Andalucia (Spain) under Umayyad Caliphate
Abad
ke-13 Masihi, menyaksikan kemunculan kerajaan Nasriyyah atau Bani al-Ahmar
sebagai kerajaan Islam yang terakhir muncul di Andalus. Kerajaan Nasriyyah ini
diasaskan oleh Muhammad bin Yusuf bin Nasr yang lebih dikenali sebagai Ibn al-Ahmar.
Kerajaan Nasriyyah ini telah menyumbangkan keindahan seni bina Islam di Andalus
pada abad ke-13 yang menggambarkan kegemilangan tamadun Islam.
Alhambra Palace in Granada Andalucia, Spain
Keindahan
seni bina Islam di Andalus dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kesenian di
Granada dan kesenian luar Granada atau Mudejar. Kesenian seni bina Granada
dihasilkan oleh seniman Islam dan melambangkan reka bentuk Islam seperti Istana
Alhambra. Manakala kesenian seni bina luar Granada atau Mudejar pula dilahirkan
bersama oleh orang Islam dan bukan Islam pada abad ke-13 dan abad ke-14 Masihi.
Misalnya Alcazar di Seville dan Gereja Toledo.
Nazari Tower in Sierra Nevada
Keindahan
seni bina Islam juga dapat dilihat dengan pembinaan menara. Terdapat dua buah
menara yang tinggi dan berkilau yang dibina di atas Banjaran Sierra Nevada. Kepentingan
binaan menara ini ialah dapat melihat keindahan kota Granada dengan taman-taman
bunga dan pohon buah-buahan yang subur menghijau. Selain itu, menara juga
digunakan untuk memantau kawasan istana atau sempadan bagi tujuan keselamatan.
Inside Alhambra Palace
Selain
itu, keindahan seni bina di Andalus juga memperlihatkan pembinaan ruang khas
dalam bangunan. Setiap bangunan yang didirikan terdapat ruangan khas dan
mempunyai fungsi yang tersendiri. Contohnya, binaan Istana Alhambra yang
mengandungi beberapa buah bilik dengan berukuran sederhana, dua buah dewan
besar serta mempunyai halaman yang dihiasi dengan kolam air pancut dan taman.
Istana Alhambra juga mempunyai ruangan untuk duta, ruang persalinan permaisuri
dan ruangan persiraman diraja yang menjanjikan kelebihan dan keterasingan yang
tersendiri daripada segi keindahannya.
Inside The Mezquita Mosque
Keindahan
bangunan-bangunan di Andalus juga diperlihatkan dengan tulisan kaligrafi yang
mengandungi ayat-ayat al-Quran, puji-pujian, dan gelaran pemerintah. Contohnya,
Masjid al-Mulk yang didirikan oleh Sultan Muhammad II. Di atas pintu masuk
masjid ini tertera sepotong tulisan Arab, Azza Maulana al-Sultan Abdillah dan
di bawah perkataan tersebut terdapat sebuah syair yang menyentuh agama Islam.
Pada bahagian mihrab masjid pula terdapat hiasan yang diperbuat daripada emas
dengan bertatahkan permata zamrud dan yaqut. Permukaan dinding masjid berkenaan
pula dipenuhi dengan hiasan ukiran yang berselang-seli dengan ayat-ayat yang
menggunakan tulisan Arab seperti al-Mulku li’lLah.
Kesimpulannya,
pembinaan seni bina di Andalus memperlihatkan keindahan gabungan ilmu Islam dan
memperlihatkan kegemilangan tamadun Islam. Keindahan ini masih dapat dilihat
hingga ke hari ini dan sukar ditandingi.