Tuesday, 22 January 2019

KERJA KURSUS SEJARAH STPM 940/4 2019


KERTAS SOALAN SEJARAH 940/4 STPM 2019



HURAIAN TEMA KERJA KURSUS SEJARAH 940/4
SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA 2019

TEMA 1 : SEJARAH SUKAN
Aktiviti sukan bermula bermula sejak kewujudan manusia namun ia mungkin dilihat dalam konteks dan motif berbeza. Secara asasnya sukan merupakan manifestasi manusia dalam mendekatkan diri mereka terhadap alam semulajadi dan persekitaran. Sukan membabitkan asas kemahiran manusia yang dikembangkan dan dilatih bagi meningkatkan kemahiran itu sendiri. Kepentingan sukan kepada manusia memang tidak dapat dinafikan. Setiap masyarakat mempunyai tradisi masing-masing dalam kegiatan bersukan. Sukan dalam sesebuah masyarakat itu muncul dalam bentuk kegiatan riadah ataupun kegiatan yang bersifat pertandingan. Selain itu, kegiatan sukan dalam setiap masyarakat mengalami perkembangan dan pembaharuan. Kajian sejarah sukan meneliti amalan bentuk-bentuk kegiatan sukan tersebut. Dalam konteks Masyarakat Malaysia tradisi bersukan telah wujud sejak lama. Setiap masyarakat Malaysia - Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan kaum-kaum lain yang ada di negara ini memiliki pelbagai bentuk kegiatan sukan yang diwarisi secara turun temurunContohnya, kaum Cina terkenal dengan wusyu, karate dan tenis meja manakala masyarakat Melayu terkenal dengan sepak takraw dan silatSejarah sukan juga mengidentifikasikan bentuk-bentuk kegiatan sukan yang ada itu di samping meneliti kemunculan bentuk kegiatan sukan yang baru dalam sesebuah masyarakat. Di negara kita misalnya, sejak awal abad ke-20, pelbagai bentuk sukan baru yang muncul setelah ianya di bawa masuk pada zaman penjajahan. Contohnya, sukan bola sepak, bola keranjang, karate, olahraga dan sebagainya. Bentuk sukan yang baru diperkenalkan ini kemudiannya menjadi kegiatan yang popular dan diamalkan secara meluas dalam masyarakat kita. Sejarah sukan meneliti bagaimana bentuk kegiatan sukan itu muncul, diamalkan dan berkembang dalam masyarakat. Kajian juga boleh dilakukan terhadap individu-individu yang berjasa dalam sukan seperti ahli sukan mahupun pemimpin persatuan sukanSelain itu, kajian terhadap institusi sukan di pelbagai peringkat juga boleh dijadikan sebagai sebahagian dari subjek kajian.


TEMA 2 : SEJARAH EKONOMI
Ekonomi merupakan aspek yang tidak boleh dipisahkan dari kehidupan manusia sejagat. Tema ini mencakupi ruang lingkup penelitian yang amat luas sama ada di peringkat lokal, nasional mahupun global. Antara aspek yang boleh diteliti termasuklah dasar ekonomi, pelaksanaan dan kesannya terhadap sesebuah rantau, negara, negeri serta unit-unit yang lebih kecil seperti daerah dan kampung. Di samping itu, tema ini juga meliputi kegiatan-kegiatan ekonomi yang melibatkan perkembangan manusia. Antaranya termasuklah perdagangan, perindustrian, pertanian, perniagaan sama ada dalam konteks tradisional mahupun moden. Turut boleh diteliti termasuklah tokoh-tokoh ekonomi meliputi golongan pemikir, ahli-ahli perniagaan serta usahawan besar kecil dan sederhana. Keluwesan tema ini juga boleh diperkembangkan melalui kajian terhadap sistem ekonomi antarabangsa serta hubungan ekonomi antara negara sama ada dalam kerangka regional, multi lateral serta bilateral. Kajian mengenai tema ekonomi juga boleh meliputi isu-isu ekonomi diperingkat global mahupun nasional. Antaranya termasuklah pertumbuhan dan pembangunan, agihan pendapatan, taraf hidup, guna tenaga, pengangguran, kemiskinan, inflasi dan sebagainya. Pertumbuhan, perkembangan dan pembangunan ekonomi dari tradisional ke moden melahirkan pelbagai institusi ekonomi yang menjadi teras dan trend dalam pembangunan ekonomi. Justeru, kajian ke atas institusi-institusi ekonomi juga boleh menjadi sebahagian dari cakupan tema ini.

