Wednesday 25 April 2018

SUMBANGAN IBN SINA DALAM BIDANG PERUBATAN


PENGENALAN

Ibnu Sina merupakan seorang tokoh yang sangat terkenal dalam bidang perubatan. Beliau dilahirkan dilahirkan di Bukhara, Turkestan pada tahun 980 Masihi. Nama sebenarnya ialah Abu Ali al-Hussayn bin Abd Allah bin al-Hasan bin Ali bin Sina. Semasa berumur 10 tahun, beliau telah pun menghafal al-Quran dan sudah menguasai banyak ilmu agama. Beliau mula mempelajari ilmu perubatan semasa berumur 16 tahun dan mula mengubati pesakit semasa berumur 17 tahun apabila berjaya mengubati pesakit Perdana Menteri kerajaan Saman. Pada umur 18 tahun, beliau berjaya menguasai pelbagai ilmu naqli (agama) dan melakukan penyelidikan serta menghasilkan 116 buah karya terutamanya dalam bidang perubatan. Beliau telah memberikan sumbangan yang amat besar dalam bidang kedoktorandan mendapat pengiktirafan daripada orang-orang Barat yang mengenalinya sebagai Avicenna. Sumbangannya dalam bidang perubatan masih diguna pakai sehingga hari ini.


ISI 1 - PENGIKTIRAFAN

Beliau merupakan tokoh perubatan yang terkemuka pada abad ke-11. beliau mendapat sanjungan di Barat sehinggakan lukisan wajahnya masih tergantung di Dewan Besar Fakulti Perubatan, Universiti Paris. Para penulis Barat menganggap Ibn Sina sebagai ‘Bapa Doktor Perubatan’ kerana Ibn Sina telah berjaya menyatupadukan teori perubatan Yunani Hippocrates dan Galen serta pengalaman daripada ahli-ahli perubatan India dan Parsi di samping pengalaman beliau sendiri. Ibn Sina pernah diberi gelaran sebagai “Medicorum Principal” atau Raja Doktor Diraja oleh kaum Latin Skolastik. Gelaran lain yang pernah diberikan kepadanya ialah Raja Ubat. Dalam dunia Islam, beliau dianggap sebagai “Zenith” iaitu tahap tertinggi dalam ilmu kedoktoran. Khidmat Ibn Sina yang berjaya menyembuhkan Sultan Nuh bin Mansur di Bukhara pada tahun 997 Masihi menyebabkan beliau dianggap sebagai doktor diraja. Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan beliau tiada tolok bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).


ISI 2 - QANUN FI AL-TIBB

Qanun Fi al-Tibb (Peraturan Perubatan) merupakan karya beliau yang dianggap sebagai ensiklopedia yang lengkap dalam bidang perubatan. Buku ini mengandungi 14 jilid dan menerangkan 760 jenis ubat serta jenis penyakit yang melibatkan anggota badan manusia. Selain itu, buku ini turut membincangkan penyakit saraf yang menjadi punca manusia menjadi lumpuh. Buku ini menjadi rujukan utama di universiti-universiti Eropah hingga tahun 1500 Masihi dan telah dicetak sebanyak 16 kali. Buku ini turut diterjemahkan dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, Latin, Sepanyol dan Itali. Gerard Cremona telah menterjemahkan buku ini ke dalam bahasa Latin.Sehingga ke hari ini, rumusan yang terdapat di dalam karya ini masih diterima dalam dunia perubatan moden.


ISI 3 - ENSIKLOPEDIA PERUBATAN DAN ILMU PSIKOLOGI

Pada usia 21 tahun, ketika Ibn Sina berada di Kawarazm, beliau mula menulis karya pertamanya berjudul a--Majmu yang mengandungi pelbagai jenis ilmu pengetahuan yang lengkap dan diikuti dengan buku-buku lain. Segala karya atau cetusan idea Ibn Sina termasuk berbentuk risalah berukuran kecil, dimuat dan dihimpun dalam satu buku besar yang berjudul Essai de Bibliographie Avicenna yang dihasilkan oleh Peter Dominican di Cairo. Ibn Sina telah menemui ilmu yang dikenali sebagai psikosomatis, iaitu perkaitan antara psikilogi dengan kesihatan. Ibn Sina juga telah menjelaskan pentingnya emosi dalam memulihkan individu yang mengalami gangguan psikologi. Minatnya yang mendalam dalam bidang yang berkaitan dengan kesan akal ke atas jasad menyebabkan banyak daripada karyanya berkisarkan gangguan psikologi Beliau telah menggunakan kaedah ini untuk merawat seorang kerabat pemerintah Jurjan dan seorang pembesar.


ISI 4 - TEORI ANATOMI DAN FISIOLOGI

Ibn Sina merupakan individu terawal yang mengemukakan teori-teori anatomi dan fisiologi. Teori-teori ini yang terdapat di dalam buku beliau menggambarkan analogi manusia terhadap negara dan mikro kosmos (dunia kecil) terhadap alam semesta sebagai makro kosmos (dunia besar). Misalnya, digambarkan bahawa syurga kayangan adalah bulat dan bumi adalah persegi. Dengan demikian, kepala itu bulat dan kaki itu empat persegi. Terdapat empat musim dan 12 bulan dalam setahun. Dengan itu, manusia memiliki empat tangkai lengan (anggota badan) dan mempunyai 12 tulang sendi. Hati adalah raja tubuh manusia, sementara paru-paru adalah menterinya. Leher merupakan jendela badan, manakala hempedu sebagai markas pusatnya. Limpa dan perut sebagai bumbung sementara usus merupakan sistem komunikasi dan sistem pembuangan. Semua teori ini dilihat dalam karya-karyanya serta membantu beliau dalam pengetahuan jantung manusia.


ISI 5 - DIAGNOSIS DAN PEREDARAN DARAH

Ibn Sina juga mengembangkan ilmu diagnosis melalui denyutan jantung. Beliau dapat mengenal pasti ketidakseimbangan hormon dengan cara ini. Banyak doktor dari India, Pakistan dan China mempunyai kepakaran mendiagnosis denyutan jantung dan masih mengguna pakai kaedah tersebut pada hari ini. Beliau juga ialah doktor pertama yang mengenal pasti penyakit paru-paru sebagai penyakit yang boleh berjangkit. Selain itu, beliau dapat mengenal pasti tanda-tanda penyakit kencing manis dan kesannya. Ibn Sina juga terkenal kerana penemuannya tentang sistem peredaran darah manusia. Beliau diakui ahli perubatan Barat sebagai orang pertama yang menemui sistem tersebut dan merupakan doktor pertama yang merawat penyakit serius seperti radang selaput otak dan barah usus. Beliau telah banyak mengemukakan teori bahawa kaum wanita lebih banyak diserang barah berbanding kaum lelaki.


KESIMPULAN

Kepakaran Ibn Sina dalam bidang perubatan menyebabkan beliau menerima gelaran ‘Bapa Kedoktoran’. Beliau telah menyatupadukan teori perubatan Yunani, pengalaman ahli-ahli perubatan India dan Parsi serta pengalamannya sendiri di dalam karya-karya yang dihasilkannya. Beliau meninggal dunia pada tahun 1037 Masihi semasa berumur 57 tahun akibat menghidap penyakit dalam perut.


April2018

No comments:

Post a Comment