Wednesday, 24 October 2012

SEKOLAH LAMA, SUKATAN BARU

Setelah mengajar hampir 8 tahun di SMK Sepagaya, Lahad Datu, akhirnya dapat juga kembali ke sekolah lama, SMK Agaseh. Walaupun hakikatnya saya ditempatkan di sekolah baru selepas mendapat perlantikan sebagai guru akademik tingkatan 6, rasa gembira kembali ke sekolah lama. Sekolah lama yang merupakan tempat kerja baru mengingatkan saya zaman tingkatan 6 stpm terminal pertama di daerah Lahad Datu. Waktu itu sekitar tahun 1994-1995. Dengan penubuhan kelas tingkatan 6 pada waktu itu, segalanya agak kurang dan baru. Namun guru-guru kami waktu itu sangat cemerlang. Macam dah lama mengajar tingkatan 6. Pelajar-pelajarnya juga hebat-hebat belaka sanggup berusaha mendapatkan buku rujukan secara belian atau fotokopi. Kesannya, 99% pelajar lulus dan 20% mendapat 5 prinsipal.

Perpindahan saya ke sekolah lama ini diikuti pula dengan perubahan sistem terminal stpm kepada sistem baharu (penggal) yang bermula pada tahun ini. Ini bermakna sukatan pelajaran juga turut berubah termasuklah opsyen mata pelajaran saya iaitu ekonomi. Mengikut sukatan pelajaran stpm terminal, kertas mikroekonomi dan makroekonomi diajar serentak. Bagi sukatan stpm baharu kertas mikroekonomi dan makroekonomi diajar pada penggal yang berlainan. Ini ditambah lagi dengan kertas ekonomi malaysia yang akan diajar pada penggal ketiga.

Apa yang menarik sekali bagi sukatan baru stpm ini adalah wujudnya kertas 4 iaitu kertas kerja yang pendekatannya seperti "assignment" atau "mini thesis" di universiti. Tambahan pula, setiap pelajar secara individu atau berkumpulan akan menjalankan kajian di luar atau kajian lapangan. Kertas kerja ini juga akan dibentang dalam satu kolokium yang akan ditetapkan oleh pihak sekolah melalui arahan JPN dan MPM. Satu lagi kaedah penjenamaan tingkatan 6 atau Pra Universiti ini ialah konsep mengulang kertas atau "repeat paper" untuk mengambil semula peperiksaan mata pelajaran dan memperbaiki gred kertas mata pelajaran.

Oleh itu, tidak pernah kesal mengajar di tingkatan 6 bermula saya ditempatkan mengajar pada tahun 2003 hingga kini. Saya masih ingat kali pertama ditemuduga untuk pengesahan jawatan. Soalan yang ditujukan kepada saya ialah, 'apakah cara atau kaedah yang cikgu gunakan untuk menarik minat pelajar menarik minat pelajar ekonomi di tingkatan 6?'. Mungkin jawapannya ada di dalam blog ini kelak. Pasti ada hikmah dengan perpindahan ke sekolah lama dengan sukatan baru.

No comments:

Post a Comment