TEMA 3 : SEJARAH TEMPAT
Keluasan bidang kajian sejarah tidak membataskan skop penelitian pengkaji terhadap pendekatan tematik semata-mata. Kajian yang mengkhusus kepada aspek kajian kawasan (area studies) juga amat penting malah seringkali menjadi fokus pengkaji. Sehubungan itu, muncul kajian-kajian yang bersifat sejarah dunia, sejarah benua, sejarah rantau, sejarah negara serta sejarah kawasan yang lebih kecil. Tema sejarah tempat dapat dikategorikan dalam kelompok sejarah tempatan (local history). Batasan kawasan termasuklah sebuah kampung, bandar tradisi, bandar baru, atau kawasan/tapak. Antara aspek pengkajian sejarah tempat meliputi asal-usul dan pembukaan serta perkembangan sesebuah kawasan atau petempatanDi samping itu, skop kajian juga boleh diperluaskan dengan meneliti perkembangan kawasan tersebut sebagai sebuah petempatan. Dalam aspek ini tumpuan kajian berkait rapat dengan sesuatu kegiatan manusia dalam pelbagai bidang kegiatannya. Contohnya, Bukit Jugra, Kuala Kangsar, Kampung Baru Kuala Lumpur, Lukut, Taiping, Pasir Salak, FELDA, FELCRA dan Iain-Iain petempatan yang ada signifikansi sejarah masing-masing untuk diteliti.

