapat juga agama Zarosta yang menyembah cahaya dengan meletakkan api sebagai simbol tuhan mereka. Akhir sekali ialah agama Hunafa yang terdiri daripada golongan yang tidak mengamalkan apa-apa kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat jahiliah. Golongan ini dikatakan menentang agama dan kepercayaan yang dianuti masyarakat jahiliah sebelum kedatangan Islam dan mereka meninggalkan amalan tradisi masyarakat jahiliah seperti minum arak, berjudi, makan bangkai, makan darah dan sebagainya.

Isi 4: Ciri-Moral dan Akhlak

Selain itu, salah satu sifat paling ketara dalam masyarakat jahiliah ialah mereka ini mempunyai moral dan akhlak yang sangat rendah. Sebagai contoh, kaum wanita diletakkan di tahap paling rendah dalam susun lapis masyarakat kerana mereka dianggap membawa sial hingga bayi perempuan yang baru lahir kebiasaannya akan ditanam hidup-hidup untuk menutup malu. Malah, kegiatan meminum arak, mencuri, merompak, perniagaan manusia dan bertukar-tukar wanita berlaku secara berleluasa. Walau bagaimanapun, terdapat sikap masyarakat Arab jahiliah yang positif. Antaranya, mereka tahan lasak, berani, semangat bergotong-royong, pemurah, amanah dan mematuhi janji. Contohnya, Hakim Tahie sanggup menyembelih anaknya daripada menyerahkan amanah yang diberikan kepadanya. Malahan, sebilagan kaum wanita Arab jahiliah mempunyai keperibadian yang cemerlang. Hal ini kerana kaum wanita Arab jahiliah mempunyai keperibadian yang cemerlang. Hal ini kerana kaum wanita di zaman jahiliah turut berganding bahu dengan kaum lelaki dalam mempertahankan akidah dan fahaman kebendaan mereka, malah turut serta memerangi orang Islam. Misalnya, ibu Sa’ad bin Waqas dan Hindun binti Utbah.


Isi 5: Ciri-Ilmu Pengetahuan

Masyarakat jahiliah sebenarnya mempunyai ilmu yang tinggi dalam bidang pertanian, perdagangan, pertukangan. Secara tidak langsung, ilmu-ilmu ini membolehkan mereka dianggap sebagai sebuah bangsa yang bertamadun. Namun begitu, penyebaran ilmu di zaman tersebut adalah terbatas kerana kurangnya minat di kalangan mereka dan kekurangan individu yang bertanggungjawab untuk menyebarkan ilmu. Secara tidak langsung, ini menyebabkan masyarakat Arab jahiliah berada dalam keadaan buta huruf. Kebiasaannya, penyebaran ilmu hanya berlaku dalam bentuk lisan yang menyebabkan ramai yang hanya menghafal ilmu yang dipelajari. Sekaligus menyebabkan ilmu tersebut hilang apabila penghafal meninggal dunia. Al-Baladhuri dalam bukunya menyatakan hanya ada 17 individu yang tahu menulis dan membaca. Antaranya ialah Umar al-Khattab, Ali bin Abu Talib dan Uthman din Affan. Walau bagaimanapun, masyarakat ini mempunyai kemahiran yang mendalam mengenai bidang kesusasteraan seperti bersyair, bersajak dan ghazal sehinggakan karya bermutu yang dihasilkan para sasterawan biasanya akan digantung di pintu Kaabah untuk tatapan umum.


Kesimpulan:


-->
Kesimpulannya, pembahagian dalam masyarakat Jahiliah berasaskan kepada penempatan, pembahagian antara golongan hamba dan merdeka serta kebolehan dan bakat yang mereka miliki. Masyarakat zaman jahiliah menjalani kehidupan yang jauh terpesong dari norma hidup sebenar. Namun, kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan kedatangan Islam ke Tanah Arab dilihat sebagai titik perubahan yang membawa fasa baru dalam perkembangan tamadun dan agama di Tanah Arab, malah baginda turut membawa perubahan positif dalam sistem dan struktur masyarakat Arab jahiliah di Tanah Arab pada zaman tersebut.