TEMA 4 : SEJARAH KEHAKIMAN DAN PERUNDANGAN
Kehidupan manusia yang teratur memerlukan kepada pedoman, peraturan dan hukum bagi membolehkan wujudnya keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian dalam masyarakat berkenaan. Keperluan itu menjadi pendorong kepada berkembangnya institusi dan sistem perundangan dalam kebanyakan masyarakat. Institusi ini diberikan peranan bagi menyusun, menggubal atau mengkanunkan sesuatu peraturan bagi menentukan atau menetapkan hukum atau undang-undang yang akan dilaksana dan dikuatkuasa dalam negara berkenaan.Undang-undang yang dikanunkan itu apabila hendak dilaksanakan memerlukan pihak yang berperanan (hakim) sebagai pentafsir dan pemutus apabila timbulnya sesuatu kes yang memerlukan kepada penyelesaian berdasarkan kepada undang-undang yang ada. Dalam sistem pemerintahan tradisional di kebanyakan negara lazimnya tidak wujud institusi perundangan dan institusi kehakiman yang khusus dan jelas. Di Malaysia sebelum penjajahan misalnya, kuasa perundangan dan kehakiman bertumpu pada Raja atau Sultan. Namun dengan berlakunya pemodenan pemerintahan baik semasa zaman penjajahan Inggeris mahupun setelah negara kita mencapai kemerdekaan, sistem berkerajaan moden termasuklah sistem kehakiman dan institusi perundangan moden telah diperkenalkan. Sistem negara moden yang berkembang itu membawa kepada pembahagian kuasa yang jelas antara pelbagai institusi, iaitu Legisatif, Eksekutif dan Judisiari. Setiap institusi ini diberikan autoriti yang jelas oleh perlembagaan negara - sebuah dokumen utama yang menjadi asas kepada undang-undang bernegara bagi negara kita. Perlembagaan memperuntukkan kuasa kepada Badan Legislatif / Perundangan terdiri daripada Yang Dipertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat untuk membuat undang-undang yang diperlukan. Undang-undang yang hendak dikanunkan itu perlu melalui proses tertentu yang ditetapkan serta memerlukan kepada perkenaan ketiga-tiga bahagian itu. Dalam proses pembuatan undang-undang, Badan Eksekutif yang memegang kuasa memerintah - diwakili Kabinet berhak mencadangkan apa-apa peraturan undang yang hendak diperkenalkan untuk dikanunkan oleh Legislatif. Setelah undang-undang dikanunkan, Badan Legislatif dan Eksekutif tidak lagi memainkan peranan utama, kerana kuasa perundangan kini diperuntukkan oleh perlembagaan kepada Badan Judisiari pula. Badan ini menerusi institusi kehakiman berkuasa mentafsir dan mengaplikasikan perlembagaan dan undang-undang, khususnya apabila berkaitan dengan kes-kes yang di bawa ke hadapan mereka. Di negara kita kuasa menjalankan kehakiman terletak pada badan kehakiman. Kuasa itu terbahagi kepada Mahkamah Agung, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rendah: Sesyen, Majistret, Juvenil dan Penghulu. Ketua Hakim Negara menjadi pentadbir undang-undang yang tertinggi. Selain dipengaruhi sistem perundangan dan kehakiman moden/barat - bidang kehakiman dan perundangan juga masih dipengaruhi oleh sistem perundangan Islam. Kerana adanya pengaruh Islam ini, dari segi perundangan, amalan di Malaysia adalah bersifat dualistik. Ini dapat dilihat dari segi kewujudan institusi dan undang-undang syariahnya. Perjalanan hukum kehidupan bagi orang Islam di Malaysia misalnya, tertakluk kepada undang-undang keluarga Islam dan kuasa kehakimannya dipegang oleh Mahkamah Syariah, Di samping adanya undang-undang moden dan Islam serta badan pelaksananya, hukum adat juga masih berlangsung dan berpengaruh dalam kehidupan masyarakat di negara kita.

*UPDATE: KAJIAN, VIVA DAN FOLIO KERJA KURSUS STPM 2019


KAJIAN PELAJAR

KAJIAN PELAJAR DI LAHAD DATU EDIBLE OIL
KAJIAN PELAJAR DI RESTORAN AJI SEAFOOD ALA THAILAND
KAJIAN PELAJAR DI RESTORAN KAK TINI LAHAD DATU
KAJIAN PELAJAR DI LADANG SILABUKAN KL KEPONG
KAJIAN PELAJAR YANG GAGAL TETAPI TIDAK BERPUTUS ASA 



TERIMA KASIH KEPADA SEMUA PIHAK YANG TELAH TERLIBAT DAN MEMBERIKAN KERJASAMA PENUH KEPADA PARA PELAJAR SEPANJANG SESI KAJIAN. TANPA SOKONGAN DAN BANTUAN DARIPADA SEMUA SUDAH TENTU KAJIAN INI TIDAK DAPAT MEMBANTU PELAJAR MENDAPAT MARKAH YANG BAIK DALAM STPM SETERUSNYA DAPAT MENGHASILKAN TENAGA KERJA NEGARA UMUMNYA DAN DAERAH KHUSUSNYA DI MASA HADAPAN.

PEMBENTANGAN (VIVA) HASIL KAJIAN PELAJAR

VIVA 1: KG DESA BAJAU
VIVA 2: LDEO
VIVA 3: WISMA RAMAI-RAMAI
VIVA 4: KG TAMBISAN


PENGHANTARAN FOLIO DAN EVIDENS KERJA KURSUS SEJARAH
20 APRIL 2018

SEMOGA BERJAYA KEPADA PELAJAR-PELAJAR TINGKATAN 6 UPM SMK AGASEH SESI 2019 DAN SEBAGAI PENGALAMAN SEMASA DI MENARA GADING NANTI! 


6 comments: